KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, February 3, 2018

SAYUR CEMPEDAK MUDA

CEMPEDAK MUDA (Artocarpus cempeden) merupakan buah yang boleh dijadikan sayuran yang enak setanding dengan buah nangka muda (Artocarpus heterophyllus). Penulis yang baru-baru ini membuat tinjauan di Pasar Satok, Kuching telah menjumpai penjual mempamerkan beberapa bungkusan atau besen plastik yang mengandungi nangka muda siap dipotong. Bagi saya cempedak muda agak jarang dijadikan sebagai sayuran seperti nangka muda. Perkara ini merupakan satu temuan baru untuk penulis blog membuat satu artikel berkaitan kegunaan cempedak muda sebagi sayuran dan ulaman. Biasanya saya biasa dengan memakan buah cempedak masak dengan bau yang harum dan juga cempedak goreng yang harum baunya. Rasanya saya belum pernah makan sayur yang dibuat daripada cempedak muda. Rupanya setelah banyak bertanya ramai rakan di Sarawak mereka nyatakan cempedak muda bukan sahaja enak dimakan sebagai ulam tetapi dimasak dengan pelbagai resepi. Antaranya adalah Gulai Cempedak Muda Pedas, Gulai Lemak Cempedak Muda, Sayur Cempadak bakar dengan kuah Lemak, Kerabu Cempedak Muda, Ulaman Cempedak Muda Celur dan sebagainya. Bagaimana pun penulis yang berkunjung ke kota Jogjakarta masih belum menjumpai makanan 'Gudeg' yang dibuat daripada cempedak muda. Hanya Gudeg yang dibuat daripada nangka muda dijadikan makanan ikonik di kota tersebut. Penulis beli sebungkus cempedak muda di Pasar Satok dengan harga RM3.00 dimana didalamnya ada sekitar 250 gram potongan kiub cempedak muda dan seikat daun kesum. Dibawa balik ke Johor Bahru untuk dimasak sebagai satu pengalaman baru dengan resepi seperti masak lemak nangka muda. Artikel malam ini saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai kegunaan cempedak muda sebagai satu lagi jenis sayuran yang berkhasiat dan enak kepada pembaca blog semua.

Pokok Cempedak merupakan sejenis pokok saka yang mampu hidup sehingga 20 tahun.  Cempedak (Artocarpus chempeden syn Artocarpus integer) merupakan sejenis buah tropika bermusim yang popular di tanam di Negara-negara Asia Tenggara seperti di Malaysia. Cempedak merupakan buah dari kelurga Keluarga Moraceae memang natif di Asia Tenggara terutamanya dari Malaysia kerana nama botaninya membawa kepada 'cempeden' atau dekat dengan 'cempedak'. Cempedak ditanam secara monokrop atau secara dusun campuran dengan tanaman lain sebagai dusun bercampur. Terdapat seluas 11,050 hektar tanaman pokok cempedak dengan hasil sebanyak 53,010 metrik tan di Malaysia berdasarkan laporan oleh Jabatan Pertanian Malaysia (2012). Kebanyakan tanaman cempedak ditanam di Johor, Pahang, Sabah, Sarawak dan juga Perak. Bagaimana pun berdasarkan penelitian penulis, kebanyakan varieti cempedak yang ditanam adalah jenis tempatan yang benihnya dibeli daripada pihak nurseri swasta, bantuan dari Jabatan Pertanian atau rakan sekampong yang menanam cempedak. Buah cempedak bermusim dan lazimnya akan menghasilkan buah dari bulan Jun - Ogos setiap tahun bergantung kepada lokaliti. Pada masa ini hanya terdapat 3 jenis cempedak yang telah disyorkan di Malaysia iaitu Varieti atau Klon CH 28, CH30 dan juga CH 33. Kesemua varieti ini telah dijadikan tanaman yang diusahakan secara monokrop atau pun dudun bercampur. Kini cempedak masak dijual kepada pengguna dan amat jarang ada yang jual cempedak muda untuk dijadikan sayuran.

Resepi gulai buah cempedak muda pedas merupakan salah satu makanan tradisional berasaskan cempedak muda yang paling enak (Sila lihat foto disebelah). Bahan yang diperlukan adalah satu (1) kg buah cempedak muda yang dikupas kulitnya dan kemudian perlu di potong-potong dan rebus sampai empuk teksturnya. Sediakan bahan ramuan tumis iaitu 7 ulas bawang merah, 5 ulas bawang putih, cili padi, 1.5 sudu ketumbar, 3 butir buah keras, 4 cm kunyit ( atau sampai warna ramuan menjadi kuning), 4 cm lengkuas yang dihancurkan dan juga 4 cm halia. Bagi menambah enak boleh ditambah 2 batang serai yang di pecahkan, 4 daun limau purut, 3 helai daun salam,1-2 tomato yang di potong-potong dengan saiz sesuai. Sediakan bahan air dan perisa dengan kadar secukupnya. Bagi mendapatkan rasa lemak perlu disediakan bahan santan kelapa sebanyak 7 ml. Cara-caramembuat Gulai Cempedak Muda Enak Pedas dengan menumis bumbu atau bahan ramuan halus dengan serai, daun limau dan daun salam sampai harum dan tidak berbau lagi. Kemudian dimasukkan air dan dididihkan. selapas itu dimasukkan bahan ketulan cempedak muda dan dibiarkan ramuan tadi dapat meresap dan air mengurang dan sebaiknya perlu ditambahkan air apabila perlu atau dirasa kurang. Kemudian perlu dimasukkan bahan santan kental dan dikacau sentiasa sehingga sampai mendidih kembali. Bagi mendapatkan rasa sebenar sebaiknya di masukkan garam, gula, hirisan daging lembu dan potongan buah tomato. Biarkan hingga tomato tersebut layu dan kemudian dimasukkan 3 sudu makan bawang merah goreng. Buat ujirasa apabila sudah cukup masak dengan mematikan api. kemudian seterusnya sayur enak ini dihidangkan.

Resepi untuk sayur cempedak muda atau nangka muda yang juga popular adalah sayur lemak cempedak muda (Sila lihat foto disebelah). Cara masaknya hampir sama dengan cara masak lemak nangka iaitu menyediakan bahan ramuan seperti diatas cumanya ia tiada cili padi dan ditambah dengan serbuk kunyit. Makanan ini amat biasa dihidangkan semasa kepada perewang majlis kenduri perkahwinan dikampong saya di Muar, Johor. Ia akan dimakan dengan nasi putih dan lazimnya ada ikan kering bulu ayam dan kopi panas. Perewang mengambilnya sebelum memulakan kerja-kerja memasak dan mula untuk menghidangkan kepada tetapu jemputan tuan rumah.

Satu lagi resepi yang popular diperbuat dari cempedak muda dikenali dengan nama Sayur Cempedak Bakardengan Kuah Lemak (sama ada lemak biasa atau lemak putih). makanan ini bagaimana pun lebih popular dikalangan kaum Jawa di johor dan Selangor serta popular di Pulau Jawa, Indonesia (Sila lihat foto disebelah). Makanan ini unik kerana bahan asasnya iaitu ketulan cempedak muda dibakar dahulu diatas haba arang atau dalam oven atau dibakar dengan dapor gas. Ketulan cempedak muda ini dibakar sehingga kehitaman sedikit sebelum dimasak dengan menggunakan bahan ramuan mencukupi. Keenakkan arang yang melekat pada ketulan cempedak muda ini menambah rasa lebih baik. Ada pula dikalangan nmereka memasukkan daun cekur (Kencur dalam bahasa jawa) dan kini ianya semakin dikenali ramai. Kepada mereka yang biasa makan sayur nangka mungkin tidak janggal untuk makan sayur cempedak muda. Ia mudah disediakan tetapi agak sukar untuk mendapatkan bahan mentah dipremis jualan. Ini kerana di Semenanjung Malaysia memang agak jarang ada orang menjual cempedak muda kerana ia adalah buah bermusim. Lazimnya buah cempedak hanya akan keluar atau berbuah sekitar antara bulan Julai - September setiap tahum. Saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology" agar semua pembaca mendapat info terbaik dan memberikan faedah yang baik. Wasallam!!!.
BUAH CEMPEDAK... BERMUSIM DIA...
BUAH MASAK... KUAT SEKALI BAUNYA...
CEMPEDAK MUDA ... DIJUAL BIASA ..
PELBAGAI MENU ... TERHASIL DARINYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1227 (Executive Suite),
Hotel Hotel Hilton Kuching,
Kuching, Malaysia.
(13 Januari 2018)
Posted from 
ROOM 612, THE PURE HOTEL,
SG PETANI, KEDAH, MALAYSIA.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...