KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, June 4, 2014

KUCAI - TEKNOLOGI TANAMAN

KUCAI (Allium tuberosum) adalah sejenis sayuran umbisi yang ditanam daripada keluarga Alliaceae. Dalam penulisan saya sebelum ini mengenai kucai (Sila klik disini), anda boleh membaca mengenai aspek agronomi dan maklumat jenis-jenis kucai. Kucai adalah sejenis tanaman singkat masa yang kurang popular dikalangan penanam sayur komersil biasa. Daunnya berwarna hijau tumbuh seperti lidi menegak dan rata boleh mencecah panjang sehingga 38 centimeter (cm) dan diameter daun dianggarkan 0.8 cm. Ketinggian tanaman kucai sekitar 25-30 cm dari paras tanah bergantung kepada jenis dan cara pengurusan kebun. Umbisi kucai berada dalam tanah yang lazimnya berwarna putih krim dengan mempunyai jenis akar serabut halus dibawahnya. Dikalangan masyarakat Jawa di Johor seperti dikampong saya di Muar, tanaman kucai di lakukan diatas tanah gambut selepas penanaman semula pokok getah dan ia di masak sebagai tumis kucai sahaja dimakan dengan nasi. Pada masa ini kucai dikomersilkan dan dijual dipasaraya, pasar basah, pasar tani, pasar malam dan juga kedai-kedai runcit. Kegunaan kucai masa kini lebih banyak untuk menjadi satu ramuan ditabur pada mee goreng, nasi goreng atau makanan lain yang sesuai dengannya. Ada dua cara untuk membiak kucai iaitu melalui rizom dan juga biji benih. Kaedah menggunakan rizom lazimnya lebuh sesuai diamalkan kerana ia mudah dan cepat tumbuh selain daripada keseragaman jika menanam dengan kuantiti sedikit. Bagi petani komersil mereka lazimnya menggunakan biji benih (Biji benih kucai lazimnya diimpot dari luar negara yang ada masa siang lebih 13 jam). Kucai mengandungi vitamin B, C dan karotin dan dari segi khasiat, kucai dapat mengubati penyakit senggugut, keputihan, darah tinggi dan sembelit. Artikel petang Ahad ini saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi tanaman kucai untk bacaan dan rujukan anda semua.


Penanaman kucai pada saya dikategorikan sebagai mudah jika dibandingkan dengan tanaman sayuran lain. Negara kita Malaysia mempunyai iklim tropika iaitu pancaran matahari di antara 12 hingga 13 jam sehari menyebabkan kucai agak sukar untuk kucai bagi mengeluarkan biji benihnya. Ini kerana tanaman kucai memerlukan pancaran atau sinaran matahari melebihi 13 jam sehari selama beberapa minggu untuk berbunga dan kemudian menghasilkan biji benih. Negara-negara subtropika yang mempunyai 4 musim mampu menghasilkan biji benih kucai dalam musim panas. Dengan kata lain saya fikir pembiakan kucai di negara kita adalah lebih praktikal dengan menggunakan bahan rizom dan bukannya daripada biji benih. Pada saya penanaman kucai secara komersial di Malaysia lazim ditanam menggunakan rizom dan bukannya biji benih. Teknologi penanaman kucai perlukan beberapa asas untuk difahami seperti fakta dimana kucai memerlukan cahaya matahari penuh untuk hidup dan tidak sesuai ditanam dikawasan yang bernaung atau terlindung. Ini bermakna kucai tidak sesuai ditanam di kawasan yang redup kerana jika ditanam juga maka pertumbuhannya akan terbantut. Suhu yang optimum bagi kucai ialah 20 darjah celsius (tanah tinggi) dan 25 hingga 27 darjah celsius (tanah rendah). Selain itu, kucai tumbuh subur di kawasan yang mempunyai saliran air yang baik dan kaya dengan bahan organik. Kadar keasidan (pH) tanah yang sesuai untuk kucai adalah di antara 4.5 hingga 6.5. Pengaporan dibuat kepada tanah sehingga ia sesuai untuk penanaman kucai.


Dalam penanaman kucai sebaiknya ada yang menyediakan dahulu tapak semaian. Ada juga yang amalkan teknik menanam kucai terus menggunakan batang rizom (Sila lihat foto rizom kucai disebelah). Biasanya satu rumpun kucai mempunyai tiga rizom untuk penanaman yang optimum walau pun jika pokok subur ia mempunyai bilangan rizom lebih banyak lagi. Kedalaman menanam kucai adalah di antara 2 cm hingga 3 cm dan jangan terlalu dalam kerana ia akan menyebabkan dan melambatkan kadar pertumbuhan. Benih Kucai yang akan ditanam menggunakan rizom diletakkan sebanyak 3 rizom untuk satu lubang penanaman. Jarak tanaman kucai boleh disesuaikan mengikut kawasan iaitu 10 cm antara baris dan 10 cm antara pokok boleh digunakan. Pembajaan tanaman kucai lazimnya akan menggunakan jenis baja NPK Hijau (15:15:15) iaitu  pada kadar baja yang disyorkan sebanyak 100 kg unsur N / hektar. Kepada mereka yang hendak faham lagi, pengiraan kadar baja ambilkira 15 kg unsur N dalam 100 kg NPK hijau. Sebaiknya pembajaan dilakukan ketika penanaman dan juga selepas penuaian. Sistem pembajaan dibuat dengan membubuh dalam Sistem Perparitan dimana satu alur parit dibuat di sebelah kucai dan kemudian baja ditabur dalam parit itu yang mana akhirnya ia dikambus bagi memastikan baja tidak larut dibawa hujan. 


Tanaman kucai adalah jenis tanaman yang perlukan air sepanjang penanamannya dan akan terjejas pertumbuhannya jika berlaku gangguan bekalan air. Kucai tidak begitu cerewet dari segi penyiraman dengan dua kali penyiraman pagi dan petang sudah memadai sama ada sistem renjis atau cara manual. Kawalan Penyakit dan Perosak tanaman kucai jarang diperkatakan kerana kucai jarang diserang penyakit mahupun perosak. Bagaimanapun ia akan menunjukkan tanda-tanda kerosakan apabila satu rumpun melebihi 12 rizom terdapat dan keadaan tanaman adalah padat. Apabila ini berlaku satu rumpun itu perlulah dikurangkan sehingga tinggal 3 rizom saja yang akan memberi ruang untuk sinaran matahari, fotosintesis dan juga ruang pengudaraan sesuai. Penuaian kali pertama adalah pada 12 minggu selepas penanaman dimana lazimnya caranya adalah dengan memotong daun 2 hingga 3 cm dari tanah. Kemudian dibiarkan rizom berada dalam tanah untuk tumbuh daun baru. Manakala penuaian kali kedua dan seterusnya adalah 12 minggu selepas setiap penuaian. Selepas penuaian dilakukan, baja perlulah diletakkan bagi memastikan kucai sentiasa berada dalam keadaan subur. Kucai perlu dihantar kepada pusat jualan seberapa segera yang boleh untuk mengekalkan kesegarannya atau disimpan dalam bilik sejuk sebelum diedarkan. Penanaman kucai memerlukan jaringan pasaran kerana penggunaanya tidak sepertii sayuran cili yang diperlukan setiap hari. Wasallam.

TANAM KUCAI.... MUDAH SAHAJA...
GUNA RIZOM... BENIH CUMA TIGA...
CUKUP MASA... DITUAI SAHAJA...
DIMAKAN SEGAR...ENAK BAUNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kelompok Sayuran Kg Bt 19,
Sengkang, Bukit Gambir,
Ledang, Johor,
Malaysia.
(6 Syaaban 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...