Support My Blog

Monday, November 26, 2018

SANTAN KELAPA - KONGSI INFO

SANTAN KELAPA atau 'Coconut Milk' merupakan satu produk dari biji kelapa (Cocos nucifera) yang banyak kegunaannya. Santan Kelapa dihasilkan dari perahan isi kelapa iaitu cecair yang berwarna putih serta mengandungi banyak zat makanan. Pada zaman dahulu, secara tradisional isi kelapa akan diparut dengan menggunakan alatan 'Parut' atau 'Kukur' kemudian dicampur dengan air sebelum diperah bagi menghasilkan santan. Pada masa kini santan kelapa dapat diperah terus secara cekap menggunakan Alatan Mesin Pemerah Santan Kelapa. Terdapat beberapa varieti kelapa yang mengandungi santan yang banyak dan ada juga varieti kelapa yang kurang kandungan santannya. Umur pokok juga memainkan peranan penting mengenai kualiti santan dimana pokok muda kualiti santanya rendah (cair) berbanding dengan pokok tua. Lazimnya biji kelapa dari pokok yang tua memberikan kualiti santan lebih baik kerana ianya lebih pekat. Santan Kelapa banyak mengandungi zat permakanan seperti Vitamin, Lemak, Asid Laurik serta banyak kandungan mineral (Kalsiam dan Ferum) . Setiap 15 gram santan mengandungi sebanyak 35 kilokalori tenaga, Lemak (3.6 g atau 6% dimana 3.2 gram adalah Lemak Tepu dan sebanyak 0.2 gram adalah Lemak Tidak Tepu), Protin (0.3 gram), Gula (0.2 gram), Serat (0.2 gram) dan bahan Karbohiderat (0.8 gram) serta Vitamin A dan Vitamin C. Kandungan zat dalam permakanan ini banyak bergantung kepada varieti kelapa dan umur pokok kelapa. Kandungan air dalam santan kelapa adalah komponen paling tinggi. Proses memerah santan kelapa kini telah menjadi mudah dengan penggunaan beberapa mesin seperti mesin parut kelapa, mesin pemerah santan kelapa dan juga alatan lain. Kelapa perlu di buang kulit sabut secara manual menggunakan 'Penyadap' di kebun kelapa sehingga menjadi kelapa bulat. Kelapa ini perlu dipecahkan dan keluarkan airnya (Air kelapa boleh diproses menjadi Nata de Cocoa atau CocoJelly). Keluarkan isi kelapa kemudian dimasukkan terus kedalam mesin pemerah santan kelapa dan menghasilkan santan. Kaedah lain adalah dengan membelah kelapa kepada 2 bahagian dan diparut menggunakan mesin parut kelapa. Parutan kelapa ini perlu dicampur dengan air untuk diperah santannya atau dimasukkan kedalam 'press machine' bagi kuantiti yang banyak. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai Santan Kelapa dan beberapa info mengenai harga dan permintaan seperti yang dilaporkan oleh media tempatan untuk bacaan dan juga bagi tujuan pengetahuan semua pembaca blog ini.

Pada masa ini penulis blog dapati ramai yang masih menganggap santan kelapa penyumbang lemak tidak baik untuk kesihatan. Hakikat­nya, santan kelapa mengandungi banyak khasiat yang diperlukan tubuh badan. Malah kita digalakkan untuk mengambil masakan mengandungi santan kelapa setiap hari. Bukan omongan kosong jika kita tahu senarai khasiat yang dinyatakan seperti berikut. Kita seringkali percaya khasiat kalsium daripada susu sudah cukup untuk membuatkan tulang kita sihat dan kuat. Itu tidak tepat kerana badan kita memerlukan fosforus bersama kalsium untuk memiliki tulang sihat, kuat dan kukuh. Percaya atau tidak, santan mengandungi fosforus yang tinggi. Seperti mana minyak kelapa didakwa santan juga mengandungi asid lemak rantaian sederhana. Selain itu ada laporan dimana tahap asid laurik tinggi santan dalam badan juga menukarkannya kepada monolaurin. Bahan itu boleh membantu menurunkan kolesterol LDL sekali gus memberi manfaat kepada penghidap diabetes. Santan juga kaya dengan antioksidan yang mampu melindungi tubuh daripada gangguan radikal bebas serta melambatkan proses penuaan. Selain itu, keperluan vitamin C dan zat besi dalam santan, masing-masing amat penting untuk meningkatkan sistem kekebalan serta menjaga fleksibiliti dan kekenyalan kulit serta pembuluh darah (baik untuk anemia). Malah kandungan serat makanan terdapat dalam santan juga mampu membuatkan perut anda mudah kenyang dan bertahan lama. Ini sangat baik untuk mengawal berat badan. Bagi penghidap penyakit hipertensi, pengambilan santan bersama air kelapa yang mengandungi potasium sangat baik dalam menstabilkan tekanan darah. Khasiat zat zink dalam santan sangat baik untuk kesihatan kelenjar prostat dan membantu mengatasi kekejangan otot yang teruk. Bagi melengkapkan nutrien, santan juga adalah suplemen multivitamin dan multimineral semula jadi mengandungi pelbagai vitamin iaitu E, B1, B3, B5, B6 serta mineral penting seperti folate, selenium, sodium dan kalium.

Dalam laporan media Utusan Malaysia bertajuk ''Harga kelapa dan santan segar meningkat'' walau pun pihak FAMA sudah beri jaminan perkara tersebut tidak berlaku. Foto sebelah menunjukkan Peniaga Luthufulla khan dimana bekalan kelapa yang terhad di kedainya yang terpaksa dijual dengan harga lebih mahal pada bulan Ramadan tahun ini di Seberang Jaya, Pulau Pinang, semalam. Berita tersebut mendapati di sebalik jaminan yang diberikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bahawa harga kelapa tidak akan mengalami kenaikan, perkara sebaliknya dapat dilihat berlaku awal Ramadan ini. Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Seberang Jaya mendapati pekedai memberi alasan terpaksa menaikkan harga sehingga RM1 berikutan kenaikan kos pembe­lian daripada pemborong. Pemilik kedai runcit , Luthufulla Khan berkata, tahun ini dia menjual kelapa pada harga RM2.55 sebiji berbanding RM1.55 ketika Ramadan tahun lalu. Tindakan berkenaan terpaksa dilakukan kerana pembekal menjual bekalan kelapa kepadanya dengan harga mahal. “Harga sekilogram santan segar pada tahun ini pada kadar RM8 berbanding RM6 pada tahun lepas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. FAMA sebelum ini menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang akan berlaku kenaikan harga kelapa dan santan memandangkan kerajaan telah mengimport tambahan sejuta biji kelapa dari Indonesia bagi memenuhi permintaan pada Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. Mengulas lanjut, Luthufulla berkata, bekalan kelapa yang berkurangan sehingga 20 peratus tahun ini juga mendorong harga barangan tersebut meningkat mendadak. “Biasanya saya memperoleh sehingga 250 biji kelapa untuk dijual dalam tempoh seminggu, tetapi kali ini saya mendapat kurang daripada itu atas alasan bekalan kurang,” katanya. Pada masa sama katanya, bekalan kelapa yang dieksport dari negara jiran didapati tidak berkualiti dan mudah rosak. Sementara itu seorang lagi peruncit iaitu G. Meheron berkata, dia juga terpaksa menaikkan harga jualan kelapa dan santan segar di kedainya memandangkan dia membelinya dengan harga lebih mahal daripada pembekal.  Katanya, tahun ini harga kelapa dijual antara RM2.40 dan RM2.70 sebiji bagi kelapa parut berbanding RM1.80 hingga RM2.40 tahun lepas. “Bekalan pada tahun ini agak berkurangan, namun saya berharap akan mendapat sekitar 300 biji kelapa seminggu untuk dijual,” katanya. Sementara itu, seorang suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Asiah berkata, dia terpaksa membeli kelapa tersebut walaupun berlaku peningkatan harga yang mendadak.  Katanya, ada beberapa kedai yang menjual pada harga RM1 lebih mahal berbanding tahun lalu. “Saya terkejut kerana kerajaan memberi jaminan bekalan kelapa mencukupi dan harga tidak naik, tetapi pada hari pertama puasa harga sudah naik. Saya harap pihak berwajib dapat pantau kenapa jadi begini,” katanya.

Pada masa sama di Kampar, Perak pihak media melaporkan dimana ''Harga santan mungkin naik'' seperti dinyatakan oleh Samsudin (dua, kiri) bertanya sesuatu kepada salah seorang peniaga ketika memantau harga barangan kawalan bersama KPNDKK Perak di Pasar Awam Kampar (Sila lihat foto disebelah). Akibat permintaan tinggi terhadap santan kelapa pada musim perayaan dilihat menjadi faktor utama kepada peningkatan harga bahan mentah itu sepanjang minggu ini. Dalam pada itu Exco Kerajaan Negeri, Datuk Samsudin Abu Hassandakwa pihaknya tidak akan menolak sebarang kemungkinan kenaikan harga santan pada kali ini. Ppihaknya hanya mengawal harga melibatkan penjualan kelapa parut sahaja. “Kita hanya kawal harga kelapa biji peringkat pemborongan dan pada peringkat peruncitan ia tidak dikawal,” katanya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan pemantauan harga barangan kawalan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak di Pasar Awam Kampar di sini, semalam. Samsudin berkata, hasil pemantauan mendapati ada peniaga menjual sekilogram santan dengan harga yang berbeza bermula dari RM11 hingga RM8.50. Kini ada pembeli perlu meninjau harga untuk memastikan santan yang dibeli pada tahap harga yang sepatutnya dengan bijak memilih harga berpatutan,” katanya. Dalam perkembangan berkaitan, peniaga dinasihatkan supaya mempamerkan tanda harga barangan kawalan pada tempatnya bagi memudahkan pengguna melihat terutamanya pada musim perayaan. Samsudin berkata, hasil pemantauan selama tiga hari sebelum menjelangnya Aidilfitri di Pasar Awam Kampar mendapati pengguna memahami tentang barangan terkawal namun peletakan label warna merah jambu pada barang kawalan oleh peniaga didapati masih belum teratur. “Ada yang menulis pada plastik merah jambu, tulisan begitu kecil dan tidak dipamerkan di bahagian sepatutnya di dinding menyukarkan pembeli membuat pemilihan harga. “Peletakan tanda harga tidak sepatutnya dianggap remeh sama ada dalam musim perayaan atau bukan kerana ia menjadi kemestian dan perkara penting kepada peniaga mudahkan pengguna mengetahui harga sebenar,” katanya.

Samsudin berkata, ada peniaga yang meletakkan harga lebih murah dari harga siling yang ditetapkan oleh pihaknya dan ia memang memberikan keuntungan kepada pengguna. Dalam pada itu, beliau berkata, kesedaran pengguna perlu ditingkatkan kerana kefahaman terhadap harga kawalan masih kurang memberangsangkan. Katanya, dalam pemeriksaan yang dijalankan, beliau mendapati pengguna kelihatan tidak kisah kawalan harga yang diperkenalkan oleh kerajaan. “Bila tanya kepada orang ramai, mereka rasa tidak kisah sangat asalkan barangan yang mereka mahu ada dijual. "Saya mahu pendidikan kepenggunaan juga ditingkatkan dalam kalangan pengguna. “Sistem kawalan harga digunakan sejak tahun 2000, sasaran pemahaman 100 peratus tetapi setakat ini hanya 80 peratus bukan satu perkara baru setiap perayaan dapat memenuhi objektifnya,” katanya. Katanya, tinjauan barangan kawalan Penguatkuasa KPDNKK dijalankan di seluruh daerah di negeri ini melibatkan pasar awam dan pasar raya. “Pengguna di saran supaya membuat persediaan awal dengan membeli barangan dapur dan mentah terlebih dahulu. “Ia bagi mengelakkan kesesakan dan barangan yang berkualiti jangan beli saat akhir dan membuat persediaan awal,” katanya.

Di Kelantan pula akhbar Sina Harian laporkan ''Permintaan santan turun''  iaitu berita dari Machang kerana isu kelapa kurang atau terputus bekalan bukanlah asing, namun kini sebaliknya berlaku apabila kelapa mudah didapati tetapi permintaan santan kurang memberangsangkan. Rata-rata peniaga santan menyifatkan Ramadan ini waktu untuk mereka berehat dan menambah amal ibadat apabila perniagaan yang diusahakan kurang mendapat sambutan berbanding bulan-bulan biasa. "Orang ramai tak ada duit, mereka semua berjimat dan jarang beli lauk-pauk dan kuih-muih di kedai. Kalau sebelum ini, kami bergantung kepada permintaan daripada kedai-kedai makan namun pada bulan Ramadan, mereka tutup. "Peniaga bazar Ramadan juga mengehadkan kuantiti barangan jualan mereka bagi mengelakkan kerugian. Kalau tahun lepas, mereka biasa tempah lapan kilogram santan tapi tahun ini mereka hanya ambil empat kilogram," kata peniaga santan, Halimah Mat Daud berumur 59 tahun (Sila lihat foto disebelah)Halimah berkata, harga santan kekal seperti sebelum Ramadan iaitu RM11 bagi sekilogram dan harga kelapa yang ditawarkan pembekal juga masih sama sekitar RM1.90 hingga RM2 sebiji. Tambahnya, faktor ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi memaksa orang ramai berjimat cermat sekali gus mengurangkan kuasa beli pengguna.

Sementara itu di Kuantan dengan laporan bertajuk ''Permintaan santan meningkat'' pula dimana  permintaan terhadap santan ketika Ramadan di daerah ini meningkat berbanding hari biasa. Peniaga santan di Pasar Besar Kuantan, Shamsiah Ibrahim, 49,berkata, permintaan tinggi bahan masakan itu mencecah jualan sehingga 600 biji sehari berbanding 400 biji sehari pada hari biasa. Bagaimana pun katanya, harga santan tidak berubah iaitu RM8 sekilogram (kg) bagi santan segar manakala RM12 kg bagi kelapa parut (Sila lihat foto disebelah). "Buat masa ini, harga masih sama. Permintaan santan pada bulan puasa lebih sikit. Mungkin ada yang berniaga kuih-muih pada bulan ini, "katanya.  Bagaimanapun, menurut Shamsiah, dia tidak mengalami masalah bekalan kerana kelapa yang diambil dari Indonesia itu sentiasa mencukupi.  Shamsiah mengusahakan perniagaan keluarga itu sejak 30 tahun lalu bersama isteri, Aida Fakirah Yaacob, 40, dan dibantu seorang pekerja.  Shamsiah berkata, pelanggan lebih gemar mendapatkan santan segar berbanding santan segera. "Kelapa parut juga sentiasa mendapat permintaan. Biasanya kelapa parut habis dijual pada jam 10 pagi. Beliau  memproses santan seawal jam 6 pagi hingga 4 petang yang mempunyai ramai pelanggan tetap. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...

SANTAN KELAPA... BANYAK GUNANYA...
BIJI KELAPA.. DIKUPAS DIPARUTNYA...
ADA KALA MAHAL... MURAH TAK JUMPA...
BELI SANTAN KOTAK... MUDAH SAHAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Padi Ria 11, Bandar BAru UDA,
Johor BAhru, Johor,
Malaysia.
(11 RabiulAkhir 1440H). 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...