Support My Blog

Friday, February 4, 2011

PETANI MALAYSIA

MALAYSIA adalah sebuah negara membangun yang merdeka dimana sektor pertanian merupakan salah satu penyumbang ketiga penting dalam Keluaran Negara Kasar Negara (KDNK). Terdapat seramai 924,403 orang petani, penternak dan nelayan yang terlibat secara terus dengan pengeluaran bahan makanan di Malaysia direkodkan pada tahun 2010 (Laporan Agromakanan, Kementerian Pertanian Malaysia, 2011). Daripada jumlah tersebut seramai 615,450 adalah petani yang terlibat dalam sektor tanaman makanan, 159,335 adalah mereka yang terlibat dalam sektor ternakan dan seramai 149,618 adalah didalam sektor perikanan. Sektor Pembuatan, Perkhidmatan dang Pertanian menyumbangkan pendapatan negara selain daripada pengeluaran minyak, elektronik, produk minyak sawit dan lain-lain untuk diekspot keluar negara. Malaysia pernah mencapai kedudukan ke 17 dalam dunia sebagai 'negara pengekspot' terpenting didunia. Sektor pertanian banyak disumbangkan oleh industri perladangan (Kelapa Sawit, Getah, Koko, Kelapa dan sebagainya) selain daripada sektor perhutanan, pengeluaran bahan makanan, pemprosesan asas tani dan perikanan serta penternakan. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai maklumat asas petani di Malaysia yang terlibat dengan aktiviti pengeluaran tanaman makanan negara berdasarkan maklumat dari pembacaan, pengalaman dan rujukan saya kebeberapa laporan dan sesawang.



Sumber: Laporan Tahunan Agromakanan, Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani, 2011

Perbincangan ini akan menumpukan kepada maklumat petani mengikut komoditi tanaman makanan iaitu mengikut Kategori Petani iaitu Kategori Pesawah bagi komoditi Padi, Petani Sayur-sayuran, Petani Buah-buahan, Petani Tanaman Kontan dan Petani Tanaman Makanan Lain. Artikel ini tidak melaporkan petani yang terlibat dengan tanaman industri seperti petani kelapa sawit, getah, kelapa, kopi, pekerja estet dan lain-lain kategori. Laporan ini juga tidak melibatkan peneroka-peneroka FELDA dan FELCRA atau pekerja-pekerja yang terlibat dalam industri tersebut. Mereka yang terlibat dalam industri asas tani, penternakan dan perikanan juga tidak dibincangkan dalam artikel ini tetapi akan dibincangkan dalam artikel saya yang lain.




Pesawah atau Petani yang terlibat dengan sektor Industri Tanaman Padi dilaporkan seramai 172,230 orang dengan seramai 125,090 orang pesawah berada di Semenanjung Malaysia dan seramai 8,920 orang di Sabah dan 38,220 orang di Sarawak. Mereka mengusahakan sawah seluas 673,745 hektar tanaman padi pada tahun 2010 dan pengeluaran padi sebanyak 2,548,309 metrik tan. Daripada jumlah keluasan tersebut seluas 320,931 hektar sawah terletak di Semenanjung Malaysia semantara bakinya di Sabah dan Sarawak. Keluasan Jelapang Padi Malaysia adalan sebanyak 204,578 hektar di Kedah, Kelantan, Selangor, Perak, Terengganu dan beberapa negeri lain. Negeri Kedah mempunyai bilangan pesawah paling ramai di Malaysia dengan sejumlah 31,820 orang diikuti dengan Kelantan (30,610 orang), Perak (18,780 orang) dan Selangor (17,580 orang). Walau pun Sarawak melaporkan seramai 38,220 orang petani yang terlibat dengan penanaman padi, tetapi saya yang pernah bertugas di Sarawak rasa data ini mungkin perlu di teliti semula kerana ramai diantara mereka adalah penanam padi bukit atau padi huma sebagai pertanian sara diri. Petani di Sarawak menanam padi bukit dengan skala kecil dan bukan petani seperti pesawah yang menanam untuk tujuan komersial seperti ditempat lain. Mereka menanam satu kali setahun padi bukit dan penghasilan kebanyakan untk dimakan sendiri.



Malaysia adalah negara yang menggunakan beras sebagai makanan utama dan mengimpot sebanyak 1.94 juta tan beras dari luar negara terutama dari negara Thailand, Vietnam, Myanmar dan beberapa negara lagi pada tahun 2009. Purata Kadar penghasilan tanaman padi negara cuma 3,782 kilogram sehektar pada tahun 2010 berbanding cuma 3,514 kg sehektar pada tahun 2007 (iaitu kadar positif). Purata penghasilan padi di Semenanjung sebanyak 4,261 kg sehektar berbanding dengan purata penghasilan di Sabah (3,489 kg/ha) dan di Sarawak cuma 1,888 kg sehektar (Di Sarawak termasuk purata hasil untuk padi bukit). Purata penghasilan padi dikawasan Jelapang Padi adalah sebanyak 4,347 kg sehektar. Teknologi pengeluaran padi oleh petani di Sekinchan Selangor mencapai tahap terbaik dengan pengeluaran hasil melebihi 8-10 metrik tan sehektar. Nilai pengeluaran padi negara sebanyak RM 4.014 billion pada tahun 2010.



Terdapat seramai 46,040 petani yang mengusahakan tanaman sayuran di Malaysia pada tahun 2010 dengan bilangan paling ramai dari Sarawak (11,920 orang) diikuti dengan Kelantan (11,300 orang) dan Sabah (7,080 orang). Bilangan petani yang ramai tidak mencerminkan jumlah pengeluaran sayuran di Malaysia kerana kebanyakan petani di Sarawak dan Kelantan hanya menanam sayur untuk kegunaan sendiri sahaja dan menjalankan pertanian sara diri. Negeri Johor yang mempunyai bilangan hanya 4,920 petani merupakan pengeluar utama sayuran segar di Malaysia dengan pengeluaran sebanyak 163,570 metrik tan pada 2010 berbanding cuma sebanyak 63,920 metrik tan sahaja dari 11,300 penanam sayur di Kelantan. Pengeluaran sayuran setiap petani di Sarawak jauh lebih rendah berbanding dengan kapasiti pengeluaran sayuran di Negeri Johor. Faktur lokasi, pasaran, teknologi, kesesuaian tanah dan kemahiran petani menentukan produktiviti penanam sayur di Malaysia. Petani di Cameroon Highland Pahang dan Kundasang di Sabah merupakan kumpulan petani yang aktif dalam mengeluarkan sayur-sayuran bersuhu seserhana sejuk di negara kita. Malaysia mengekspot sebanyak RM 633.5 juta sayuran dan mengimpot sebanyak RM 2,268.4 juta sayuran pada tahun 2010 dimana sayuran yang diimpot merupakan sayuran 'temperate'.




Industri Tanaman Buah-buahan negara melibatkan seramai 308,970 orang petani pada tahun 2010 dengan bilangan petani paling ramai terdapat di Negeri Kelantan (70,930 orang) diikuti dengan Negeri Johor (70,900 orang) dan Sarawak (59,270 orang). Petani di Kelantan cuma mengeluarkan hanya 1/5 (satu per lima sahaja) dari pengeluaran di Negeri Johor menunjukkan tahap komersilisasi di Johor adalah moden dan produktif. Malaysia mempunyai seluas 298,429 hektar kawasan buah-buahan dengan pengeluaran sebanyak 1,767,800 metrik tan pada 2010. Antara buah-buahan utama yang di majukan di Malaysia adalah Durian (Bernilai RM 1.394 billion) diikuti dengan Nenas (Bernilai RM 644.9 billion), Pisang (Bernilai RM 476.2 billion), Tembikai (Bernilai 309.4 billion) dan buah-buahan seperti belimbing serta buah-buahan bermusim yang lain. Petani di Johor menanam buah-buahan secara komersial dan berskala besar di beberapa daerah untuk di ekspot dan kegunaan domestik.


Kajian saya juga mendapati seramai 28,640 petani terlibat dengan Pengeluaran Tanaman Kontan atau tanaman jangkapendek di Malaysia pada 2010. Kebanyakkan petani tersebut berada di Negeri Johor (14,040 orang) diikuti dengan Sabah (4,140 orang), Sarawak (2,310 orang) dan Kedah (2,080 orang). Negeri Johor menyumbangkan 46% daripada jumlah pengeluaran tanaman kontan negara seperti ubi kayu, keladi, jagung, keledek, tebu dan sebagainya. Nilai pengeluaran tanam kontan negara yang utama adalah Jagung (RM 118.2 juta) diikuti dengan Ubi Kayu (RM 41.6 juta), Tebu (RM 39.7 juta) dan Keledek (RM30.7 juta). Penanam kontan ini merupakan mereka yang membekalkan bahan mentah untuk aktiviti pemprosesan makanan (Industri Asas Tani) yang banyak di Johor dan Selangor. Terdapat 58,920 orang petani yang terlibat dengan tanaman makanan lain di Malaysia seperti tanaman herba, minuman, umbisi dan sebagainya.




Sumber: Laporan Tahunan Agromakanan, Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani, 2011


Struktur petani di Malaysia banyak di pengaruhi oleh keadaan tanah sesuatu negeri, kemudahan pasaran, jenis petani dan tanaman utama sesebuah negeri. Bagi kawasan jelapang padi memang diketahui kemudahan infrastruktur disediakan oleh kerajaan seperti di MADA, KADA, IADA Barat Laut Selangor, IADA Pulau Pinang, IADA Besut, IADA Krian Sg MAnik dan beberapa kawasan lain. Kawasan luar jelapang menerima kemudahan yang disediakan juga oleh kerajaan tetapi pada skala yang kecil oleh JPS. Diantara kumpulan petani diatas kajian saya mendapati petani dari kumpulan penanam sayur menerima purata pendapatan kasar paling tinggi diikuti dengan petani buah-buahan, petani tanaman kontan dan paling rendah pesawah padi. Pengalaman saya menjaga TKPM Sekijang mendapati petani penanam sayur komersial di TKPM (2 hektar/peserta) mampu mencapai RM 4,000 - RM 6,000 bersih sebulan.




Dalam Rancangan Malaysia ke 10 mungkin terdapat perubahan dalam sektor pertanian negara dari segi pengeluara bahan makanan negara dimana peranan sektor swasta berskala besar disasarkan akan mengeluarkan banyak sayur-sayuran untuk diekspot, Pembacaan saya daripada web PEMANDU mendapati beberapa 'anchor company' telah dikenalpasti untuk mengeluarkan buah-buahan dan sayur-sayuran untuk pasaran global. Peranan petani tradisional masih relevan dalam sumbangannya kepada sektor pertanian seperti petani saradiri di Sabah dan Sarawak yang betcucuk tanam untuk kegunaan sendiri. Mereka perlu terus di bantu dalam meningkatkan amalan teknologi pertanian dengan varieti baru, kawalan perosak dan penyakit serta meningkatkan kualiti hasil.

Related article you may interested :
1. Industri Perikanan di Malaysia (Klik disini)
2. Industri Bunga di Malaysia (Klik disini)
3. Industri Ternakan di Malaysia (Klik disini)
4. Industri Ikan Akuarium di Malaysia (Klik disini)
5. Industri Benih di Malaysia (Klik disini)
6. Status of planting material in Malaysia (Click here)
7. Ternakan ayam di Malaysia (Klik disini)
8. Ternakan babi di Malaysia (Klik disini)
9. Bahan Tanaman di Malaysia (Klik disini)
10. Klon buah popular di Malaysia (Klik disini)

By
M Anem

Senior Agronimist
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Melaka
Malaysia
"Selamat Tahun Baru Cina 2011"
(Kemaskini pada 14 April 2013)


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...