KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, June 21, 2014

DURIAN BELANDA - AMALAN AGRONOMI

DURIAN BELANDA (Annona muricata) merupakan sejenis buah-buahan dari keluarga Annonaceae sama seperti buah Nona Seri Kaya, Nona Kapri, Atemoya, Cherimoya dan beberapa jenis lagi. Tanaman ini dipercayai natif dari kawasan di Amerika Tengah dan tidak banyak yang ditanam secara komersil di Malaysia seperti buah-buahan lain (Sila klik disini - untuk artikel berkaitan durian belanda). Durian belanda memerlukan kawasan tanah yang subur dengan kadar kecerunan antara 0 - 15 darjah, mempunyai sistem saliran baik(ia tidak tahan air banyak) dan pH tanah diantara pH5.0 - 5.5 dengan kedalaman tanah melebihi 1 meter. Dari segi hujan pula saya dapati tahap keperluannya adalah SEDERHANA sepanjang tahun dan hujan berlebihan akan menganggu proses pendebungaan. Pokok durian belanda juga akan terjejas hasilnya jika kurang air atau kemarau agak panjang. Di Malaysia terdapat 3 varieti durian belanda yang telah lama didaftarkan iaitu DB1, DB2 dan DB3. Kesemua varieti ini akan mengeluarkan hasil selepas 3 tahun penanaman pada pokok yang dijaga dengan baik dikebun. Antara isu penting dalam tanaman durian belanda adalah masaalah pendebungaan yang sering menjadi masaalah kepada ramai petani tempatan. Artikel malam ini saya berbangga dapat menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai amalan agronomi bagi tanaman buah durian belanda dimana ia berasaskan kepada beberapa pemerhatian yang dibuat dikebun durian belanda untuk bahan bacaan dan rujukan.


Pengurusan tanaman yang baik akan membolehkan pokok durian belanda dapat tumbuh dan membesar dengan cepat. Saya dapati dari beberapa kajiselidik dengan penanam komersil durian belanda di Johor dan Melaka medapati ia lazimnya ia akan berbunga pada akhir tahun ketiga dimana buah diperolehi pada tahun keempat. Pokok durian belanda selalu mengeluarkan banyak bunga tetapi yang matang menjadi putik dan terus menjadi buah amat sedikit sekali (lebih kurang 5% sahaja). Sebenarnya dari segi marfologi, durian belanda bersifat hermafrodit iaitu mempunyai organ pembiakan jantan dan betina pada bunga yang sama (Sila baca aritkel saya sebelum ini - Sila klik disini). Selalunya organ betinanya matang dahulu sebelum organ jantan. Jadi kejadian azali semulajadi ini menimbulkan masalah iaitu terdapat proses pendebungaan gagal dan agen-agen lain bagi menjalankan pendebungaan diperlukan bagi proses ini. Melalui proses pendebungaan terbuka lazimnya buah yang terhasil tidak simetri dan berbentuk seperti buah pinggang. Bagi lita untuk mendapatkan buah yang seragam dan saiz yang besar adalah disyorkan supaya proses pendebungaan tersebut dibantu (assisted pollination process). Ia boleh dibuat oleh manusia dengan membantu proses pendebungaan dan petani perlu dilatih dahulu iaitu melalui latihan hands-on serta menpunyai kemampuan melakukannya.


Bunga durian belanda mempunyai debunga yang matang apabila satu, dua atau tiga kelopaknya baru sahaja jatuh. Debunga yang berwarna kekuning-kuningan dan terdapat di dalam kelompok bersama filamen anter yang tertutup (Sila lihat foto sebelah). Gunakan satu bekas khas yang akan digunakan untuk kita menadah debunga. Kita keluarkan debunga dengan sedikit sentuhan (gegaran) dan lazimnya debunga jatuh ke dalam bekas tersebut (Bekas dari Kertas, bekas plastik dan sebagainya) . Pemerhatian saya mendapati lazimnya debunga boleh diperolehi daripada dua kuntum bunga atau lebih. Selalunya bunga yang mempunyai stigma yang matang akan berwarna kekuning-kuningan. Kelopaknya terbuka sedikit (seperti dalam gambar disebelah). Stigmanya agak lekit dan bergetah, manakala stamen (anter, filamen dan debunga) masih belum keluar daripada tangkai bunga. Proses untuk pendebungaan dilakukan dengan menggunakan berus halus pada bunga yang mengandungi stigma yang matang. Berus yang mengandungi debunga yang ditadah dalam bekas tadi, disapu dan dipusing-pusingkan pada keliling stigma dengan perlahan bagi memastikan banyak debunga terlekat pada stigma tersebut. Pendebungaan berbantu akan dapat menghasilkan buah durian belanda seberat 1.5 - 3.0 kg. Bentuk buah lebih bujur dan simetri. Buah untuk kegunaan segar boleh dipetik pada 13 minggu selepas berputik. Pada peringkat ini buahnya berwarna hijau pucat, berkilat dan durinya telah menjadi lembut. Lebih 30% bunga yang dibantu proses pendebungaannya menjadi buah dan matang.


Kematangan buah durian belanda adalah satu perkara penting dalam amalan agronomi penanaman durian belanda. Buah durian belanda selalunya mencapai peringkat kematangan dalam masa 12-13 minggu selepas berputik dalam keadaan biasa. Kadangkala, semasa keadaan cuaca tidak menentu, putik durian belanda menjadi dorman selama beberapa minggu dan menyambung semula tumbesarannya apabila keadaan cuaca kembali normal. Ini menyebabkan buah mengambil masa sehingga 5 bulan untuk matang. Oleh itu pengiraan hari mengikut kalender sebagai indeks kematangan buah durian belanda tidak begitu sesuai. Sifat luaran buah boleh digunakan sebagai indeks kematangan bagi durian belanda. Buah yang belum matang biasanya berwarna hijau gelap dan pudar. Kedudukan durinya adalah rapat antara satu sama lain dan permukaan buah berbonjol. Duri juga agak keras dan rapuh. Sementara buah yang telah matang dan sedia untuk dituai berwarna hijau cerah dan berkilat. Kedudukan duri adalah jauh antara satu sama lain dan permukaan buah antara duri kelihatan rata. Duri kelihatan pendek dan lembut. Saya amat suka makan buah durian belanda dalam bentuk segar, dibuat jus dan juga dibuat kerepik durian belanda. Wasallam!.


BUAH BERDURI...DURIAN BELANDA....
CEPAT MEMBESAR...BILA DIJAGA...
PENDEBUNGAAN...BERBANTU DIA...
CARA BUAT... 'ANIM AGRO' CERITA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Stesyen Pertanian Serdang,
Serdang, Selangor,
Malaysia.
(21 Syaaban 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...