KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, June 27, 2014

HARI CENDAWAN 2014

HARI CENDAWAN 2014 telah dilangsungkan daripada 24 - 25 Jun 2014 di Hotel Premiere, Klang, Selangor dimana majlis perasmian dilakukan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di perkarangan TESCO Bukit Tinggi bersebelahan hotel tersebut. Hari cendawan ini adalah dianjurkan bersama oleh Universiti Malaya dan Jabatan Pertanian dengan sokongan daripada MOA, MRC (Mushroom Research Center), MAM (Mushroom Association of Malaysia) dan banyak syarikat-syarikat berasaskan cendawan. Lebih daripada 230 peserta hadir pada Hari Cendawan yang terdiri daripada Penyelidik, Pegawai Kerajaan, Penanam Cendawan, Syarikat Swasta, Koperasi, Koporasi, Pemasar dan pelajar. Hari Cendawan ini mempunyai banyak komponen yang terdiri daripad Bengkel Hari Cendawan, Pameran Hari Cendawan, Perasmian Hari Cendawan, Pertandingan Mewarna Lukisan Cendawan, Pertandingan Bercerita "Saya suka makan cendawan", Pertandingan Gubahan Salad cendawan, Kursus asas penghasilan cendawan berkonsepkan pertanian bandar, pertandingan kuiz cendawan, demonstrasi masakan yang berasaskan cendawan, taklimat pakej projek usahawan muda cendawan (Agropreneur Muda), Mesyuarat Agong Pertsatuan Cendawan Malaysia dan majlis perasmian. Tema untuk Hari Cendawan kali ini adalah 'transformasi industri cendawan negara' yang bertujuan untuk mengujudkan persekitaran untuk perkongsian pengetahuan dan pengalaman antara semua pihak yang giat dalam industri cendawan negara. Cendawan kini telah diiktiraf sebagai salah satu daripada enam sumber makanan utama dalam Dasar Agro-Makanan Negara (DAM) oleh MOA yang penting diambil sebagai makanan sebagai sumber makanan, produk kesihatan, makanan berfungsi, bahan kimia mesra alam dan bioremediasi persekitaran tercemar. Selain daripada ia menjadi penghubung antara pemain industri cendawan negara, Hari Cendawan ini juga merupakan forum untuk melihat setakat mana kemajuan yang dicapai dalam industri cendawan negara dan bagaimana beberapa isu utama ini diketengahkan didalam merancang pembangunan industri ini pada masa akan datang. Majlis perasmian Hari Cendawan dilakukan oleh Menteri Pertanian di perkarangan TESCO Bukit Tinggi , Kelang pada 26 Jun 2014 (Sila lihat foto diatas). Artikel subuh ini saya sempat untuk menulis mengenai Hari Cendawan 2014 dalam "Anim Agro Technology" sebagai satu lagi aktiviti pertanian berkaitan cendawan yang sesuai dibincangkan.


Bengkel Hari Cendawan 2014 yang diterajui oleh Universiti Malaya dengan dokongan daripada MAM ini (Persatuan Cendawan Malaysia) telah menyusun 3 sessi pembentangan iaitu Sessi 1: Perkongsian Pengetahuan dan Pengalaman, Sessi 2: Senario dan halatuju industri cendawan negara di Malaysia dan Sessi 3: Kajiselidik cendawan di Malaysia.  Dalam sesi pertama sebanyak 9 pembentang terdiri daripada pemain industri swasta, individu dan berkumpulan memberikan pandangan dan pengalaman mengenai aktiviti cendawan daripada pelbagai kategori daripada yang berskala besar sehingga oleh pemain individu dan koperasi. Pn Cheng Poh Guat daripada Syarikat Ganofarm Sdn Bhd dari Tanjung Sepat, Selangor menyatakan dalam penglibatannya selama 27 tahun mengusahakan cendawan, cabaran memajukan industri ini amat hebat. Antaranya adalah seperti kekurangan teknologi, masaalah modal, risiko serangan penyakit, masaalah pasaran dan harga. Katanya di negara China industri cendawan yang berskala kecil menyamai dengan industri berskala besar di Malaysia mengikut jumlah cendawan yang dihasilkan. Pembentang juga menyatakan mengenai 'permainan harga' yang boleh menyebabkan industri cendawan ini perlu diselaraskan. Syarikat Nas Agrofarm dari Jenderam Hulu, Sepang pula menyatakan syarikatnya memang ada mengalami masaalah pasaran, kualiti benih cendawan dan menyatakan ramai usahawan baru cendawan yang 'gulung tikar' setelah memasuki industri cendawan. En Nabil juga menyatakan ramai mereka terpengaruh dengan 'Cashflow' sedia ada mengenai bakal keuntungan mengusahakan cendawan sedangkan pada hakikatnya ia tidak memberikan pulangan seperti diharapkan. Pengalaman En Mohd Zahid dari Syarikat Arena Lebar Sdn Bhd dari Ulu Kelang menyatakan, cara jualan terus sendiri dan mengekalkan kualiti antara strategi dibuat bagi meneruskan kemampanan industri ini. Syarikat ini yang tidak membuat sebarang pinjaman menghadapi risiko rendah berbanding dengan mereka yang membuat pinjaman dari institusi bank yang terpaksa membayar hutang walau pun hakikatnya projek cendawannya sudah tidak ada. Selain daripada persaingan harga, kenaikan kos pengeluaran cendawan merupakan satu cabaran yang sangat terkesan dalam industri ini seperti kenaikan bahan input (habuk kayu, benih, dedak padi dan media lain) serta kos upah tenagakerja.


Dalam memberikan pengalaman oleh Syarikat Damansara Mushroom Industri dari Jenjarom, Mr Bobby Eik Eng Hoi memberitahu bahawa industri cendawan mempunyai masaalah pengeluaran 'turun naik' dari segi kuantiti pengeluaran dan harga. Syarikatnya sentiasa mementingkan sanitasi dalam rumah cendawan bagi mengelakan kualiti hasil cendawan. Kekurangan tenaga kerja dan kos media substrat juga telah mengekang pengeluaran cendawan tiram kelabu yang sedang diusahakan selain daripada faktur cuaca. Katanya dalam musin panas dan kering seperti bulan Jun ini, penyiraman dengan air perlu dilakukan dengan kerap dan pengeluaran hasil cendawan telah menurun sehingga 50% pada musim kering ini. Puan Nurul daripada KPD Sabah (Koporasi Pembangunan Sabah) menjelaskan konsep penanaman cendawan shiitake di kawasan tanah tinggi di Sabah sekitar Kundasang. Peserta projek ini terdiri daripada penduduk tempatan yang membuat sistem 'contract farming' dengan KPD semenjak 30 tahun dahulu. Peranan pihak KPD dalam projek ini dengan menyediakan bantuan input penanaman cendawan, memberikan latihan dan membeli balik cendawan shiitake segar mengikut harga kontrak. Seterusnya adalah pembentangan pengalaman daripada dua koperasi iaitu Koperasi Usahawan Kelantan dan Koperasi Usahawan Pulau Pinang. Peranan koperasi dalam pembangunan cendawan adalah untuk mendapatkan cara pengurusan ahli-ahli koperasi dalam industri ini. Bilangan ahli-ahli usahawan cendawan dalam koperasi kini dimaklumkan semakin menurun kerana ramai diantara usahawan cendawan baru yang berhenti dari menjalankan projek tanaman cendawan diatas pelbagai masaalah. Dibangkitkan antara masaalah utama adalah kualiti bekalan benih, harga pasaran, modal pusingan, serangan oleh penyakit cendawan (Kulat hijau, Kulat Putih dsb) dan saingan dengan syarikat berskala besar antara kekengan ahli-ahli koperasi. Pihak koperasi mohon agar akan diujudkan satu peruntukkan khusus dalam pembangunan industri cendawan di Malaysia seperti mana yang dilakukan di Thailand terutama dalam usaha menentukan jenis candawan dan sumber benih berkualiti untuk digunakan oleh pengusaha.


Apa yang menarik adalah pembentangan oleh Encik Chew iaitu dari Syarikat CnC Mushroom Sdn Bhd daripada Pekan Gersik, Muar, Johor (Kampong penulis) adalah bagaimana syarikat mampu menjalankan sistem pemasaran kontrak cendawan. En Chew telah menerangkan konsep 'Contract Farming' syarikatnya dengan lebih daripada 17 kelompok cendawan disekitar kilangnya dimana setiap kelompok mempunyai sekitar 5 orang pengusaha cendawan individu. Syarikat CnC Mushroom mempunyai komponen industri cendawan yang lengkap daripada pembekalan media tanaman, benih cendawan, pemprosesan cendawan kepada makanan snack, agro pelancongan, membuat baja kompos dari beg cendawan terpakai dan pembelian balik cendawan segar. Beliau juga ada menerangkan dengan jelas konsep perjanjian ladang kontrek yang dijalankan dimana pengusaha perlu menjual 70% hasil cendawan kepada syarikatnya dan 30% lagi boleh dijual sendiri. Harga tawaran dikilang adalah sebanyak RM4.50 sekilogram dan boleh dikajisemula dua kali setahun mengikut kesesuaian. Cendawan yang dihantar kekilangnya mempunyai dua gred iaitu Gred 2 (berukuran kurang 6 cm) dan Gred 1 (Berukuran lebih 6 cm) . Pada masa ini syarikat menggunakan sistem pengukusan dengan menggunakan 4 unit pengukus 'Steamer' yang menghasilkan 25,000 beg cendawan sehari. Cara ini hanya perlukan masa selama 1 jam untuk mengukus beg cendawan berbanding dengan teknologi konvensional lama memerlukan masa selama 8 jam atau lebih. Kos membeli pengukus steamer ini melebihi RM 1 juta untuk 4 unit tetapi ia sangat sesuai untuk pengeluaran berskala besar. Selain itu syarikat ini telah tidak menggunakan jenis cendawan tiram kelabu tempatan sejak 2 tahun dahulu sebaliknya telah pun menggunakan jenis cendawan tiram kelabu berasal daripada Thailand. Ini kerana jenis cendawan dari Thailand ini didapati lebih berhasil tinggi dan tahan kepada serangan penyakit. Harga satu unit benih yang dijual oleh syarikat ini RM2.50 - RM3.00 dimana makmal benih menggunakan teknologi terkini untuk mempastikan kualiti benih terjamin. Ini kerana jika ada pengusaha kontrek ini gagal menghasilkan cendawan segar, maka syarikatnya juga akan menghadapi masaalah sumber bekalan cendawan segar. Dalam usaha untuk menambah pendapatan, syarikat CnC juga telah memproses bongkah cendawan terpakai untuk dijadikan baja kompos. Projek ini yang dimulakan sejak tahun 2009 (masa itu saya bertugas di Muar dirujuk untuk mulakan baja ini) telah membekalkan baja organik yang sesuai untuk menyuburkan tanaman. Dalam satu kajian bagaimana untuk memberikan keuntungan pengusaha cendawan, Encik Chew mencadangkan agar menggunakan bahan media penanaman yang lain menggantikan habuk kayu getah yang harganya telah meningkat daripada RM 60 dulu kepada RM120 akibat kos dikilang yang tidak dapat dikekang. Media lain untuk dijadikan media penanaman seperti Tongkol Jagung (Zea mays) di hancurkan atau sisa kacang soya didapati memberikan pulangan yang sangat tinggi untuk cendawan. Pengusaha kena mencari bekalan tersebut.  


Sessi pembentangan rumusan bengkel diadakan yang melibatkan 10 buah kumpulan. Kumpulan1 membincangkan isu penting iaitu media substrat cendawan yang mempengaruhi industri tanaman cendawan. Pada masa ini substrat yang sering digunakan adalah camporan Habuk Kayu (kayu getah), Dedak padi dan kapor. Kos ketiga-tiga bahan ini telah naik disamping berlaku kekurangan dibeberapa negeri seperti di Kelantan, Terengganu dan Selangor. Adalah dicadangkan agar subtrat baru dikaji kesesuainnya termasuk penggunaan habuk kelapa sawit, sisa buangan kapas (perlu diimpot dari China dan India oleh Koperasi Pengusaha Cendawan) atau habuk kayu hutan. Kumpulan dua membentangkan cadangan masaalah bekalan benih tanaman yang juga sangat kritikal. Perlu diujudkan varieti cendawan yang ada jaminan kualiti dan berhasil tinggi. Bengkel 3 bagaimana pun telah berani untuk mencadangkan supaya diujudkan pusat pengeluaran beg cendawan telah disuntik untuk diedarkan jualannya kepada pengusaha. Pusat ini dijangka akan mengurangkan kos pengusaha disamping jaminan boleh dipulangkan jika rosak. Bengkel 4 telah pun membincangkan cadangan bagaimana mengatasi masaalah pinjaman modal kewangan dan insentif industri cendawan. Bengkel 5 membentangkan cadangan ujud produk hiliran (IKS) bagi membantu pendapatan pengusaha. Bengkel 6 membentangkan produk cendawan yang bernilai tinggi hasil dari aktivi pemprosesan cendawan. Kini banyak produk makanan baru berasaskan cendawan seperti sos, samosa, serunding, popia, sup, powder dan sebagainya. Bengkel 7 membentangkan cadangan mengenai persijilan SOM dan kepentingannya untuk industri cendawan. Bengkel 8 membincangkan strategi pemasaran dalam negara dan untuk ekspot. Kumpulan ini mencadangkan beberapa langkah mengawal harga dipasaran. Kumpulan 9 membincangkan peranan koperasi, persatuan dan pengujudan satu pusat koordinasi untuk industri cendawan di Malaysia. Kumpulan 10 membentangkan cadangan untuk menjadikan resepi makanan cendawan sebagai makanan penting dihidangkan semasa adakan majlis rasmi peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Tahap makan cendawan untuk kesihatan perlu diterapkan sejak dari zaman sekolah. Diharap artikel ini memberikan info berguna kepada anda semua. Wasallam!.

HARI CENDAWAN..DIBUAT DI KLANG...
BERBENGKEL....KUMPULKAN ORANG...
BANYAK INFO... TIDAK DISIMPAN...
MAJUKAN...INDUSTRI CENDAWAN...

By,

M Anem,
Senior Agronomist,
Room 201, Hotel Premiere,
Bandar Bukit Tinggi,
Klang, Selangor,
Malaysia.
(25 Syaaban 1435H)       

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...