KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, February 2, 2011

BETIK


BETIK (Carica papaya L.) adalah sejenis tanaman jenis buah-buahan tropika yang ditaanam di Malaysia untuk tujuan domestik dan ekspot dari keluarga Caricaceae. Tanaman betik pada tahun 2010 dilaporkan seluas 3,403 hektar dengan hasil sebanyak 49,790 metrik tan. Tanaman betik paling luas di tanam di Kedah (1,274 hektar) dengan Daerah Padang Terap merupakan daerah paling luas menanam betik iaitu seluas 1,224 hektar pada tahun 2010. Negeri lain yang luas menanam betik adalah Pahang (845 hektar di Daerah Temerloh dan Bentong) dan Negeri Johor (345 hektar – Daerah Muar dan Segamat). Tanaman betik juga dikenali juga sebagai 'paw-paw', Gandul (Indonesia), Papaya (English) dan pelbagai lagi iaitu merupakan sejenis tumbuhan herba jenis saka yang hidup sederhana singkat. Tanaman ini dipercayai berasal dari West Indies atau Mexico. Betik mengandungi banyak vitamin, zat2 galian dan dapat membentu mencernakan serta elakan sembelit. Artikel kali ini penulis berbicara dalam "Anim Agro Technology" tentang teknologi tanaman betik berasaskan pengalaman penulis menjalankan tanaman betik di projek TKPM dan pengalaman mengajar dalam bidang pertanian.


1. KEPERLUAN MENANAM BETIK
Kajian saya mendapati tanaman betik di Malaysia terdapat beberapa jenis betik yang dibiakbaka secara tempatan dan juga beberapa jenis yang diimpot dari luar negeri. Betik tempatan diperolehi dari pemilihan beberapa varieti jenis tempatan seperti Batu Arang, Morib, Subang 6, Taiping 3, Serdang 1 dan Sitiawan mempunyai isi yang berwarna merah. Jenis-jenis yang dibiak di luar negeri mempunyai isi berwarna kuning dan diantaranya ialah Sunrise Solo dan Honey Dew. MARDI telah mengeluarkan Betik Eksotika 1 dan Eksotika 2 dan merupakan jenis kacukan yang mempunyai kualiti buah-buahan yang baik. Jenis betik Piola merupakan betik yang berasaskan dari betik Eksotika 3 yang di promosikan oleh MAFC untuk tujuan domestik dan ekspot yang banyak ditanam di kawasan Lanchang. Pahang.



2. KEPERLUAN AGRONOMI BETIK
Betik adalah tanaman singkat masa sederhana yang hidup antara 1-4 tahun bergantung kepada pengurusan yang dijalankan. Pokok betik mempunyai batang menegak dan mampu hidup sehingga 5m dengan daun berwarna hijau. Buah betik berbentuk lonjong (Buah Hemaprodite) dan agak Bulat (Buah Betik Betina - Foto sebelah). Buah hemaprodite mempunyai rasa yang lebih baik dan harga lebih tinggi dari betik betina. Pokok betik ada yang di panggil sebagai ‘Pokok Jantan’ dimana hanya bunga sahaja dikeluarkan dan tidak ada buah .
Keperluan tanaman betik adalah seperti berikut:-

i. Faktor Iklim
Betik sesuai ditanam di kawasan-kawasan yang mendapat taburan hujan yang sama rata sepanjang tahun. Keperluan hujan tidak kurang dari 1,200 mm setahun dan keadaan kemarau boleh menyebabkan keguguran bunga-bunga betik. Suhu sesuai untuk tanaman betik ialah diantara 21-33oC. Tidak sesuai ditanam di kawasan yang mengalami tiupan angin kencang kerana pengakarannya yang cetek pokok mudah tumbang. Betik ditanam di Malaysia dikawasan tanah baru, kawasan tanaman semula getah atau kelapa sawit dan TKPM.

ii. Faktor Tanah
Kawasan tanaman betik memerlukan tanah yang bersaliran baik. Jenis tanah yang mudah dibanjiri air adalah tidak sesuai. Bagi tanah-tanah yang sederhana sesuai atau bermasalah betik boleh ditanam dengan pengurusan yang bersesuaian bergantung kepada masalah yang dihadapi. Masalah tanah yang kurang subur diatasi dengan program pembajaan yang disyorkan dan gunakan tambahan baja organik. Caranya ialah dengan membajak atau mengemburkan lapisan padat (di bawah 50 cm) atau berbatu dan pecahkan lapisan padat dan buang batu-batu jika perlu. Kemudian buat batas atau timbunan (Kawasan tanah berpaya) dan juga sediakan lubang tanaman yang sempurna dan ikuti program pembajaan yang disyorkan. Kawasan tanaman betik mesti mempunyai sistem saliran yang sangat baik. Kawasan yang curam dan bercerun perlu mengelakkan hakisan tanah dengan menanam penutup bumi atau menanam mengikut kontor, membina teres atau tapak pentas. Sediakan parit kontor dan lain-lain.




3. VARIETI BETIK
Diantara varieti betik yang disyorkan untuk ditanam di Malaysia adalah seperti Varieti Subang 6, Setiawan, Batu Arang, Eksotika, Betik Sekaki dan Piola. Terdapat beberapa variety tradisional yang masih ditanam seperti betik panjang dan pelbagai lagi. Kebanyakan benih betik di beli daripada kedai pertanian komersial dan juga daripada pemilihan sendiri oleh petani. Benih betik eksotika dijual dengan lingkungan harga RM 1,000 sekilogram. Kadar percambahan benih betik lingkungan 60-70% dan setiap perdu perlu ditanam 2 anakbenih untuk memudahkan pemilihan pokok hemaprodite.

Varieti Betik Subang 6 adalah jenis yang sesuai untuk diproses kerana warna isinya yang menarik serta saiz buahnya seragam. Ia juga boleh dimakan segar kerana senang dihiris dan tidak mudah patah. Jenis ini sangat subur pada peringkat awal pertumbuhan dan berbuah awal, lebih kurang 42-44 minggu selepas disemai. Buah yang masak mempunyai warna kulit kuning seragam dengan permukaan buah yang sangat bersih dan bebas daripada bintik-bintik atau lebam manakala tekstur isinya bagus dan mantap, dengan kandungan gula yang rendah.

Varieti Betik Sitiawan merupakan jenis yang lebih sesuai untuk diproses atau ditinkan kerana hasilnya tinggi dan isinya yang pejal. Ia mempunyai tumbesaran yang sangat subur, ketinggian yang sederhana dan cepat berbuah, kira-kira 44-45 minggu selepas disemai. Varieti Betik Batu Arang mempunyai ketinggian pokok yang sederhana tetapi cepat berbuah. Ianya mula berbunga 4-6 bulan selepas disemai dan mengambil masa selama 5 bulan untuk buah membesar dan masak. Tumbesaran dan penghasilan pokok amat sensitif kepada faktor-faktor alam persekitaran seperti suhu yang tinggi dan kemarau.

Varieti Betik Eksotika (Foto sebelah) ialah hasil kacukan secara berulang-ulang diantara jenis luar negeri Sunrise Solo dengan jenis tempatan Subang 6. Hasil kejayaan ini, betik Eksotika merupakan jenis yang berpotensi untuk pasaran. Pokok Betik Eksotika sederhana tingginya dan mula berbunga pada peringkat umur 3-4 bulan selepas ditanam. Buah akan dihasilkan dan kematangannya akan mengambil masa selama antara 4 ke 5 bulan, dewasa pokoknya setinggi lebih kurang 80 cm dari permukaan tanah. Kesemua pokok betik eksotika akan menghasilkan buah jantina iaitu bermofrodit dan buah betina. Buah bermofrodit berkeadaan panjang berbentuk pir, kecil di bahagian pangkal dan besar menirus ke bahagian hujung. Sementara buah betina berbentuk bulat. Berat sebiji diantara 600-800 gm dan mempunyai kandungan gula yang tinggi 14-15 TSS. Isinya tebal berwarna samar kemerahan, rongga ovarinya kecil, berbau wangi dan lazat rasanya.



Varieti Betik Panjang atau lebih dikenali dengan panggilan Betik Sekaki atau Betik Hong Kong merupakan betik paling popular di tanam pada masa kini. Betik ini menjadi pilihan ramai petani kerana potensi hasilnya yang tinggi, cepat berhasil dan merupakan variety yang agak tahan daripada serangan penyakit ‘Papaya Dieback’. Varieti ini merupakan jenis yang paling banyak diekspot keluar Negara terutama ke China melalui Hing Kong. Betik ini mempunyai rasa yang manis, bentuk yang menarik dan warna isi yang sesuai untuk di promosikan. Varieti Betik Piola mempunyai keistimewaan cirri-ciri saiz buah yang sederhana, kulit yang agak tebal, tahan lama dan sesuai untuk pasaran antarabangsa. Betik Pioala (Foto kanan) adalah varieti yang di promosi dan ditanam oleh MAFC di TKPM Lanchang, Pahang dan merupakan varieti yang disasarkan untuk pasaran ekspot. Betik Pioala mempunyai ciri-ciri dan bentuk seperti betik eksotika (Asalnya adalah eksotika 3) dengan rasa yang manis dan mempunyai kulit yang agak tebal dan tahan lama. Betik ini mempunyai ciri ketahanan yang lebih baik dari serangan Papaya Dieback dan PSRV dengan kaedah pengurusan yang mengikuti konsep Amalan Pertanianbaik. Varieti ini disasarkan untuk di majukan dalam RM ke10 dibawah NKEA seperti yang diwar-warkan didalam akhbar dan PEMANDU. 


4. PEMILIHAN LOKASI MENANAM BETIK
Tanaman betik sesuai kepada tanah yang mempunyai struktur dan saliran yang baik tetapi sentiasa berkeadaan lembab. Tanah yang terendam air tidak sesuai bagi tanaman betik. Pohon betik akan hidup subur di kawasan lapang tetapi tidak terdedah kepada angin yang kencang. Cahaya matahari yang cukup dan taburan hujan yang serata adalah mustahak bagi tanaman betik. Elakkan menanam betik jika telah dikenalpasti terdapat serangan penyakit PSRV atau Papaya Dieback dikawasan tersebut atau berhampiran dengannya. Pilih kawasan yang ada infrastruktur asas seperti jalanraya, jalanladang, perparitan dan kemudahan asas lain.

5. PENYEDIAAN BIJI BENIH
Tanaman betik perlukan bijibenih berkualiti dari punca yang boleh dipercayai. Benih betik perlu disemai diatas tapak nursery menggunakan ‘nursery tray’ yang diisi dengan cocopeat atau tanah dan perlu menyemai 2 kali keperluan pokok. Sebanyak 1,700 pokok anak benih diperlukan bagi tanaman setiap hektar tanah dan ditambah 10% atau 200 pokok lagi untuk sulaman jika ada yang tidak hidup selepas ditanam. Biji benih elok disemai ke dalam polibeg, yang berukuran 15 cm x 22 cm. Isikan polibeg dengan campuran 2 bahagian tanah lapisan atas, 1 bahagian pasir sungai dan 1 bahagian bahan organik (tahi ayam atau tahi lembu). Sebelum biji benih disemaikan, adalah baik dirawat terlebih dahulu dengan racun thiram untuk mengelakkan terkena serangan kulat. Tanamkan biji benih sedalam 2 cm ke dalam tanah. Jangan tanam terlampau dalam kerana ditakuti benih tidak akan bercambah disebabkan terlampau cetek biji benih yang disemai akan berubah-ubah tempat semasa menyiram dan kecambahannya akan terganggu. Biji benih akan bercambah dalam masa satu minggu. Sedang anak benih beransur membesar, taburkan racun siput di merata kawasan, untuk mengelakkan daripada serangan siput. Selain anak benih berumur 6-8 minggu ataupun telah berdaun 8-12 helai, anak semaian boleh diubah ke ladang.




6. CARA PENANAMAN BETIK
Kawasan yang akan ditanam betik hendaklah dibersihkan dan dibajak. Gali lubang sedalam 30 cm dan 30 cm lebar. Jarak tanaman 1.8 m x 2.7 m, boleh ditanam sebanyak 1,700 pokok sehektar. Semasa menanam gaulkan tanah di permukaan atas dengan baja phosphate sebanyak 200 g -250 g. Pilihlah musim hujan yang sederhana apabila hendak menanam, kalau masa hujan yang banyak boleh menjadi keadaan terlalu lembab, dan akar betik yang belum berfungsi itu menjadi busuk.



7. AMALAN AGRONOMI
Pembajaan tanaman betik adalah aktiviti yang kritikal kerana tanaman betik adalah responsif dengan pembajaan. Penggunaan baja sebatian kimia dan baja organic mesti dijalankan untuk mempastikan penghasilan buah berterusan dan berkualiti. Kajian saya mendapati amalan pembajaan yang diamalkan berdasarkan kepada jarak tanaman betik. Faktur lain pembajaan juga berdasarkan kepada umur pokok, kepadatan tanaman, jenis tanah dan juga variety yang digunakan. Pembajaan asas adalah dengan menggunakan TSP dan Baja Organik seperti tahi ayam. Baja NPK 15:15:15 digunakan dengan kadar 0.05 – 0.35 kg sepokok dari bulan pertama sehingga bulan ke lima. Baja NPK 12:1217:2 diberikan pada bulan keenam sebanyak 0.35 kg sepokok setiap 6 bulan. Pengairan tanaman betik perlu terutama pada musim terlampau kering, pokok-pokok betik perlu disiram air, jika tidak pertumbuhannya akan terganggu. Kekurangan air juga boleh menyebabkan bunga-bunga betik menjadi gugur.


8. KAWALAN RUMPAI
Apabila pokok muda, rumpai di keliling pokok dikawal dengan mencangkul atau mencabut dengan tangan. Rumpai diantara pokok boleh juga dikawal dengan semburan racun glufosinate ammonium (Basta). Selepas itu, ' 'spot spraying' dengan Glufosinate ammonium atau paraquat dibaut setiap 2 bulan sekiranya perlu. (Racun herba sistemik seperti Glyphossate dan 2, 4-D Amine tidak boleh digunakan untuk betik). Terdapat satu kebun di Pagoh yang mengamalkan kawalan rumpai di kawasan tanaman betik tapa menggunakan racun iaitu dengan mesin potong rumput dan mengamalkan amalan pertanian organik. Hasil betik diladang tersebut dijual dengan label organic iaitu setelah memohon Skim Persijilan Ladang Organik (SOM) Jabatan Pertanian.

9. PENYAKIT BETIK
Betik mempunyai masaalah serangan penyakit dan perosak dalam pengendaliannya. Antara penyakit yang serious adalah Papaya Ringspot Virus (PSRV) dan Penyakit Papaya Dieback. Kedua-dua penyakit ini di gazetkan dibawah Akta Perlindungan Tanaman 1974 yang mana pokok betik yang dijangkiti perlu dimusnahkan segera. Industri betik Negara terjejas teruk dengan serangan kedua-dua penyakit ini sejak 10 tahun dahulu yang menyebabkan kerugian berjut ringgit setiap tahun. Saya mempunyai pengalaman dalam operasi membenteras kedua-dua penyakit ini diseluroh negeri Johor.


Penyakit Antraknos (Colletotrichum gleosporioides) menyerang bahagian dahan dan ranting dan juga mengakibatkan keadaan seperti mati pucuk. Batang kering dengan cepat, bermula dari hujung dan merebak ke bahagian bawah batang. Daun menjadi kecut dan gugur. Bahagian yang diserang mempunyai garis-garis perang gelap di hujung. Amalkan pertanian yang baik dan guna racun kulat mengikut label seperti mancozeb, thiophanate-metyl, prochhloraz zinc complex. Musnahkan buah dan daun yang berpenyakit. Penyakit Reput Akar (Phytopthora parasitica) dimana bahagian daun muda menjadi layu, daun tua menjadi kuning dan patah terkulat di sekeliling batang sebelum jatuh. Pokok tidak tahan kemarau dan senang tumbang bila ditiup angin. Amalkan pertanian yang baik. Cabut dan musnah pokok yang berpenyakit dan jaga kebersihan ladang. Gunakan racun Benomyl (0.1%) atau Mancozeb (0.1%) serta elakkan dari air bertakung dalam kawasan bertanam. Penyakit Daun Berumpun atau kerekot (Cladosporium oxysporum) dibawa oleh vector dikenali sebagai Kutu Trip (Thrips spp) dan ianya hanya terdapat pada betik variety eksotika. Pucuk daun yang diserang akan kelihatan cacat dan terdapat bintik daun serta bintik berlubang 1-3 mm. Pada daun tua kelihatan binti perang, sekelilingnya berwarna kuning dan daun kelihatan kerekot. Dalam keadaan teruk hanya tinggal tangkai daun ssahaja. Pokok keliahtan bantut dan buah menjadi kecil. Gunakan racun serangga mengikut label untuk mengawal kutip trip serta racun kulat yang sesuai. Penyakit Bintik Berlubang (Corynespora cassiicola) berlaku dengan serangan pada daun matang kelihatan bintik-bintik perang muda berbentuk bulat dan berlubang di tengash sehingga 5 mm lebar. Musnahkan daun-daun yang dijangkiti terutama daun yang tua dan duan gugur. Amalkan pertanian yang baik dan pembajaan yang mencukupi.


Penyakit Virus Bintik Cincin Betik (PSRV) adalah betik ini adalah penyakit yang merbahaya kepada tanaman betik. Ianya disebabkan oleh sejenis virus dan sangat mudah merebak. Virus ini tidak boleh dikawal dengan racun perosak. Penyakit ini belum pernah dijumpai di Malaysia, tetapi dilaporkan telah merebak di negara jiran. Kawalan dengan menebang dan memusnahkan pokok yang ada tanda2 serangan. Negeri Johor terjejas teruk serangan penyakit ini yang mula di kesan di daerah Batu Pahat kemudian tersebar keseluroh daerah. Penyakit Bintik Cincin Betik menyerang tanaman betik di peringkat anak dan pokok dewasa. Di peringkat anak pokok, tanda-tanda serangan adalah seperti daun-daun muda terbentuk tidak sempurna. Tanda-tanda kerosakan pada batang seperti akan kelihatan jalur-jalur basah hijau gelap seperti direndam air (water-soaked streak) pada tangkai daun dan batang pokok. Kawalan PSRV dengan memusnahkan pokok yang berpenyakit dan memusnahkan juga perumah lain seperti tanaman jenis timun (cucurbits).


Di peringkat pokok dewasa, tanda-tanda serangan PSRV boleh dilihat pada daun, batang dan buah.dimana tanda-tanda awal serangan pada daun:ialah dimana daun muda mula menguning (kuning cair) dan di peringkat pertengahan serangan, lingkaran daun ketiga (dari atas) menjadi kuning nyata. Tanda-tanda pada buah ialah dimana terdapat bintik-bintik bewarna hijau gelap di peringkat buah muda dan lingkaran berwarna kekuning-kuningan melingkari tompok-tompok hijau gelap di peringkat buah matang. Buah juga menjadi kecil dan tidak sempurna bentuknya jika diserang di peringkat muda. Tanda-tanda pada batang dilihat dimana pokok terbantut dan kecil serta kelihatan lakaran hijau berminyak atau bintk-bintik hijau pada batang. Tanaman betik yang dijangkiti penyakit ini akan terencat pertumbuhannya, mengurangkan hasil sebanyak 60%, merendahkan mutu dan saiz buah dan warna isi pucat dan tidak manis.Selain dari itu, elakkan daripada menanam tanaman selingan berikut dalam kebun betik iaitu tanaman Tembikai atau Timun Cina, Petola, Labu dan Tanaman-tanaman lain dari keluarga mentimun. Tanaman selingan dari keluarga mentimun boleh menyebabkan tanaman betik diserang penyakit bintik cincin. Oleh itu, sebagai langkah keselamatan, kerapkan pemeriksaan kebun betik tuan. Tindakan awal mengesan penyakit ini menyelamatkan masa, tenaga dan wang.


Penyakit Mati Rosot Betik (Papaya Dieback) adalah penyakit paling serious masakini dan perlu dimusnahkan segera. Penyakit ini merosakan tanaman betik diseluroh Negara dan dikawal dngan menebang atau memusnahkan pokok yang ada tanda serangan dan digazet dibawah akta tumbuhan.


10. PEROSAK TANAMAN BETIK
Lalat Buah (Bactrocera spp.) adalah serangga yang mana larva (berenga) mengorek serta memakan isi buah menyebabkan isi buah menjadi lembut dan busuk. Musnah buah yang diserang dengan cara menanam ke dalam tanah sedalam satu kaki. Pasang perangkap methyl-eugenol. Gunakan racun seperti cypermethrin. Perosak Hamama Merah (Tetranychus spp.) akan menyerang bahagian pucuk, daun dan buah pada semua peringkat dengan menghisap cairan. Serangan meningkat di musim kemarau. Sebur dengan racun hamama tetradifon. Perosak Kutu Trip (Thrips parvispinus) pula menyerang bahagian pucuk, daun muda dan kudup bunga pada semua peringkat pertumbuhan. Menghisap cairan dari bahagian yang diserang. Sembur dengan racun serangga seperti deltamethrin.


11. MEMUNGUT HASIL
Pokok betik akan mula berbunga apabila berumur lebih kurang 4 bulan selepas ditanam. Penjarangan buah perlulah dijalankan untuk menjaga bentuk dan saiz buah yang seragam. Selepas lebih kurang 8-9 bulan ditanam, pokok betik jenis ini sudah mula mengeluarkan hasil. Bila sebahagian kulit buahnya berwarna kuning, bolehlah dipetik buahnya. Pada peringkat ini, buahnya senang dikendalikan kerana tidak mudah rosak. Disamping itu dapat dihindarkan dari terkena serangan lalat buah dan penyakit Antraknos. Buah-buah yang dipetik di peringkat ini tahan disimpan selama seminggu. Bagi sepokok, hasilnya boleh mencapai kepada 25 kilo sepanjang hayatnya. Masa pengeluaran, hasil yang banyak adalah diantara 18-24 bulan, bermula dari bulan ke sepuluh selepas ditanam di ladang.


11. INDEKS KEMATANGAN DAN PENUAIAN BUAH BETIK
Umumnya buah betik dituai pada peringkat umur 150-164 hari selepas bunga kembang. Oleh sebab peringkat kematangan betik sangat berkait rapat dengan perubahan warna kulit buah, penuaian sering dilakukan berdasarkan indeks warna buah tersebut. Buah betik sudah boleh dituai sebaik sahaja terdapat perubahan warna pada kulit buah. Perubahan warna kulit buah ini biasa mula berlaku di bahagian lurah pada hujung buah. Penuaian mengikut indeks kematangan iaiu Indeks warna 1 dimana buah berwarna hijau sepenuhnya. Belum matang, tidak akan masak dengan sempurna. Indeks warna 2 dimana buah berwarna hijau dengan sedikit kesan kekuningan, sesuai untuk pasaran eksport, Indeks warna 3 dimana warna kulit lebih hijau daripada kuning sesuai untuk pasaran eksport, Indeks warna 4 dimana warna kulit lebih kuning daripada hijau, sesuai untuk pasaran tempatan, Indeks warna 5 dimana kulit berwarna kuning dengan kesan kehijauan, sesuai untuk pasaran tempatan dan Indeks warna 6 dimana Kulit berwarna kuning sepenuhnya, masak sepenuhnya.

Buah pada indeks warna 1 masih tidak sesuai dipetik kerana kematangannya tidak jelas. Walaupun isi sudah kemerahan, kulitnya masih hijau dan buah ini dikhuatiri tidak masak dengan sempurna dan kandungan pepejal larut kurang daripada 10%. Di Hawaii, buah petik yang masak perlu mengandungi jumlah pepejal larut 11.5% bagi memenuhi gred piawaian. Buah betik untuk tujuan eksport sebaik-baiknya dituai pada indeks warna 2 atau selewat-lewatnya pada indeks warna 3. Buah pada peringkat ini lebih tahan terhadap operasi pengendalian lepas tuai dan tempoh penyimpannya lebih panjang. Buah ini mempunyai ciri-ciri rasa yang memuaskan setelah masak. Penuaian buah pada indeks warna 4 dan 5 pula mungkin hanya sesuai untuk pasaran tempatan kerana hayat penyimpanannya pendek iaitu buah akan masak dengan cepat. Buah-buah ini juga tidak sesuai untuk pengangkutan yang jauh kerana tidak tahan terhadap himpitan sama sendiri disebabkan buah sudah lembut. Penuaian mestilah dilakukan dengan cermat kerana buah betik sangat mudah tercedera. Penuaian yang sebaik-baiknya ialah dengan memulas tangkai menggunakan tangan.

12. SPESIFIKASI PIAWAIAN - GRED BETIK EKSOTIKA
(Sumber: FAMA)

Spesifikasi piawaian dan gred ini adalah untuk Betik Eksotika (II) yang nama botaninya Carica Papaya L.Var.Eksotika dari famili CARICACEAE. Nama asalnya MARDI Backcross Solo.

Definasi Terma bagi tujuan spesifikasi tersebut, terma-terma yang digunakan akan bermaksud:-

Tahap kematangan (terdiri dari 6 indeks)

Indeks 1 :
Seluruh permukaan kulit berwarna hijau sepenuhnya. Tidak sesuai untuk pasaran. 
Indeks 2 :
Permukaan kulit berwarna hijau dengan sedikit tompok kekuningan. Buah telah matang.
Indeks 3 :
Permukaan kulit berwarna hijau melebihi permukaan yang berwarna kuning.
Indeks 4 :
Masak. Permukaan kulit berwarna kuning melebihi permukaan yang berwarna hijau.
Indeks 5 :
Seluruh permukaan kulit berwarna kuning dengan sedikit tompok hijau.
Indeks 6 :
Terlalu masak, keseluruhan permukaan kulit berwarna kuning. Tidak digalakkan untuk dipasarkan.

Buah Betik Kotor dimana buah yang terdapat kesan-kesan kotoran yang tidak dibersihkan seperti kesan getah, serangga, tanah dan lain-lain bahan asing. Buah Segar adalah keadaan buah tidak kecut dan kulit tidak berkedut semantara. Buah Cacat adalah buah yang bentuknya tidak normal seperti bengkok dan berbonggol dan Buah Cacat Rupa jika terdapat tanda-tanda yang mencacatkan rupa seperti berbintik dan kesan parut serta tidak boleh dibersihkan, tetapi tidak menjejaskan isi buah. Kesan ini meliputi 10% - 25% permukaan kulit buah. Buah Rosak
Buah yang rosak akibat kecederaan mekanikal seperti luka, pecah, lebam dan busuk atau reput akibat serangan penyakit dan makhluk perosak serta kesan seperti cacat rupa yang melebihi 25% permukaan kulit buah. Tahap Kematangan Seragam dimana konsainan yang mengandungi satu indeks tahap kematangan atau gabungan 2 indeks yang terdekat.

Keperluan Minima pengekspotan buah betik domana adalah agak bebas daripada rosak disebabkan kecederaan mekanikal dan penyakit, kotoran, kecacatan dan sesuai untuk dimakan oleh manusia. Cirinya ialah Tangkai buah yang tidak melebihi 0.5 cm dan telah mencapai peringkat kematangan yang mencukupi (indeks 2 - indeks 5) seperti yang dikehendaki oleh pasaran. Bagi Pengelasan Gred dan Saiz dibagahikan kepada 2 gred iaitu Gred 1 dan Gred 2. Bagi Gred 1 mesti mempunyai kandungan bahan pepejal larut > 10oBrix, Kematangan yang seragam (maksimum kelonggaran: 5%), Kerosakan (maksimum kelonggaran: 10%) ,Kecacatan: cacat, kotor, cacat rupa (maksimum kelonggaran: 10%), Saiz yang seragam dan berat > 600 gm (maksimum kelonggaran: 5%). Bagi kategori Gred 2 mesti mempunyai ciiri Kematangan yang seragam (maksimum kelonggaran: 10%), Kerosakan (maksimum kelonggaran: 15%) ; Kecacatan: cacat, kotor, cacat rupa (maksimum kelonggaran: 20%) dan Saiz yang seragam: berat > 300 gm x 600 gm (maksimum kelonggaran: 5%). Bagi kategiri Buah Luar Gred adalah buah yang tidak memenuhi ciri di atas.

Pembungkusan dan Perlabelan Betik dibuat terutama Betik Eksotika daripada gred yang sama hendaklah dibungkus menggunakan bekas yang sesuai supaya dapat memberi perlindungan yang optimum daripada kerosakan semasa pengendalian dan pengangkutan. Kertas atau bahan lain yang digunakan untuk membalut atau mengalas hendaklah bersih dan tidak akan menyebabkan kerosakan semasa pengendalian dan pengangkutan. Berat bersih yang dibenarkan bagi satu unit pembungkusan ialah tidak melebihi 30 kg. Untuk tujuan Perlabelan dibuat dengan tiap-tiap unit pembungkusan hendaklah dilabel yang mengandungi maklumat seperti Tarikh, Nama / Kod Penanam, Nama / Kod Pengeksport ,No. Kad Pengenalan, No. Pendaftaran Syarikat, Alamat , Komoditi , Berat Bersih dan Gred. Bagi tujuan Persampelan dengan bilangan sampel dan kaedah persampelan bagi tujuan pemeriksaan adalah berdasarkan kepada MS 78:1973 Method of Sampling Fresh Fruits atau kaedah statistik yang dipersetujui.

13. KECEDERAAN DINGIN BUAH BETIK
Penyimpanan buah-buahan pada suhu rendah boleh melambatkan proses buah masak. Walau bagaimanapun, kebanyakan buah tropika dan subtropika peka terhadap suhu rendah. Buah-buahan tersebut boleh mengalami kerosakan fisiologi yang dikenali sebagai kecederaan dingin apabila didedahkan pada suhu di bawah had kritis. Suhu kritis kecederaan dingin bagi kebanyakan buah tropika adalah sekitar 10-15oC. Tahap kecederaan dingin pada produk yang peka terhadap suhu rendah bergantung pada jangka masa penyimpanan serta rendah suhu.

Tahap kematangan juga mempengaruhi berlakunya kecederaan dingin. Buah pada peringkat praklimakterik iaitu pada peringkat awal kematangan lebih peka kepada kecederaan dingin berbanding dengan buah pada peringkat pascaklimakterik. Bagi buah betik, tahap dan simptom kecederaan dingin yang berlaku berbeza-beza mengikut varieti dan kaedah penyimpanan. Kecederaan dingin pada betik Solo berlaku pada suhu penyimpanan 7 darhah Celsius, manakala bagi betik Eksotika, simptomnya mula kelihatan pada keadaan iaitu setelah disimpan selama 5 hari pada suhu 10oC dan setelah disimpan selama 4 minggu pada suhu 12oC. Bagi simptom kecederaan dingin dilihat dengan terdapat lekukan pada permukaan kulit, bintik-bintik berwarna , rang yang hitam, peningkatan serangan kulat dan penyakit masak tidak seragam atau tidak masak atau kelihatan buah yang lebam.

Bagi mengatasi kecederaan dingin, beberapa kaedah boleh digunakan untuk mengatasi masalah ini. Antaranya ialah dengan mengolah suai keadaan penyimpanan, pengawalan atmosfera di sekeliling buah, pengawalan kelembapan, penyimpanan pada tekanan rendah, penggunaan bahan kimia dan modifikasi genetik. Kaedah mengolah suai keadaan penyimpanan memberi kesan positif pada buah betik. Kaedah ini dapat dilakukan dengan berbagai-bagai cara. Antaranya adalah dengan penyimpanan tertangguh, iaitu menyimpan buah yang peka terhadap suhu dingin pada suhu ambien untuk seketika sebelum disimpan pada suhu dingin, penyimpanan berselang-seli pada suhu dingin dan suhu ambien dan pendedahan buah pada suhu lebih tinggi sedikit daripada suhu kecederaan dingin.

Kaedah mengekalkan kelembapan persekitaran yang tinggi semasa penyimpanan juga boleh membantu mengelakkan kecederaan dingin. Caranya ialah dengan pembungkusan atmosfera terubahsuai. Sistem penyimpanan yang sesuai dan pengawalan suhu yang optimum amat penting untuk memanjangkan tempoh simpanan sesuatu komoditi. Perkara ini perlu diberi perhatian yang serius dalam merancang pengeluaran dan pemasaran komoditi-komoditi yang mempunyai potensi eksport.

Tanaman betik merupakan industri yang perlu diteruskan di Malaysia kerana mempunyai potensi yang sangat baik untuk penghasilan domestik dan ekspot. Betik adalah buah-buahan tidak bermusim yang beoleh ditanam sepanjang tahun seperti juga Tembikai, Melon dan juga pisang. Penanaman secara komersial dijalankan secara sistematik dengan benih berkualiti dan manjalankan Amalan Pertanian Baik. Masaalah serangan penyakit PSRV dan Papaya Dieback perlu dikawal dan dibendung dengan serious agar industry tanaman betik Negara akan terus maju pada masa akan dating. Wasallam!.



TANAM BETIK….BUAH TEMPATAN…
VARIETI SEKAKI…JADI KESUKAAN….
PENYAKIT PSRV..PERLU KAWALAN...
EKSPOT BETIK….SATU CABARAN.


By
M Anem

Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Air Keroh,
Melaka, Malaysia.
(Kemaskini pada 16 Disember 2014)

6 comments:

  1. Salam sejahthera Encik Anem, bolehkan Encik Anem memberi tips bagaimana varieti betik di Malaysia (khususnya eksotika, subang dan sekaki) boleh dibezakan? Adakah varieti betik2 ini mudah diperolehi di gerai buah-buahan?

    Sekian terima kasih..

    Vic

    ReplyDelete
  2. Varieti betik kalau nak kenal kena kursus dulu. Betik Eksotika memang susah nak dapat sekarang. Kadang2 di Pasar Malam ada jual Paling banyak kini varieti Betik Sekaki (Betik Hong Kong) dan Betik Subang.

    ReplyDelete
  3. assalam en anem
    saya berminat untuk mengusahakan tanaman betik di kebun sawat yg akan ditebang & tanam semula pd 2014 ( 8 ekar ).

    1- Adakan jab pertanian ada menawarkan kursus yg berkaitan dgn tanaman betik & bagaimana cara utk mengikutinya.

    2 - Saya ingin "copy" artikel en anem, bagaimana caranya.

    sekian terima kasih

    zamzam bin zainuddin
    012 7810864
    zamzam_z@hotmail.com
    Labis, Segamat, Johor.

    ReplyDelete
  4. boleh ke jika nak betik dalam 20tan sebulan dan berapa harga nya

    ReplyDelete
  5. saya nak minta kebenaran copy artikel ini untuk folio sains pertanian saya. boleh?

    ReplyDelete
  6. kalau buah betik tu sudh dituai, berapa lamakah ia boleh bertahan???
    (tempoh penyimpanan betik lepas tuai)

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...