KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, September 21, 2011

PULUT HITAM

PULUT HITAM (Oryza spp L) merupakan sejenis padi pulut yang ditanam di Malaysia untuk kegunaan masyarakat tempatan seperti untuk dibuat bubur pulut hitam, kueh muih berasaskan pulut hitam dan juga makanan untuk kesihatan.  Padi Pulut atau beras pulut ada dua jenis iaitu PULUT HITAM dan PULUT PUTIH iaitu sejenis beras dari kumpulan 'Sticky Rice'. Saya telah melawat lokasi penanaman padi Pulut Hitam di Kg Bukit Kechil, Bukit Rambai, Melaka bagi meninjau teknologi penanaman pulut hitam di kawasan tersebut. Menurut En Rashid (Pembantu Pertanian Kawasan Mukim Bukit Rambai) terdapat seluas 15-20 hektar penanaman pulut hitam di Daerah Melaka Tengah, Melaka melibatkan seramai 18 orang petani pada tahun 2011. Penanaman Pulut Hitam di Melaka merupakan satu aktiviti sampingan oleh beberapa pesawah secara bergilir-gilir dengan tanaman padi biasa (Varieti Padi Biasa ditanam - MR220) dan keluasan penanaman adalah mengikut permintaan dan kajian pasaran. Padi Pulut yang di tanam dikawasan ini adalah Jenis Padi Pulut Hitam iaitu dari Varieti PH9. Biji Benih padi pulut PH9 ini diperolehi daripada simpanan sendiri setiap musim penanaman atau dari rakan-rakan lain yang menanam pada musim sebelumnya. Artikel petang ini saya menulis mengenai Pulut Hitam berdasarkan lawatan ke lokasi penanaman dan temubual dengan petani serta kajian dari beberapa sumber rujukkan.


Varieti PH9 di Melaka
Kajian saya menunjukkan padi Varieti PH9 yang ditanam merupakan baka kacukan antara Varieti MR33 iaitu padi pulut putih dengan Padi Pulut Hitam Siam. Maklumat mengenai ciri-ciri padi pulut putih MR 33 yang menghasilkan pulut putih adalah mempunyai tempoh matang yang sederhana, pokok yang rendah dan hasil yang tinggi. Pokok padi pulut hitam Siam pula mempunyai ciri tempoh matang yang panjang, pokok yang tinggi tetapi hasil yang rendah. Kajian menunjukkan ciri-ciri pokok padi pulut hitam PH9 matang lebuh awal iaitu sekitar 132 - 137 hari selepas menanam atau menabur mengikut muism (Musim Utama atau Luar Musim) dengan pokok yang rendah iaitu sekitar  68 - 76 cm serta tidak mudah rebah. Potensi hasil varieti pulut PH 9 adalah 4.0 - 4.7 metrik tan sehektar. 


Padi Pulut tidak menerima subsidi harga padi daripada kerajaan dan lazimnya hasil dari kawasan ini dijual pada harga RM 2.40 sekilogram berbanding dengan harga padi beras putih biasa cuma RM 1.30 sekilogram (termasuk harga subsidi). Walau pun purata pengeluaran padi pulut hitam ini sederhana rendah iaitu 2,500 - 3,000 kg sehektar tetapi dengan harga RM 2.40 sekilogram petani memperolehi pendapatan kasar sebanyak RM 6,000 - RM 7,200 sehektar. Kawasan penanaman menerima sumber air dari sistem saliran JPS bagi penanaman Luar Musim Tahun 2011.  Perbincangan dengan seorang petani dilokasi iaitu En Osman bin Hitam , 58 tahun mendapati yang beliau memang menanam padi pulut hitam setiap luar musim kerana harga pasaran stabil, hasil lebih tinggi di luar musim dan kadar serangan perosak serta penyakit dapat dikawal. Beliau berkata pernah tanam padi pulut hitam Varieti Siam dan juga Padi Pulut Siding dahulu. 


Padi Pulut Hitam sering digunakan untuk dimasak bubur hitam atau dibuat kueh-kueh tradisional yang lain. Beras pulut hitam tidak perlu dikilat kerana kadar perolehan beras pulut adalah tinggi sebanyak 80% seperti jenis-jenis pulut tempatan yang lain. Kadar biji beras pulut hitam yang pecah semasa dikisar adalah rendah menjadikan pulut ini berkualiti dengan saiz biji pulut lingkungan 6.0 -6.2 mm panjang berkilat. Varieti ini mempunyai kualiti yang baik dan bermutu tinggi. Pemilihan benih varieti ini perlu di teliti semasa penyediaan kerana mengelakkan kejadian percampuran dengan debunga benih padi lain. Ada seorang petani lain Encik Ibrahim Saad, 64 tahun di Kg Pulau Gadong menanam padi pulut hitam Varieti Siam tetapi penghasilannya rendah sekitar 1,200 - 1,400 kg sehektar pada musim lepas. Pokoknya banyak yang rebah dan terdapat serangan hawar seludang dibeberapa lokasi. 


Bubur Pulut Hitam merupakan satu hidangan istimewa untuk dihidangkan semasa minum petang atau kini telah menjadi satu 'trend' dihidangkan semasa kenduri majlis perkahwinan selain daripada makanan utama 'Nasi Minyak'. Menyediakan menu bubur pulut hitam adalah mudah iaitu membasuh beras pulut, mentanak, bubuh sedikit garam, gula pasir atau gula melaka dan apabila empok dimasukkan santan kelapa. Santan kelapa juga boleh dibubuh kemudian dalam mangkuk hidangan apabila hendak makan. Hidangan ini sedap dimakan sewaktu masih panas suam terutama semasa lapar dan .......free. Terdapat pelbagai kueh-kueh berasaskan pulut hitam. Kueh Koci merupakan kueh tradisional paling popular dan beberapa jenis kueh lain.


Kueh kegemaran - KOCI
Penanaman padi pulut hitam perlu diteruskan di negara kita untuk mempastikan bekalan beras pulut hitam mencukupi dan pengguna dapat bekalan yang baru dan segar. Malaysia juga banyak mengimpot beras pulut (terutama pulut putih) dari Thailand dan Vietnam. Terdapat banyak kajian mengenai khasiat dari pulut hitam seperti bahagian pigmen warna hitam dengan kandungan flavoid yang tinggi, indeks gula darah yang rendah (sekitar 55 bernanding beras putih lain sebanyak 85) . Beras pulut hitam juga menyebabkan sistem buang air lebih baik dan kandungan unsur Mangnesium serta Kalium yang dapat mengurangkan tekanan darah tinggi. Diharap artikel ini memberikan maklumat berguna kepada para pembaca. Sekian.


By,
M Anem
Jalan Istana
Persimpangan Air Keroh
Melaka, Malaysia
(7.00 petang ; 23 Shawal 1432 H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...