KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, February 4, 2018

BAYAM - CARA MENANAM


BAYAM (Amatanthus spp) merupakan sejenis sayuran daun hijau yang banyak ditanam di Malaysia selepas tanaman sawi. Seluas 4,260 hektar tanaman bayam dilaporkan oleh Jabatan Pertanian pada tahun 2015 dengan menghasilkan sebanyak 46,700 metrik tan terutama di Negeri Johor, Selangor, Perak dan Pahang (Sumber: Laporan Statistik Agromakanan Moa, 2016). Pengalaman saya selama 35 tahun lebih dalam memberikan khidmatan pengembangan pertanian dan pemantauan teknikal mendapati sayuran bayam mudah ditanam dengan pengurusan dan amalan agronomi yang betul dan tepat. Bayam adalah sejenis sayuran daun yang mengandungi vitamin A, B dan C dan zat-zat galian seperti kalsium dan besi. Terdapat dua jenis bayam secara umumnya iaitu Jenis Bayam Daun Hijau dimana jenis ini lazimnya  berdaun lebar dan kadangakala berdaun bujur dan juga Bayam Daun Ungu Kemerahan. Apa pun penulis mendapati ada juga jenis berwarna hijau keunguan dan juga warna kemerahan yang mengandungi bahan Anthocyanin tinggi. Jenis Bayam Merah (ada yang kata ia jenis Bayam Bangladesh) yang juga didapati sesuai ditanam dipelbagai jenis tanah terutama tanah gembur liat ringan dan tanah liat berpasir. Tanah yang kaya dengan bahan organik, mempunyai saliran yang baik dan mempunyai kemasaman tanah diantara 5.5 - 6.5 adalah paling sesuai. Sayuran Bayam adalah dari keluarga Amaranthaceae merupakan tanaman singkat masa dengan penuaian 28 - 32 hari selepas ditanam. Ia memerlukan kawasan tanag subur dan gembur dengan banyak cahaya matahari. Saya ada menulis beberapa artikel mengenai tanaman dan sayuran bayam dalam blog ini untuk dibuat rujukkan (Sila klik disini), (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan banyak lagi. Artikel malam ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis artikel cara-cara untuk menanam bayam secara komersil untuk dijadikan bahan rujukkan.


Menanam bayam perlukan kawasan tanah lapang dikebun atau boleh ditanam dikawasan keliling rumah. Bagaimana pun kini ada dikalangan penduduk bandar yang menanam bayam dengan kaedah hidroponik (Hidroponik takung dan sebagainya). Proses untuk penyediaan batas tanaman dikebun selalunya perlukan sistem sesuai dan betul. Lazimnya kawasan untuk menanam akan dibajak dan digemburkan dahulu sebelum menyediakan batas. Ukuran batas ialah 120 cm lebar, 20-30 cm tinggi dan 760 cm panjang. Jarak antara batas ialah 46 cm. Buat tiga jalur atau alur kecil memanjang di permukaan batas. Menanam bayam adalah amat mudah iaitu dengan cara menabur terus biji-biji bayam dengan menggunakan biji benih. Saya tahu yang biji benih bayam berkeadaan halus oleh itu ia perlu di gaulkan dengan pasir atau tanah peroi sebelum disemai. Kemudian taburkan sama rata ke dalam alur-alur di atas batas. Selepas 2-3 hari anak benih akan cambah. Jarakkan mengikut ukuran yang disyorkan ialah 8-10 cm antara pokok dan 2-3 cm antara barisan. Sebanyak 6-7 kg biji benih diperlukan untuk 1 hektar. Bayam boleh juga disemai di dalam tapak semaian sebelum diubah ke batas. Sebelum menyemai gaulkan biji benih dengan racun kulat seperti Thiram dengan kadar 3 kg. Thiram dengan 1000 gm biji benih untuk mencegah penyakit melecuh. Lebih kurang 12 hari selepas menyemai, siram anak-anak benih dengan baja larutan jenis Urea sebanyak 4 gm dalam seliter air. Sungkupan penuh dibuat 3 hari selepas menyemai. Kerja untuk mengubah dan tanam anak-anak benih ke atas batas yang telah pun disediakan selepas 3-4 minggu disemai.


Aktiviti Penjagaan Bayam sebaiknya menggunakan baja organik. Baja organik seperti tahi ayam boleh digunakan sebagai baja asas. Baja ini digaulkan ke dalam batas. Kadar keperluan baja ini lebih kurang 5 tan metrik sehektar dimana ia ditabur dalam peringkat swsl prnsnsmsn. Sebagai panduan, kadar pembajaan yang telah disyorkan oleh Jabatan Pertsnisn ialah sebanyak 100 kg N, 23 kg P205, 144 kg, K20/ha boleh diamalkan. Pemberian baja adalah 4 hari dan diikuti dengan 10-14 hari lepas mengubah dengan menggunakan 240 gm Sulphate of Amonia, 24 kg Triple Superphosphate dan 120 kg Muriate of Potash untuk sehektar. Baja digaul dan ditabur diantara lorong-lorong pokok. Aktiviti menyiram bayam dijalankan dengan rapi kerana Bayam memerlukan air yang banyak untuk tujuan pembesarannya. Dalam musim panas dua kali siraman adalah memadai dengan menggunakan sumber air yang bersih dan mencukupi. Proses penyiraman amat penting bagi kawasan tanaman bayam dikawasan terdedah. Sistem perparitan amat penting dikawasan tanaman bayam kerana bayam tidak tahan dengan kawasan  mudah tenggelam.


Sungkupan boleh diletakkan di atas batas selepas menabur benih atau mengubah. Gunakan pelepah kelapa atau rumput-rumput kering sebagai bahan sungkupan. Sungkupan boleh mengawal kehilangan air, mengawal pertumbuhan rumput-rampai serta memperbaiki struktur dan kesuburan tanah. Kawalan rumput perlu dijalankan sepanjang masa dimana rumpu perlu dicabut dengan berhati-hati agar akar tanaman bayam tidak tercabut atau cedera. Terdapat beberapa jenis serangga yang merosakkan tanaman bayam seperti Ulat Pangkas (Agrotis ypsilon Rott.) yang menyababkan kerosakan pada bayam hijau dengan memotong batang dan anak benih diparas tanah pada waktu malam. Ulat memotong batang anak benih diparas permukaan dan kawalan dengan menyembur racun kimia atau serangga seperti Trichlorphon dengan kadar 0.1% bahan aktif di sekeliling anak-anak benih. Ulat Ratus (Prodenia litura F) adalah perosak dimana peringkat larvanya memakan daun. Kawalan adalah dengan menyembur dengan racun serangga seperti Trichlorphon dengan kadar 0.1% bahan aktif. Seterusnya adalah ulat perosak dinamakan Agrotis ypsilon yang menyababkan kerosakan pada bayam merah. Kerosakkan dimana ia akan potong batang dan anak benih diparas tanah pada waktu malam. Kawalannya dengan menggunakan umpan trichlorfon dan dedak dengan kadar 1:20. Sebaiknya kerja penyemburan racun kimia tidak dilakukan beberapa hari sebelum penuaian dilakukan. 


Diantara Penyakit Bayam dan Cara Kawalan yang disyorkan adalah seperti Hawar Melecuh (Cysstobus bliti.) Tandanya adalah dengan terdapat tompok-tompok putih pada daun. Bagaimanapu bayam jenis daun bujur adalah lebih tahan kepada penyakit ini. Amalkan kaedah tanaman giliran untuk mengatasi masaalah ini. Tiada kawalan kimia yang didapati berkesan. Tanam bayam pada kawasan baru lazimnya akan bebas daripada penyakit. Penyakit Lecuh Anak Benih disebabkan oleh kulat Phythium aphanidermatum. Penyakit ini disebabkan kulat yang sering ujud dikawasan lembanb dan musim hujan. Bahagian pangkal pokok menjadi reput dan pokok akan mati.Tanam di tanah yang mempunyai saliran elok. Amalkan giliran. Elakkan menyiram berlebihan. Gaulkan 3 gm Thiram (80 WP) dengan 100 gm biji benih sebelum menyemai. Akhir sekali aktiviti untuk memungut hasil bayam boleh dipungut 3 - 4 minggu selepas ditanam atau apabila pokok mencapai 20-25 cm tinggi. Kutipan dibuat selang hari diantara 3 - 7 hari sekali. Pokok perlu dicabut bersama-sama akarnya dimana kemudian aia akan dipotong batangnya untuk membuang akar. Bergantung kepada jarak pemasaran, bayam segar perlu dihantar seberapa segara ke pasar atau premis jualan untuk mengelakkan daripada kerosakkan. Semuga rencana ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini.  Wasallam!...
BAYAM HIJAU.... BAYAM MERAH...
ATAS BATAS... ALUR DISERKAH...
BENIH DITABUR... SIRAM SAJALAH...
LEPAS SEBULAN..DITUAI SUDAH...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Jalan Istana, Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(14 Rejab 1434H)
Kemaskini pada 12 JamadilAwal 1439H.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...