Support My Blog

Thursday, September 29, 2011

CERMAI BELANDA

CERMAI BELANDA (Eugenia uniflora Linn) merupakan sejenis pokok renek dari keluarga MYRTACEAE yang boleh tumbuh di negara kita yang menghasilkan Buah Cermai Merah atau dikenali sebagai Cermai Belanda. Kita di Malaysia lazim melihat cermai berwarna hijau kekuningan yang di makan segar atau di proses buat jeruk. Mungkin tidak ramai orang Malaysia kenal akan jenis cermai ini yang menghasilkan buah berwarna merah cantik apabila masak. Buah ini berasal natif dari Brazil dan dikenali juga sebagai Surinam Cherry, Cayene Cherry, Brazillian Cherry, Pitanga dan Nangapiri. Kajian saya mendapati sukar untuk mendapatkan maklumat keluasan tanaman Cermai Belanda di Malaysia dan mungkin cuma sekitar 5-10 hektar CHE sahaja. Itu pun ditanam di Stesyen Pertanian, individu-individu atau yang tumbuh sendiri. Artikel pagi ini saya menulis megenai tanaman Cermai Belanda berdasarkan pemerhatian dan pembacaan beberapa buah buku.


Marfologi pokok cermai belanda merupakan jenis pokok renek dengan ketinggian sekitar 3-7 meter dari paras tanah. Dahannya adalah agak halus dan lurus atau selalunya bengkang bengkok. Daunnya merupakan daun jenis ringkas berwarna hijau gelap dengan susunan yang bertentang berukuran 2.5-6.0 cm panjang dan 1.5-3.0 cm lebar. Saya dapati daunnya agak berkilat. Bunganya berbau wangi dengan kelopak luar yang berwarna putih kekuningan dan kelopak dalam putih sepenuhnya. Selalunya terdapat 1-4 kuntum bunga pada satu ketiak daun dimana ukuran garispusat bunga berukuran sekitar 1 cm.  


Buah cermai belanda adalah jenis berjuntai dimana mempunyai bentuk sama seperti cermai hijau tempatan dengan ukuran garispusat 1-4 cm dan mempunyai 7-8 bonjolan. Buah muda berwarna hijau akan bertukar kepada warna oren sebelum masak berwarna Merah Saga. Buah yang terlalu masak akan menjadi kehitaman dimana kulitnya sangat nipis. Pemerhatian saya terhadap buah ini di Stesyen Pertanian Tangkak dulu mendapati isi buah berwarna merah oren dengan banyak jus (berair) sama ada rasanya MANIS atau MASAM.  Buah yang tidak cukup masak mempunyai rasa KELAT dan juga Masam. Kajian makmal menunjukkan setiap 100 gram cermai belanda mengandungi 85-90 gram air, Kabohiderat (8-12 gram), Protin (1 g), Serabut (0.5 g) dan Vitamin C sebanyak 20-30 mg (Banyak tu!...).


Laporan juga menunjukan bahagian daun cermai belanda mengandungi unsur TANIN iaitu kira-kira 20-28%. Daunnya juga mengandungi pati terdiri daripada asetat geranil, geraniol, cinoel, terpinen, politerpin, sesquesterpin dan juga sitronelal. Bahagian bijinya mengandungi banyak resin dan ianya adalah bersifat Toksik kepada manusia.  Dari segi khasiat pemakanan buah yang masak boleh dimakan mentah, dibuat jem, jelly, halwa manisan atau diproses untuk dijadikan acar buah. Masa majlis kenduri kahwin dan makan nasi minyak sering dihidangkan acar buah yang mengandungi Cermai Belanda. Terdapat wain dan tapai yang dibuat dari buah ini di Brazil dengan proses penapaian.  Dari segi perubatan pula buah cermai belanda jika direbus dulu dan airnya diminum sesuai untuk rawatan darah tinggi. Daun yang direbus dan airnya diminum mampu mengecutkan tisu serta sebagai tonik perut yang baik.


Penanaman cermai belanda dijalankan dengan menggunakan biji benih atau melalui TUT. Pemerhatian saya mendapati lazimnya biji yang matang akan bercambah 3-4 minggu selepas disemai dalam pasu atau polibeg. Pertumbuhan anakbenih agak perlahan dan rendah (Lihat Foto anak benih). Selepas 2 tahun selalunya pokok akan mula berbunga dan berbuah. Pastikan diberikan baja asas, baja pembesaran dan kawalan serangga perosak semasa mula menanam sehingga berbuah. Kajian mendapati pokok yang menggunakan anakbenih Keratan/TUT akan berbuah dalam masa 2-3 tahun tetapi dari benih biji memerlukan masa 5-6 tahun untuk berbuah. 


Pokok Cermai Belanda mempunyai masaalah serangan beberapa jenis penyakit seperti Bintik Daun, Daun Berjalur dan Antraknos yang disebabkan oleh kulat.  Kadang-kadang serangan yang teruk akan menyebabkan dahan dan ranting mati jika tidak dibuat kawalan berjadual. Bahagian akar juga sering diserang penyakit reput akar terutama jika kawasan penanaman agak lembab dan tiada saliran yang sempurna. Serangga yang menyerang tanaman ini seperti Ulat Makan Daun, Ulat Makan Buah dan juga serangan Lalat Buah (Daucus spp.). Kawalan minima diperlukan seperti semburan racun kimia dan konsep kawlan bersepadu (IPM). Mungkin  yang berminat hendak tanam inginkan anak benih...dari mana nak beli?


Pokok ini sesuai dijadikan tanaman hiasan dikawasan rumah kerana mempunyai bentuk pokok yang menarik, buah yang cantik warnanya dan juga bunganya memberikan aroma yang segar. Pokok ini juga boleh dijadikan 'Pokok Pagar' dikeliling rumah banglo, rumah kampong, Semi-D atau teres jika ada kawasan yang sesuai. Pemerhatian saya jika pokok ini selelu dicantas akan memberikan banyak ranting dan daun yang lebat. Ada beberapa pendapat dan kajian dimana daun pokok ini yang diramas atau dilumatkan akan menghasilkan minyak pati yang meruap dan ianya mampu menghalau nyamok dikawasan rumah. Tanin dari kulit pokok pula mungkin boleh digunakan sebagai bahan untuk menyamak kulit. Saya percaya selepas membaca artikel ini ramai akan melihat lebih dekat akan tumbuhan ini disekeliling anda!


MENANAM CERMAI...CERMAI BELANDA.....
BUAHNYA CANTIK....MERAH MENYALA...
DIJADIKAN UBAT....WAIN DAN CUKA....
SEBAGAI HIASAN...HATI PUN GEMBIRA...


By 
M Anem,
Port Dickson
Negeri Sembilan
Malaysia
(1 Zulkaedah 1432H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...