Support My Blog

Saturday, February 12, 2011

NURSERI

NURSERI (Nursery) atau Tapak Semaian adalah satu kawasan dimana anak benih tanaman dibiakkan untuk di jual atau di edarkan kepada pelanggan. Terdapat pelbagai jenis nurseri di jalankan di Malaysia sama ada ianya dibuat oleh sektor kerajaan, separuh kerajaan atau swasta yang bersaiz besar, sederhana, kecil-kecilan atau keliling rumah sebagai hobi sahaja. Kajian saya mendapati pada tahun 2014 sahaja terdapat sebanyak 736 buah nurseri komersial swasta yang telah di kenalpasti oleh Jabatan Pertanian di seluruh negara di Malaysia yang menghasilkan bahan tanaman seperti bunga-bungaan, anak pokok buah-buahan, keratan, kelapa, ornamental, rumput, anak benih kellapa sawit , getah, kelapa, koko dan sebagainya. Nilai industri nurseri di Malaysia lingkungan RM 8 - RM 10 juta setahun. Bagaimana pun jika dimasukkan dengan nilai nurseri untuk pengeluaran benih getah dan kelapa sawit nilainya akan bertambah sekali ganda. Nurseri oleh kerajaan biasanya mengeluarkan anak benih tanaman buah-buahan dari klon yang disyorkan dan mempunyai jaminan kualiti dan ketulinannya. Artikel kali ini saya berkongsi maklumat dalam "Anim Agro Technology" mengenai industri nurseri berdasarkan pembacaan, pengalaman dan rujukan beberapa buku dan laporan rasmi dalam talian untuk dikongsi bersama.

Kajian saya mendapati Negeri Johor merupakan lokasi yang paling banyak mempunyai nurseri tanaman dengan sebanyak 128 syarikat beroperasi diikuti dengan Selangor (98) , Sabah (72), Sarawak (68) dan Pahang (56). Kawasan Daerah Muar di Johor merupakan daerah yang paling banyak bilangan tapak semaian diikuti dengan Daerah Batu Pahat dan Johor Bahru dimana pasaran utama nurseri di Johor adalah untuk domestik dan ekspot ke Singapura. Di Muar sahaja terdapat sebanyak 67 syarikat swasta yang menjalankan perniagaan tapak semaian yang menghasilkan pelbagai jenis bahan tanaman daripada bunga-bungaan, ornamental, kelapa sawit, getah, orkid, buah-buahan, tanah sehinggalah kepada jualan pasu , tanah, racun, baja, alatan pertanian, benih dan sebagainya. Salah satu syarikat yang terkenal di Muar seperti Syarikat Bu Seng Chong mempunyai rangkaian kawasan nurseri sehingga melebihi 500 ekar yang lokasinya berselerak di seluroh Daerah Muar, Johor. Syarikat mampu menjual semua jenis bahan tanaman untuk pasaran tempatan dan juga ekspot kenegara jiran. 

Industri nurseri perlukan kawasan dan lokasi yang strategik dan sesuai sebelum dimulakan. Sebaiknya tapak nurseri berada ditepi jalan utama yang mudah dilihat oleh orangramai untuk tujuan pameran dan tarikan pelanggan. Tapak ini mesti mempunyai sumber air yang mencukupi sama ada kolam, sungai, tasik atau sumber air bersih lain yang murah dan elakkan dari memilih kawasan yang rendah untuk elakkan banjir. Pengalaman saya sebagai pegawai pertanian Daerah Muar selama 5 tahun mendapati pemilihan lokasi utama nurseri hampir 70% terletak di tepi jalan utama. Tapak semaian sokongan pula dipileh dikawasan pendalaman untuk menyokong tapak semaian utama. Papan tanda di letakkan di depan setiap tapak semaian dan ditulis dengan nama syarikat, pemilik syarikat, nombor talipon, alamat serta senarai bahan tanaman yang dijual.

Sebaik sahaja kita masuk nurseri akan lihat pameran anak pokok bunga-bungaan dalam pasu atau dalam polibeg yang disusun dengan menarik dan berwarna-warni sebagai daya tarikan utama. Anak benih bunga-bungaan ini di letakkan secara terbuka atau dibawah struktur rumah pelindung hujan atau dibawah struktur jaring naungan. Terdapat pejabat dan pusat jualan di laluan masuk utama yang mempamerkan pelbagai keperluan perkebunan seperti tanah campuran, pasu tanah, media tanaman, cocopeat, pasu plastik, baja (baja buah, Baja bunga, baja Foliar), Racun kimia, biji benih, alat perkakasan perkebunan (Penyodok, cangkul, dsb) dan juga risalah. Pemilik atau pekerja akan melayan pelanggan dengan menerangkan dan menjelaskan setiap anak benih tanaman yang ada dan anggaran harga. Anak benih buah-buahan biada hanya diletakan dibahagian belakang nurseri atau di tapak nurseri sokongan di tempat lain.

Sistem pengairan yang sempurna adalah sangat penting bagi setiap nurseri. Lazimnya air akan di pam dari sumber kolam atau sungai setiap hari (pagi atau petang) bagi mempastikan anak pokok sentiasa dalam keadaan subur dan sihat. Sistem pengairan renjis (sprinkler system) sering digunakan (high, medium, low range spray sprinkler gun) dan pengairan titis (Bagi setengah pokok). Penyiraman secara manual menggunan hos getah juga dijalankan terutama terhadap pokok-pokok bernilai tinggi dan sensitif dengan siraman air. Program pembajaan dan kawalan perosak dan penyakit sentiasa dijalankan bagi mempastikan anak benih sentiasa dalam keadaan sempurna untuk dilihat oleh pelanggan. Kerja-kerja membuang pokok yang rosak, terbantut, mati sentiasa dijalankan untuk memilih anak pokok yang baik sahaja. Merumput dijalankan setiap masa dalam kawasan nurseri.

Kebanyakkan nurseri swasta mempunyai jumlah pekerja yang mencukupi untuk kerja menyediakan polibeg yang diisi dengan tanah campuran. Semakan penulis dengan Kementerian Pertanian mendapati kelayakan pekerja untuk nurseri adalah 4 orang untuk satu ekar kawasan nurseri. Kerja pengisian polibeg untuk ditanam dengan anak benih bunga-bungaan atau buah-buahan memnggunakan saiz yang berbeza-beza mengikut saiz dan jenis anak pokok. Kajian saya mendapati tanah campuran semaian lazimnya menggunakan kombinasi 3:2:1 iaitu tanah atas, pasir dan baja organan. Terdapat media cocopeat digunakan untuk sesetengah jenis tanaman dan ornamental. Polibeg ini akan disusun mengikut saiz dan jenis tanaman. Perusahaan Nurseri layak menerima 4 orang pekerja asing bagi setiap ekar dalam proses permohonan pekerja asing. Keratan atau biji benih akan dimasukkan dalam polibeg untuk pembiakan. Pokok penanti bagi tanaman buah-buahan akan dijalankan kerja cantuman apabila mencapai umur dan saiz yang sesuai. Kebanyakan nurseri mempunyai pokok induk mata tunas untuk dijadikan cantuman terutamanya pokok buah-buahan terpilih. Pokok induk perlu di periksa oleh Jabatan Pertanian untuk mengesahkan varieti atau klon sebenar dalam Program Akreditasi Pengesahan Bahan Induk Tanaman. Setiap nurseri juga memerlukan kenderaan pengangkutan bagi mengaambil bahan-bahan input nurseri seperti tanah, baja organik dan plastik tanaman tetapi kenderaan seperti lori sangat penting untuk menghantar anak pokok kepada pelanggan-pelanggan yang membeli. Anak benih kelapa sawit atau getah biasa di beli dengan kuantiti yang banyak dan sememangnya perlukan lori besar untuk menghantar benih terus keladang petani. Penghantaran biasanya diatur mengikut tempahan secara individu atau kelompok. Apa yang menghairankan saya ialah bagaimana kehandalan pekerja nurseri menyusun sehingga 1,000 -1,500 anak pokok buah-buahan dalam lori 1 tan dengan kaedah berlapis-lapis dan anak pokok tidak rosak walau pun jarak perjalanan sehingga 500 kilometer. 

Kajian saya mendapati harga bahan tanaman dari nurseri swasta berbeza-beza mengikut klon , varieti , kuantiti di beli, kaedah bayaran (tunai, cek, LO), jarak penghantaran, saiz anak pokok dan faktur-faktur lain. Pengalaman saya mendapati sepokok nangka madu J33 dijual dengan harga RM8.00 - RM 10.00 sepokok tetapi jika membeli sebanyak 1,000 - 2,500 pokok ditawarkan sehingga serendah RM 5.00 sepokok sahaja! Ini memunjukkan margin keuntungan membuat nurseri agak tinggi kerana pengusaha boleh mengeluarkan bilangan anak pokok dengan jumlah yang banyak melalui rakan-rakan nurseri yang lain disekitar. Komunikasi diantara syarikat-syarikat swasta sangat penting untuk membekalkan tempahan yang banyak dalam masa yang singkat. Mereka sentiasa berhubung mengenai baki stok nurseri bagi mempastikan tidak berlaku kekurangan atau lebihan bekalan anak pokok. 

Bagi usahawan nurseri getah dan kelapa sawit lebih terjamin pasaran kerana penebangan ladang getah dan kelapa sawit berlakau setiap hari dengan jumlah yang besar di Malaysia. RISDA, FELDA dan beberapa syarikat swasta seperti SIME DARBY, IOI, GUTHRIE mempunyai nurseri yang bersaiz mega untuk membekalkan anak benih. Sumber Biji Benih kelapa sawit dikawal oleh MPOB dan syarikat-syarikat multinasional untuk mempastikan varieti atau klon yang disyorkan sahaja di tanam kerana ianya adalah tanaman jangkapanjang. Terdapat peraturan dan undang-undang yang mengawal nurseri tanaman getah dan kelapa sawit di Malaysia. Kepada mereka yang ingin terlibat dengan industri nurseri masih terbuka tetapi yang paling penting adalah di manakah kita akan pasarkan produk kita. Jika ada jaminan pasaran seperti ada ikatan kontrak memang industri ini sangat menguntungkan seperti nurseri kelapa sawit, getah, koko (Kontrak dengan Lembaga Koko Malaysia) dan Benih Kelapa (Kelapa Matag) serta ornamental (Kontrak dengan Singapura) serta tanaman nurseri rumput. Saya harap industri nurseri negara akan terus maju dimasa akan datang dengan sokongan dan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan dan peranan pihak swasta. Wasallam!


INDUSTRI NURSERI ....SEMAIAN...
BENIH DI JUAL....HASIL LUMAYAN....
NURSERI SWASTA...BERKEMBANG....
BANTU EKONOMI....AKAN DATANG....

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Bu Seng Chong, Jalan Bakri,
Muar, Johor,
Malaysia.
(Kemaskini pada 21 Disember 2014)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...