KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, February 1, 2011

ALAT PEMBALUT PUTIK CEMPEDAK



Alat Pembalut Putik Cempedak atau ringkasnya APC-2 telah dicipta oleh Kumpulan Inovasi Pejabat Pertanian Daerah Mersing yang di ketuai oleh Hj Mohd. Anim bin Hosnan, Alat ini telah mendapat pengiktirafan dari panel Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam Malaysia (AIPA) pada tahun 2000. Ahli Kumpulan ini terdiri daripada Hj Mohd Anim (Ketua), Zahit Hasan, Zani Husin, Aziz, Saiful, Samat , Zul dan juga Yusof. Alat ini merupakan sejenis alat yang memudahkan kerja-kerja membalut putik cempedak yang tinggi dengan mudah dan cekap. Publisiti alat ini telah di masukkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 14 Mac 2000 muka hadapan. Artikel ini membentangkan laporan akbar tersebut untuk paparan pembaca.



MUKA HADAPAN UTUSAN MALAYSIA
14 MAC 2000)



SEMAKIN POPULAR... Alat pembalut cempedak, APC-2, ciptaan Jabatan Pertanian Johor, yang memenangi Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam, Jabatan Pertanian Malaysia Ogos tahun lalu kini semakin mendapat perhatian ramai, khususnya pekebun buah-buahan.Alat tersebut dapat membantu meningkatkan hasil kebun buah-buahan. Ia memudahkan kerja membalut putik-putik buah cempedak, nangka, mangga dan belimbing.APC-2 adalah hasil kajian dua tahun oleh Kelab Jabatan Pertanian Daerah Mersing diketuai oleh pegawai pertaniannya, Mohd. Anim Hosnan.APC-2 kini dijual pada harga RM80 seunit bagi set lengkap dan RM40 seunit bagi set hopper untuk membantu memudahkan pekebun membalut buah-buahan daripada serangan serangga.
* MOHD. ANIM Hosnan menunjukkan alat pembalut putik cempedak atau APC-2 di Pejabat Pertanian Mersing, semalam.



MERSING 13 Mac - Alat pembalut putik cempedak yang dikenali APC-2 ciptaan Jabatan Pertanian Johor yang terpilih memenangi Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam, Jabatan Pertanian Malaysia Ogos tahun lalu kini semakin mendapat perhatian ramai. Alat tersebut adalah hasil usaha dan kajian selama kira-kira dua tahun oleh Kelab Jabatan Pertanian Daerah Mersing yang diketuai oleh Pegawai Pertaniannya, Mohd. Anim Hosnan. Mohd. Anim berkata, pihaknya berminat untuk mereka cipta alat tersebut berikutan pengeluaran hasil cempedak milik para petani rendah akibat serangan serangga perosak.

''Berdasarkan tinjauan yang kami buat kebanyakan para pemilik pokok cempedak tidak dapat membungkus putik cempedak pada had ketinggian melebihi enam kaki, menyebabkan putik-putik yang berada di ketinggian 1.8 meter ke atas tidak dapat dibungkus,'' katanya kepada Utusan di sini hari ini.

Berikutan itu kata Mohd. Anim, pihaknya telah berusaha mencipta alat tersebut yang terdiri daripada tiga bahagian iaitu bahagian penyampul, bahagian galah dan bahagian pembalut. Menurutnya, bahagian penyampul yang beratnya kira-kira 400 gram, galah sepanjang 4.5 meter yang diperbuat daripada bahan aluminium seberat 500 gram dan penarik tali sepanjang lima meter. Kata Mohd. Anim, pada bahagian pembalut pula ialah plastik berukuran 30 sentimeter x 40 sentimeter dan pengikat yang terdiri daripada gelang getah.

''Selepas inovasi dilakukan kami dapati APC-2 dapat memudahkan kerja di ladang untuk membalut putik cempedak dan buah-buah lain seperti nangka, mangga, limau bali, belimbing, sukun dan sebagainya,'' katanya.
Selain itu katanya alat itu juga dapat mengurangkan kos operasi membalut putik cempedak daripada RM1,340 sehektar kepada RM577 sehektar.

Beliau berkata, APC-2 juga berjaya mengurangkan kadar serangan serangga yang mengakibatkan kerosakan buah kepada sembilan peratus sahaja serta mengurangkan kerja meracun putik cempedak yang mana tidak perlu diracun sama sekali. Menjawab satu pertanyaan Mohd. Anim berkata, potensi alat berkenaan amat cerah sekali kerana kini terdapat ramai pekebun yang mengusahakan dusun cempedak atau nangka.

''Kami kini menerima banyak permintaan untuk memiliki alat tersebut yang dijual pada harga iaitu RM80 seunit bagi set lengkap dan RM40 seunit bagi set hopper. Alat tersebut kini mendapat sambutan hangat di seluruh negara khasnya di kalangan para pekebun yang memiliki dusun cempedak, nangka dan juga mangga,'' ujarnya. Beliau berkata, antara negeri-negeri yang banyak menempah alat tersebut ialah Pahang, Melaka, Kedah, Sabah, Terengganu, Johor dan Sarawak.

Reported by:
M Anem
Mersing
Johor

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...