KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, June 25, 2014

LETUP-LETUP - JENIS HERBA

LETUP-LETUP (Passiflora foetida) merupakan sejenis dari kumpulan rumpai yang tumbuh liar di negara kita dari keluarga Passifloraceae. Tumbuhan ini dikategorikan sebagai tumbuhan rumpai jenis menjalar dan menghasilkan bunga yang amat menarik. Saya memang kenal akan tumbuhan ini kerana ia banyak tumbuh dikawasan kebun dan ditepi jalan dikampong di Muar, Johor dahulu kala ketika saya bersekolah. Bagaimana pun saya agak keliru kerana nama buah 'letup-letup' inii sering merujuk kepada dua jenis buah yang berbeza iaitu letup-letup yang menjalar (Foto diatas) dan juga sejenis lagi letup-letup pokok tumbuh menegak (Foto dibawah). Tumbuhan ini natif dari kawasan tropika seperti di Asia Tenggara dan juga di USA Selatan, Hawai, Amerika Selatan, Afrika Barat dan sebagainya. Ditempat lain tumbuhan ini juga dipanggil sebagai marya-marya, bush passion fruit, stinking passionflower, wild maracuja, love-in-a- mist, Timun Padang, Buah Tikus  dan juga Kha Tok Rok (Thailand). Saya sudah boleh agak bagaimana tumbuhan ini diberi nama sebagai 'letup-letup', saya agak pasti kerana buahnya yang berbentuk bulat dan apabila buah tersebut matang dan di tekan lazimnya akan menghasilkan bunyi seperti letupan kecil. Tumbuhan ini tidak banyak diperkatkan di negara kita kerana ia merupakan tumbuhan liar yang tumbuh dalam belukar semulajadi. Ia hanya terdapat dikawasan tanah yang mendapat cahaya matahari yang banyak dan tumbuh bersama rumpai lain. Mungkin pada masa kini agak sukar untuk mencari tumbuhan letup-letup dikawasan kebun. Penggunaan racun rumpai dan cara pembasmian pokok letup-letup ini menyababkan ia semakin pupus. Artikel malam jumaat ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology' mengenai sejenis tumbuhan yang jarang-jarang dikaji iaitu pokok letup-letup yang sering kita jumpa dikawasan belukar dan kebun dikampong. 


Ini juga buah letup-letup.
Pokok letup-letup ini saya sering dapati tumbuh liar tanpa ditanam kerana ia adalah didalam kategori rumpai yang memang perlu dimusnahkan dikawasan dimana menganggu tanaman akibat persaingan asas mengenai nutrien, cahaya matahari, air, ruang dan juga mungkin menjadi perumah kepada perosak dan penyakit. Jangan keliru dengan foto sebelah iaitu sejenis tumbuhan liar yang juga dipanggil sebagai letup-letup dikawasan tertentu di Malaysia. Buahnya juga menghasilkan bunyi 'letupan' apabila ditepuk dengan beberapa tangan. Saya akan cuba menulis mengenai buah tersebut dalam artikel lain. Tumbuhan letup-letup ini adalah sejenis yang menjalar dengan batang (vine) sepanjang 1.5 - 6.0 meter bergantung kepada spesis dan lokaliti. Penelitian penulis mendapati batangnya mempunyai bulu halus dengan warna hijau kekuningan dan akan menjadi berkayu apabila tua. Ramai diantara kita yang tinggal di bandar memang tidak berpeluang melihat tumbuhan ini kerana ia semakin kurang. Tumbuhan ini juga amat kurang ditanam (atau memang tiada orang menanamnya) untuk sebarang tujuan komersil atau tujuan lain. Penulisan artikel mengenai tumbuhan ini juga amat kurang dibuat oleh para saintis tempatan. 


Tumbuhan letup-letup mempunyai jenis daunnya  seperti hati dengan mempunyai sama ada 3 atau 5 lekukan. Daun letup-letup agak berbulu halus dan berwarna hijau cerah. Daun ini mengeluarkan bau agak busuk jika dilumatkan dan ia mungkin mengandungi bahan kimia. Susunan daun adalah Jenis Bersilang (alternate) dengan tangkai daun yang agak panjang sekitar 2-4 cm. Lazimnya ada Bulu dibahagian hujung daun yang lebih tebal dan panjang. Jika daun ini diramas dengan tangan akan menghasilkan bau busuk atau orang jawa kampong saya kata sebagai bau 'Langu'. Ia boleh dilumatkan dan diletakkan pada bahagian badan yang terluka dan mampu menghentikan pendarahan. Jika pokok tumbuh pada tanah subur yang rimbun, ianya akan menutupi tumbuhan lain dikawasan tersebut kerana ianya adalah padat. Apa yang menarik mengenai pokok letup-letup ini adalah bunganya yang amat cantik dan menarik (Lihat foto sebelah). Warna dan juga bentuk bunga bermacam-macam bergantung kepada spesis dan persekitaran. Pada asasnya bunganya jenis biseksual dari yang berwarna putih sehingga warna putih krim dan ungu ditengahnya. Ia juga mempunyai banyak kelopak dan susunan stamen yang jelas. Bunga ini keluar sepanjang tahun dan bilangan bergantung kepada kesuburan dan umur pokok. Bunga terbuka pada sebelah pagi dan tertutup semula sebelum tengahari. Apa yang penulis pasti ialah kemmungkinan bunga ini mempunyai banyak nektar (manisan bunga) kerana sering dikunjungi pelbagai jenis serangga seperti rama-rama, lebah madu, semut dan sebagainya untuk mendebungakannya. Ini kerana bunganya yang memang mempunyai warna terang dan besar serta ada debunga dan nektar untuk dikunjungi oleh serangga 


Paling unik mengenai buah letup-letup adalah buahnya yang terbentuk didalam karung berjaring (Lihat foto sebelah). Karung berjaring ini menutupi buah muda dan mampu memerangkap serangga bagi sesetengah spesia sepabai tumbuhan pemangsa (predators). Buah akan terus berada didalam karung berjaring sehingga masak tanpa diganggu. Buah letup-letup berbentuk bulat (Globose) dengan ukurlilit buah sekitar 2-4 cm. Warna buah lazimnya kuning terang dan didalamnya mengandungi banyak biji berwarna hitam yang diselaputi dengan lendir yang rasanya manis. Saya dulu dizaman remaja pun suka petik buah letup-letup ini dan buka isinya untuk dimakan. Burung suka makan buah ini dan menyebarkan biji yang dimakan kekawasan lain untuk disebarkan melalui najis yang jatuh dan bijinya kemudian tumbuh secara semulajadi. Selain daripada dianggap sebagai rumpai, belum banyak kajian dijalankan mengenai kegunaan tumbuhan ini. Disetengah negara, buah letup-letup masih dimakan kerana rasa manisnya dan memang ia adalah produk organik. Tumbuhan ini juga ditanam dikawasan tertentu dalam taman bunga dengan sistem para sebagai satu tarikan. Pucuk daun letup-letup sesuai juga dipetuk untuk dimakan sebagai sayur-sayuran terutama dikawasan pendalaman. Salah satu kandungan dalam tumbuhan ini adalah bahan 'Saponin' yang boleh digunakan sebagai 'sabun' secara semulajadi. Ada setengah negara yang memgeringkan daunnya untuk dijadikan teh bagi minuman. Saya harap akan ada kajian lanjut mengenai tumbuhan ini dari nilai komersil pada masa akan datang dengan nilai-nilai permakanan atau dijadikan bahan komestik. InsyAllah!.
       

LETUP-LETUP.... ADA SARUNGNYA....

MASAK KUNING...BERJARING DIA...
LENDIR MANIS.... HITAM BIJINYA...
BUAH NADIR ... BUAH CANTIKNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 201, Hotel Premiere,
Bandar Bukit Tinggi,
Kelang, Selangor,
Malaysia
(25 Syaaban 1435H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...