KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, April 21, 2017

CENDAWAN SUSU HARIMAU - APA DIA?

CENDAWAN SUSU HARIMAU (Lignosus rhinocerus) kali pertama penulis lihat semasa pameran Hari Cendawan 2015 di TESCO Kelang oleh sebuah syarikat yang mempunyai kepakaran menghasilkannya. cendawan Susu Harimau. Kini baru tahu dimana Cendawan Susu Harimau (CSH) atau juga dikenali dengan merupakan salah satu khazanah negara Malaysia kerana ia adalah antara cendawan perubatan yang sangat berharga. Menurut sektor perubatan didakwa ianya telah digunakan dalam perubatan sejak 400 tahun dahulu dinegara ini. Dalam beberapa penulisan, dilaporkan dimana menurut sejarah nenek moyang dan cerita dari mulut ke mulut sebenarnya CSH tumbuh daripada susu ibu harimau yang baru beranak. Ini kerana anak harimau mempunyai taring sejak kecil menyebabkan ibu harimau akan hanya memancutkan susunya ke atas daun atau tanah untuk memberi minum kepada anak-anaknya. Baki daripada susu harimau tersebut dipercayai akan menyebabkan tumbuhnya sejenis cendawan yang berkhasiat. Sebenarnya ada dakwaan dimana cendawan ini dipercayai tumbuh atas baki susu harimau sehingga kemudian ia menjadi cendawan yang dikenali sebagai 'Cendawan Susu Harimau'. Kini ada saintis tempatan yang telah membuat kajian sama ada dakwaan dalam cerita ini betul atau salah. Apa yang pasti apabila dilakukan analisa makmal didakwa cendawan Susu Harimau mempunyai khasiat yang sangat tinggi dan dijamin kualiti serta keselamatannya. Rencana subuh Khamis ini dalam "Anim Agro Technology" saya sediakan info mengenai cendawan susu harimau sekadar untuk bacaan dan rujukkan anda semua.


Didalam dunia perubatan ada dilaporkan dimana cendawan ini yang mempunyai ubi yang tertanam di dalam tanah dan hanya ubi yang digunakan (Sila anda lihat foto disebelah). Manakala bahagian payung cendawan dijadikan sebagai petunjuk untuk mencarinya didalam hutan. Kajian mengenai cendawan susu harimau telah dilakukan oleh Dr. Tan Chon Seng yang merupakan Pegawai Penyelidik MARDI dan juga menjadi Penasihat Teknikal kepada syarikat yang menghasilkan produk cendawan ini. Kajian turut melibatkan beberapa Universiti tempatan dan luar negara. Dr. Tan telah menghabiskan masa selama lapan tahun dalam menyelidik dan mengusahakan cara penanaman CSH. Kalau dahulu kulat susu harimau hanya boleh didapati di kawasan hutan tebal walau pun kerja mencarinya itu pun sukar diperoleh kerana hanya bahagian ‘payungnya’ muncul ke permukaan bumi. Sebenarnya cendawan ini dikatakan hampir pupus akibat kurangnya penyelidikan dan kurangnya hutan asli serta haiwan harimau. Bagaimanapun kini dengan cara dan menggunakan teknologi terkini syarikat LiGNO Biotech Sdn Bhd berjaya menanam kulat itu yang khasiatnya sama seperti di hutan. Cendawan atau pun dipanggil Kulat susu harimau atau nama saintifiknya Lignosus rhinocerus atau jenis lain Polyporus rhinocerus adalah daripada keluarga Polyporaceae. Didakwa kehebatan khasiat kulat susu harimau atau dalam bahasa Inggeris Tiger’s Milk Mushroom (TMM) sudah lama diketahui kerana nilai tinggi untuk merawat penyakit. Sejarah penggunaan kulat susu harimau dalam perubatan dicatat 400 tahun lalu. Memetik ‘The Diary of John Everlyn’ 1664, pemberian kulat itu kepada ejen Eropah oleh Orang Asli dari Asia Tenggara ketika itu adalah sebagai tanda penghargaan. Ketua Pegawai Eksekutif LiGNO Biotech Sdn Bhd, Ng Szu Ting berkata, tumbuhan jenis fungus itu dibahagikan kepada sebelah atas (payung), tengah (batang) dan bawah (ubi atau sclerotium). Beliau berkata, bahagian ubi disahkan mempunyai nilai perubatan. Kulat susu harimau antara khazanah Malaysia kerana kesukaran menjumpainya dan hanya tumbuh di kawasan hutan hujan tropika Asia Tenggara. Ia cendawan herba yang boleh ditemui di perhutanan Malaysia. Disebabkan rimba habitat harimau, kulat ini tidak dijumpai di kawasan orang lalu-lalang melainkan hanya tumbuh di kawasan hutan tebal tertentu terutama Banjaran Titiwangsa.


Kulat ini tumbuh di bawah tanah dan hanya payungnya keluar ke permukaan bumi, justeru sukar mencarinya melainkan pakar sahaja. Kemunculan payung menjadi petunjuk untuk mencari cendawan berkenaan. Cendawan ini diguna dengan meluas oleh penduduk tempatan sebagai ubat dan tonik serba guna sekitar tahun 1950 hingga 1960-an, namun dilupakan sejak masyarakat bertukar kepada penggunaan ubatan dadah dari Barat bermula 1970-an,” katanya. Ng anak kelahiran Kedah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Biokimia dan Ijazah Sarjana Bioteknologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, bekalan cendawan susu harimau terhad kerana hanya ada di kawasan tertentu hutan tropika Malaysia, Indonesia, China selatan, Thailand dan Filipina. Lagi pun ia spesies jarang didapati. Misalnya di Papua New Guine hanya dijumpai dalam hutan jika bernasib baik. Ini kerana sclerotia cenderung diam di dalam tanah. Jika bercambah pun hanya terhad kepada beberapa kilometer radius kawasan terbabit. “Saya terdorong mengusahakan tanaman kulat selepas mendengar ucapan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Konvesyen Bioteknologi 2002 yang mencadangkan supaya dimulakan penyelidikan mengenai cendawan itu. “Saya memulakan usaha itu asalnya sebagai penyelidikan untuk projek doktor falsafah (PhD), namun berakhir menjadi enterprenur selepas melihat keberkesanan penggunaan kulat yang kami tanam terhadap pesakit respiratori asma dan sinus,” katanya. Menurutnya, lapan tahun mengusahakan penyelidikan (2002 hingga 2009), akhirnya teknologi itu berjaya dibangunkan. Ia membawa kepada penubuhan LiGNO Biotech Sdn Bhd pada 2009. “Kami dianugerahkan geran daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk memulakan penanaman. Sekitar 2010 hingga 2012, bermulalah perusahaan serta perniagaan syarikat itu dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). “Dalam projek ini, saya bekerja erat dengan Pegawai Penyelidik Prinsipal MARDI Dr Tan Chon Seng, 54, yang juga Penasihat Teknikal LiGNO Biotech,” katanya. 



Melalui teknologi sistem tanaman dalam bilik yang dikawal, kulat susu harimau hidup dengan baik pada medium penanaman yang dirumus khas sehingga dapat membentuk sclerotia yang setaraf mutu jenis liar,” katanya. Katanya, pertumbuhan payung cendawan dielakkan kerana khasiat adalah pada ubi, justeru ia dituai sebelum batang dan payung tumbuh bagi mendapat nilai tertinggi untuk perubatan. Cendawan itu juga dipetik dalam keadaan optimum bagi memungkinkan dilakukan penyeragaman di setiap peringkat pengeluaran dan menjamin kadar hasil. “Ia hanya ditanam dalam susunan kotak plastik lut sinar dalam bilik yang dikawal, kotak hanya dibuka sewaktu cendawan hendak dituai, justeru semuanya hidup secara bersih dan dalam keadaan steril. Teknologi itu dengan mudah meningkatkan kapasiti pengeluaran sebanyak 500 kilogram (kg) sebulan dalam hanya satu bilik seluas 800 kaki persegi. Bilik itu memuatkan 1,000 kotak dengan setiap kotak mengandungi 50 gram cendawan,” katanya. Kajian santifik beberapa universiti seperti Universiti Malaya (UM), Nottingham University dan Universiti Sains Malaysia (USM) menunjukkan cendawan itu selamat dimakan tanpa kesan sampingan. Kajian juga menunjukkan cendawan itu mempunyai aktiviti antiradang, mengawal imuniti, antioksida dan antialergi.


Menyentuh mengenai khasiat Cendawan Susu Harimau banyak dakwaan yang ditulis. Cendawan Susu Harimau dapat membantu menangani gelaja-gelaja dan punca penyakit melalui mekanisme ”membersih, memulih, menguat dan melindungi”. Ia mempunyai fungsi imuno-modulasi yang boleh merangsang dan mengawal sistem imun. Ia juga mampu meningkatkan sel-sel imun dan aktivitinya dalam membantu dan membaiki tisu-tisu badan yang cedera. Antara khasiat Cendawan Susu Harimau jga termasuk mampu memulihkan sistem pembersihan diri, ia akan memulihkan fungsi metabolisme, meningkatkan fungsi-fungsi badan, Menguatkan sistem imun (ketahanan tubuh dari serangan penyakit), Melegakan resdung, Mencegah demam selsema, Pemulihan menyeluruh dengan Cepat, memulih gejala dalam tempoh yang singkat, Membantu anti radang dan juga melegakan pernafasan. Ia didakwa mampu membantu menguatkan sistem respiratori seperti melegakan batuk, Sinus, Asma, meningkatkan tahap imunisasi tubuh, melegakan masalah alergi seperti eczema, melegakan masalah sakit sendi dan melegakan kesan-kesan sampingan rawatan kanser. Ianya sangat bagus dalam penjagaan paru-paru yang sekian lama terdedah dengan udara persekitaran yang kotor oleh pelbagai jenis asap dan pencemaran. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!...

CENDAWAN PELIK... SUSU HARIMAU DIA...
SUKAR DIPEROLEHI... DIHUTAN SANA...
TEKNOLOGI KINI... PRODUK BERJENAMA...
MEMBACA ARTIKEL... TAMBAH ILMUNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 320, Hotel Jelai,
Raub, Pahang,
Malaysia.
(25 Rejab 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...