KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, February 16, 2018

ROJAK PETIS MUAR

ROJAK PETIS MUAR merupakan satu hidangan istimewa bagi daerah ini semenjak berpuloh tahun dahulu. Rojak Petis ini bukan sahaja diminati oleh masyarakat Melayu (Orang Jawa lebih ramai) sahaja tetapi masyarakat lain seperti kaum Cina dan kaum India tempatan juga amat menyukainya. Pada penelitian penulis blog yang membesar di daerah ini memang sejak dahulu sekitar tahun 1980'an kawasan di Tanjung Emas di Muar merupakan tempat untuk beriadah dan kawasan taman awam yang terkenal dengan kawasan keindahannya menghadap Kuala Sungai Muar dan Laut Selat Melaka. Dahulu memang terdapat beberapa kereta sorong (kini telkah ada gerai tetap) disekitar taman yang menghidangkan rojak petis untuk mereka yang bersantai ditaman tersebut. Selai daripada makanan seperti Rojak Petis Muar ada juga beberapa hidangan lain yang dijual seperti daripada Mee Jawa, Mee Goreng, Mee Bandung, Sate, Laksa Johor, Kacang Putih dan beberapa makanan lagi. Kini Asam Pedas Muar dikawasan ini merupakan antara makanan yang istimewa setanding dengan makanan Asam Pedas Parit Jawa. Pada penulis blog yang suka makan rojak petis yang mempunyai rasa manis, pedas, lemak, masin dan buah-buahan tempatan amat sesuai dimakan pada waktu tengahari sehingga lewat petang. Dahulu harganya cuma RM1.00 sepinggan dan kini telah mencecah RM 3.00 - RM5.00 sepinggan bergantung kepada lokasi dan kuantiti. Setiap kali kunjungan saya balik ke Bandar Muar (Orang sini sebut 'Muo') saya tidak akan melepaskan untuk makan rojak petis yang memang baik untuk kesihatan kerana makanan  ini mengandungi banyak buah-buahan tempatan dan masih mengekalkan rasanya walau pun telah berbelas tahun. Bandar Muar memang terkenal dengan makanan yang enak dan lazat seperti ''Sate Pagi'' dan makanan lontong. Artikel petang 30 Ramadan ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai resepi hidangan rojak petis Muar yang popular dikalangan masyarakat tempatan dan juga pelancong (macam saya kini diketegorikan pelancong kalau balik Muar). Kepada mereka yang berkunjung ke Bandar Muar boleh pergi ke Tanjung Emas untuk menikmati rasa enaknya rojak petis ini.

Membuat rojak petis adalah amat mudah sekali kerana ianya ia menggunakan bahan tempatan dan murah tetapi segar serta mudah didapati. Bahan untuk membuatnya juga murah harganya. Kita boleh sediakan sendiri dirumah dan ia boleh disesuaikan dengan citarasa yang dikehendakki. Bahan-bahan yang diperlukan untuk hidangan 1-2 org terdiri daripada buah Nenas (Ananas cosmosus), buah Mangga (Mangifera indica), Sengkuang (Pachyrizus erosus), Timun (Cucumis sativus), Kangkong (Impomea reptans), Taugeh (Vigna radiata), Epal Hijau - Optional (Malus domestica) dan Kacang Tanah (Arachis hypogea) serta bahan lain yan sesuai. Apa pun yang paling utama dalam rojak petis adalah PETIS. Petis adalah adunan khas yang diperbuat daripada udang, kicap, cili dan sebagainya. Ada yang menulisnya sebagai ''Otak Udang'' untuk bahan ini. Bergantung kepada musim buah-buahan dan kreavititi, buah seperti Jambu Air (Euginia aquea), Jambu Batu (Psidium guava) dan Buah Kedondong (Spondalis dulcis) juga sesuai dijadikan bahan untuk rojak petis. KadangSemua bahan buah-buahan dipotong mengikut saiz dan ukuran yang sesuai, Kacang tanah digoreng dan ditumbuk kasar dan sayur kangkong serta taugeh perlu dicelur dahulu. Bahan lain yang tidak boleh ditinggalkan tentunya Tempe (Glycine max) dan Tauhu (Glycine max) yang telah digoreng dan dihiris nipis-nipis. Seterusnya kita perlu menyediakan bahan-bahan seperti Petis (2 sudu besar), Gula Pasir (1½-2 sudu besar), Gula Melaka atau Gula Hitam (1 sudu besar), cili kisar mengikut kepedasan masing², sedikit belacan yg dibakar, sedikit air asam pekat dan garam jika perlu. Pastikan kita menyediakan besen kaca datau mangkuk kaca yang sesuai saiznya dan senduk kayu atau senduk plastik yang sesuai untuk aktiviti menggaul. Sebaiknya semua ramuan rojak petis ini mesti digaul rata dan boleh dihidangkan apabila siap.

Cara menyediakan rojak petis mudah dengan membersihkan bahan-bahan dimana semua mesti dibasuh sebelum dipotong. Mangkuk dan senduk juga perlu dicuci agar tiada kekotoran. Ambil alas menghiris dan semua bahan-bahan buah-buahan seperti nenas, mangga, timun, sengkuang dan sebagainya. Kangkong dan taugeh hendaklah dicelur dahulu dan pastikan jangan 'over-cook'. seterusnya adalah kita perlu memasukkan bahan petis, cili kisar, gula pasir, gula hitam dalam sebuah bekas yang sesuai dan kacau hingga gula pasir hancur. Setelah gula pasir hancur, tambahkan air asam dengan jumlah sesuai dan kacau sehingga rata. Seterusnya bahan utama buah-buahan, tempe, tauhu dan sayur-sayuran serta taugeh kemudian kacau sehingga sebati dan rata. masukkan kita perlu masukkan sedikit kacang yang telah ditumbuk dan ia perlu digaul lagi. Sebelum dihidangkan boleh ditabur kacang tanah diatasnya dan dimasukkan kedalam pinggan hidangan bersama sudu garpu kecil (sudu plastik). Hidangan ini perlu dimakan dengan segera kerana jika disimpan lama akan menyebabkan ia berair dan hilang keenakannya. Diharap anda mampu menyediakan hidangan rojak petis Muar yang mudah, murah, enak dan berkhasiat ini. Hidangan rojak petis Muar ini mampu dijadikan makanan kesihatan kerana ia menggunakan bahan sayuran yang sangat baik untuk sistem penghadaman manusia. Semuga pembaca blog anim agro technology akan mencuba makanan rojak petis Muar semasa berkunjung ke Bandar Diraja ini. Wasallam!.
ROJAK PETIS... HITAM WARNANYA...
PEDAS, MANIS...MASAM BERSAMA...
MUDAH DISEDIA... MURAH HARGANYA...
PERGI KEMUAR... TIDAK 'MISS' PUNYA...

By,
M Anem
Kg Parit Amal,
Jalan Dato Hj Kusai,
Muar, Johor,
Malaysia.
(2 Syawal 1434H).
Kemaskini pada 11 Febuari 2018 (Bandar Baru UDA, JB)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...