KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, June 2, 2014

KRISIS MAKANAN - PERANAN PERTANIAN

MAKANAN (Food) adalah satu keperluan dalam kehidupan manusia dan semua ini disokong oleh aktiviti pertanian yang menghasilkan bahan makanan semenjak zaman dahulu. Kebanyakan negara menganggap pertanian adalah menjadi tunggak kehidupan rakyat yang tidak boleh dipandang remeh walaupun di negara maju. Malaysia merupakan sebuah negara Islam patut saling membantu majukan sektor pertanian bagi mengelakan dihimpit kemiskinan.  Kuala Lumpur pernah menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri D8 mengenai Jaminan Makanan. D8 ialah kumpulan lapan negara Islam membangun dianggotai Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Iran, Turki, Mesir dan Nigeria. Dalam ucapan perasmian mesyuarat itu, PM masa itu telah menggesa anggota D8 meneroka kemungkinan saling memberi bantuan dan menggerakkan dana secara bersepadu serta efisien untuk menangani jaminan makanan. Makanan tidak wujud jika tiada proses pertanian dan pertanian menjadi tunggak kehidupan manusia. Tidak ada pertanian, maka manusia tidak akan hidup walaupun mereka mempunyai kepemimpinan yang handal, rakyat yang patuh, harta melimpah ruah dan teknologi paling canggih kerana setiap golongan daripada empat bidang ini memerlukan makanan untuk hidup. Oleh kerana pertanian penting, Rasulullah bersabda bermaksud: "Sekiranya hari kiamat hendak terjadi, sedangkan di tangan seorang antara kalian ada benih kurma, maka apabila dia mampu menanam sebelum terjadi kiamat, hendaklah dia menanamkannya." (Hadis riwayat Bukhari). Dalam hadis lain disebutkan ayat yang maksudnya: "Jika engkau mendengar Dajal keluar sedangkan kamu sedang menanam benih kurma, maka jangan kamu tergesa-gesa memperbaikinya kerana masih ada kehidupan selepas itu bagi manusia." (Hadis riwayat Abu Daud). Dalam kedua-dua hadis ini tersimpan pesanan yang cukup mendalam agar seseorang memanfaatkan hidupnya untuk menanam sesuatu yang dapat dinikmati oleh orang lain lepas itu sehingga pahalanya mengalir sampai hari kiamat. Ia juga mengingatkan kita pentingnya bertani dalam pandangan Islam. Artikel petang Ahad ini saya menulis semula satu artikel yang telah lama diterbitkan dalam akhbar tempatan dan saya mengupasnya dalam "Anim Agro Technology" untuk kita dapat menajamkan minda dan juga dijadikan bahan bacaan.


Pada masa ini ramai para penganalisa ekonomi dan juga saintis antarabangsa berpendapat krisis makanan global adalah malapetaka buatan manusia. Krisis ini terjadi kerana sektor pertanian di negara membangun dihancurkan melalui rejim perdagangan global demi kepentingan segelintir pelaku besar daripada negara maju dimana mereka menciptakan kebergantungan import makanan. Dalam satu laporan oleh Bank Dunia (Laporan World Development Report berjudul Agriculture for Development mengungkapkan) menyatakan yang sektor pertanian dan penduduk urban menderita kerana dalam 20 tahun terakhir ianya agak terabai dimana memang hampir tidak ada dana mengalir untuk inovasi pengembangan dan teknologi baru dalam pertanian. Peruntukan perbelanjaan kerajaan untuk sektor pertanian (termasuk subsidi, penyrlidikan dan pengembangan) terus menyusut. Ini saya amat rasakan dimana bajet tahunan untuk pertanian semakin berkurangan secara relatif dalam Rancangan Malaysia ke 10 berbanding dengan bajet untuk sektor lain dalam pembangunan. Walau pun jumlah bajet yang diluluskan bertambah tetapi ia masih belum mencukupi dengan cabaran dalam pembangunan pertanian terutama untuk pengeluaran bahan asas makanan dalam negara dan diseluruh dunia. Telah berlaku keadaan dimana ketiadaan kepemimpinan global untuk mengatasi krisis makanan ,asa kini atau untuk berbincang alternatif atau cara penyelesaian agar dikembalikan kehebatan sektor pertanian mungkin paling sesuai untuk dilakukan.


Kajian ekonomis menyatakan apa yang terjadi di Afrika dan sejumlah negara Asia pada 1970-an hingga 1990-an adalah bukti bahawa peranan badan multilateral seperti Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang selama ini didakwa lebih banyak mewakili kepentingan negara maju. Ia memang  menjadi sebahagian dari kekuatan globalisasi yang telah didapati menghancurkan sistem jaminan makanan bagi negara membangun. Sebagai contoh, Negara Haiti yang telah menjadikan padi tanaman makanan tradisional sejak berabad lalu sehingga 20 tahun lalu dimana petani negara ini masih menghasilkan kira-kira 170,000 tan beras setahun. Jumlah ini adalah untuk keperluan 95 peratus penggunaan barang (pertanian) domestik negara tersebut. Walaupun petani tidak mendapat subsidi kerajaan, aktiviti pertanian mereka bekalan domestik mendapat perlindungan dengan adanya tarif import yang menghalang kemasukan beras dari luar. Syarat berubah pada 1995 ketika kesusahan ekonomi telah memaksa kerajaan masuk dalam perangkap IMF. Untuk menyelesaikan hutang negara, IMF telah mensyaratkan Haiti memotong tarif import beras daripada 35 peratus kepada tiga peratus. Hasilnya kita boleh menduga selepas itu dimana kemasukan beras dari Amerika Syarikat segera membanjiri pasaran tempatan pada harga separuh daripada harga beras tempatan. Petani menjadi mangsa dengan harga jualan beras tempatan yang diturunkan atau mereka berhenti menanam padi.


Terdapat juga laporan dimana ribuan petani kehilangan mata pencarian kerana tidak boleh bersaing dengan beras dari Amerika yang lebih murah. Laporan tersebut menyatakan yang 75 peratus beras yang digunakan Haiti adalah beras import Amerika. Penganalisis sama ada daripada kelompok kiri mahupun kanan, berpendapat hilangnya kekuatan gerakan petani selari dengan perkembangan kapitalisme. Bahkan ada laporan sehingga kini bahawa beberapa penulis kelompok kiri terkemuka menulis mengenai jumlah bilangan petani yang semakin berkurangan berdasarkan kesimpulan data kuantitatif perkembangan jumlah penduduk. Di negara kita juga bilangan petani telah berkurang daripada lebih tiga juta semenjak lepas merdeka kepada jumlah yang lebih kecil. Generasi baru kini memang tidak meminati bidang pertanian dan ini ditambah dengan isu kekurangan tenagakerja sektor pertanian yang semakin meruncing. Boleh dikatakan sektor pertanian yang melibatkan pengeluaran makanan secara komersil dan yang berskala besar bergantung kepada tenaga buruh impot.
Beberapa negara telah bertindak bijak apabila menyediakan beberapa dasar baru kepada sektor pertanian yang mana ia berorientasi eksport, tidak merosakan sistem ekologi, tidak mengabaikan hak asasi manusia dan menempatkan petani kecil serta buruh tani tidak bertanah sebagai strategi baik.



Bagi kita untuk menghadapi kenyataan asas mengenai kesepakatan antara ahli akademik dan politik ini, ramai petani telah menolak untuk direndahkan atau dianggap hanya memainkan peranan pinggiran. Di waktu kejatuhan peratusan jumlah petani dikawasan kampung iaitu selepas lebih 20 tahun tidak aktif bertani untuk kembali semula aktif semakin sukar untuk dicapai. Tanah-tanah dikawasan kampong dinegara kita dibiarkan dimana kini Jabatan Pertanian melaporkan terdapat lebih 2 juta hektar tanah terbiar telah dikenalpasti memang tidak diusahakan dengan serius (disebut tanah terbiar) untuk menghasilkan makanan. Fenomena ini kini menjadi satu isu tersendiri dimana ia menyumbang kepada krisis makanan domestik dan juga akhirnya krisis makanan global secara tidak langsung. Diluar negara pula ada dikalangan penganalis telah menyatakan yang perdagangan komoditi makanan asasi telah didominasi hanya segelintir pemain-pemain besar (main player). Sebagai contoh sekitar 80 peratus pasaran eksport gandum dikuasai hanya enam pemain sahaja atau 6 buah negara yang mengeluarkannya. Perkara yang sama juga terjadi pada 85 peratus pasaran eksport beras. Sementara itu untuk jagung, sebanyak 70 peratus pasaran eksport telah pun dimonopoli tiga pemain sahaja. Ini membuat nasib negara yang termiskin terus terpaksa mengimport makanan untuk boleh bertahan hidup dengan kawalan harga dipihak lain.


Dalam laporan lain menyatakan pertanian tanaman makanan di Afrika sejak WTO dilaksanakan terus menyebabkan kesan yang terus menyusut. Akibatnya keluasan tanah untuk tanaman komersial seperti kopi, koko, tebu, kapas, tembakau dan teh dilaporkan meningkat pesat. Presiden negara Venezuela menggambarkan krisis makanan sekarang ini sebagai bukti nyata kegagalan model kapitalisme global yang diwar-warkan oleh kelompok negara barat. Penganalisa lain telah berkata pentingnya sokongan dan kebijaksanaan penuh daripada kerajaan yang dimulakan dimana  faktor bagi kemudahan kredit serta jaminan harga makanan adalah penting. Selain itu perlu diujudkan perancangan teliti dan sistem percukaian yang boleh membangunkan sektor pertanian. Perjumpaan pemikir yang dapat berikan idea bernas di kalangan negara Islam perlu ditingkatkan lagi demi mencari jalan untuk terus kita terus dapat mempastikan umat Islam di dunia cukup makan dan di samping itu membantu dalam persiapan menuju kesejahteraan di akhirat kelak. Diharap kita akan terus mendapat bekalan makanan yang berkualiti, selamat dimakan dan mencukupi dengan kos yang mampu. Semuga artikel ini menambah ilmu pengetahuan kita semua. Wasallam!.


KRISIS MAKANAN...BILA BERLAKU...
PERANAN PERTANIAN...IA PERLU...
DIBERI PERHATIAN...BAJET BARU...
PETANI GEMBIRA... SELESAI ISU...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pasartani Mega Putrajaya,
Precint 2, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(4 Syaaban 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...