KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, June 23, 2014

BIOREAKTOR - TEKNOLOGI KULTUR,


BIOREAKTOR KULTUR (Biotechnology Reactor) merupakan satu teknologi moden yang digunakan untuk menghasilkan banyak sel daripada bahagian akar tumbuhan tertentu seperti Tongkat Ali, Ginseng dan sebagainya. Sejak sekian lama kita di Malaysia menghadapi isu keghairahan kepada pokok tongkat ali dan memang tidak pernah luntur. Ini kerana pokok tersebut didakwa mampu memberikan kita satu khasiat yang menakjubkan meskipun akhirnya tumbuhan itu menjadi pupus mangsa ekoran permintaan dalam pelbagai industri. Pada masa ini kita dimaklumkan bahawa pokok tongkat ali menjadi mangsa penggunaan tanpa kawalan akan diancam kepupusan yang disebabkan oleh pembalakkan dan industri tanaman kelapa sawit.Sementara kita sebagai pengguna menjadi juga mangsa akibat cara pemprosesan yang tidak betul dan ianya menyebabkan berlakunya masalah kesihatan. Kini 'kuasa' tongkat ali dikatakan terletak pada bahagian akarnya iaitu sejenis tumbuhan herba yang semakin tinggi permintaannya dipasaran domestik dan antarabangsa.Dengan itu segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab mengikis bahagian tersebut dengan menjadikannya sebagai bahan mentah untuk minuman tanpa melalui satu proses saintifik yang meyakinkan dan terjamin daripada segi kualiti dan keselamatan. Artikel malam Isnin ini sambil menonton TV3 pertandingan akhir Bintang Mencari Bintang (BMB) saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi baru dinamakan "Biotechnology Reactor" untuk menkultur tumbuhan terutama dalam pembangunan canggih untuk tatapan anda.


Kegilaan tersebut bertambah hebat dengan kerakusan mencari pokok tongkat ali hingga hutan diselongkar tanpa mengambil kira kesan jangka panjang boleh memusnahkan sama sekali pokok tersebut. Gara-gara sikap tamak tersebut, saintis tempatan memikul beban mencari jalan bagaimana memanfaatkan pokok tersebut dengan cara yang lestari bagi mengelakkan kepupusan. Bagaimanapun pakar botani mengandaikan agak sukar membuat pemuliharaan tanaman ubatan tersebut dengan hanya bergantung kepada penanaman semula memandangkan tempoh matangnya agak lama iaitu antara tujuh dan 10 tahun. Penanaman menggunakan bijih benih pula tidak mampu memenuhi permintaan ekoran tahap tumbesaran rendah, lambat berakar dan kitaran hidup yang lama. Namun itu tidak bermakna tidak ada penyelesaian saintifik kepada masalah yang membabitkan pokok tingkat ali itu. Ini terbukti apabila Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) berjaya mengeluarkan kultur akar tongkat Ali secara skala besar menggunakan teknologi bioreaktor.


 Teknologi ini adalah kaedah atau kaedah paling sesuai bagi menghasilkan bahan mentah seperti tongkat ali dalam bentuk kultur sel dan akar yang berkualiti tinggi. Bahan tersebut mempunyai nilai tambah seperti mengandungi bahan bioaktif (novel compound) yang berpotensi bagi menyokong industri berasaskan pertanian moden dan biosumber, mengenalpasti kandungan bahan kimia, mencirikan (memprofilkan) dan akhirnya menjadikannya ekstrak piawai. Selalunya dengan menggunakan teknologi bioreaktor, sebatian bioaktif yang telah dikenal pasti mempunyai nilai yang tinggi dan dapat dihasilkan secara besar-besaran menggunakan kultur sel dan akar tersebut. Langkah ini dalam mengelakkan pergantungan kepada sumber asal sebagai bahan mentah untuk diproses yang lazimnya didapati dari hutan. Dengan ini eksploitasi tongkat ali boleh dielakkan dan penghasilan bahan sumberbio tersebut terjamin untuk menjana produk baru bagi kegunaan pelbagai industri terutama produk barangan herba, farmaseutikal, kosmetik, dan juga makanan kesihatan tambahan.


Penyelidik utama tempatan iaitu Dr. Rusli Ibrahim berkata, penggunaan bioreaktor dapat mengurangkan masa bagi mencapai tempoh kematangan iaitu antara tujuh dan 10 tahun kepada masa yang lebih singkat. Katanya, mungkin beberapa bulan diperlukan bagi menghasilkan akar tongkat ali yang boleh dijadikan sebagai bahan mentah untuk digunakan dalam pelbagai industri. Daripada bioreaktor berskala makmal ketika memulakannya pada tahun 2006, sebuah loji skala besar satu tan telah berjaya dibangunkan pada 2011 dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC). Loji tersebut dibangunkan di sebuah kawasan industri, iaitu Arab Malaysian Industrial Park di Nilai, Negeri Sembilan dengan kerjasama pelbagai pihak. Ini termasuk Malaysian Technology Consultants Sdn. Bhd. (MTC), Malaysian Agri Hi-Tech (MYAGRI), Chungbuk National University, Korea Selatan dan syarikat pembina bioreaktor, Plantec Co. Ltd. juga dari Korea Selatan. Objektif utamanya untuk mengkomersialkan teknologi bioreaktor bagi pengeluaran kultur akar tongkat ali secara skala besar. Loji bioreaktor tersebut merupakan yang pertama di bangunkan di negara ini juga rantau Asia Tenggara bagi pengeluaran akar tongkat ali dan tanaman ubatan dan herba lain secara skala besar. Menurut Dr Rusli, sistem bioreaktor tersebut telah diuji dan menampakkan kejayaan yang mana kultur akar tongkat Ali berjaya dihasilkan dalam tempoh 60 hari sahaja.


Teknologi yang sama juga telah diuji untuk pengeluaran kultur akar ginseng dan hasilnya dapat diperolehi dalam tempoh 40 hari sahaja berbanding lima dan enam tahun mengikut kaedah pembiakbakaan konvensional. Sehubungan itu katanya, teknologi bioreaktor merupakan satu alternatif yang amat berpotensi untuk pengeluaran akar tongkat ali selain daripada kaedah pembiakan konvensional. Justeru, teknologi tersebut boleh digunakan untuk pengeluaran akar tongkat ali berasaskan pengeluaran secara pengilangan dengan menggunakan kaedah automasi. Kaedah berkenaan dapat memastikan pengeluaran bahan mentah yang berkualiti secara berterusan. Kejayaan tersebut dapat memberi harapan baharu kepada pengusaha herba dan tumbuhan ubatan dan memandangkan teknologi bioreaktor boleh digunakan sebagai ‘platform’ untuk tumbuhan lain seperti kacip fatimah, sambung nyawa, hempedu bumi, misai kucing dan lain-lain. Lebih menarik, akar tongkat ali yang dihasilkan daripada projek tersebut boleh dimanfaatkan untuk tujuan perubatan herba, diet herba, makanan kesihatan tambahan dan juga makanan berfungsi berasaskan herba. Menurut Dr. Rusli, teknologi bioreaktor juga boleh digunakan secara skala besar untuk tujuan lain seperti pembiakan mycelium cendawan bagi pengeluaran secondary metabolites seperti beta-glucan yang berpotensi sebagai antioksidan serta pengeluaran bakteria dan mycorrhiza untuk biobaja. Begitulah teknologi bioreaktor yang dilaporkan untuk bahan bacaan dan rujukan. Wasallam!.


Antara produk tongkat ali - Mungkin tidak guna Bioreaktor.
BIOREAKTOR... SATU TEKNOLOGI BARU...
AKAR POKOK... REAKTOR 'SEE-THRU'...
CEPAT DIBIAK... JUMLAH BERIBU-RIBU...
PERLU DIGUNA... TANPA SEGAN SILU...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Bilik 201, Hotel Rosemerah,
Jalan Bukit Beruang,
Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(23 Jamadilawal 1435H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...