KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, June 18, 2014

HERBA - Part 1

HERBA (Herbs) merupakan tumbuh-tumbuhan yang lazimnya mempunyai nilai dari segi perubatan, khasiat kesihatan serta aroma untuk digunakan bagi kesihatan. Di Malaysia, perkataan 'herba' memang dikaitkan dengan kaedah atau cara perubatan tradisional semenjak lama dahulu oleh masyarakat tempatan. Kini telah banyak jenis herba dan juga ulam-ulaman yang telah di komersilkan oleh usahawan-usahawan dinegara kita. Produk Herba juga banyak digunakan oleh Masyarakat Melayu dan Cina untuk ubat-ubatan tradisional atau juga lebih sinonim sebagai bahan penguat tenaga batin walau pun itu bukan khasiat menyeluruh produk-produk dari herba. Ini kerana salah tafsir pembeli oleh kerenah penjual-penjual produk herba kaki lima yang mudah mempromosikan produk tersebut dengan kekuatan tenaga seks dan tenaga batin sebagai strategi jualan mereka. Cara mengambil bahan herba paling asas adalah dimakan sebagai ULAM iaitu dimakan mentah (raw herbs). Terdapat banyak herba jenis ulam yang memang dimakan sebagai bahan makanan harian yang diambil dengan kerap. Tumbuhan jenis herba kebanyakannya adalah tumbuhan yang mempunyai batang lembut dan banyak mengandungi air serta berkhasiat. Tanaman herba yang tumbuh secara semulajadi disekeliling kita sebahagiannya boleh ditanam secara komersil dan sebahagian lagi agak sukar untuk di komersilkan. Tanaman seperti Tenggek Burung, Terung Pipit dan sebagainya antara yang agak sukar ditanam berbandingan jenis herba seperti pegaga, selom dan ulam raja yang mudah ditanam. Artikel tengahari ini saya menulis lagi satu artikel mengenai tumbuhan herba dalam "Anim Agro Technology" untuk rujukan dan bacaan anda.


Tumbuhan herba diseluruh dunia terdapat beratus-ratus jenis yang ditanam dan di proses untuk pelbagai tujuan. Tumbuh-tumbuhan herba memang penting dalam Perubatan Melayu kerana pada zaman dahulu belum ada kaedah perubatan moden. Justeru itu tidak hairanlah jika ia terbukti membantu dalam menyembuhkan pelbagai penyakit dengan izin Allah. Namun apa yang penting saya fikir adalah nilai khasiatnya yang mampu memberi kesan kepada kecantikan dan juga kesihatan. Sememangnya kehadiran semak samun atau pun tumbuh-tumbuhan di dalam kawasan rumah kita adalah sesuatu yang kita tidak gemari secara umumnya. Bagi kita untuk membersihkannya kita dengan mencabut jika ianya sedikit atau lebih menyenangkan lagi kita akan meracunnya jika ia terlalu banyak tumbuh. Tetapi pernahkah kita sedar bahawa semak samun itu mengandungi tumbuhan herba yang boleh dijadikan ubatan atau bahan makanan yang baik untuk kesihatan?. Ilmu pengetahuan mengenai hal herba masih belum dieksploitasi sepenohnya oleh kita. Mungkin kandungan bahan aktif dalam tumbuhan herba berbeza mengikut keadaan lokasi, varieti, umur, pengurusan dan kaedah memproses herba itu sendiri. Tumbuhan herba yang nampak subur, hijau, tinggi dan sihat tidak semestinya memberikan kandungan kimia yang baik sebagai produk herba. Apa yang penting bagi kebanyakan jenis herba adalah kandungan ekstrak bahan kimia yang dihasilkan dari herba tersebut.  


Antara tumbuhan herba yang dapat kita temui dikawasan rumah kita ialah seperti keremak, dukung anak, kematikan, tutup bumi, kacang kelo, cempaka, stevia, talin, bakawali dan aerva lantasjus. Manakala akar kayu pula ialah seperti jenis rumput samboi, cendawan susu rimau,ubi jaga dan dahan raja kayu. Kesemua tumbuhan herba ini adalah warisan masyarakat kita yang menjadi amalan turun temurun sejak dahulu lagi. Dalam kes herba, masih ramai dikalangan kita yang masih ragu-ragu akan khasiatnya dan bagaimana hendak menggunakannya bagi mendapatkan kesan optima.  Firman Allah S.W.T yanng mana maksudnya "....... dan (ingatlah satu bukti lagi) engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai." (Surah Al-Hajj : Ayat 5). Banyak lagi hasil kajian saintifik yang perlu dibuat dibuat oleh saintis mengenai khasiat herba dan diterbitkan dalam journal untuk dijadikan rujukkan.


Terdapat beberapa tumbuhan Herba yang akan dibincang dalam artikel pada kali ini. Sebenarnya terdapat beratus jenis herba yang telah dikenalpasti dan telah digunakan oleh masyarakat kita semanjak dulu kala. Bagaimana pun bagi perbincangan kali ini saya akan menulis mengenai herba Cekur, Mas Cotek, Cucur Atap, Kunyit, Kesum, Limau Purut, Mengkudu, Rosel, Pegaga, Tongkal Ali dan Alfafa dan beberapa lagi. Cekur (Kaempferia gallangga) merupakan herba terpilih kali ini dari keluarga Zingiberaceae yang popular (Sila Klik disini)Biasanya tumbuhan Cekur ditanam di sekitar rumah yang berkeadaan lembab atau dengan sedikit teduhan (Lihat foto sebelah). Terdapat banyak kelebihan khasiat cekur diantaranya digunakan sebagai tonik untuk senak perut, membuang angin, sakit sendi serta boleh melancarkan haid. Ia juga digunakan untuk melegakan batuk, mengurangkan bengkak dan dibuat bedak untuk merawat jerawat. Daunnya yang muda dimakan sebagai ulam atau dibuat kerabu. Cara-cara untuk hilangkan jerawat dengan cekur ialah dengan menyediakan daun cekur kira-kira sebesar ibu jari. Kemudian giling sehingga lumat. Setelah itu bolehlah campurkan dengan bedak sejuk. Sapukan campuran tadi ke muka dan biarkan selama 15 hingga 20 minit sebelum dibilas dengan air suam. Amalan ini perlu dilakukan selalu sehingga mendapat kesan positif yang dikehendakki.


Bagi Mas Cotek (Ficus Deltoidea) iaitu tumbuhan daripada keluarga Moraceae, banyak terdapat di kawasan belukar di tepi laut atau rimba di pergunungan. Kini tumbuhan ini telah dikomersilkan dikawasan tanah bris di pantai timur dan di tanah gambut di negeri Johor dengan luas. Terdapat pokok Mas Cotek Jantan (daun kecil dan tirus) dan Mas Cotek Betina (Daun berbentuk Bulat dan lebar) mengikut terminologi orang biasa yang ditanam secara bercampur atau berasingan dalam kebun (Lihat fotoo sebelah). Maklumat mengenai tumbuhan mas cotek boleh dibaca disini (Sila Klik disini). Daunnya berwarna hijau berkilat dan mempunyai bintik yang berwarna emas di permukaannya manakala di bawah permukaan daunnya berwarna kuning keemasan dengan tompok-tompok hitam. Air rebusan keseluruhan herba ini diminum oleh wanita untuk merawat keputihan dan didakwa melawaskan haid. Tumbuhan ini juga dipercayai boleh mengekalkan awet muda. Selain itu, Mas Cotek berupaya dalam ikhtiar kita untuk mencegah dan menyembuhkan penyakit-penyakit seperti paru-paru berair, kencing manis, darah tinggi, lemah jantung, cirit-birit, melancarkan peredaran darah dan rawatan sakit kulit. 


Cucur Atap (Beackea frustrcens) pula sejenis tumbuhan dan merupakan jenis herba dengan banyak khasiat. Daunnya yang kecil atau halus seperti jarum, tersusun secara bertentangan dan mengeluarkan aroma bila dihancurkan atau diramas (Lihat foto sebelah). Tumbuhan ini didapati hidup secara meliar di kawasan tanah tinggi dan juga tumbuh subur di tanah mineral. Lazimnya tumbuhan ini digunakan sebagai teh herba untuk kesihatan. Daunnya dikatakan mempunyai keupayaan untuk merawat demam, antibakteria dan juga melancarkan peredaran haid. Ia juga digunakan bagi merawat selsema, sakit kepala, demam campak, uluran dan juandis dengan cara mengasapkan pesakit melalui pembakaran daun kering atau menghidu wap air rebusan daun segar. 


LIDAH BUAYA (Aloe vera) adalah tumbuhan dari keluarga Xanthoreaceae yang kini telah dikomersilkan untuk penghasilan yang agak lumayan Saya ada menulis mengenai tanaman ini dalam artikel lain sebelumnya (Sila klik disini dan Klik disini). Lidah buaya merupakan herba yang mempunyai bahagian yang lembik dan lekit. Ia digunakan sejak dahulu lagi bagi meransang pengimunan badan, pelembab kulit, menghilangkan parut, mengubati kulit yang melecur dan juga untuk melebatkan rambut.  Aloe vera turut dikaitkan dengan penyakit asma, kencing manis, serta penyakit ulser. Namun pada masa sekarang lidah buaya telah menjadi bahan ramuan yang penting didalam alat-alat kosmetik wanita yang beredar didalam pasaran. Kajian yang dilakukan menunjukkan tumbuhan ini sangat berguna pada manusia dan patut ditanam oleh semua orang untuk digunakan secara tradisional seperti sebagai syampu serta mengubat kesan melecur yang sering berlaku dirumah kita. Ramai usahawan yang menanam lidah buaya dan memprosesnya untuk pelbagai produk yang berkualiti untuk pasaran domestik dan antarabangsa.
Bersambung pada Herba - Part 2!.


TANAMAN HERBA... BANYAK JENISNYA...
DIJADIKAN ULAM... MAKAN NASI SAMA...
KHASIAT BERNILAI... ADA BUKTINYA...
DITANAM LUAS...KOMERSIL PRODUKNYA...

By,
M Anem
Bilik Melaka Delight,
Seri Negeri, Air Keroh,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia
(30 RabiulAwal 1434H)
(Posted on 18 Jun 2014) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...