Tuesday, October 16, 2012

KACANG PANJANG

KACANG PANJANG (Vigna unguiculata subsp. sesquapedalis L) merupakan sejenis tanaman sayuran jenis buah dari keluarga Fabaceae (Dulu Leguminaceae) yang ditanam di Malaysia. Tumbuhan ini ditanam secara komersil oleh petani tempatan untuk pasarandomestik dan juga pasaran ekspot. Dalam Bahasa Inggeris ianya juga di panggil sebagai Yardlong Bean, Snake Bean, Bora, Long-poded cowpea dan Asparagus bean. Pemerhatian saya mendapati, sayur kacang panjang ditanam dengan sistem para terutama teknologi 'Para Trellis' dimana ianya adalah ekonomik, praktikal dan mudah diuruskan. Keluasan tanaman kacang panjang di Malaysia adalah 3,020 hektar pada tahun 2011 dengan jumlah pengeluaran sebanyak 41,680 metrik tan yang dianggarkan bernilai RM 102.2 juta. Kacang Panjang adalah jenis sayuran buah yang ke dua popular ditanam di Malaysia selepas tanaman Cili Besar (Capsicum annum). Jika dibandingkan dengan tahun 2005 seluas 2,866 hektar kacang panjang ditanam adalah turun naik bergantung kepada banyak faktur iaitu seluas 3,319 hektar (2006), 2,781 hektar (2007), 2,772 hektar (2008) dan 2,614 pada tahun 2009. Kajian saya daripada beberapa kebun yang menanam kacang panjang di Johor mendapati anggaran purata hasil kacang panjang sekitar 14 metrik tan sehektar. Kacang Panjang dimakan segar sebagai ulam, di masak tumis, sayur campur, Bahan ramuaan nasi goreng dan sebagainya. Artikel pagi Sabtu ini saya menulis teknologi penanaman Kacang Panjang dalam 'Anim Agro Technology' untuk dikongsi bersama pembaca blog ini.


Kacang Panjang adalah jenis tanaman semusim yang memanjat dengan batangnya yang akan melilit kayu sokongan atau tali sokongan pada sistem trellis. Daunnya yang berwarna hijau mempunyai bentuk seperti dengan hujung tirus berukuran 6 -10 cm panjang dan 4 - 10 cm lebar. Bunga kacang panjang keluar daripada celah ketiak daun dan warna bunga bergantung kepada varieti sama ada putih, ungu atau kemerahan. Varieti kacang Panjang belum di senaraikan didalam Daftar Varieti Kebangsaan Jabatan Pertanian tetapi apa yang saya perhatikan, dua varieti popular yang di tanam adalah jenis Kacang Biji Putih dan Kacang Panjang Biji Hitam. Antara varieti yang dijual di pasaran seperti Benih GreenEagle No 388 (Biji Hitam - Wira Black Seed), No. 389 (Black Seed Purple Seed), No. 391 (Black Seed Dragon Snake Seed), No 395 (Dwarf long bean), No 398 (White Seed Longbean), No 318 (Snow white), No 350 (Black Soldier)  dan juga No. 399 (Red Cloud Longbean). Ramai petani yang menggunakan benih kacang panjang sendiri dengan kaedah pembiakbakaan pemilihan (Selection process) berdasarkan kepada pengalaman petani sendiri selama beberapa musim menanam kacang panjang. 


Keadaan yang sesuai untuk menanam Kacang Panjang adalah dikawasan beriklim tropika dan subtropika dengan suhu diantara 20 - 30 celsius dan mempunyai ketahanan terhadap keadaan kering. Keperluan air (Crop water requirement - CWR) untuk kacang panjang sebanyak 138 - 168 mm air sebulan. Kesesuaian tanah untuk tanaman ini dari pelbagai jenis daripada tanah gambut, tanah lom berpasir, tanah liat, tanah bris asalkan mempunyai sistem saliran yang baik dan pH antara 5.5 - 6.8 serta pengurusan tanaman yang optima. Penyediaan kawasan bagi penanaman kacang panjang sebaiknya menggunakan sistem batas (terutama di kawasan tanah rendah) dan dipasang dengan plastik silvershine (Pada kadar 20 gulong sehektar) untuk kawalan rumpai, kawalan penyakit dan sebagainya. Pengaporan GML diberikan sebanyak 2.0 - 2.5 mt sehektar untuk meningkatkan pH tanah dan berikan baja asas organik (Padar sebanyak 3 - 4 mt sehektar). Lazimnya sistem pengairan jenis sprinkler (Renjis) sesuai untu digunakan. Pemasangan 'sprinkler-head' mestilan diatas daripada paras para trellis. 


Penanaman menggunakan biji benih yang berkualiti dan dirawat dengan racun kulat dan racun serangga. Benih hybrid lazimnya diletakkan sebiji sahaja satu lubang (lihat foto sebelah) kerana kadar percambahan adalah lebih 95%. Jarak penanaman adalah 0.6 meter x 0. 45 meter untuk memberikan kepadatan sebanyak 27,700 pokok sehektar. Bagaimana pun kini banyak sistem tanaman digunakan bergantung kepada Sistem Pengurusan atau kaedah terbaru Sistem Fertigasi Atas Batas Tanah (Di TKPM, Pulau Manis, Kuantan, Pahang). Sistem ini saya dapati memberikan hasil yang maksima dimana larutan fertigasi diberikan secara berjadual yang mengandungi baja, racun kimia dan sebagainya melalui sistem pengairan yang dihantar 2 kali sehari (pagi dan petang). Bagi kaedah penanaman kacang panjang konvensional, pembajaan NPK 12:12:17:2 sebanyak 700 - 800 kg diberikan sepanjang penanaman adalah disyorkan. Kadar  purata pembajaan bagi pokok dewasa kacang panjang sekitar 12 gram sepokok. Ramai juga petani komersil yang mengaplikasikan baja cecair Foliar untuk meningkatkan kesuburan pokok serta meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil kacang panjajng.


Serangan Marucca tetutalis.
Antara musuh yang menyerang Kacang Panjang adalah Ulat Pengorek Lengai/Buah Kacang (Marucca testutalis), Aphid (Aphid spp), Kutu Thrips (Thrips spp), Lalat Kacang (Melanagromyza phaseoli) dan juga Ulat Pemakan Buah Kacang  (Eurysops canejus). Kawalan serangga perosak dijalankan dengan menggunakan kaedah semburan racun kimia, kaedah agronomi dan menggunakan varieti yang tahan serangan. Penyakit yang menyerang Kacang Panjang ada banyak seperti Penyakit Bintik Berpusar Daun atau Antraknos (Disebabkan oleh Collectotricum lidemunthiamun), Penyakit Bintik Daun (Cercospora canescens), Reput Pangkal (Rhizoctonia solani) , Penyakit Karat (Uromyces appendiculatus) dan ada juga dilaporkan Penyakit Mozek Virus. Kaedah kawalan penyakit dengan menggunakan bahan kimia, benih tahan serangan, amalan agronomi dan pelbagai kaedah mengikut keperluan setempat.  


Pokok mula berbunga dan berbuah selepas 45 hari ditanam dimana aktiviti mengutip hasil adalah selama 70 hari. Kacang yang telah matang akan berwarna hikau gelap (bergantung kepada varieti), rangup, sederhana panjang dan mudah di petik. Cara menuai lazimnya dengan memetik menggunakan tangan dan dikumpulkan kedalam bakul sebelum digredkan (Lihat foto sebelah). Kajian dan pemerhatian saya dibeberapa ladang penanaman kacang panjang di Tangkak, Batu Pahat dan Mersing mendapati anggaran hasil sebanyak 14 - 16 metrik tan sehektar. Kesuburan pokok, cara pembajaan, keadaan cuaca dan musim penanaman mempengaruhi pengeluaran hasil. Purata harga ladang sekitar RM 0.80 - RM 1.20 sekilogram memberikan pendapatan kasar ladang sebanyak RM 18,200.00 sehektar. Anggaan kos pengeluaran sebanyak RM 16,169.00 sehektar dan ini memberikan anggaran pendapatan bersih ladang sebanyak RM 2,222.00 sehektar dalam masa 3 bulan sahaja. 
SELAMAT MENANAM!

Related articles:
1. Long Bean (Click here)
2. Sayur Popular di Malaysia (Klik disini)
3. Benih Sayur-sayuran (Klik disini)
4. Tali Para (Klik disini)
5. Siatem Para Trellis (Klik disini) 

WARNA HIJAU...PANJANG BENTUKNYA....

KACANG PANJANG...MUDAH DIJAGANYA...
ADA BIJI HIJAU...ADA BIJI HITAM JENISNYA...
SERANGGA SUKA... PERLU KAWALANNYA...
DI PETIK SENANG...GUNA TANGAN SAHAJA..
SEBAGAI ULAM... SAMBAL PEDAS LAWANNYA...

By,
M Anem
Pusat Latihan Pertanian, Inderapura,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(30 Zulkaedah 1433H)  



  

     

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...