Saturday, September 3, 2011

POKOK KEKABU

POKOK KEKABU (Ceiba pentandra) merupakan sejenis tumbuhan saka dari Keluarga Malvaceae (Dulu dipanggil sebagai keluarga Bombaceae) yang terdapat di Malaysia dan beberapa negara tropika lain didunia. Mungkin generasi muda sekarang tidak berapa mengenali tumbuhan ini akan kepentingan ekonomi kerana peranannya yang semakin berkurangan dalam kehidupann harian. Pokok Kekabu juga di panggil sebagai KAPOK (Malay ; Indonesia), Ceiba, Cotton Tree ; Cotton tree silk, True Kapok (English), Yaaxche (Maya, Mexico), Nun (Thai) dan juga Gon gau (Vietnamese). Tumbuhan ini dipercayai berasal (Native) didalam hutan di Mexico, Asia Tenggara (Malaysia dan Indonesia), Carribean, Bahamas, Afrika Barat dan Amerika Selatan. Saya memang kenal pokok kekabu atau pokok kapok ini kerana terdapat 4 pokok kekabu di belakang rumah saya di Kampong di Muar, Johor semenjak saya kecil lagi. Pokok kekabu memang mudah tumbuh dan cepat membesar. Malaysia banyak mengimpot kekabu daripada negara jiran seperti Indonesia untuk dijadikan bantal, tilam dan sebagainya dalam jumlah yang agak signifikan. Kajian saya dengan Jabatan Pertanian tidak melaporkan keluasan tanaman kekabu di negara kita secara rasmi. Artikel subuh 5 Shawal 1432H ini saya suka bebincang dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi tanaman kapok atau kekabu untuk tatapan anda.


Batang pokok kekabu
Pokok Kekabu mempunyai antara 10-20 spesis diseluruh dunia dimana ia merupakan pokok saka yang mampu mencapai ketinggian sehingga 40 -70 meter terutama yang tumbuh liar didalam hutan. Spesis yang lazim ditanam atau tumbuh di Malaysia dan Indonesia adalah jenis Ceiba pentandra. Pokok kekabu ini agak unik kerana mempunyai batang berwarna hijau kelabu yang lurus dan biasanya kurang bercabang pada peringkat awal pertumbuhan kecuali pada dibahagian atas yang membentuk kanopi. Kayu pokok kekabu diketegorikan sebagai kayu yang lembut (tidak keras) dan tidak mempunyai nilai ekonomi untuk dijadikan kayu balak. Kayunya mudah reput jika terdedah kepada matahari dan sesuai dijadikan bahan bakar atau kayu api sahaja dikawasan kampong. Batang pokok kekabu lazimnya akan mengeluarkan duri-duri besar yang tajam dan akan tanggal pada peringkat dewasa. Daun kekabu berwarna hijau dengan bentuk glaborous dengan tangkai berwarna hijau dan susnan bersilang. Pemerhatian saya mendapati terdapat 5,7 atau 9 helai daun dalam satu tangkai. Kegunaan daun kekabu ini juga belum ada kajian saintifik.


Bunga kekabu terbentuk pada dahan pokok kekabu dengan bilangan yang banyak dalam satu tangkai (Lihat foto). Bunga yang mempunyai 5 kelopak berwarna putih dan bahagian pangkal berwarna hijau ini juga mempunyai stamen dengan purata 5-10 bahagian seperti bergigi. Bunga yang didebungakan serangga akan menjadi buah kekabu yang berbentuk seperti buah koko ketika muda berwarna hijau berbentuk ellipsoid atau Kapsul Penduluous berukuran 10-30 cm panjang. Kulit Buah kekabu akan  bertukar kepada warna coklat gelap dan kehitaman pada peringkat matang dan akan pecah dan mengeluarkan isi kekabu atau 'Cotton Silk' yang melekat. Buah kekabu mengandungi isi kapas berwarna putih cerah dan biji-biji kekabu berbentuk bulat kecil berwarna hitam. Kajian saintis di Indonesia telah pun menunjukkan terdpat sebanyak 120-175 bilangan biji dalam setiap kapsul buah kekabu. Kapas Kekabu yang dihasilkan dari buah kapok ini adalah merupakan komponen terpenting hasil pokok kekabu.


Pokok kekabu merupakan perumah kepada banyak serangga, ulat, larva dan burung unggas. Serangga Kupu-kupu dan Rama-rama memakan daun pokok kekabu adalah dari Jenis Lepidoptera dan termasuk juga serangga perosak Ulat Pelombong Daun (Leaf miners) yang menjadikannya sebagai perumah utama. Buah kapok yang telah cukup matang perlu di petik sebelum ianya pecah dengan menggunakan galah atau alatan lain yang sesuai. Jika pokok terlalu besar dan tinggi perlu di panjang untuk mengutip buah kekabu. Jika dibiarkan maka kapas tersebut akan jatuh apa bila dituip angin. Terdapat juga buah kekabu yang akan gugur ketanah apabila matang tetapi jika terbuka akan menjatuhkan kualiti kapok kerana terkena tanah. Buah kapok yang dikumpulkan perlu dipecahkan untuk mengeluarkan isinya. Kapas kapok akan dikumpulkan dan digredkan mengikut warna, kualiti dan dibungkus dalam kertas coklat (Dipanggil sebagai kertas gantang) dengan berat 1 kg, 3 kg, 5 kg dan 10 kg (Besar) setiap satu.  


Kekabu atau Kapok digunakan untuk membuat Bantal Kekabu atau Tilam Kekabu yang sangat selesa untuk dijadikan sebagai alas untuk tidur dan berehat di Malaysia dan Indonesia. Bekalanan kekabu atau Kapok mudah didapati dikedai-kedai kain dengan harga RM20.00 satu bungkus seberat 3 kilogram. Saya beli dari Pekan Bukit Pasir sebanyak 3 bungkusan (3 kg setiap satu) dengan harga RM 60.00 untuk dijadikan sebanyak 5-6 biji bantal kekabu. Kajian menunjukkan bantal kekabu tahan sehingga 20-25 tahun asalkan tidak terkena air yang merosakkan struktur kapas kekabu dalam bantal. Lazimnya bantal kekabu perlu dijemur selalu dan dipukul dengan rotan atau kayu untuk mengeringkan kekabu dan membuang hama yang terdapat pada bantal kekabu. Kanak-kanak memang suka bantal kekabu kerana terdapat biji-biji hitam tercerai dalam bantal yang mereka suka 'gentel' ketika berbaring diatasnya.


Tumbuhan kekabu juga sesuai untuk dijadikan pokok hiasan atau pokok nungan jika mahu dikawasan perbandaran. Pokok ini mampu memberikan teduhan tetapi masaalah dihadapi ialah pada peringkat musim buah matang. Buah matang akan gugur dan menyebabkan buah yang jatuh bertaburan diatas tanah agak kotor dimana pihak berkuasa tempatan terpaksa membersihkannya. Tumbuhan kapok ini dilaporkan pernah digunakan sebagai tumbuhan untuk tujuan perubatan tradisional zaman dulu kala oleh masyarakat Mayan di Mexico. Kayu balak daripada pokok kekabu tidak sesuai untuk dijadikan kayu balak kerana kayu kapok adalah jenis kayu lembut dan mudah reput. Batang kayu kekabu mengandungi air yang tinggi dan mengecut apabila kering. Tumbuhan ini belum lagi dikaji sama ada sesuai untuk dikomersilkan ditanam kerana prestasi ekonomi yang agak rendah berbanding dengan tanaman komoditi lain. Pada masa ini kutipan kekabu adalah dari pokok-pokok kekabu liar dan yang ditanam secara tidak sengaja di kawasan rumah. Wallahualam.....


POKOK KAPOK...POKOK KEKABU....
BATANG BERDURI....WARNA KELABU...
DIBUAT BANTAL...BANTAL GEBU....
SANGAT LENA...KETIKA BERADU....


Related article you may want to read:
1. Pokok Kadok (Klik disini)
2. PokokPalas (Klik disini)
3. Buah Kuini (Klik disini)
4. Gamet-(Rosel Palsu (Klik disini)
5. RAMI (Klik disini)
6. SISAL (Klik disini)
7. Jut (Klik disini)




By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Istana,Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia
-Kemaskini artikel ini pada 15 Januari 2014
(5.50 pagi ; Masih Cuti Raya ...)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KLIK SAYA