KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, October 11, 2012

HERBA TERPILIH DI MALAYSIA 3


TANAMAN HERBA di Malaysia merupakan satu industri baru yang mendapat galakkan daripada kerajaan melalui projek NKEA di bawah EPP1 iaitu Pembangunan Industri Herba. Terdapat banyak jenis herba yang boleh di komersilkan dibawah pprogram ini seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Misai Kucing, Dokong Anak, Belalai Gajah dan sebagainya. Laporan daripada Buku Agromakanan 2010 yang di terbitkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ada menunjukkan maklumat dimana terdapat seluas 3,368 hektar tanaman herba.  Negeri Pahang merupakan kawasan dimana aktiviti penanaman herba paling luas dijalankan iaitu seluas 2,593 hektar (Kebanyakannya ladang teh di Cameroon Highland) diikuti dengan Johor (324 hektar) dan Kelantan (291 hektar). Negeri lain yang ada melaporkan mengenai tanaman herba adalah seperti Perlis (64 hektar), Melaka (50 hektar), Selangor (25 hektar), Kedah (14 hektar), Melaka (3 hektar) dan Pulau Pinang (3 hektar). Tidak ada maklumat daripada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Perak. Laporan tersebut juga ada menyatakan hanya beberapa jenis herba yang dimasukkan didalam laporan seperti tanaman cekur, misai kucing, pegaga, lidah buaya, Mengkudu, Teh, Tongkat Ali, Sireh dan Serai wangi. Artikel subuh sabtu ini lepas solat subuh saya menulis mengenai pengeluaran herba terpilih berdasarkan laporan tersebut didalam 'Anim Agro Technology' untuk bacaan anda semua.

Serai Wangi (Cymbopogon nardus) merupakan sejenis herba dari keluarga Graminae sama seperti rumput. Serai ini berbeza dengan Serai Biasa (Cymbopogon citratus) kerana serai wangi mempunyai aroma atau bau khusus yang boleh diekstrak untuk pelbagai kegunaan. Minyak Serai Wangi sering digunakan dalam perubatan, komestik dan juga bahan pewangi yang sangat baik. Keluasan tanaman serai wangi bagaimana pun masih kecil pada tahun 2010 sekitar 50.0 hektar dengan penghasilan sebanyak 360 metrik tan.  Serai Biasa di Malaysia mempunyai pelbagai nama tempatan seperti Serai Wangi, Serai Peha Ayam, Serai Peha Gajah , Serai Biasa dan sebagainya (Nasib baik tiada yang dakwa Serai Peha Burung Puyuh). Nama-nama pelik ini digunakan untuk promosi jualan dan taktik penjual benih serai. Penulis pernah melawat Kg Sg Dulang di Pontian awal Januari 2010 dimana petani2 disana hanya mengeluarkan Serai Peha Gajah sahaja tetapi apa yang saya lihat saiz serai tersebut hampir-hampir sama dengan yang dihasilkan di Muar. Di Kawasan Sg Balang Muar pernah terdapat projek menanam serai wangi yang dijalankan tetapi sukar untuk dijual. Di Kg seri Medan batu Pahat terdapat kilang yang memproses serai wangi dan hasilkan produk minyak serai yang popular dengan produk"Minyak Serai Wak Dakam".

Tongkat Ali (Eurycoma longifolia) adalah sejenis pokok herba dari keluarga Simaraubaceae. Laporan daripada Jabatan Pertanian menunjukkan terdapat seluas 98 hektar tanaman tongkat Ali pada tahun 2010 dengan penghasian sebanyak 271 metrik tan dimana kebanyakannya adalah untuk digunakan dalam bidang perubatan tradidional dan makanan kesihatan.  
Tongkat Ali adalah sejenis tumbuhan saka yang mempunyai batang lurus yang tumbuh menegak keatastanpa bercabang seperti pokok lain. Batangnya bulat dan berdaun pada bahagian pucuk dengan ketinggian mampu mencapai 15 meter atau lebih dari 50 kaki terutama dikawasan hutan semulajadi. Daunnya berbentuk pinnate dengan ukuran 20-40 cm panjang (8-16 inci) dengan sebanyak 13-40 helai daun pada satu tangkai. Pada pemerhatian saya di Ladang Tongkat Ali di Stesen PORIM di Jengka Pahang yang ditanam di kawasan Ladang Kelapa Sawit mendapati pokoknya tinggi dengan batang yang panjang akibat perebutan cahaya matahari dengan pokok kelapa sawit. Tumbuhan ini sesuai ditanam dikawasan yang ada pelindung dan kurang 'perform' pada kawasan terdedah terus dibawah matahari. 

Sireh (Piper betle) merupakan sejenis herba dari keluarga Piperceae yang ditanam dikawasan keliling rumah untuk pelbagai kegunaan. Laporan rasmi menunjukkan keluasan tanaman sireh adalah 4 hektar (CHE - Crop hectarage equivalent) dengan anggaran hasil sebanyak 10.5 metrik tan pada tahun 2010. Daun sireh digunakan dalam adat istiadat melayu semenjak zaman dahulu mungkin semanjak sejarah Kesultanan Melaka lagi. Daun sireh memang sinonim dengan 'Tepak Sireh' yang merupakan satu alatan untuk makan sireh dalam adat lama. Daun sireh juga dijadikan 'Sireh Junjung' dalam istiadat meminang atau akad nikah sebagai syarat hantaran yang mesti ada dalam masyarakat Melayu. Susunan daun sireh di adun dengan beberapa bunga lain sehingga setinggi 1.0-2.0 kaki diletak diatas bekas khas. Daun sireh juga diabadikan dalam banyak corak lukisan 'batek chanting' atau Batek Lukis sebagai satu rekabentuk yang unik. 

Kegunaan sireh lebih menonjol dalam dunia perubatan dan menjaga kesihatan manusia. Sireh yang di ekstrak untuk mendapatkan minyak sireh yang mengandungi komponen Cuginol dan Kavikol digunakan dalam banyak industri kosmetik seperti minyak menegangkan urat dan kulit muka untuk kecantikan. Di antara hasil kajian mendapati daun sirih atau 'Piper Betle' mengandungi PATI MINYAK yang bahan-bahan utamanya ialah CUGINOL dan KAVIKOL. Bahan-bahan aktif di dalamnya pula seperti FLAVORNOID dan POLYPHENOL boleh menegangkan kulit dan juga mengelakkan kedut-kedut di muka yang bermakna ianya boleh membawa kesan awet muda. Khasiat ASTRIGEN daun sirih pula berkeupayaan mengecutkan tisu-tisu organik dan khasiat ANTISEPTIK untuk membunuh kuman. Ini bermakna, jika diminum airnya atau digunakan sebagai pencuci harian bagi wanita khasnya, selain menegangkan otot-otot tisu dalaman vagina, ia juga boleh membunuh bakteria, kuman atau kulat serta mengatasi masalah keputihan. Sirih juga didakwa turut digunakan bagi mengatasi masalah penyakit Malaria, sakit sendi, gout dan dipercayai boleh merawat kanser dan penyakit jantung. Begitulah kehebatan herba dari negara kita!

BERJENIS HERBA...ADA KHASIATNYA....
HERBA DI TANAM... BAGAIMANA CARANYA....
ADA HASIL...DIMANA HENDAK JUALNYA....
DIPROSES SENDIRI... TIADA ILMUNYA....

By,
M Anem
Tugu Negara,
Kuala Lumpur,
Malaysia
(Cuti sempena Hari Lahir yang ke 5...)
25 Zulkaedah 1433


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...