KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, September 4, 2011

BUAH TAL

BUAH TAL (Borassus flabellifer) atau di Malaysia dipanggil sebagai KELAPA LAUT AFRIKA atau Buah Tai adalah sejenis tumbuhan yang terdapat di kawasan utara Semenanjung Malaysia seperti di Kedah dan Perlis. Pokok Tal adalah tumbuhan dari keluarga ARECACEAE atau sama dengan Palmae yang tumbuh dikawasan panas kering seperti di India, Afrika, Kemboja, Indonesia dan banyak kawasan tropika lain. Pokok ini adalah dipercayai berasal atau native di Afrika dan menjadi pokok kebangsaan bagi negara Cambodia. Pokok ini juga dikenali sebagai 'Sugar Palm', Palmyra Palm, African Fan Palm, Lontar Palm, Borasus Palm, Doub Palm, Ron Palm, Tala Palm, Tal-palm, Toddy Palm, Wine Palm (English), Taad (Hindi), Tnaot (Khmer), Lontar (Indonesia), Siwalan (Jawa) dan Toon Taan (Thai). Di Malaysia buah tal lebih dikenali sebagai Kelapa Laut Afrika kerana sejenis ubat batuk berjenama popular iaitu 'UBAT BATUK KELAPA LAUT AFRIKA' semenjak dulu. Artikel pada subuh 6 Shawal 1432 H ini saya membincangkan mengenai tumbuhan Buah Tal untuk tatapan pembaca blog.


Pokok Tal merupakan sejenis tumbuhan mempunyai satu batang yang tumbuh menegak tanpa cabang setinggi 10-25 meter. Pokok dari kumpulan Palmae ini mempunyai batang berbentuk selinder (cylindrical) berukuran garispusat 20-60 cm bergantung kepada kesuburan pokok , jenis tanah dan kaedah pengurusan (Lihat foto sebelah). Batangnya mempunyai duri-duri tajam berwarna hitam tidak tersusun dimana batang muda berwarna kuning kehijauan dan batang matang akan bertukar warna kuning coklat kehitaman dan mempunyai lapisan kulit keras. Pokok ini tidak mempunyai akar tunjang sebaliknya hanya akar lateral sahaja dipangkal pokok. Daun pokok tal mempunyai bentuk kipas berwarna hijau dengan sebanyak 20-45 helai daun sepokok. Bentuk daun yang unik ini menyebabkan pokok ini sesuai untuk dijadikan sebagai pokok hiasan di beberapa negara dengan menanamnya di tepi jalan seperti di Kemboja. Bunganya terbit dalam satu tangkai yang mempunyai banyak dengan bunga betina tidak bercabang sementara bunga jantan banyak serta bercabang-cabang. Bungannya berwarna putih dan bertompok yang keluar pada celah-celah pelepah. Buah Tal berbentuk agak bulat dengan warna ungu kehitaman yang saya agak berukuran 7-10 cm garispusat. Dalam buah ada lapisan tempurung lembut dimana isinya berwarna jernih seperti 'jelly' yang lembut dan enak dimakan ketika muda. Isi yang telah matang agak keras juga.


Pokok Tal tumbuh dikawasan tanah yang mempunyai cuaca kering dan panas serta tahan kepada kemarau. Pokok ini boleh tumbuh dari tanah datar rendah sehingga ketinggian 800 meter dari paras laut dengan keperluan hujan serendah 500 mm setahun. Pokok Tal yang tumbuh liar di Perlis dan Kedah itu banyak di  kawasan tanah lapang ditepi sawah dan belukar. Pembiakan dan penanaman pokok tal menggunakan biji benih iaitu sama seperti buah kelapa dan kelapa sawit. Lazimnya biji tal matang yang jatuh di bahagian pangkal pokok akan tumbuh sendiri dikeliling pokok asal. Kajian menunjukkan penanaman pokok tal secara komersial belum dilaporkan lagi di Malaysia. Keluasan tanaman tal di Malaysia dan seluruh dunia belum ada data rasmi. Bagaimana pun di Indonesia ada dilaporkan terdapat seluas 15,000 hektar di Pulau Jawa, Madura, Irian Jaya Timur dan Sulawesi. 


Pokok Tal menghasilkan buah tal segar dan didakwa sesuai digunakan sebagai ubat batuk di Malaysia. Kegunaan buah tal adalah untuk dijadikan sumber nira yang berkualiti dimana disesetengah negara air nira akan ditapaikan untuk menjadi air todi (Banyak di India). Air nira yang manis ini apabila ditapaikan mengandungi 5-6% alkohol dan jika di proses seterusnya mampu menjadi ethanol (Arak) yang memabukkan dan juga menjadi cuka makan. Air Kelapa Laut Afrika di Malaysia merupakan satu produk minuman sangat popular dimana ianya telah di komersilkan dengan dijual digerai-gerai di tepi jalan. Air Kelapa Laut Afrika kebanyakkannya dijual dengan menggunakan mangkuk atau gelas dengan air batu yang sejuk. Wow, enaknya ketika kita sangat minum semasa kehausan!....Harganya RM 1.50 - RM 2.50 satu cawan bergantung kepada saiz cawan dan lokasi jualan di Jalan Bendahara, Melaka. Lazimnya penjual akan meletakkan satu tandan buah kelapa laut Afrika di hadapan sebagai satu tarikan pembeli.


Batang pokok tal yang matang adalah keras dan di Indonesia ianya digunakan sebagai jambatan atau di potong-potong untuk dijadikan jambatan melintasi parit dan anak sungai. Batang pokok tal adalah tahan selama beberapa tahun dan tidak mudah reput. Kajian mendapati bahagian atas batang dekat dengan pucuk mengandungi umbut yang lembut dan enak dimakan mentah atau di buat sayur. Saya pernah menebang pokok tal di Hutan Puchong, Selangor tahun 1988 ketika menjalani kursus 'jungle survival training' dan hanya makan umbut pokok tal selama 3 hari (Tiada bekalan makanan diberikan dalam kursus ini). Zaman dahulu ada daun pokok tal mempunyai bentuk yang sangat cantik dan pernah digunakan sebagai kertas tulis zaman dahulu ketika kertas belum ujud lagi. Kini daun tal diawetkan boleh digunakan sebagai atap atau produk hiasan dinding dimana ia tahan sehingga 2 tahun sebagai atap rumah.


Penanaman pokok buah tal merupakan satu kemungkinan jika hendak dimajukan kerana analisa ekonomi bagi tanaman ini kurang memberangsangkan. Di Malaysia tanaman ini popular untuk dijadikan tanaman hiasan atau ornamental sahaja dikawasan perbandaran atau muzeum pertanian untuk tujuan pendidikan. Walau pun permintaan untuk minuman segar akan terus meningkat tetapi dengan pokok yang tumbuh liar sedia ada mungkin mencukupi. Mungkin akan ada usahawan yang berminat menanam pokok tal secara komersil dikawasan tanah terbiar dengan pengurusan yang baik. Kini belum ada Pakej Teknologi Tanaman Buah Tal di ujudkan dari segi penanaman, pembajaan, pengurusan penyakit dan perosak serta teknik pemasaran.  Pokok Tal masih jauh lagi untuk dikomersilkan di negara kita.


BUAH KELAPA LAUT AFRIKA....BUAH TAL...
POKOK BERDURI....TINGGI DAN GATAL...
BUAH BULAT....TODINYA MEMABUKKAN...
KHASIAT UTAMA...BATUK DISEMBUHKAN...


by,
M Anem
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Melaka, Malaysia.
(6.10 pagi ; Cuti Raya lagi....)   

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...