Friday, September 16, 2011

RACUN PARAQUAT

PARAQUAT atau 'Parakuat' adalah sejenis bahan perawis aktif (active ingredient) yang digunakan secara meluas sebagai racun rumpai diseluruh dunia. Saya mendengar perkataan 'Paraquat' semenjak dibangku sekolah lagi apabila melihat bapa sering membeli racun tersebut dikedai untuk membunuh rumpai dalam kebun getah dengan aktiviti meracun. Racun Paraquat tersebut di campur dengan air bersih didalam tong penyembur yang digalas dibelakang dan menyembur racun tersebut pada rumpai dalam kebun. Pada keesokkan harinya saya dapati rumpai dalam kebun menjadi kuning dan seminggu kemudian rumput akan mati. Kini saya faham yang 'paraquat' adalah nama dagangan bagi bahan kimia yang dipanggil N,N'-dimethyl-4,4'-bipyridinium chloride yang merupakan racun sentuh cepat bertindak, tidak selektif serta memusnahkan sel-sel hijau tumbuh-tumbuhan. Artikel pagi Jumaat 16 Shawal 1432H ini saya menulis mengenai 'Paraquat' berdasarkan pembacaan, pengalaman penulis dan rujukkan kepada risalah Jabatan Pertanian.


Racun Paraquat adalah sangat toksik kepada haiwan dan manusia dan dilaporkan jika terminum racun paraquat boleh menyebabkan maut kerana dilaporkan tidak ada 'anti-dot' untuk memulihkannya. Racun paraquat di Malaysia didaftarkan dengan Lembaga Pendaftaran Racun Makhlkuk Perosak (LPRMP) yang di pengerusikan oleh Ketua Pengarah Pertanian sebagai RACUN AMAT MERBAHAYA iaitu dibawah KELAS 1B.  Kerajaan Malaysia telah pun mengharamkan penjualan racun ini beberapa tahun lepas untuk mengawal penggunaan didalam kebun tanaman makanan dimana sesiapa yang hendak membeli racun ini memerlukan permit khas. Malaysia merupakan negara pertama di Asia yang mengharamkan pengeluaran, pengedaran dan penjualan racun paraquat untuk melindungi keselamatan pengguna. Ini berkaitan dengan kes-kes minum racun paraquat yang telah dilaporkan sebelum ini yang menyebabkan kes-kes maut terutama dikalangan pekerja-pekerja ladang. Laporan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan seramai 346 orang minum racun paraquat dan seramai 246 telah mati dari tahun 1977- 1981 (Purata 69 orang setahun!). Kes ini meningkat lebih kepada 450 kes pada 5 tahun berikutnya.


Racun Paraquat merupakan sejenis racun rumpai yang sangat berkesan untuk mengawal atau memusnahkan pertumbuhan rumpai dalam kebun. Racun ini sebelum diharamkan merupakan sejenis racun rumpai paling popular di Malaysia dikalangan petani terutama bagi penanam nenas, getah, kelapa sawit, padi dan banyak tanaman-tanaman lain. Harganya yang agak murah, kesan sangat efektif, mudah didapati dari kedai pertanian dan senang digunakan merupakan faktor kenapa ia menjadi pilihan utama oleh petani dan syarikat pengeluar mungkin membuat banyak keuntongan. Paraquat didapati cepat bertindakbalas dengan tisu atau daun hijau rumpai dengan merencatkan proses Fotosintesis dan pokok akan cepat layu terutama semburan pada pagi atau tengahari ketika proses fotosintesis sangat aktif. Bagaimana pun racun paraquat cepat terikat dengan tanah apabila tersentuh dipermukaan tanah dan tidak akan aktif lagi. Ini bermakna banyak kajian yang menunjukkan racun paraquat tidak lagi merbahaya kepada haiwan atau manusia apabila ia jatuh diatas tanah terutama tanah jenis liat.


Kajian juga menunjukkan kebanyakkan racun paraquat di Malaysia dan diseluruh dunia dijual dalam bentuk larutan cecair yang berwarna gelap atau kehitaman dan berbau. Ianya menyerupai kicap soya atau minuman kopi atau air bikarbonat coca-cola jika dibandingkan. Kebanyakan racun ini dijual dalam kadar kepekatan dari 18-20% berat /pada berat isipadu. Dahulu sebelum diharamkan terdapat 31 jenama racun paraquat dihasilkan oleh beberapa syarikat yang berdaftar dengan LPRMP dengan pelbagai jenama seperti PARAQUAT 42%ww, PARA- KUAT, PARA KILL, T-KILL, T.S. PARAQUAT, HAS KILL, KASSAQUAT, PARA-KUAT, PAR KILL, PARAKUAT 2020, SPAQUAT, YPL PARA 190, YPL PARA 77, WEEDAWAY, TERKUAT, TRIKUAT, PARAMINE, PARAMINE PLUS  dan macam-macam lagi. Ada beberapa syarikat yang mencampurkan racun ini dengan bahan kimia lain yang menghasilkan bau yang sangat' BUSUK' bertujuan untuk memberitahu pengguna ianya tidak boleh diminum. 


Racun Paraquat mempunyai risiko keracunan jika terkena atau terminum termasuk faktor yang mempengaruhi tahap kesihatan dan kematian akibat keracunan. Berikut diantara tanda tanda risiko kesan keracunan akibat racun parakuat :


1. Pendedahan pada kulit dan ingesi (makan/minum) kepada parakuat boleh mengakibatkan ketoksikan yang serius.
2. Maut dalam masa 24 jam mungkin tidak dapat dielakkan jika terdapat kerosakan tisu paru-paru, hati, jantung, ginjal dan kelenjar adrenal.
3. Kajian mendapati 25 hingga 75 peratus pesakit yang minum parakuat akan mati. Justeru itu, setiap kes keracunan parakuat dianggap sebagai kes serius dan rawatan perubatan harus disegerakan.
4. Tiada terdapat sebarang penawar (antidot) yang boleh digunakan dalam kes keracunan parakuat tetapi langkah bantuan awal yang dilakukan di tapak keracunan dapat membantu menyelamatkan mangsa keracunan.
5. Antara langkah yang disyorkan sebagai rawatan untuk mangsa keracunan parakuat termasuklah penggunaan arang teraktif , bentonit atau Fuller's Earth.
6. Dalam kebanyakan kes rawatan tidak dilakukan segera kerana mangsa lambat dibawa ke hospital.
7. Parakuat boleh diserap melalui luka pada kulit dan maut telah dilaporkan berlaku melalui penyerapan kulit. Jika terkena mata, iritasi teruk akan berlaku.


Ciri-ciri Utama Keracunan:
Pada umumnya jika berlaku keracunan maka perincian maklumat berikut adalah diperlukan mengikut sistem organ dalam badan. Kesan  yang akan dialami dalam situasi keracunan yang mendadak akibat racun paraquat secara umumnya adalah seperti berikut :-


1. Jika terminum (contohnya 7.5-15 ml) pada sediaan dagangan berkepekatan 20 peratus berat/isipadu larutan parakuat akan mengakibatkan kesakitan, bengkak dan ulser pada bahagian mulut dan tekak.
2. Pengguna akan rasa loya, muntah-muntah dan kesakitan di dalam saluran penghadaman atau perut sering kali berlaku.
3. Kegagalan fungsi buah pinggang boleh berlaku dalam tempoh 3-5 hari.
4. Paru-paru merupakan organ ketoksikan keracunan yang utama. Pada organ paru-paru, ion paraquat akan diturunkan menjadi radikal bebas untuk menghasilkan radikal superoksida dari oksigen yang disedut masuk ke dalam paru-paru. Ini berlaku ketika kerja-kerja menyembur dan tidak ditutup hidung dan mata terkena semburan lawan angin.
5. Tindak balas radikal superoksida dengan lipid pada sel akan mengakibatkan pengoksidaan lelemak dan seterusnya kematian sel paru-paru. Ini menyebabkan paru-paru berparut secara berterusan selama 15 hari. Pesakit akan mati disebabkan oleh pertukaran gas yang semakin menurun di paru-paru.


Penggunaan  racun paraquat yang tidak mengikut arahan pada label adalah sangat membahayakan pengguna jika tidak diberikan tunjuk ajar sebenar bagaimana cara mengguna, menyimpan, menyembur. Kepentingan ciri keselamatan ketika kerja-kerja menyembur racun perlu difahami. Penanam nenas di Johor yang menanam diatas tanah gambut merupakan kumpulan utama menggunakan racun paraquat disembur pada pokok nenas selepas habis dituai. Apabila pokok nenas telah kering maka penanam akan membakar sehingga bersih untuk menanam semula pada pusingan berikutnya. Pengharaman penggunaan racun paraquat menyebabkan penanam nenas menggunakan alternatif lain untuk aktiviti menanam nenas. Kini penanam nenas telah menggunakan racun lain yang tidak mernahaya kepada haiwan dan manusia untuk penanaman nenas.


Penggunaan racun makhluk perosak terutamanya racun rumpai atau racun serangga yang terdiri dari jenis organofosfat dan organoklorin di Malaysia masih digunakan secara meluas di dalam aktiviti pertanian, perladangan dan industri perkayuan. Ia juga diguna di rumah-rumah bagi tujuan menjaga kawasan rumah dari ancaman makhluk perosak dan rumpai. Kajian saintis juga menunjukkan racun makhluk perosak berupaya menyebabkan penurunan bilangan dan kualiti sperma (sel benih lelaki). Contohnya bahan kimia klordan iaitu sejenis racun anai-anai yang disembur pada kayu adalah merbahaya. Ia telah digunakan dalam hampir 75% rumah di Amerika yang dibina sebelum tahun 1988. Adalah dianggarkan seramai 30 juta penghuni rumah-rumah tersebut telah dicemar olehnya. Di samping ketidaksuburan di kalangan lelaki dan wanita dilaporkan bahawa beberapa juta orang dewasa dan kanak-kanak telah dilaporkan mengalami tanda-tanda penyakit seperti barah, kerosakan pada hati, neuroblastoma, leukemia, bronkitis, asma, sinusitis, gangguan neurologi, agresif dan kemurungan.


Dilaporkan juga bahawa di antara 20-25% keguguran adalah disebabkan oleh masalah sistem pertahanan badan melawan penyakit dan sistem endokrin. Racun makhluk perosak didapati boleh menganggu sistem pertahanan badan dengan merangsang pengeluaran antibodi yang seterusnya menyerang sperma pada lelaki atau telur pada wanita. Kesedaran dikalangan kita perlu  walaupun kebanyakan jenis racun yang memberi kesan ke atas sistem endokrin telah diharamkan oleh kerajaan Malaysia dan negara-negara jiran. Namun ia masih lagi dikesan di beberapa kawasan perairan di Malaysia dan  terdapat kes haiwan di dalamnya. Ia mungkin disebabkan oleh tempoh hayatnya yang panjang atau aktiviti penggunaaan secara haram.


Berhati-hatilah semasa mengguna, menyimpan atau melupuskan sisa racun makhluk perosak. Amalkan cara penggunaan dan langkah-langkah keselamatan seperti yang tertera pada label. Oleh itu label pada bekas racun, janganlah dibuang dari bekasnya kerana ia berguna untuk dijadikan panduan. Elakkan penggunaan racun terlarang walaupun ia mungkin cepat berkesan ke atas aktiviti pertanian namun ia juga memberikan kesan buruk kepada kesihatan terutama pada sistem pembiakan anda. Diharap artikel ini dapat memberikan pengetahuan kepada pembaca sekelian mengenai racun paraquat, kesan terhadap kesihatan manusia dan bagaimana hendak menguruskannya. Sesungguhnya racun adalah penting untuk sektor pertanian tetapi keselamatan kita akn jadi lebih bermakna jika kita tahu bagaimana hendak mengurusan kesan toksik daripada racun. Wallahualam.....


RACUN PARAQUAT...SANGAT MERBAHAYA.....
KELAS 1B....PENGGUNA PERLU BERJAGA2...
KALAU TERKENA....KESELAMATAN DIUTAMA...
TELAH DIHARAMKAN...DIPASARAN MASIH ADA?...


By,
M Anem
Putrajaya
Malaysia
(Jumaat ; 10.30 pagi 16 Sep 2011)
SELAMAT HARI MALAYSIA!

1 comment:

  1. minta kebenaran untuk copy boleh tak untuk kegunaan dalam pengajian sebab rasanya amat sesuai dengan bidang yang saya ceburi.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KLIK SAYA