Support My Blog

Sunday, September 25, 2011

RUMPUT KERBAU

RUMPUT KERBAU (Paspalum conjugatum ) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga GRAMINAE atau Keluarga Rumput yang banyak tumbuh di negara kita dan seluruh dunia. 'Rumput Kerbau' mungkin dapat nama tersebut kerana ianya digemari oleh haiwan KERBAU (Bubalus bubalis) yang suka meragut rumput tersebut dikawasan lapang. Nama lain rumput kerbau adalah seperti Buffalo Grass; Carabao Grass; Sour Paspalum (English), Jampang Pahit; Paitan ; Klamaran (Indonesia), Kulape ; Kauat-kauat ; Kalo kawayan (Filipina), Ya-nomnom ; Ya-hep (Thailand) dan Rumput Kerbau ; Rumput Ala-Negeri (Malaysia). Nama rumput kerbau juga di panggil Liang er cao (China), Mauu'u Hilo (Hawai) dan Vailima (Samoa). Rumput kerbau sangat releven dengan masyarakat kita di kawasan kampong dimana ianya tumbuh liar dikawasan lapang dan juga di laman-laman rumah serta di tepi-tepi jalan raya. Kini rumput kerbau telah dijadikan sebagai komoditi penting dalam industri rumput kerana telah ditanam untuk digunakan bagi tujuan membuat rumput padang bola, menahan hakisan, mencantikkan taman-taman rekreasi dan sebagainya. Artikel pagi Ahad 27 Shawal 1432H ini saya berkongsi maklumat mengenai sejenis rumpai penting di Malaysia iaitu Rumput Kerbau dari pengalaman dan bahan rujukkan.


Tumbuhan ini dipercayai natif dari Amerika Tropika dan Kawasan Asia Tenggara serta beberapa kawasan lain yang mempunyai iklim serupa. Rumput Kerbau merupakan rumpai yang tumbuh semulajadi dan terbiar di Malaysia, Indonesia, Kepulauan Pasifik sebagai satu permandangan biasa. Rumput ini dijadikan tumbuhan penutup bumi dikawasan perumahan dan kawasan keliling bangunan seperti dikeliling rumah saya sekarang. Ianya sejenis rumpai yang tahan lasak dan tidak mudah mati. Rumput kerbau perlu dipotong selalu untuk mengekalkan pertumbuhannya yang rata, kemas dan kelihatan cantik. Ia perlu dijaga jika di tanam keliling rumah dengan perlu di potong 2-3 bulan sekali menggunakan mesin potong rumput.


Rumput Kerbau adalah tumbuhan yang merayap dengan mempunyai stolon yang memanjang dan mengeluarkan akar rambut pada setiap RUAS. Ketinggian rumput ini mencapai 40-60 cm tetapi kadang-kadang dikawasan subur dan lembab (dekat tong septik tandas) mampu mencapai sehingga 100 cm. Daunnya yang berwarna hijau gelap dengan lebar purata 1 cm dan panjang 30 - 50 cm diatas permukaan tanah. Bahagian hujung daun tirus dan tajam serta mempunyai bentuk 'Lanceolate- accuminate'. Daun yang tua atau matang akan mati dan berwarna coklat serta menjadi baja apabila reput. Bunga rumput kerbau mempunyai 2-3 jejari  berukuran 2 mm panjang yang terbit dari cabang tangkai bunga sepanjang 7-16 cm.  Biji rumput kerbau dihasilkan dalam rerambut berwarna coklat berukuran 1 mm garispusat dan disebarkan melalui najis ternakan seperti kerbau, kambing, lembu dalam najis yang disepahkan.


Rumput Kerbau tumbuh dari kawasan rendah sehingga ketinggian 950m dari aras laut dikawasan subur dan kawasan kurang subur yang kurang unsur permakanan atau tanah agak asidik. Ianya tumbuh dikawasan lapang dan juga di kawasan terlindung seperti dibawah ladang kelapa sawit, kebun kelapa, kebun dusun dan juga dikawasan kebun getah. Pembiakan rumput ini melalui biji benih yang dimakan oleh haiwan, melekat pada haiwan dan manusia dan juga melalui stolon dengan akar yang menjalar. Walau pun tumbuh dikawasan kebun , padang bola dan dihalaman atau  keliling rumah rumput ini yang dipotong berkali-kali tetapi ianya tidak mati. Stolon berada diatas tanah dan akarnya pada setiap ruas akan mempastikan daun dan tunas baru keluar selepas dipotong. Kajian juga menunjukkan aktiviti memotong rumpai ini di padang bolasepak akan menyebabkan rumpai lebih cantik dan subur. 


Kegunaan rumput kerbau paling utama di Asia Tenggara merupakan foraj utama untuk ruminan seperti Kerbau, Lembu, Kambing dan binatang lain. Kerbau merupakan haiwan paling suka meragut rumput ini dimana sistem penghadamannya mampu memproses rumpai ini sebagai sumber makanan. Terdapat juga kambing bebiri dan kambing kampong yang berjalan keliling kampong meragut rumput ini (Foto kiri). Rumput Kerbau juga digunakan dikawasan padang bola di Sekolah dan Padang Majlis Bandaran kerana sesuai untuk menampong pemain-pemain bola sepak yang berlari memijak dan menendang bola. Pemain yang terjatuh juga mempunyai 'cushion' dan mengurangkan risiko cedera atau terluka jika terjatuh. Rumput Kerbau juga digunakan untuk menghalang hakisan di lebuhraya (tebing jalan) dan juga tapak pembinaan baru.


Industri menanam rumput kerbau sebagai Semaian Rumput kini telah menjadi satu industri yang lumayan. Kini kawasan kebun getah dan kelapa sawit (Banyak di Johor) ditebang dan di tanam dengan rumput kerbau untuk dijadikan sumber benih oleh beberapa syarikat dengan pasaran Singapura sebagai pengimpot utama. Tanah di bajak dan dirotor sebelum di tabur baja organik dan dipasang sistem pengairan sprinkler. Anakbenih rumput kerbau diambil dari kawasan semulajadi di tepi jalan, atas padang atau sawah terbiar berukuran 1 kaki x 1 kaki dan ditanam diatas tanah tadi. Berikan baja Urea, baja organik, baja NPK 15:15:15 agar rumput yang ditanam cepat membiak. Buang jenis-jenis rumput lain yang tumbuh dalam kawasan seperti Axonopus compresus, Lalang (Imperata cylindrica), Pokok Semalu , Rumput Napier dan sebagainya secara manual. Penyiraman dijalankan mengikut kesesuaian. Apabila cukup umur rumput ini dituai dengan mencangkul berumuran empat segi sama iaitu 1 kaki x 1 kaki dan dijual dengan harga RM 5.00 - RM 10.00 bergantung kepada kualiti, lokasi , jarak dan sistem penghantaran. Rumput Kerbau merupakan satu komoditi penting dalam sektor pertanian negara kita sekarang!


RUMPUT KERBAU.....BANYAK DIGUNAKAN.....
MUDAH DI TANAM....DIPADANG DAN LAMAN...
NURSERI RUMPAI...INDUSTRI LUMAYAN...
ANDA NAK CUBA....DAPATKAN MAKLUMAN...


By,
M Anem
Pct 11, Ptjaya
Malaysia
(Ahad - Ada di rumah)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...