KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, October 22, 2012

MENYEMAI BENIH CILI

MENYEMAI BENIH CILI merupakan satu aktiviti penting didalam proses untuk penyediaan bahan tanaman anakbenih Cili (Capsicum annum)  yang berkualiti. Menyediakan anakbenih yang bebas dari serangan perosak dan penyakit adalah asas untuk menanam cili dimana ramai diantara kita kurang memahami faktur ini. Saya menerima banyak aduan daripada mereka yang baru berkecimpong dengan tanaman cili dan gagal kerana pokokny diserang dengan pelbagai jenis penyakit terutama Penyakit Kerinting disebabkan oleh patogen. Penyediaan anakbenih cili yang sihat dan subur akan menjamin tanaman CILI kita sihat dan mampu untuk meningkatkan hasil. Pernah saya dipanggil oleh FELDA Wilayah Selatan untuk memberi ceramah mengenai post-mortem masaalah projek tanaman cili di bawah Program Gedung Makanan Negara pada tahun 2008 kepada ramai pengurus-pengurus FELDA. Mereka kurang kefahaman mengenai kerja peringkat awal penanaman iaitu penyediaan anak benih berkualiti menyebabkan peratus kematian yang tinggi semasa penanaman cili dikawasan keliling rumah. Kebanyakannya terus menanam tanpa merujuk kepada amalan teknikal pentingnya penyediaan anakbeni cili. Artikel tengahari ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology"  mengenai satu teknologi menyemai benih cili untuk dikongsi bersama anda semua.


Langkah pertama dalam aktiviti menyemai anakbenih cili adalah mendapatkan sumber BIJI BENIH. Biji benih boleh diperolehi melalui membeli terus dari kedai, buat sendiri atau minta dari rakan-rakan. Terdapat beberapa varieti Cili dipasaran seperti benih hybrid oleh GreenEagle F1- 228, F1- 223, F1-568, F1-826, F1-828 dan F1-128. Benih yang popular seperti F1-568 dan juga Cili Kulai Ipoh yang sekarang ini mendapat pasaran yang baik. Pemerhatian saya mendapati benih cili F1 Hibrid lebih digemari petani kerana peratus percambahan yang tinggi, seragam, kurang masaalah dan anakbenih yang sihat. Biji benih hubrid yang dibeli dari kedai tidak perlukan apa-apa rawatan dan boleh terus disemai didalam dulang semaian. Benih yang dibuat sendiri melalui pemilihan di pokok (buah matang) atau membuat pilihan dari buah yang dijual dipasar (pilih yang baik sahaja) perlu diproses, dikeringkan dan dirawat dengan racun Kulat (Thiram dan sebagainya). Kita lazimnya perlu menyediakan dan menyemai bijibenih cili 20 - 30% lebih dari keperluan sebenar untuk pemilihan benih sihat, buang benih terbantut, berpenyakit dan kerja untuk sulaman.


Teknologi terkini menyemai benih cili adalah dengan menggunakan dulang semaian (sowing tray). Ada juga yang masih menggunakan teknik konvensional iaitu menyemai diatas tapak semaian dengan media tanah campuran, tanah bakar atau cocopeat dengan pasir. Dulang semaian plastik berwarna hitam yang ada 104 lubang sesuai digunakan untuk semaian cili. Dulang ini berharga sekitar RM 3.00 satu unit boleh digunakan banyak pusingan semaian. Isikan lubang tray semaian dengan media semaian yang sesuai seperti cocopeat, peatmoss atau Holland Peat. Elakkan daripada menggunakan tanah campuran atau tanah bakar kerana  untuk mengelakan serangan penyakit terutama pada akar dari patogen 'soil borne'. Kadar media tanaman peatmoss atau Holland Peat diisi sehingga 90-95% penuh dan ditekan sedikit dengan jari tangan untuk memadatkannya. Jangan tekan terlalu kuat dan terlalu padat kerana ia akan menganggu pertumbuhan akar benih tanaman yang menyebabkan lambat membesar.


Benih yang telah kering dimasukkan ke tengah-tengah lubang pada tray semaian diatas media tanaman. Ini adalah bagi mempastikan anakbenih akan mendapat ruangan mencukupi untuk membesar dengan seragam. Bijibenih perlu dimasukkan kedalam media tanaman sedalam 3-5 mm ditengah-tengah lubang. Cara memasukkan biji benih adalah dengan menggunakan alat khas seperti pencungkil gigi. Alat pencungkil gigi ini ditandakan dengan pen atau pensil pada aras 3-5 mm dan jika ada biji yang berada ditepi lubang perlu dialihkan kebahagian tengah lubang. Pastikan diletak setiap lubang dengan satu biji benih cili dan elakan dari ada yang tertinggal atau diletakan lebih dari satu biji selubang. Buat penyiraman duakali sehari dengan berhati-hati agar bijibenih tidak beralih tempat menggunakan pam spray (mist spray) kesemua bahagian lubang. 


Dulang semaian perlu dijaga dengan rapi daripada gangguan. Lazimnya ia diletakkan dikawasan pondok yang terlindung daripada cahaya matahari, hujan dan juga serangan musuh serangga perosak. Cahaya panas matahari menyebabkan peatmoss cepat kering dan ini akan melambatkan proses percambahan bijibenih. Apa yang saya perhatikan teknik terbaik peringkat awal penyemaian bijibenih cili adalah dengan meletakkan dulang semaian kosong (empty tray) diatas dulang yang telah dimasukkan bijibenih. Ini akan melindungi peatmoss dari terdedah kepada matahari, meningkatkan kelembapan, memudahkan pemeriksaan dan penyiraman dijalankan. Dalam masa 3-5 hari lazimnya biji benih cili bercambah dan tray kosong perlu dialihkan. Teruskan aktiviti penyiraman dan lakukan pemeriksaan benih yang tidak bercambah. Selepas 5-7 hari selalunya sebanyak 2 helai daun akan keluar dari semaian.


Apabila daun semaian telah terbuka, digalakkan agar dialihkan dulang semaian kelokasi yang ada cahaya matahari tetapi jangan terdedah kepada hujan. Ada petani yang menyediakan rumah semaian cili khusus iaitu dengan struktur kalis serangga, kalis hujan dan juga mendapat cahaya matahari mencukupi. Rumah semaian ini didapati sangat praktikal jika dibuat khusus untuk semaian cili. Apabila anakbenih berumur 12-14 hari kita perlu berikan baja kerana masa ini bekalan nutrien dalam peatmoss sudah habis. Larutan baja fertigasi atau semburan baja foliar boleh dibuat. Aktiviti pembajaan perlu berhati-hati agar abakbenih tidak rosak akibat kaedah pembajaan yang tidak betul. Anakbeni cili akan matang dalam masa 3 minggu atau 25 hari selepas disemai. Apabila anakbenih mempunyai 6 helai daun, maka anakbenih boleh dipindahkan kedalam polibeg semaian. Bagaimana pun pengalaman saya mendapati petani akan mengubah anakbenih kedalam polibeg pada hari ke 30 kerana benih lebih tegap dan sesuai. Selamat Menyemai benih cili!

SEMAIAN CLI... BAIK TUJUANNYA...
BENIH BERKUALITI.. LEBIH KERJANYA...
DIDALAM DULANG... DITENGAH DUDUKNYA...
SIRAM SELALU... SERAGAM TUMBUHNYA...

By,
M Anem
Pct 11, Putrajaya,
Malaysia
(6 Zulhijjah 1433H) 
  


   

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...