KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, October 6, 2012

MENCEBURI BIDANG PERTANIAN

MENCEBURI BIDANG PERTANIAN  adalah trend  yang merupakan satu alternatif yang kini semakin diminati oleh mereka dari golongan professional dari bukan Pertanian. Ramai profesional daripada golongan Jurutera, Doktor Perubatan, Kontraktor Pembinaan, Peguam, Pegawai Bank, Ahli Perniagaan, Ahli ICT dan sebagainya yang telah mula menunjukkan minat dalam sektor pertanian terutamanya bidang pengeluaran bahan makanan. Saya sering ditanya atau dikunjungi oleh kumpulan ini yang ingin memulakan bidang pertanian sebagai satu cabang perniagaan atau pun dijadikan sebagai pertanian hobi sahaja. Kebanyakan mereka memang tahu tentang pertanian tetapi tidak pernah mendalami ilmu pertanian secara khusus dengan formal. Kini sebahagian dari mereka akan merujuk kepada internet untuk mendapatkan maklumat mengenai pertanian sebagai langkah permulaan didalam mendapatkan maklumat. Walau pun banyak sumber maklumat boleh didapatii daripada laman web, mereka juga seterusnya akan mendapatkan maklumat lebih lanjut daripada pelbagai sumber primer seperti Jabatan dan Agensi Kerajaan, Agen-agen pemasaran, Pengiat-pengiat Pertanian atau Usahawan berjaya bidang pertanian sedia ada dan membuat lawatan kelokasi menjadi rujukan berikutnya. Artikel malam ini sambil menonton Berita Jam 8.00, saya akan menulis isu semasa mengenai perkara diatas didalam 'Anim Agro Technology' untuk bacaan anda semua.


Soalan pertama yang diajukan kepada saya kebanyakannya adalah seperti  "Apakah jenis tanaman atau komoditi yang perlu dipilih sebagai langkah pertama didalam menceburi dalam bidang pertanian?". Pertanyaan berikutnya pula adalah seperti "Dimanakah saya boleh mendapatkan tanah untuk menjalankan aktiviti pertanian?". "Apakah teknologi atau kaedah penanaman yang senang dan dapat memberikan jaminan pulangan yang lumayan?". "Dimanakah saya boleh mendapatkan bantuan untuk mendapatkan benih dan apakah varieti yang paling baik untuk ditanam?". Kebanyakan mereka kurang bertanya mengenai modal awal atau mengenai isu kewangan kerana mungkin menjadikan faktor kewangan bukannya satu isu asas dalam mereka untuk menceburi bidang pertanian. Ada diantara mereka yang mempunyai pemikiran bahawa menceburi bidang pertanian adalah satu cabang aktiviti yang mudah dan tidak susah macam bidang profesion mereka ceburi sebelum ini. Ini mungkin disebabkan beberapa tanggapan seperti peribahasa "Balik Kampong Tanam Kacang" dan kata-kata "Pertanian itu sangat senang dilaksanakan kerana ibubapa saya adalah golongan petani" dan pelbagai alasan lagi. Ini merupakan tanggapan peringkat awal sahaja.


Lazimnya saya akan berinteraksi dengan mereka bahawa dalam bidang pertanian memerlukan beberapa faktur asas sebelum menceburinya. Beberapa perkara asas yang perlu diketahui dalam menceburi bidang pertanian adalah seperti faktur utama iaitu TANAH, MODAL, TEKNOLOGI, PENGURUSAN, PEMASARAN dan TENAGA BURUH. Kesemua faktur-faktur ini perlu di kaji dan dianalisa sebelum membuat pemilihan menceburi bidang pertanian. TANAH (Land/ Soil) merupakan perkara asas untuk menjalankan aktiviti pertanian. Jenis tanah, kesesuaian tanah untuk aktiviti pertanian, jenis status tanah, jenis hakmilik tanah dan lokasi tanah penting diperiksa. Ada jenis status tanah mempunyai status tanah milik, tanah TOL, Tanah Sewa dan mesti elakkan daripada menggunakan 'Tanah Haram' sebagai asas faktur tanah. Pemilihan jenis tanaman banyak bergantung dengan jenis tanah sama ada jenis tanah gambut, lom, pasir , bris dan sebagainya. Sumber air dan kemudahan prasarana asas juga perlu dikaji, begitu juga dengan ketinggian tanah pertanian dan faktur kecerunan tanah, Tanah yang subur akan memberikan jaminan pengeluaran hasil lebih baik berbanding dengan tanah dari jenis tanah bermasaalah untuk dimajukan.


TEKNOLOGI (Technology) merupakan kekangan yang penting di kenalpasti sebelum menceburi bidang pertanian khususnya untuk projek pembangunan tanaman makanan, ternakan atau ternak air atau projek Industri Asas Tani (IAT). Tidak ada satu teknologi yang boleh menentukan prestasi tanaman yang baik kerana teknologi perlu disesuaikan dengan sistem tanaman, amalan agronomi, persekitaran, agro-iklim, varieti tanaman, pengurusan dan sebagainya. Mereka yang baru berkecimpong dalam pertanian perlu mendapatkan teknologi daripada pihak-pihak tertentu yang boleh dan bersedia menyalurkan teknologi yang baik serta praktikal. Contohnya pada masa sekarang ramai yang berminat dengan Teknologi Sistem Fertigasi (SF) dan Sistem Tanaman di Bawah Struktur Pelindung Hujan (SPH) serta Sistem Tanaman Kalis Serangga (STKS). Walau pun  sistem ini nampak canggih dan moden, kos awal pembangunan adalah sangat tinggi sedangkan analisa ekonomi juga ada yang tidak menunjukkan pulangan yang baik kecuali dengan tanaman bernilai tinggi (High value crops) diusahakan. Lebih baik kita menanam didalam sistem konvensional (Lateral Technology) jika ingin mengurangkan risiko kegagalan projek. Tanaman seperti keledek, ubi kayu, jagung manis, keladi, kacang bendi dan sebagainya yang ditanam dibawah SPH kurang ekonomik dan tidak praktikal. Tanaman bernilai tinggi seperti Melon, Cili Benggala, Lettuce dan Cili Padi, Timun Jepun, Tomato, Strawberry mungkin sesuai untuk ditanam. 


PEMASARAN (Marketing) produk pertanian juga satu faktur yang perlu dikaji sebelum menceburkan diri dalam bidang pertanian. Kebanyakan produk pertanian adalah dari jenia mudah rosak (Perishable produce) yang selalunya perlu dipasarkan segera. Perancangan awal mengenai dimana hasil akan dipasarkan perlu dikenalpasti kerana jika tidak mungkin akan menjejaskan prestasi projek yang baru diceburi. Mereka perlu menjadualkan pengeluaran hasil (Matrix system production scadule) bagi sesetengan sayur-sayuran mudah rodak. Adalah perlu dipastikan kaedah pemasaran sama ada melalui jualan kepada pemborong, jualan terus, jualan kepada pasar peruncit, melalui internet, kepada agensi pemasar kerajaan dan banyak cara lagi. Produk yang berkualiti dan telah digred serta dibungkus (Packed produce) mampu mendapatkan harga yang lebih baik dan terjamin. Pengeluaran produk organik juga sering di tanya kepada saya. Produk organik kelihatan ciri-ciri fizikalnya agak kurang menarik dibandingkan dengan produk konvensional yang bukan organik, tetapi bagaimanakah pengguna hendak mempercayai ianya benar-benar produk Organik?. Nasihat saya kepada mereka yang hendak menceburi bidang pertanian adalah dengan banyak bertanya kepada pegawai pertanian yang berpengalaman, bertanya kepada  usahawantani yang telah 'established' atau membuat lawatan kebeberapa kelokasi projek-projek pertanian yang berjaya untuk belajar daripada mereka. Wasallam!

BIDANG PERTANIAN...SENANG BUNYINYA....
TANPA ILMU .... TINGGI AKAN RISIKONYA...
CARI TEKNOLOGI... DARI MERATA-RATA...
KALAU BERMULA.. KENA RAJIN BERUSAHA....    

By,
M Anem
Pusat PAKAR, Manjung,
Perak, Malaysia.
(5 Oktober 2012)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...