KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, February 19, 2011

BAWANG BESAR (Onion)


Bawang Besar (Alium cepa var. cepa) atau Onion adalah sejenis sayuran umbisi dalam keluarga LILIACEAE yang telah ujud dan ditanam di Mesir semenjak 2,700 tahun dulu dan merupakan tanaman makanan penting yang digunakan diseluroh dunia. Tumbuhan ini dipercayai berasal dari kawasan Asia Barat dan Asia Tengah dan kini telah di usahakan diseluroh dunia. Bawang besar juga di panggil sebagai Onion; Bulb onion (English), Oignon (Peranchis), Bawang Besar ; Bawang Bombay (Malaysia, Indonesia, Brunei), Sibuyas (Filipina), Ktum barang (Kemboja), Biwax balang (Laos), Hom-hunyai (Thailand) dan Hafh cur tinly (Vietnam). Artikel kali ini saya menulis mengenai teknologi tanaman bawang besar yang tidak ditanam di Malaysia tetapi banyak digunakan dalam masakan kita seharian berdasarkan kepada pembacaan saya dari buku "Vegetable Production in SEA Country" dan lawatan saya ke Thailand dan Filipina beberapa tahun dulu yang berpeluang melawat tanaman ini semasa berkursus.

Kajian saya mengenai data pengeluaran bawang besar dari FAO Statistik Report menunjukkan bahawa pengeluaran bawang besar dunia pada tahun 2008 sebanyak 3.367 juta metrik tan dengan negara China sebagai pengeluar utama sebanyak 835,060 mt diikuti dengan Jepun (535,340 mt) dan Korea Selatan (523,439 mt). Negara lain yang banyak menanam bawang besar adalah New Zealand, Nigeria, Mexico, Tunisia, Korea Utara dan Equador. Dikalangan negara Asia Tenggara hanya Thailand (2,200 hektar setahun) dan Filipina (7,000 hektar setahun) yang banyak menanam bawang besar. Indonesia pula ada mula menanam tetapi tidak berlaku di Malaysia. Kita mengimpot bawang besar sebanyak 150,000 - 250,000 mt setiap tahun.

Kajian saintifik mendapati setiap 100 gram bawang besar, bahagian yang boleh di makan mengandungi 83 g air, protin (1-2 g), Karbohiderat (5-9 g) dan tenaga 150 KiloJoule. Bahagian bawang yang boleh dimakan mencapai 90% kerana bawang besar hanya mempunyai kulit yang sangat nipis dan bertahan agak lama. Kandungan terpenting dalam bawang besar dikenali sebagai S-Alkenyl cysteine sulphoxides iaitu bahan aktif yang berfungsi dalam menambahkan perisa dan kesedapan dalam makanan. Saya memang suka makan bawang besar mentah atau segar terutama bila makan sate atau dijadikan ulam ketika makan nasi (Lihat Foto sate). Bawang impot di Malaysia lebih dikenali dengan Bawang Besar China (jenis Bulat) lebih sedap berbanding dengan Bawang Besar India (Bulat Leper - lebih pedas).

Tanaman bawang besar atau Onion ini mengeluarkan bau atau aroma yang kuat apabila di pecahkan dari bahagian umbisi (bulb, daun dan akar). Tanaman bawang adalah jenis umbisi dengan daun dari bawah setinggi 40-50 cm serta berwarna hijau. Daunnya adalah alternate (5-8 helai), leaf-blade cylindrical, pejal di bawah dan hollow di bahagian atas atau pucuk dengan pucuk yang tajam/tirus. Buah bawang besar atau bulb terletak dibahagian dalam tanah yang berbentuk bulat, lonjong atau leper bergantung kepada varieti dan mempunyai kulit nipis. Bunganya terbentuk seperti 'spherecal ambel' dengan ukuran 2-5 cm mengandungi 50-2,000 jambak berwarna ungu atau hijau putih. Kajian mendapati seepas pendebungaan buah onion akan terbentuk berukuran 4-6 diameter seperti kapsul megandungi 6 biji benih. Biji benih onion berukuran 6mm x 4mm yang berwarna hitam dan berkerekot apabila kering (Lihat foto sebelah).

Penanaman bawang besar sesuai ditanam diatas tanah gembur berpasir yang subur dan lazimnya di tanam diatas batas. Benih bawang besar (Jenis Red Creole) perlu disemai diatas tapak semaian selama 6 - 8 minggu dan perlu diberikan teduhan. Apabila anak semaian bersaiz seperti pensil atau setinggi 15 cm terus di tanam/diubah keatas batas dengan jarak tanaman sejauh 30 - 40 cm dalam baris dan 50-60 cm antara baris (2 baris diatas batas). Terdapat juga beberapa varieti di Filipina seperti 'Granex' dan 'Red Pinoy' yang ditanam biji benih terus keatas batas terutama di waktu musim hujan. Sistem pengairan penting pada peringkat awal penanaman tetapi jika air berlebihan juga akan memusnahkan tanaman.

Pembajaan bagi bawang besar adalah penting dengan menggunakan baja organik dan baja sebatian kimia. Baja Nitrojen perlu diberikan pada peringkat awal pertumbuhan vegetatif sehingga keperingkat hampir matang ditambah unsur Posforan dan Kalium. Sebaiknya tanaman bawang merah diberikan sungkupan seperti jerami padi atau rumput kering seperti apa yang dijalankan di Filipina dan Thailand. Petani perlu menlaksanakan penggiliran tanaman (Crop Rotation) bawang merah untuk elakkan serangan dari nematod, kulat Sclerotium dan Fusarium.

Masalah utama tanaman bawang merah adalah serangan teruk oleh Kulat Altenaria porri (Penyakit Purple Blotch - Lihat foto sebelah) yang menyebabkan pokok boleh mati dan perlu dikawal dengan racun kimia seperti Dithane. Serangan Reput Pangkal oleh Kulat Fusarium oxysporium juga berlaku pada semua peringkat dan perlu dikawal dengan amalan penggiliran tanaman atau menggunakan varieti tang rintang. Tahukah anda terdapat juga Penyakit Bintik Daun yang disebabkan oleh Stemphyllium botryosum dan serangan ini boleh dikawal dengan racun kimia jenis carbamate?... Memang banyak masaalah dalam teknologi tanaman bawang besar. Kita beli sahaja di Malaysia pun murah dan senang dapat. Penyakit lain ialah Penyakit Antraknos (Collectotricum cicirnans) , Penyakit Black Mould (Aspegillus niger) dan Penyakit Terbakar Pucuk (Botrytis squamosa).

Belum habis lagi masaalah tanaman bawang besar ni... Terdapat banyak serangga perosak yang juga meminati bawang besar seperti Ulat ratus/ Army worm (Spodoptera exigua) yang makan daun bawang dan juga serangan Kutu Thrips (Thrips spp) yang merosakan daun. Virus juga menyerang onion iaitu massalah 'onion yellow dwarf - Pokok terbantut seperti foto sebelah) dan Penyakit Aster yellow yang sering berlaku. Selepas dituai bawang besar juga diserang bakteria iaitu jenis Pseudomonas aeruginosa dan Ervinia carotovora yang menyebabkan kerugian semasa penyimpanan di setor. Nematod (Melodoigyne spp.) juga menyebabkan kerosakan akar yang menjejaskan hasil jika penggiliran tanaman tidak dijalanan. Kalau begitu.....patutlah petani di Malaysia tak tanam bawang besar...lebih baik impot saja , tak pening kepala!

Penuaian bawang besar dibuat selepas 90 -150 hari lepas semai atau tanam mengikut varieti dan lokasi. Lazimnya penuaian di jalankan pada musim kering iaitu bulan March-April dengan mencabut bawang yang telah cukup matang. bulb dengan daun tadi digantung untuk beberapa hari dikebun sehingga daunnya cukup kering sebelum diasingkan bulb dan dibuat penggreddan. Bulb kemudian dimasukan dalam guni berjaring dan disimpan dalam setor untuk dijual. Hasil bergantung kepada varieti bawang merah. Jenis 'Granex' mampu menghasilkan 15-20 metrik tan sehektar di Filipina dan Thailand walaupun purata penghasilan di kawasan asia cuma 14 mt.ha berbanding dengan penanaman onion di Eropah mencapat 50 mt/ha.

Bawang besar di masukkan kedalam guni dengan berat 20 kg /guni yang disusun datas rak-rak kayu didalam setor yang mempunyai pengudaraan yang baik. kajian juga mendapati bawang besar yang di simpan dalam bilik sejuk bersuhu o darjah celsius mampu bertahan selama 6 bulan. Mebaca daripada artikel ini saya rasa memang teknologi penanaman bawang besar agak rumit dan adakah memadai dengan harga yang di tawarkan di Malaysia! Kita beli satu kilo cuma RM 6.00 - RM 7.00 satu kilogram atau biasanya satu guni 2 kg dijual dengan harga RM 14.00 sahaja. Sampai bila kita harus impot bawang merah kerana tidak menanam sendiri di Malaysia. Baru-baru ini China, Thailand dan Filipina mengalami bencana alam banjir...akan naik lagi harga bawang besar nanti.
Wasallam.



OMPUTIH KATA ONION... ITU BAWANG BESAR...
BANYAK DIGUNAKAN.....NAK TANAM SUKAR....
BANYAK DIIMPOT....SENANG DAPAT DIPASAR....
SELALU DIMAKAN....BADAN PUN SEGAR...


Related articles:
1. Bawang Merah (Klik disini)
2. Bawang Putih (Klik disini)
3. Daun Bawang (Klik disini)
4. Celery (Klik disini)
5. Sayuran Popular DI Malaysia (Klik disini)



By,
M Anem
Pct 11
Putrajaya
Malaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...