Support My Blog

Tuesday, September 20, 2011

PADI ANGIN

PADI ANGIN bermaksud jenis-jenis padi (Oryza sativa) yang dikategorikan sebagai rumpai dimana ianya mempunyai sifat bijinya mudah terlerai daripada tangkai. Kejadian dan ujudnya banyak jenis padi angin dalam sawah padi merupakan satu masaalah kepada pesawah kerana ianya menjejaskan dan mengurangkan hasil padi. Ramai pesawah tidak dapat membezakan pokok padi padi angin dengan pokok padi biasa semasa peringkat awal penanaman sehinggalah padi masak. Tangkai padi nampak biasa sahaja tetapi apabila digengam atau dituai menggunakan jentera maka biji-biji padi pada tangkai mudah gugur dan jatuh ketanah. Malaysia mempunyai seluas 673,745 hektar kawasan penanaman padi pada 2010 melibatkan seramai 172,230 pesawah dimana seramai 125,110 terdapat di Semenanjung Malaysia dan bakinya di Sabah dan Sarawak yang diancam dengan kejadian padi angin yang terus merebak serta perlu dikawal. Pengeluaran padi di Malaysia sebanyak 2,368,309 metrik tan pada tahun 2010. Artikel ini saya membincangkan mengenai 'Padi Angin' dan teknologi yang berkaitan dengannya untuk tatapan pembaca semua.


Padi Angin boleh dikenali dari segi marfologinya setelah tanaman padi kita terbit tangkainya (Tangkai biji padi). KETINGGIAN pokok padi angin lazimnya lebih tinggi daripada pokok padi biasa dalam sawah. Bagaimana pun banyak juga padi angin yang sama tinggi dengan pokok padi biasa atau ada yang lebih rendah daripada varieti padi ditanam. Varieti padi yang paling banyak di tanam di Malaysia masa kini adalah MR 220.   Jika dilihat dengan teliti tangkai padi angin adalah dalam bentuk TERBUKA atau KOMPAK berbanding dengan padi ditanam yang seragam bentuknya. Sifat padi angin juga bijinya didapati mudah KARAT atau BERPIGMEN dengan warna biji lebih coklat gelap berbanding dengan padi ditanam tetapi ada juga yang sifat bijinya sama dengan padi yang ditanam. Biji padi angin juga didapat mempunyai JANGGUT atau BEREKOR (awn) dika diteliti pada tangkai padi. Akhir sekali dari segi marfologinya pesawah perlu melihat ciri perbezaan daun seperti kelihatan sifat daun pengasuh yang MELENTUR, MENEGAK dan juga MENDATAR pada pokok padi angin. 


Bagaimanakah padi angin ini memberikan ancaman pada pesawah?...
Padi Angin adalah adalah jenis RUMPAI yang menyerupai padi biasa dan kita amat sukar untuk mengenalinya dan mengawalnya semasa penanaman.  Padi Angin mempunyai batang yang tingggi dan ruas yang panjang serta bijinya mudah relai dengan spontan apabila digoyang atau akibat tiupan angin kuat. Biji padi angin yang jatuh dalam tanah adalah tahan lama tanpa rosak serta mempunyai daya rehat (dormancy period) lebih lama berbanding biji benih padi biasa yang ditanam. Bijinya  yang berwarna coklat karat mempunyai toleransi yang tinggi terhadap penggunaan racun rumpai yang disembur dimana ia agak sukar mati. Padi angin menyukarkan pesawah untuk menyimpan biji benih bagi tujuan bank benih serta terpaksa dihapuskan. Padi angin juga meudah membiak melaui aliran air sawah, trektor pembajak dan paling cepat melalui mesin tuai padi atau jentuai (Paddy Harvester).


Kajian di beberapa kawasan Jelapang Padi di Malaysia seperti di kawasan KADA, MADA, Sekinchan, Seberang Perak, Sungai Manik dan Terengganu mendapati kadar serangan mampu mencapai sehingga  20% jika tidak dikawal dengan serius. Kalau kadar keterukan serangan mencecah lebih 21% maka boleh menyebabkan banyak pokok yang rebah dan akibatkan kerugian secara menyeluruh kepada tanaman padi. Beberapa kajian daripada rakan-rakan dikawasan sawah padi menunjukkan kadar serangan sebanyak 20 tangkai setiap 1 meter persegi menyebabkan kehilangan hasil sebanyak 17%. Jika purata hasil padi setiap hektar di Malaysia sebanyak 4,500 kg/ha makan kerugian dialami sekitar 765 kg bernilai lebih dari RM 1,300 sehektar. 


INFESTASI merupakan terminologi yang bermaksud kehadiran sesuatu rumpai yang TIDAK DIKEHENDAKKI dalam satu persekitaran tanaman padi atau tanaman lain. Kadar infestasi rumpai yang saya faham dalam sawah padi adalah disebabkan oleh beberapa sebab. Pertama sekali ianya disebabkan oleh SUMBER BENIH PADI berpunca dari tiga sebab iaitu biji relai yang dorman dalam tanah, biji benih yang baru relai selepas menuai dan benih yang datang dari percampuran / kontiminasi dari jentera atau benih baru dibekalkan. Cara kita hendak mengetahui tahap keujudan infestasi padi angin dijalankan melalui PENGAMATAN  (Eye Score) dan Kaedah KUADRAT (Iaitu perincian yang jitu dimana mengira cara manual kandungan bilangan pokok padi angin dalam 1 meter persegi). Keputusan SKOR atau analisa daripada kajian melalui PENGAMATAN atau KUADRAT tadi boleh dijadikan panduan untuk kaedah pengawalan padi angin. 


Kawalan Padi Angin boleh dijalankan melalui 3 cara iaitu KAEDAH MEKANIKAL, KAEDAH FIZIKAL dan juga KAEDAH KIMIA. Kaedah Mekanikal yang paling mudah dan lazim dijalankan ialah melalui Kaedah Pembajakkan Sawah setiap musim penanaman. Pembajakan yang dijalankan akan melumatkan tanah, menghancurkan akar rumpai dan mematikan rumpai-rumpai halus. Pembalikan tanah sawah juga akan mendedahkan biji benih kepada cahaya matahari dan mudah untuk disembut dengan racun kimia bagi membunuhnya. Kawalan Mekanikal walau pun jarang-jarang dilakukan kini oleh petani membantu mengawal padi angin dengan menakai, mencabut dan membakar padi angin dalam sawah walau pun prosesnya agak lama, leceh dan memerlukan lorong khas untuk menakai.


Kaedah kawalan paling popular adalah dengan menggunakan Kaedah Semburan Racun Kimia. Selain daripada mudah diaplikasikan, kaedah ini juga cepat, berkesan, kadar kejayaan yang agak tinggi dan senang untuk mendapatkan bekalan racun dari pembekal. Jenis racun yang digunakan dari jenis Racun SERAP (Systemic) dan Racun SENTUH (Contact). Disyorkan agar jenis-jenis racun yang hendak digunakan ditukar silih berganti untuk elakkan kadar Rintang. Sebaiknya pastikan mengawal air dalam sawah ketika semburan racun kimia dijalankan. Diantara beberapa jenis racun yang boleh digunakan seperti 2,4-D, Atrazine, Disimba, Glyphosate, Isopropylamine, Pretilachlor dan Propanil. Pesawah perlu mempastikan penggunaan racun kimia mengikut arahan pada lebel. 


Keujudan padi angin dalam sawah padi menyebabkan kerugian kepada petani dan perlu sentiasa dikawal dalam semua peringkat. Padi Angin merupakan ANCAMAN kepada pesawah kerana rumpai ini menyerupai padi biasa. Padi angin adalah sukar untuk dikawal dan ianya tidak mendatangkan hasil. Latihan Hands-On dan pemahaman oleh pesawah tentang pencirian padi angin, tahap infestasi, kaedah kawalan serta pemahaman mengenai MANUAL OPERASI kawalan padi angin perlu diterapkan kepada pesawah. Walau pun ada beberapa kaedah mengawal padi angin dengan memperkenalkan Variti Baru MR 220 ianya pada tahap awal perlaksanaannya. Semuga artikel ini memberikan sedikit maklumat berguna kepada pembaca semua.


PADI ANGIN....NAMPAK SERUPA PADI.....
SUKAR DIKAWAL....TERUS MENJADI-JADI...
MENGURANGKAN HASIL...PESAWAH RUGI....
3 MODIUL KAWALAN....PERLU DI KENALPASTI...


By,
M Anem
Jalan Istana,
Lebuh Air Keroh,
Melaka, Malaysia.
(22 Shawal 1432H; 8.55 malam)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...