Friday, September 30, 2011

DELIMA

Reactions: 
DELIMA (Punica granatum Linn) merupakan sejenis pokok buah-buahan tropka dan sub-tropika dari keluarga PUNICACEAE. Tumbuhan ini dipercayai berasal dari kawasan Afghanistan dan Himalaya dan disebarkan kekawasan lain diseluruh dunia. Buah ini terkenal diseluruh dunia kerana bijinya yang macam biji delima atau 'diamonds'. Nama-nama lain bagi buah delima adalah Pomegranate (English), Granatepped (Belanda), Rodi ; Rodia (Itali), Anaar (India),  Zakuro (Jepun), Dalimba (Canada), Kok Mak Pi La (Laos), Granada (Sepanyol), Delima ; Granada (Filipina) dan Thap thim (Thailand). Buah delima kurang popular di tanam dan di makan di Malaysia kerana tidak banyak di tanam dan sukar untuk mendapatkan buah delima segar dipasaran. Penulis menganggarkan terdapat seluas 30-35 hektar CHE tanaman delima yang ditanam secara suka-suka di Malaysia. Buah delima dimakan segar, diproses untuk dijadikan jus, diekstrak untuk minyak dan juga dijadikan makanan kesihatan. Artikel ini penulis berkongsi maklumat mengenai buah delima berdasarkan pemerhatian, pembacaan dan pengalaman menjaga stesen pertanian dahulu.


Pokok delima merupakan jenis pokok renek dengan ketinggiam mampu mencapai 3-6 meter walau pun ada juga spesis yang kerdil serta berduri pada hujung ranting. Pokoknya mempunyai dahan dengan bunga 1-5 kuntum pada hujung ranting dan agak berlilin sama ada ianya berwarna merah atau kuning. Saiz bunga kira-kira 4-5 cm panjang. Daun delima berwarna hijau dengan susunan yang bertentangan antara daun berukuran 5 cm panjang dan 2-3 cm lebar serta mempunyai permukaan atas yang berkilat. Buah delima berbentuk bulat dengan berwarna hijau ketika muda bertukar kepada warna kuning , merah bercampur hijau apabila masak. Buahnya mengandungi banyak biji yang deselaputi isi manis sama ada berwarna merah atau merah jambu yang lutsinar.


Penanaman Delima boleh ditanam menggunakan biji benih yang diambil dari varieti yang baik dan buuah telah cukup masak. Kaedah paling baik adalah dengan menggunakan KERATAN BATANG yang diperolehi dengan mengetut selepas 3-4 bulan.  Lazimnya anak pokok yang ditanam menggunakan benih keratan batang lebih cepat berbuah berbanding dengan pokok dari biji benih. Jarak penanaman disyorkan adalah 3m x 3 m bergantung kepada keadaan tanah dan cara pengurusan. Berikan baja organik dalam lubang penanaman dan pastikan kawasan mempunyai saliran yang baik. Kawalan rumpai dijalankan secara manual dan kimia. 


Pembajaan dijalankan menggunakan baja tumbesaran NPK 15:15:15 bersama baja organik mengikut jadual pembajaan. Pembajaan untuk menghasilkan bunga dan buah dijalankan pada tahun ke 3-4 dengan baja NPK 12:12:17:2. Kawalan musuh dan penyakit dijalankan mengikut kadar serangan. Terdapat sejenis rama-rama dimana ianya gemar bertelur pada daun dan ulatnya akan mengorek buah delima. Serangga penghisap daun juga menjejaskan kualiti hasil dan perlu dikawal dengan racun kimia atau kawalan secara bersepadu. Kulat Antraknos  (Collectotricum spp) juga menyerang bahagian buah dan daun pokok delima. 


Buah delima yang masak perlu dipetik apabila telah cukup masak. Buah yang tidak masak adalah masam dan tidak boleh dimakan segar atau dijual kecuali ada permintaan. Kajian ahli saintis makanan mendapati setiap 100 gram bahagian buah delima mengandungi 78% air, 14.5% karbohiderat, 1.6% protin, 0.1% lemak, 5.1% serabut, 0.7% mineral, vitamin dan juga tenaga. Buah delima mengandungi bahan TANIN dan ASID CITRIK yang mempunyai sifat antioksidan dan juga dipercayai mempunyai kesan anti-tumor. Kandungan vitamin C yang tinggi dan Asid Borik menyebabkan buah ini ada kesan antiseptik yang baik untuk kesihatan manusia. 


Buah delima boleh dimakan segar atau diproses untuk dijadikan jus, perasa minuman, sirap, sos, sayuran ulam atau rojak (yang muda). Khasiat jus dari buah delima juga merawat batuk, demam panas, ulser mulut, melawaskan sistem penghadaman serta masaalah cirit birit. Air rebusan kulitnya juga berkesan untuk mengubati sakit perut, rawatan sakit kerongkong dan sebagainya. Ada yang menumbuk halus bunga delima dan dicampur dengan minyak bijan bagi dijadikan tampalan pada kesan terbakar. Biji delima yang dikisar dan ditelan bersama jus buah dapat mengatasi masaalah cacing pita. Baahagian daun juga jika direbus dan dicampur dengan kulit boleh digunakan untuk atasi masaalah cirit birit, hilangkan bau mulut dengan berkumur dan banyak lagi. Wah! Sungguh banyak menafaat buah delima seiring dengan namanya DELIMA...  


BERBIJI BANYAK.....BUAH DELIMA....
WARNANYA MERAH...MANIS RASANYA....
SENANG DI TANAM..DI MANA-MANA...
MARI MENANAM....HATI TAK MERANA....

Related articles for reading:
1. ANGGUR (Klik disini)
2. KENTANG (Klik disini)
3. JERING (Klik disini)
4. SENGKUANG (Klik disini)
5. MENGKUDU-Noni (Klik disini)
6. ROSELLE (Klik disini)
7. KURMA (Klik disini)
8. POPULAR FRUIT CLONES IN MALAYSIA (Klik disini)
9. MATA KUCING (Klik disini)


By,
M Anem
Thistle Resort Port Dickson,
Negeri Sembilan
(2 Zulkaedah 1432H)

Thursday, September 29, 2011

CERMAI BELANDA

Reactions: 
CERMAI BELANDA (Eugenia uniflora Linn) merupakan sejenis pokok renek dari keluarga MYRTACEAE yang boleh tumbuh di negara kita yang menghasilkan Buah Cermai Merah atau dikenali sebagai Cermai Belanda. Kita di Malaysia lazim melihat cermai berwarna hijau kekuningan yang di makan segar atau di proses buat jeruk. Mungkin tidak ramai orang Malaysia kenal akan jenis cermai ini yang menghasilkan buah berwarna merah cantik apabila masak. Buah ini berasal natif dari Brazil dan dikenali juga sebagai Surinam Cherry, Cayene Cherry, Brazillian Cherry, Pitanga dan Nangapiri. Kajian saya mendapati sukar untuk mendapatkan maklumat keluasan tanaman Cermai Belanda di Malaysia dan mungkin cuma sekitar 5-10 hektar CHE sahaja. Itu pun ditanam di Stesyen Pertanian, individu-individu atau yang tumbuh sendiri. Artikel pagi ini saya menulis megenai tanaman Cermai Belanda berdasarkan pemerhatian dan pembacaan beberapa buah buku.


Marfologi pokok cermai belanda merupakan jenis pokok renek dengan ketinggian sekitar 3-7 meter dari paras tanah. Dahannya adalah agak halus dan lurus atau selalunya bengkang bengkok. Daunnya merupakan daun jenis ringkas berwarna hijau gelap dengan susunan yang bertentang berukuran 2.5-6.0 cm panjang dan 1.5-3.0 cm lebar. Saya dapati daunnya agak berkilat. Bunganya berbau wangi dengan kelopak luar yang berwarna putih kekuningan dan kelopak dalam putih sepenuhnya. Selalunya terdapat 1-4 kuntum bunga pada satu ketiak daun dimana ukuran garispusat bunga berukuran sekitar 1 cm.  


Buah cermai belanda adalah jenis berjuntai dimana mempunyai bentuk sama seperti cermai hijau tempatan dengan ukuran garispusat 1-4 cm dan mempunyai 7-8 bonjolan. Buah muda berwarna hijau akan bertukar kepada warna oren sebelum masak berwarna Merah Saga. Buah yang terlalu masak akan menjadi kehitaman dimana kulitnya sangat nipis. Pemerhatian saya terhadap buah ini di Stesyen Pertanian Tangkak dulu mendapati isi buah berwarna merah oren dengan banyak jus (berair) sama ada rasanya MANIS atau MASAM.  Buah yang tidak cukup masak mempunyai rasa KELAT dan juga Masam. Kajian makmal menunjukkan setiap 100 gram cermai belanda mengandungi 85-90 gram air, Kabohiderat (8-12 gram), Protin (1 g), Serabut (0.5 g) dan Vitamin C sebanyak 20-30 mg (Banyak tu!...).


Laporan juga menunjukan bahagian daun cermai belanda mengandungi unsur TANIN iaitu kira-kira 20-28%. Daunnya juga mengandungi pati terdiri daripada asetat geranil, geraniol, cinoel, terpinen, politerpin, sesquesterpin dan juga sitronelal. Bahagian bijinya mengandungi banyak resin dan ianya adalah bersifat Toksik kepada manusia.  Dari segi khasiat pemakanan buah yang masak boleh dimakan mentah, dibuat jem, jelly, halwa manisan atau diproses untuk dijadikan acar buah. Masa majlis kenduri kahwin dan makan nasi minyak sering dihidangkan acar buah yang mengandungi Cermai Belanda. Terdapat wain dan tapai yang dibuat dari buah ini di Brazil dengan proses penapaian.  Dari segi perubatan pula buah cermai belanda jika direbus dulu dan airnya diminum sesuai untuk rawatan darah tinggi. Daun yang direbus dan airnya diminum mampu mengecutkan tisu serta sebagai tonik perut yang baik.


Penanaman cermai belanda dijalankan dengan menggunakan biji benih atau melalui TUT. Pemerhatian saya mendapati lazimnya biji yang matang akan bercambah 3-4 minggu selepas disemai dalam pasu atau polibeg. Pertumbuhan anakbenih agak perlahan dan rendah (Lihat Foto anak benih). Selepas 2 tahun selalunya pokok akan mula berbunga dan berbuah. Pastikan diberikan baja asas, baja pembesaran dan kawalan serangga perosak semasa mula menanam sehingga berbuah. Kajian mendapati pokok yang menggunakan anakbenih Keratan/TUT akan berbuah dalam masa 2-3 tahun tetapi dari benih biji memerlukan masa 5-6 tahun untuk berbuah. 


Pokok Cermai Belanda mempunyai masaalah serangan beberapa jenis penyakit seperti Bintik Daun, Daun Berjalur dan Antraknos yang disebabkan oleh kulat.  Kadang-kadang serangan yang teruk akan menyebabkan dahan dan ranting mati jika tidak dibuat kawalan berjadual. Bahagian akar juga sering diserang penyakit reput akar terutama jika kawasan penanaman agak lembab dan tiada saliran yang sempurna. Serangga yang menyerang tanaman ini seperti Ulat Makan Daun, Ulat Makan Buah dan juga serangan Lalat Buah (Daucus spp.). Kawalan minima diperlukan seperti semburan racun kimia dan konsep kawlan bersepadu (IPM). Mungkin  yang berminat hendak tanam inginkan anak benih...dari mana nak beli?


Pokok ini sesuai dijadikan tanaman hiasan dikawasan rumah kerana mempunyai bentuk pokok yang menarik, buah yang cantik warnanya dan juga bunganya memberikan aroma yang segar. Pokok ini juga boleh dijadikan 'Pokok Pagar' dikeliling rumah banglo, rumah kampong, Semi-D atau teres jika ada kawasan yang sesuai. Pemerhatian saya jika pokok ini selelu dicantas akan memberikan banyak ranting dan daun yang lebat. Ada beberapa pendapat dan kajian dimana daun pokok ini yang diramas atau dilumatkan akan menghasilkan minyak pati yang meruap dan ianya mampu menghalau nyamok dikawasan rumah. Tanin dari kulit pokok pula mungkin boleh digunakan sebagai bahan untuk menyamak kulit. Saya percaya selepas membaca artikel ini ramai akan melihat lebih dekat akan tumbuhan ini disekeliling anda!


MENANAM CERMAI...CERMAI BELANDA.....
BUAHNYA CANTIK....MERAH MENYALA...
DIJADIKAN UBAT....WAIN DAN CUKA....
SEBAGAI HIASAN...HATI PUN GEMBIRA...


By 
M Anem,
Port Dickson
Negeri Sembilan
Malaysia
(1 Zulkaedah 1432H)

Wednesday, September 28, 2011

POKOK TURI

Reactions: 
POKOK TURI (Sesbania grandiflora syn Aeschynomene grandiflora) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga FABACEAE atau Keluarga Kekacang yang tumbuh di Malaysia. Tumbuhan ini hidup dengan subur dikawasan perumahan dan kebun dan digunakan paling popular iaitu bahagian pucuknya untuk dimasak 'Sayur Turi Masak Lemak' yang dicampur dengan labu manis. Pokok turi terdapat diseluruh kawasan tropika yang lembab dari Asia Tenggara, Afrika sehingga Amerika Tengah dan Australia Utara. Nama-nama lain bagi tumbuhan ini adalah seperti Kembang turi, turi, gallito, walking stick, hummingbird tree, scarlet wisteria tree, agati, Corkwood tree, Agati à grandes fleurs, Shiro gochou, Daun turi, Kacang turi, Agasto, Sesbãnia, Scarlet wisteria tree, Swamp pea, Vegetable hummingbird dan West Indian pea. Penulis menganggarkan terdapat seluas antara 200-220 hektar CHE tanaman turi di Malaysia pada tahun 2011 yang ditanam sebagai tanaman selingan atau hiasan di kawasan rumah atau di tepi jalan. Artikel kali ini saya bentangkan teknologi tanaman turi untuk tatapan anda semua berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan bacaan teknikal.


Pokok Turi adalah tumbuhan yang dipercayai natif dari Indonesia, India dan Asia Tenggara lain. Tumbuhan renek yang bercabang ini mampu mencapai ketinggian sehingga 8-15 meter dengan jangkahayat umur selama 20 tahun. Daunnya berwarna hijau dengan susunan bersilang merupakan daun kompoun yang berbentuk 'pinnate'. Saiz daun adalah 2 cm lebar dengan panjang kira-kira 3-4 cm dimana daun muda agak kekuningan. Batangnya berkayu dengan ukurlilit batang 30-50 cm mempunyai kulit dan bercabang. Akar pokok turi ada akar tunjang dimana terdapat bintil-bintil akar (Root nodules) seperti jenis pokok keluarga kekacang yang lain. Bunganya sama ada berwarna putih atau ungu atau kemerahan berukuran 5-10 cm panjang berbentuk kacang pea. Bunga yang belum terbuka berukuran 3 cm. Buah turi adalah pod kekacang berwarna hijau dengan 30 - 50 cm panjang dan 8 mm lebar yang leper dengan membengkak pada kawasan berbiji. Biji pokok turi adalah berbentuk kacang pea yang hijau ketika muda dan coklat merah apabila cukup matang. Saiz bijibenih 3.5 mm garispusat dengan purata berat 1 gram setiap biji. 


Pokok Turi sesuai tumbuh dikawasan yang panas dan lembap. Pokok turi tahan dikawasan yang mudah banjir dimana akarnya akan membentuk sistem ketahanannya tersendiri jika tenggelam dalam air. Ketahanan pokok turi dalam cuaca kemarau yang panjang juga menyebabkan pokok ini mampu bertahan sehingga 9 bulan pada cuaca kering. Bagaimana pun satu kelemahan pokok turi adalah dahannya yang mudah patah apabila ditiup angin kencang. Pokok turi didepan rumah penulis di Muar, Johor telah hidup lebih 15 tahun diatas tanah gambut dimana ketinggiannya cuma 4 meter sahaja. Pokok ini selalu dipetik daun pucuknya dan dibuat cantasan untuk dimasak oleh keluarga atau orang kampong yang datang minta. Saya fikir pokok turi ini adalah jenis organik kerana tidak pernah dibubuh racun dan hanya gunakan bahan baja organik sahaja.


Penanaman pokok turi sangat mudah dengan menggunakan biji dan ada juga yang menggunakan keratan batang. Pokok boleh menghasilkan buah 9 bulan selepas ditanam dimana bunganya akan didebungakan oleh sejenis burung yang dipanggil 'Humming Bird' dibanyak negara tetapi dinegara kita oleh serangga lain atau burung kelicap. Benih perlu direndam 24 jam dan disemai dalam polibeg atau pasu mengandungi media tanah campuran atau 'cocopeat'. Setelah benih berumur sebulan sesuai untuk ditanam dikebun atau kawasan rumah yang sesuai. Jarak penanaman disyorkan untuk penanaman monokrop komersial (Jika berminat) adalah 1.2 m x 1.2 m untuk memberikan kepadatan pokok yang sesuai. Berikan air dan baja asas pada peringkat awal penanaman setiap bulan sehingga matang ketika berumur 9 bulan. Kajian juga menunjukkan pertumbuhan pada tahun pertama dan kedua adalah cepat dimana mampu mencapai 5 meter selepas 9 bulan ditanam. Pertumbuhan pada tahun ketiga dan seterusnya agak perlahan. Pokok turi mempunyai masaalah serangan serangga perosak seperti ulat makan daun, ulat pemotong daun dan ulat pengorek batang. Terdapat juga ulat pengorek buah kacang dan serangan nematod (Meloidgyne spp) pada bahagian akar.


Laporan penanman komersial pokok turi di India dan Indonesia menunjukkan yang pertumbuhan pokok sangat cepat dimana jika sering dicantas jangkahayat umur pokok akan jadi pendek. Kadar pertumbuhan pokok turi bergantung kepada jenis tanah, sumber air dan amalan pengurusan kultura yang dijalankan. Pertumbuhan diatas tanah berpasir cuma setinggi purata 1.8 meter selepas 9 bulan berbanding dengan setinggi 3.2 meter diatas tanah lom. Kajian menunjukkan hasil tuaian biomas pokok turi sebanyak 65.1 kg/pokok dari kawasan tebing sungai dikawasan pastura terbuka sebanyak 25.4 kg/pokok.  Bahagian daun, bunga, kacang dan buah pokok turi boleh dimakan. Bahagian BUNGA merupakan paling berguna untuk dimakan sebagai salad atau sayuran. Bunga berwarna putih lebih bernilai dari bunga berwarna merah di Filipina dan Thailand. Bunga yang masih KUDUP (Belum terbuka) dimakan mentah atau dikukus atau dimasak sebelum dimakan.


Ramai orang Malaysia tidak tahu yang daun pokok turi sangat berkhasiat untuk dijadikan makan ternakan. Daun turi boleh mula dituai 4 bulan selepas ditanam. Saya dapati daun ini kaya dengan protin (36% daripada berat kering) dan kandungan Vitamin A (9,600 IU). Pucuk daun turi sangat sedap untuk dimasak lemak dengan labu manis dan dimakan dengan nasi panas (Foto sebelah).  Daun turi yang dituai dari keliling rumah adalah percuma sahaja dan masih segar tetapi jika hendak beli di pasar basah atau pasar malam ianya dijual dengan harga RM 1.00 satu ikat (Purata 5-6 tangkai). Daun ini perlu diceraikan dan dibasuh bersih sebelum dimasak dengan labu manis. Bahagian kayu, kulit dan batang pokok turi boleh digunakan sebagai kayu api, bahan bakar dan lain-lain kegunaan. SELAMAT NENANAM POKOK TURI !...


POKOK TINGGI ....POKOK TURI.....
DIKAWASAN RUMAH...DITANAM BERSERI....
PUCUK DIPETIK...MASAK LEMAK LAGI...
SEDAP DIMAKAN....KENYANG YANG PASTI....


By,
M Anem
Persint 11, Putrajaya,
Malaysia
(30 Shawal 1432H)  

Tuesday, September 27, 2011

PENGURUSAN TANAMAN KELADI

Reactions: 
Keladi (Collocasia esculenta) adalah tumbuhan dari keluarga Araceae iaitu sejenis tumbuhan yang menghasilkan umbisi keladi yang digunakan sebagai makanan tradisional yang sehingga sekarang masih sangat digemari ramai. Di Malaysia terdapat seluas 4,520 hektar tanaman keladi pada tahun 2011 dimana paling luas di tanam di Negeri Johor, Perak dan Selangor. Terdapat beberapa jenis keladi di Malaysia dimana Keladi Cina, Keladi Mawar dan Keladi Sarawak adalah jenis yang popular boleh dimakan apabila sudah dimasak. Pengalaman penulis mendapati cara masak boleh dilakukan dengan cara direbus, dibuat penggat atau paling syok digoreng. Terdapat banyak jenis keladi keladi yang tidak boleh dimakan seperti keladi liar kecuali perlu diproses dengan cara-cara tertentu terlebih dahulu barulah dimasak dan boleh dimakan. Jika keladi tersebut tidak diproses terlebih dahulu mengikut kaedah khusus maka sesiapa yang makan menyebabkan pemakannya akan mabuk atau keracunan. Kebanyakan keladi liar, keladi untuk perhiasan (Ornamental) serta keladi landskap yang ada di Malaysia tidak boleh dimakan. Antara beberapa jenis keladi yang boleh dimakan ialah seperti Keladi Sarawak,Keladi Bantan, Keladi Minyak, Keladi Cina, Keladi Nibong, Keladi Ice-cream dan lain-lain. Artikel kali ini dalam "Anim Agro Tecchnology" saya menulis teknologi dan pengurusan tanaman keladi.



Penulis memeriksa keladi di Muar.
Kajian saya di Johor dan sekitar Lembah Kelang mendapati pemintaan terhadap keladi untuk dimakan adalah tinggi maka tidak hairanlah jika sekilo keladi mentah sekarang berharga sampai RM 3.00 hingga RM 5.00 sekilogram. Saya pernah membeli sebiji keladi cina di Pasar Borong Selangor minggu lepas berharga RM 9.50 sen sebiji (Harga runcit 6.00/kg). Keladi juga merupakan bahan yang sesuai untuk diproses menjadi ‘Kerepek Keladi’ yang saya sangat suka dan kerepek keladi dijual dengan harga sampai RM 12.00 hingga RM15.00 sekilogram. Seminggu hendak raya saya telah pergi Banting untuk cari kerepek keladi dan ditawarkan pada berharga RM 20.00 sekilogram (Kalau dalam satu bungkusan 250 kg dijual RM 5.00/paket). Oleh itu nampaknya usaha menanam keladi yang dijaga baik akan mendatangkan pendapatan yang lumayan apa lagi kalau diproses sendiri untuk dibuat kerepek. Petani yang telah berjaya menanam keladi memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang tertentu. Mereka perlu mendapatkan ilmu pengetahuan melalui latihan formal oleh Pegawai Pertanian, belajar dari rakan-rakan yang ada dikawasan berhampiran dan juga  menjalankan projek penanaman keladi secara kecil-kecilan dahulu.

Antara kemahiran dan usaha yang diperlukan untuk dilakukan adalah seperti berikut:-


1. Mengenalpasti Kawasan dan Tanah Sesuai
Tanah gambut di Air Hitam, Muar.
Satu perkara asas dalam usaha untuk menanam keladi perlu dilakukan oleh petani atau pengusaha adalah mencari kawasan atau tanah yang sesuai bagi digunakan untuk menanam keladi. Pengalaman saya mendapati di Johor, Selangor dan Perak mempunyai kawasan tanah gambut yang sesuai untuk tanaman keladi selain dari tanah mineral yang gembur. Tanah yang sesuai ialah tanah gembur berpasir atau tanah gambut sederhana dalam. Rupabentuk mukabumi perlu tanah pamah yang rata dimana keadaannya agak lembab. Bagi tanah gambut ia memerlukan tanah yang agak berair. Tanah yang kering adalah tidak sesuai untuk tanaman keladi kerana tanaman keladi memerlukan tanah yang berair secara berterusan lembab. Pemerhatian saya mendapati tanah gambut yang baru dibuka atau kawasan tanah gambut telah terbakar sangat subur ditanam keladi.


2. Menyediakan Kawasan
Jalanladang, parit dan kalbat.
Kerja menyediakan kawasan dibuat setelah mendapat tanah yang sesuai untuk tanaman sama ada tanah sendiri, tanah sewa, tanah pajak atau tanah milik kerajaan (TOL). Kerja asas penyediaan infa seperti jalanladang, sistem perparitan, pondok/setor, kalbat takungan air perlu disiapkan dahulu (Lihat foto sebelah). Kawasan semak hendaklah dibersihkan terlebih dahulu mengikut jadual. Cara membersihkannya boleh dilakukan dengan cara manual seperti menggunakan cangkul atau meracun mengikut kesesuaian keadaan tempat (Kawasan sedia ada) dan persekitarannya atau menggunakan jentera yang sesuai. Kalau kawasan tersebut sering terendam air maka perlulah dibuat sistem peparitan atau tali air terlebih dahulu sehingga dapat menyalirkan air dengan sempurna. Tanaman keladi mudah rosak atau mati jika terendam dalam air yang agak lama. Bagaimanapun pengalaman saya di Bt 13, Air Hitam, Muar, Johor mendapati perlu dipastikan kedalaman parit iaitu  tidak terlalu dalam kerana tanah akan terlalu kering terutama dimusim kemarau dan menjejaskan pertumbuhan pokok keladi dan mengundang masaalah kebakaran tanah gambut.


3. Lubang Penanaman Keladi
Barisan anakbenih keladi ditanam.
Apabila kawasan telah dibersihkan maka barulah aktiviti membuat lubang untuk penanaman dijalankan. Lubang digali pada kedalaman 30 cm - 40 cm atau kira-kira sedalam dua mata cangkul. Lazimnya jarak penanaman atau jarak antara satu lubang dengan lubang yang lain pada baris yang sama ialah kira-kira dua kaki. Ada juga yang menanam dengan jarak baris dengan baris yang lain selebar 3 kaki bergantung kepada keadaan kawasan. Setengah petani membuat lubang dengan cara menugal. Alat untuk menugal menggunakan sebatang kayu yang besar lilit bulatannya kira-kira 15 inci yang bulat sepanjang 4-5 kaki. Lubang yang ditugal perlu sedalam antara 30 – 40 cm. Kaedah menugal sesuai untuk tanah gambut kerana cepat, mudah dan cekap.


4. Benih Keladi
Keladi berumur 1.5 bulan.
Benih Keladi adalah penting disediakan semasa kita menyiapkan kawasan tanaman. Benih perlu di cari atau dibeli dari pembekal yang dipercayai dari segi varieti, kualiti, bebas penyakit dan saiz yang dikehendakki. Pengalaman saya di Muar, Johor mendapati ramai petani yang memilih anakbenih keladi yang bersaiz besar sedikit kerana cepat tumbuh dan tahan lasak. Saiz anakbenih dengan adanya empat atau lima pelepah daun sesuai dipilih. Pemerhatian juga mendapati elok jika benih keladi tersebut di biar dua tiga hari agar akarnya tumbuh sedikit. Elakkan menanam terus anakbenih tersebut setelah yang baru dicabut dari pokok induk. Harga anak benih keladi bergantung kepada varieti, saiz dan jarak penghantaran iaitu antara RM 0.20 – RM 0.40 satu unit.


5. Menanam
Penulis di kebun keladi mawar di Muar
Benih keladi sebelum ditanam perlulah dipotong pucuknya terlebih dahulu dan tinggalkan panjang dari pangkal benih kira-kira sepanjang 30 cm - 40 cm. Bagi lubang yang diperbuat dengan cara mencangkul, ditengah dasar lubang tersebut perlulah didibuat lubang tambahan sedalam kira-kira 4 inci dari paras dasar lubang . Seelok-eloknya sebelum lubang kecil yang dinyatakan di atas dibuat perlulah lubang tersebut ditabur dengan sedikit baja seperti tanah bakar atau abu tandan kelapa sawit bakar atau dibubuh sesudu besar baja organik yang diproses dengan baik agar hama dari najis binatang itu tidak merosakan tanaman keladi.


6. Pembajaan Keladi
Tunjukajar oleh AO Daerah.
Pembajaan keladi dijalankan seawal seminggu sebelum benih keladi ditanam didalam lubang dengan baja organik atau MOP. Jangan lakukan pembajaan terlalu awal kerana baja tersebut yang masih panas dan ia boleh merosakan anakbenih keladi yang hendak ditanam. Apabila pokok keladi telah mengeluarkan dua daun maka bubuh baja tumbesaran NPK 15:15:15 pada kadar 20 gram sepokok. Program pembajaan boleh dijalankan sebaiknya setiap bulan sehingga bulan ke 5. Selepas itu baja NPK 12:12:17:2 perlu diberikan pada kadar sesuai yang disyorkan. Baja ini bertujuan untuk mempercepat proses pembentukan dan juga pembesarkan isi atau ubi keladi yang ditanam.


7. Kawalan Rumpai
Kawalan rumpai dikawasan tanaman keladi perlu dijalankan dari peringkat awal penanaman sehingga sedia untuk dituai. Perlu diingat semasa tanaman keladi membesar,rumput rampai dan anak-anak keladi juga turut membiak dan membesar. Kerja-kerja mencabut dan membuang sulur atau anak-anak keladi perlu dijalankan secara manual setiap masa. Rumpai yang tidak dikawal akan menyebabkan keladi yang ditanam lambat membesar dengan baik dan sempurna. Kerja-kerja membersih anak-anak keladi dan rumput rampai perlu dilakukan sekurang -kurangnya sebulan sekali supaya tumbesarannya baik. Penggunaan racun rumpai tidak disyorkan dikebun keladi. Tanamam keladi yang subur dapat dilihat apabila bentuk daunnya lebar, tebal dan berwarna hijau pekat.


8. Kawalan Penyakit dan Perosak
Tanaman keladi tidak mempunyai banyak musuh dan penyakit jika dijaga dengan baik. Lazimnya selepas tiga minggu benih keladi ditanam disyorkan agar petani menyembur racun serangga bagi mengawal Kumbang Pengorek Umbisi dan Serangan Koya pada daun. Serangan koya sering berlaku pada musim panas yang agak panjang menggunakan ’white oil’. Kerja menyembur racun serangga perlu dilakukan setiap tiga minggu sekali jika terlaku banyak serangga atau ulat pemusnah. Tujuan seburan racun serangga ini adalah untuk mengawal benih keladi di diserang serangga perosak atau ulat pemusnah. Antara penyakit tanaman keladi adalah Penyakit Hawar Daun dan Penyakit Reput Umbisi yang mudah dikawal dengan pemeriksaan selalu.


9. Mengutip Hasil
Keladi Cina dan Keladi Mawar akan matang apabila umur keladi mencapai lapan atau sembilan bulan dengan pengurusan kebun yang baik mengikut cara Amalan Pertanian Baik (APB). Selepas umur lebih 9 -10 bulan akan berlaku penurunan saiz umbisi dan tahap kesuburan tanaman. Tanda-tanda keladi sesuai untuk dituai apabila daun mulai layu dan batang mulai kering. Cara menuai pula dengan mencabut pokok keladi dan dibersihkan dengan membuang daun dan akar rambut disekelilingnya. Tanda lain keladi cukup umur ialah apabila kelihatan akarnya telah berkurangan iaitu akarnya hanya tinggal atau berada separuh bahagian dan kebahagian bawah. Elakkan mencabut keladi terlalu lambat kerana keladi tersebut akan rosak dan busuk disebelah bawah dan ini menurunkan kualiti serta harga jualan. Keladi yang berkualiti baik mempunyai beratnya satu kilo keatas dan bentuk yang seragam. Bagi keladi yang bersaiz kecil dikategorikan gred B atau C dimana harganya adalah lebih rendah. Pastikan keladi dijual dengan segar dipasaran. 
SELAMAT MENCUBA!


TANAH GAMBUT...DITANAM KELADI...
BENIH KELADI....CARI YANG BERKUALITI...
LEPAS 9 BULAN....HASIL MENJADI....
DI JADIKAN KEREPEK...HARGA TINGGI... 


By,
M Anem
Projek ACDA Kg Bt 18, Air Hitam,
Muar, Johor,
Malaysia
(29 Shawal 2011)

Monday, September 26, 2011

ITIK MUSCOVY (Part 4)

Reactions: 
ITIK MUSCOVY (Cairina muschota) adalah sejenis haiwan itek dari keluarga ANATIDAE yang sesuai di pelihara di negara kita. Saya mengenali itik Muscovy ketika bertugas di Mersing, Johor yang bertujuan untuk penghasilan daging itik dan sebagai satu program Pengawalan Perosak Bersepadu (IPM - Intergrated Pest Management). Itik ini dikalangan penduduk tempatan dikenali sebagai Itik Nila, Itik Perancis atau Itik Serati. Itik ini berbulu hitam dan putih biasa dipelihara oleh orang kampung untuk menghasilkan telur dan daging. Baka itek ini yang berwarna putih pada keseluruhan badan merupakan jenis yang di import berkualiti tinggi khusus untuk pengeluaran daging secara komersil. Artikel ini saya menulis teknologi ternakan itik Muscovy berdasarkan pengalaman dan pemerhatian di Sawah Endau dan Sawah Air Papan, Johor dan pembacaan beberapa risala/ buku lama dahulu untuk pengetahuan pembaca.


Pemasaran Itik Muscovy
Kajian menunjukkan daging muscovy mempunyai sistem pasarannya masih kecil berbanding dengan pemasaran itik peking. Pengalaman di Mersing menunjukan pemasarannya masih terhad dan hanya tertumpu pada musim perayaan kaum Cina dan Kaun Melayu. Ianya di jual diperinggkat ladang atau diproses di rumah sembelih dan dipasar segar di seluruh Malaysia. Sistem integrasi bersepadu pemeliharaan itik pedaging jenis peking telah dimulakan oleh beberapa syarikat. Penternak itik dipilih oleh syarikat dengan syarat penternak mesti mampu membina reban sendiri. Syarikat bertanggungjawab membekal anak itik dan makanan kepada penternak dan kemudiannya membeli balik itik yang telah memcapai umur sembelihan dengan harga yang telah dijanjikan sebelumnya. Itik muscovy juga diharapkan akan diusahakan secara sepadu seperti ini tidak lama lagi.


Kajian saya dulu mendapati permintaan itek muscovy dan pasaran dalam negeri terhad kepada itik yang bersaiz kecil (betina) dan itik jantan yang berumur dalam lingkungan umur 11 minggu dengan berat 3.8 kg. Pengalaman di Johor mendapati untuk pasaran Singapura terutama musim perayaan mengkehendaki itik jantan yang bersaiz besar purata 4.5 kg. Penternak kecil akan memasarkan itik kepada pemborong atau orang tengah. Itik dimuatkan kedalam bakul yang serupa dengan bakul ayam yang boleh memuatkan antara 8 hingga 10 ekor dan diangkut ke rumah sembelih dengan menggunakan lori. Itik yang sudah diproses (chilled) diedarkan kerestoran-restoran Cina dan juga hotel-hotel yang berbintang. Harga pasaran itik hidup di Semenanjung Malaysia (Mersing dan Johor Bahru) ialah diantara RM3.80/kg hingga RM4.20 sekilogram dan akan meningkat kepada RM6.50 pada musim perayaan. Manakala harga itik proses ialah antara RM6.00/kg hingga RM9.00 sekilogram dan meningkat kepada RM12.00/kg pada musim perayaan.


Aktiviti galakan dan promosi itek muscovy merupakan satu elemen yang penting bagi meningkatkan penjualan. Perasaan geli dan 'kotor' sert 'hanyir' perlu dibuang dari persepsi di mana ianya akan dapat memberi dan meningkatkan kesedaran serta pendidikan di kalangan masyarakat terhadap khasiat dan keenakan daging muscovy terutama kepada masyarakat Melayu dan India. Promosi haruslah dijalankan secara berterusan dan berkesan melalui media massa dan elektronik seperti program pendidikan di sekolah, promosi produk dan aktiviti masakan di seluruh Malaysia. Daging itik muscovy saya dapati amat sesuai dimasak dengan cara merebus (stew) atau panggang dan ianya sangat popular di Pulau Pinang, Sarawak dan Singapura. Ia juga sesuai untuk masakan Melayu, India, Iban, Kadazan, European seperti rendang dan kari. Saya paling suka makan itek muscovy dimasak rendang terutama dimakan dengan nasi himpit atau ketupat. Makan pula di tepi pantai dekat Air Papan, Mersing pada waktu tengahari selepas mandi laut......


Ternakan itek muscovy mempunyai potensi yang baik dimasa depan dengan melibatkan pesawah, usahawan komersil, pembuat telur asin dan sebagainya. Mereka yang masih berminat boleh menghubungi pejabat JPV yang berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasehat dan kursus yang berkaitan. Wallahualam....


ITIK MUSCOVY.....BERAT BADANNYA....
DALAM SAWAH...ADA KERJANYA...
KONSEP IPM..KAEDAH KAWALANNYA...
MEMBASMI PEROSAK ....DAPAT DAGINGNYA...


By,
M Anem
Asal Johor
Daerah Muar, (Sekarang Ledang)
Malaysia.
(27 Shawal 1432H)

ITIK MUSCOVY (Part 3)

Reactions: 
ITIK MUSCOVY (Cairina muschota) adalah sejenis haiwan itek dari keluarga ANATIDAE yang sesuai di pelihara di negara kita. Saya mengenali itik Muscovy ketika bertugas di Mersing, Johor yang bertujuan untuk penghasilan daging itik dan sebagai satu program Pengawalan Perosak Bersepadu (IPM - Intergrated Pest Management). Itik ini dikalangan penduduk tempatan dikenali sebagai Itik Nila, Itik Perancis atau Itik Serati. Itik ini berbulu hitam dan putih biasa dipelihara oleh orang kampung untuk menghasilkan telur dan daging. Artikel ini ditulis untuk menerangkan cara operasi dan bagaimana menguruskan ternakan itek muscovy berdasarkan pengalaman. Baca artikel Itek Muscovy Part 1 (Klik disini) dan Itek Muscovy Part 2 (Klik disini).




Operasi dan pengurusan Ternakan Itik Muscovy


Pengurusan itik muscovy terbahagi kepada 3 peringkat:-


•Peringkat perindukan – 1 hingga 2 minggu.
•Peringkat umur – 3 hingga 4 minggu.
•Peringkat membesar – 5 hingga 13 minggu.


Kajian menunjukkan tempoh proses pembesaran anak itik pedaging dari umur seharihingga dua minggu sangat penting dan memerlukan penjagaan yang sempurna. Pada hari ketibaan anak itik mestilah dikira, ditimbang dan terus di masukkan ke dalam kepungan. Air minuman yang bercampur vitamin diberikan dengan segera. Suhu dalam reban ialah 35 darjah celcius diperlukan untuk minggu pertama dan dikurangkan setiap hari sehingga mencapai 27- 30 darjah celcius (suhu normal). Setelah itik mampu minum dan bergerak cergas barulah diberi makanan peringkat awal. Palong minuman sebaiknya dilapik dengan dulang bagi mengurangkan kecah dan kelembapan sarap. Palong minum diletak berselang- seli dengan palong makanan keliling dalam kepungan bagi mengurangkan pergerakan yang jauh.


Aktiviti memasang bidai sekeliling reban dipasang bagi melindungi anak itik dari kesejukkan dan mengawal suhu secara tetap dalam reban. Keadaan suhu dalam reban yang sesuai dan selesa dapat dilihat dengan memerhatikan kelakuan anak itik di dalam kepungan. Jika suhu terlalu sejuk anak itik akan berkumpul dan akan berhimpit- himpit di satu tempat dan ada yang kan mati jika tidak dikawal baik. Jika suhu terlalu panas pula maka anak itik akan kelihatan berselerakkan serta tercungap-cungap serta kepak yang terbuka. Haba perlu dibekalkan pada waktu pagi dan malam atau waktu hujan. Bidai mula diselak secara beransur- ansur selepas 2 minggu. Peringkat 3 hingga 4 minggu maka bidai di gulung sepenuhnya kecuali hari hujan lebat. Kepungan dan alat pemanas di keluarkan. Dulang makanan anak ditukar kepada palong panjang. Makanan untuk peringkat pembesaran adalah berbentuk pelet mula dicampurkan berperingkat dan seterusnya penggunaan sepenuhnya. Palong minuman kecil ditukar pada palong automatik kerana diperingkat ini itik mula minum dengan banyak.


Peringkat membesar 5 hingga 13 minggu, pada peringkat ini makanan dan minuman perlulah sentiasa mencukupi kerana itik mula membesar dengan cepat dan pengambilan makanan meningkat. Untuk menyediakan makanan yang banyak dan sentiasa mencukupi, makanan mula diisi di dalam bekas berbentuk peti. Pada waktu sianghari dan cuaca panas, pintu reban dibuka bagi membolehkan itik keluar ke ruang legar depan reban.Elakkan itik dari gangguan pengurusan dan kesan iklim sehingga sampai waktu dipasarkan. Menternak itik mukan mudah seperti dijangkakan.


Pengurusan yang baik akan menghasilkan pembesaran itik yang baik dimana pengalaman mendapati masa pengeluaran yang terbaik untuk itik muscovy bergantung pada makanan ternakan yang bermutu. Makanan permulaan (starter crumble) perlu mengandungi 19 – 22 % CP dan makanan pembesar (finisher pellet) mengandungi 16- 18 % CP. Makanan permulaan adalah untuk anak itik umur sehari sehingga 3 minggu dan makanan pembesar adalah untuk peringkat 4 minggu hingga jual.Dedak komersial boleh didapati di pasaran.


Kesihatan dan Amalan yang Baik


* Itik yang sihat menentukan keuntungan. Pengurusan yang baik dapat mengawal kadar kematian di paras 3 % setiap kumpulan.
* Program suntikan pelalian perlu diamalkan bagi mengelakkan penyakit berpunca dari virus tertentu. Khidmat nasihat Jabatan Perkhidmatan Haiwan perlu diterap dalam pengurusan harian.
* Memotong paruh juga perlu dilakukan kerana itik muscovy mempunyai paruh yang mencangkuk ( tajam). Dalam keadaan stress selalunya pada umur 2-3 minggu itik akan patuk-mematuk bahagian belakang dan bulu yang baru tumbuh.


* Mengawal kemasukan penyakit dengan mengawal pergerakan pelawat, pekerja, kenderaan. Menyediakan ‘foot-bath’ membasmi kuman di hadapan setiap pintu masuk ladang/reban sangat-sangat diperlukan.
* Hapuskan tikus dan burung yang berkeliaran di dalam reban kerana binatang-binatang ini pembawa penyakit dan bakteria.
* Penternakan itik juga perlu diurus dengan baik dan mesra alam.
* Air cucian dari reban perlu di salurkan ke dalam kolam kumbahan yang disediakan oleh pihak ladang.Itik yang mati tidak wajar di buang merata- rata bagi mengelakkan pencemaran bau dan penaykit.
* Lubang pembuangan itik mati yang bertutup papan tebal sedalam 4 hingga 6 kaki dalam perlu dibuat bagi mengatasi masalah ini.


Banyak ladang perlu mewujudkan dan mengamalkan sistem catitan Rekod Ladang yang baik.Data yang dikutip ini boleh membantu pengusaha menganalisis pengurusan bagi membaiki kelemahan untuk meneruskan usaha, pencapaian yang baik bagi menjamin keuntungan yang lumayan dan berterusan. Kini tidak ramai orang melayu menyambung projek ini di Mersing kerana masaalah Pasaran dan kesukaran mendapatkan anak benh itik.


ITIK MUSCOVY.....BERAT BADANNYA....
DALAM SAWAH...ADA KERJANYA...
KONSEP IPM..KAEDAH KAWALANNYA...
MEMBASMI PEROSAK ....DAPAT DAGINGNYA...


By,
M Anem
Asal Johor
Muuar, Malaysia
(27 Shawal 1432H)

ITIK MUSCOVY (Part 2)

Reactions: 
ITIK MUSCOVY (Cairina muschota) adalah sejenis haiwan jenis itek dari keluarga ANATIDAE yang sesuai di pelihara di negara kita. Saya mengenali itik Muscovy ketika bertugas di Mersing, Johor pada tahun 2000 yang masih segar diingatan dimana projek bertujuan untuk penghasilan daging itik dan sebagai satu program Pengawalan Perosak Bersepadu (IPM - Intergrated Pest Management). Itik ini dikalangan penduduk tempatan dikenali sebagai Itik Nila, Itik Perancis atau Itik Serati. Artikel itik Muscovy Part 2 ini membentangkan keperluan peralatan yang perlu bagi menternak itik muscovy. Sila rujuk artikel Itek Muscovy (Part 1 - Klik disini).


Peralatan bagi projek ternakan itik muscovy yang diperlukan untuk projek di Endau dulu adalah seperti berikut :-:


1) Kepungan
Kepungan diperlukan bagi mengelakkan itik bergerak tanpa kawalan dimerata tempat. Itik perlu dikepong dan dihadkan pergerakannya. Atap zink licin setinggi 1.5 kaki disambung menggunakan penyepit/ penyokong kayu dibentuk bulat keliling dengan panjang rentas 8 meter untuk menampung setiap 1,000 ekor anak itik. Saya lihat perlu pasang tiang kuat untuk elakan dilanggar itek yang bergerak secara kumpulan dan melanggarnya lalu tumbang jika tidak kukuh.


2) Bahan Alas Lantai atau Sarap.
Sekam padi atau habuk papan digunakan sebagai alas pada lantai simen. Sarap perlu di urus dengan baik, jika basah ianya harus dibuang dan ditambah dari masa ke semasa bagi memastikan lantai reban sentiasa kering. Perkara ini penting untuk elakkan serangan penyekit pada itek kita.


3) Alat pemanas.
Set pemanas jenis LPG atau jenis lain mesti digunakan untuk peringkat awal ternakan pada anak itik yang masih kecil. Alat pemanas ini digantung di tengah-tengah kepungan dan dipasang 1- 2 jam sebelum ketibaan anak itik bagi menyediakan suasana persekitaran yang hangat dalam perindukan. Terdapat satu projek En Osman yang gagal menyalakan alat pemanas dan mengakibatkan banyak kematian anak itik akibat kesejukkan pada malam hari. Anak itik adalah mahal dan perlukan 'booking' lama untuk membelinya dan lokasinya juga sangat jauh dari Mersing.


4) Bidai.
Bidai atau Dinding plastik sangat diperlukan diperingkat perindukan sahaja iaitu pada itik berumur 1 hingga 3 minggu bagi melindungi ternakan dari angin sejuk malam dan ketika hari hujan. Peringkat awal penternakan memang agak rumit penjagaanya dan penternak perlu diberikan latihan dahulu dan perlu faham apa risiko yang bakan dihadapi untuk memelihara itik muscovy.


5) Bekas makanan dan minuman.
Bekan makanan dan minuman mempunyai bentuk dan saiz bekas makanan dan minuman berbeza mengikut umur itik. Bilangan juga perlu ditambah dari masa ke semasa untuk memastikan itik mendapat makanan dan minuman yang mencukupi.Bekas air berbentuk tabung 1 dan 2 gelen juga palung automatik digunakan. Bekas makanan berbentuk dulang, palung papan panjang dan jenis kotak sesuai untuk itik daging. Pastikan perlatan ini ada, bersih dan masih berfungsi dengan baik.


ITIK MUSCOVY.....BERAT BADANNYA....
DALAM SAWAH...ADA KERJANYA...
KONSEP IPM..KAEDAH KAWALANNYA...
MEMBASMI PEROSAK ....DAPAT DAGINGNYA...

By
M Anem
Putrajaya
Malaysia
(28 Shawal 1432H)

ITIK MUSCOVY (Part 1)

Reactions: 
ITIK MUSCOVY (Cairina muschota) adalah sejenis haiwan itek dari keluarga ANATIDAE yang sesuai di pelihara di negara kita.  Saya mengenali itik Muscovy ketika bertugas di Mersing, Johor yang bertujuan untuk penghasilan daging itik dan sebagai satu program Pengawalan Perosak Bersepadu (IPM - Intergrated Pest Management). Itik ini dikalangan penduduk tempatan dikenali sebagai Itik Nila, Itik Perancis atau Itik Serati. Itik ini berbulu hitam dan putih biasa dipelihara oleh orang kampung untuk menghasilkan telur dan daging. Baka itek ini yang berwarna putih pada keseluruhan badan merupakan jenis yang di import berkualiti tinggi khusus untuk pengeluaran daging secara komersil. Artikel ini saya menulis teknologi ternakan itik Muscovy berdasarkan pengalaman dan pemerhatian di Sawah Endau dan Sawah Air Papan, Johor dan pembacaan beberapa risala/ buku lama dahulu untuk pengetahuan pembaca (Artikel Itek Muscovy Part 2 - Klik disini).


Laporan dari JPV menunjukkan Pusat Pembiakan Itik, Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Kg Paya Jaras Hilir di Selangor adalah satu-satunya ladang yang menghasilkan anak itik komersil pedaging jenis muscovy di Malaysia. Sejarah bermula pada tahun 1992 dimana pusat ini telah mengimport sebanyak 500 ekor induk baka tulen dari Perancis bagi menghasilkan anak itik komersil yang bermutu dan dibekalkan kepada penternak- penternak kecil sekitar Selangor dan Pulau Pinang. Orang Melayu tidak suka makan daging itik tetapi orang Cina memang menyukainya. Sejak itu pengeluaran baka itik ini terus di tingkatkan. Pusat ini terus giat memperkenalkan dan meningkatkan pengeluaran selari dengan permintaan orang ramai. Dari tahun ke tahun didapati ‘trend’ permintaan bagi setiap tahun kebiasaannya meningkat mengikut musim perayaan kaum cina seperti pada perayaan Kuih Bulan dan Tahun Baru Cina tetapi keadaan ini mula berubah sejak akhir- akhir ini kerana telah dipengaruhi oleh permintaan dan penyertaan pesawah padi/ petani Melayu secara kecil- kecilan tajaan Jabatan Pertanian di seluruh negara di bawah kawalan makhluk perosak (ini dulu saya pernah terlibat).


Anak itik yang dihasilkan oleh pusat ini kebanyakkannya ( 60% ) dibekalkan kepada penternak- penternak kecil yang menternak antara 100-300 ekor secara ‘ all in all out ‘ selebihnya kepada penternak semi komersil yang menternak 300-1,500 ekor sepusingan. Perusahaan ini masih baru dan keistimewaan yang ada pada itik muscovy memberi peluang kepada industri ini berkembang dengan baik dan seterusnya menyumbang dalam memenuhi keperluan daging negara dan juga untuk eksport. Setelah beberapa kali makan daging itik muscovy dimasak rendang memang saya telah minat.


Pembangunan kawasan kebun bagi mulakan projek ternakan itik muscovy memerlukan pemilihan dan kawasan yang sesuai sangat penting. Lazimnya Jabatan Pertanian mengesyorkan kawasan sawah padi yang mudah dapat sumber air. Perancangan yang baik agar suasana dan persekitaran nyaman dan selesa untuk itik membesar dan memudahkan pengurusan harian. Kemudahan bekalan air untuk ternakan dan mencuci serta bekalan elektrik perlu ada. Tanah bekas lombong, kawasan tinggi atau kering seperti diladang kelapa sawit sesuai untuk pengurusan sistem ‘deep litter’ sama ada secara intensif atau separa intensif.


Kajian mendapati cuaca negara kita sentiasa panas dan lembap oleh itu reban perlu direka bentuk untuk mengurangkan kesan iklim serta memberi pelindungan itik semasa peringkat membesaran sehingga peringkat jual. Semasa kursus di Selangor dulu pensyarah menyatakan reban dibina menggunakan kayu dan beratap rumbia atau zink iaitu paling mudah dan murah. Bumbung berbentuk 'double ridge' dengan dinding terbuka membantu sistem pengudaraan. Tinggi minima bahagian tengah 14 kaki, tepi 8 kaki dan cucur tepi kira –kira 5 kaki bagi mendapat suasana selesa, pengudaraan yang baik dan terhindar dari tempias ketika hari hujan. Reban itik yang berukuran 300 kaki panjang dan 24 kaki lebar boleh memuatkan 5,000 ekor itik sehingga peringkat jual. Selain bahagian reban penyediaan bahagian legar berpagar depan reban perlu terutama musim panas. Lantai jenis konkrit / simen membantu mengelakkan kelembapan dan juga memudahkan pembuangan kekotoran sampah-sarap setiap kali selesai satu pusingan ternakan. Kemudahan jalan dan sistem perparitan dan saliran yang baik perlu ada. Bekalan elektrik dan air yang bersih untuk minuman dan cucian sangat perlu. Ini penting untuk menghantar makanan dan menjual itik nanti. Artikel dah panjang...bersambung itik muscovy part 2 (Klik disini).


ITIK MUSCOVY.....BERAT BADANNYA....
DALAM SAWAH...ADA KERJANYA...
KONSEP IPM..KAEDAH KAWALANNYA...
MEMBASMI PEROSAK ....DAPAT DAGINGNYA...

By,
M Anem
Anak Johor
Muar, Johor, Malaysia.
(27 Shawal 1432H)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KLIK SAYA