Sunday, August 29, 2010

PEMBIAKAN TAMPANG TUMBUHAN

Reactions: 



Apakan dia Pembiakan Tampang
atau Vegetative Propogation ?
Pembiakan tampang ialah pembiakan yang menggunakan bahagian-bahagian vegetatif tumbuhan seperti akar, batang, daun untuk memperbanyakkan tumbuhan yang sama dengan induknya. Tumbuh-tumbuhan yang dihasilkan secara demikian dipanggil klon. Bahagian-bahagian vegetatif ini adalah paling istimewa oleh sebab tiap-tiap sel ini mewakili pokok keseluruhannya. Oleh itu, pokok yang dibiak lebih 100 tahun dahulu adalah sama dengan yang dibiak sekarang. Di Malaysia industri tanaman pitaya hampir musnah akibat serangan penyakit Erwinia kerana anakbenih yang digunakan semuanya dari keratan yang mudah diserang yang dibiakan melalui keratan. Artikel ini saya menulis teknologi mengenai pembiakan tanaman secara tampang berdasarkan pengalaman penulis, pemerhatian, pembacaan dan proses pembelajaran di universiti dulu.

Kebaikan2 Pembiakan Tampang adalah boleh mendapatkan anak pokok yang seragam dan sama (True-to-type) dengan pokok asal atau ciri-ciri anak pokok menyerupai induknya, pokok cepat berbunga atau berbuah dan kebolehan untuk dibiakkan sepanjang tahun. Selain itu pembiakan tampang boleh dibuat dengan jumlah yang banyak dalam satu masa. Kaedah ini juga dapat digunakan untuk membiakkan tumbuhan yang tidak mengeluarkan biji benih bernas. Bagaimana pun terdapat beberapa kelemahan atau Keburukan dalam Pembiakan Tampang seperti tidak semua jenis tumbuhan dapat dibiak dengan cara ini. Kadang2 juga berlaku insiden dimana pemindahan penyakit lebih mudah terutama penyakit berkaitan serangan virus. Kaedah Pembiakan Tampang ini juga memerlukan kemahiran teknikal yang agak rumit dan perlukan perkakasan khas.

Jenis-jenis Pembiakan Tampang
Terdapat dua cara dalam perlaksanaan pembiakan tampang di Malaysia iaitu dengan Kaedah Pembiakan Semulajadi dan Pembiakan Cara Buatan. Kaedah bergantung kepada ini kepada sifat semulajadi tumbuhan tersebut dan kesesuaiannya. Bagi Pembiakan Secara Semula Jadi ada 6 cara iaitu RAYAPAN, SULUR, UMBISI, BEBAWANG, RIZOM, TUBER dan AKAR TUBER.


A) KAEDAH PEMBIAKAN SEMULAJADI


1) Kaedah Rayapan (stolon) 
Cara ini adalah dimana batang yang keluar dari aksil daun dan biasanya tumbuh menjalar secara mendatar di atas permukaan tanah. Contoh: Episcia dan chlorophythum. 


2) Kaedah Pembiakan Sulur
adalah dimana Anak atau rumpun pokok yang dipisahkan dari pokok induk. Contohnya kebanyakan jenis Pisang (Ravenala) dan Keladi'


3) Pembiakan Cara Umbisi 
Pembiakan cara ini ialah menggunakan umbisi semulajadi untuk dijadikan benih seperti Keledek, Sengkuang, Gladiolus, abaca dsb.

4) Pembiakan Kaedah Bebawang (leaf scale) 
Kaedah dimana bebawang diambil dan ditanam seperti Bawang Merah, Bawang Putih, Lily, Amaryllis.


5) Pembiakan Kaedah Rizom 
Kaedah dimana akar rizom/batang yang menjalar di bawah permukaan tanah tumbuh sebagai pokok baru seperti halia, bunga tasbih, iris, rumput dan kunyit.


6) Pembiakan Cara Tuber 
Dibuat dengan mudah seperti tanaman kentang dan keladi.


7) Pembiakan Kaedah Akar Tuber 
Kaedah dimana Akar yang membesar dalam tanah. Mata tunas terdapat pada jemala akar seperti tanaman dahlia, keledek dan gloriosa. 


8) Kaedah Pembahagian (Division atau Quartering) 
Ini adalah kaedah terbaru yang boleh dilakukan kepada beberapa jenis bahagian tumbuhan tersebut di atas dengan memotongnya kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil. Contoh kentang, bebawang.


B) KAEDAH PEMBIAKAN SECARA BUATAN

Bagi Kaedah Pembiakan Secara Buatan terdapat 3 cara paling popular dilaksanakan iaitu dengan membiakan tampang cara KERATAN, CANTUMAN dan LENTURAN/ MENGETUT.


1. KERATAN
Kaedah KERATAN dibuat pada daun , batang dan akar. Bagi teknik Keratan Dahan atau batang menggunakan keratan dahan terdiri daripada keratan kayu keras, kayu sederhana keras dan keratan kayu hijau atau lembut. Caranya ialah dengan memilih dahan atau ranting yang subur dan tidak berpenyakit yang panjang keratan anantara 15 - 20cm. Potong pangkal keratan itu secara serong di bawah satu mata tunas. Tinggalkan 2 atau 3 helai daun dan tentukan sekurang- kurangnya ada satu (1) tunas untuk akar dan satu (1) tunas untuk pucuk. Tanam keratan itu sedalam kira-kira 5 - 7cm (1/3 daripada keratan). Tekan di sekeliling pangkal keratan kemudia di siram. Untuk keratan yang susah berakar, rawat pangkal keratan dengan hormon penggalak akar seperti IBA, ABA, NAA. Jenis-jenis hormon ini ada dijual dalam bentuk debu. Antara nya seperti jenama SERADIX.

Bagi Teknik Keratan Daun pula dijalankan menggunakan bahagian daun tumbuhan. Tumbuhan ornamental atau bunga-bungaan banyak yang sesuai dibiak dengan cara ini. Jenis ini terdiri daripada keratan bahagian daun, keratan urat daun, keratan tangkai daun dan keratan helaian daun. Keratan helai daun dibuat dengan mengambil sehelai daun yang bertangkai atau tidak bertangkai di mana ianya ditanam dalam medium pengakaran seperti pasir. Akar dan daun baru akan keluar dari sebelah bawah daun. Pokok Begonia boleh dibiak dengan meletak sehelai daun yang telah dikerat urat daunnya di atas pasir. Pokok sanseiveria boleh dibiak dengan cara keratan bahagian daun. Untuk membuat keratan tangkai daun tentukan lai daun mempunyai batang sepanjang 2.5 – 4cm panjang.

Bagi Teknik Keratan Akar dibuat dengan memotong bahagian-bahagian akar yang sihat dan tidak berpenyakit kira-kira 7 - 15cm panjang dan kemudian ditanam dengan membaringkan akar di dalam pasir yang bercampur serbuk papan atau tanah gambut. Pastikan paras atas akar adalah sama paras dengan pasir. Ada setengah pokok tidak mengeluarkan biji dan susah pula dibiak dengan cara lain, (misalnya pokok sukun, dahlia, Plumbago). Oleh itu akarnya boleh digunakan sebagai bahan pembiakan. Penulis pernah membiakan tanaman sukun di kampong dengan banyak untuk diedarkan kepada penduduk kampong di Gersik, Muar, Johor beberapa tahun dulu.

Penjagaan Keratan yang rapi adalah mustahak semasa pengakaran. Sebaiknya keratan jangan diubah-ubah kerana akar-akar baru sangat lembut dan senang patah. Kebersihan kawasan perlu dijaga untuk mengelakan dari jangkitan penyakit. Peratus kelembapan dikurangkan secara berperingkat setelah pengakaran mula berlaku dan keamatan cahaya dipertingkatkan. Keratan-keratan tadi sedia diubah apabila mengeluarkan akar sekunder. Elakkan akar tercedera semasa mengubah dengan menyiramnya terlebih dahulu sebelum dicungkil. Kemudian tanam di dalam bekas yang mengandungi campuran tanah yang bersesuaian. Siram secukupnya dan beri teduhan selama 7-14 hari.


2. CANTUMAN
Cantuman adalah satu kaedah pembiakan tampang yang biasanya digunakan untuk membiak pokok buah-buahan. Kaedah ini berjaya membiakan tanaman buah-buahan terpilih dengan kejayaan yang tinggi. Namun ianya sesuai juga untuk pokok-pokok hiasan. Nurseri swasta dan Jabatan Pertanian ada menyimpan pokok induk untuk dicantum dan diedarkan kepada petani. Tanaman durian Raja Kunyit atau juga dipanggil Musang King atau D169 contohnya dicantum kerana menerima permintaan yang begitu tinggi pada masa ini di Malaysia.

Pembiakan cara cantuman terbahagi kepada 3 jenis :



a) Cantuman tunas atau Cantuman dekatan
Cantuman dengan Kaedah Sandingan dijalankan dengan menyandingkan dua anak benih dan mengikis bahagian kambium dikedua-dua batang/dahan anak benih. Rapatkan bahagian tersebut dan ikat dengan 'plastic tape' dengan kuat untuk elakkan air masuk. Biarkan untuk beberapa masa sehingga sandingan melekat. Potong bahagian yang di kehendakki di bawah sandingan dan akar penenti dibahagian atas.

b) Cantuman mata tunas
Cantuman menggunakan mata tunas adalah kaedah yang paling lazim digunakan. Tunas dan pokok penanti dipilih dari bahan yang segar, tidak berpenyakit, sesuai dan masa cantuman yang tepat. Beberapa kaedah cantuman mata tunas ialah seperti Kaedah Cantuman 'T' , Kaedah Cantuman Tampal dan Kaedah Cantuman Takuk. Semua kaedah ini boleh dipelajari di pusat-pusat pertanian Jabatan Pertanian di seluruh Malaysia. Kursus jangkapendek boleh dipelajari dengan menjalankan latihan teori dan praktikal.

c) Cantuman Belahan
Kaedah Cantuman Belahan merupakan satu lagi teknik cantuman yang juga di panggil sebagai 'Cleft Budding'. Teknik ini sesuai untuk dahan atau batang muda dimana pokok penanti dibelah dua dan masukkan 'scion' kedalam belahan dan ikat dengan kuat. Kaedah ini perlukan penjagaan yang lebih diperingkat awal untuk mempastikan gabungan cantuman belahan ini cukup kuat sebelum di alih kedalam polibeg. Kaedah cantuman belahan mempunyai 3 teknik iaitu Teknik Belahan Tepi, Teknik Belahan Rencung dan Teknik Belahan Baji.

Pokok Penanti (Stock Plant)
Pokok penanti ialah pokok yang ditanam dari biji benih untuk tujuan mendapatkan sistem akar yang baik. Cantuman boleh dilakukan apabila pokok penanti mencapai saiz batang yang sesuai (berukuran lebih kurang 1 cm garispusat) untuk menerima mata tunas. Penyediaan pokok penanti adalah dijalankan awal terutama untuk buah-buahan bermusim seperti durian, rambutan, limau manis, mangga, manggis, cempedak dan sebagainya. Biji benih yang dikumpul disemai dalam polibeg yang sesuai.

Mata tunas (Scion)
Terdapat dua jenis mata tunas iaitu mata tunas rehat dan mata tunas ketiak. Pokok-pokok yang mempunyai mata tunas rehat ialah seperti rambutan, bunga kertas, ciku, cempedak dan lain-lain. Pokok-pokok yang mempunyai mata tunas ketiak ialah seperti durian dan ros. Pemilihan mata tunas sangat kritikal dengan kriteria tidak terlalu tua atau tidak terlalu muda. Mata tunas yang hendaak dibawa jauh perlu di balut dengan kertas atau kain basah dan hendaklah di cantum dengan pokok penanti sebaik-baiknya pada hari yang sama. Pengalaman penulis membawa mata tunas tanaman koko pada pertengahan tahun 1980'an untuk program cantuman koko dulu masih segar dalam ingatan.

Cara mencantum mata tunas
Kaedah Cantuman tampal imulakan dengan menyediakan pokok penanti kemudian potong dua garisan daripada atas ke bawah iaitu panjang kira-kira 4cm pada batang pokok penanti, dengan menggunakan pisau cantuman yang tajam dan bersih. Pemotongan dibuat kira-kira 15cm daripada tanah. Jarak antara garisan kira-kira 1cm. Buatkan satu garisan melintang di sebelah bawah dan kopek sedikit kulit bagi menentukan sama ada kulit itu boleh dikopek. Pilih satu mata tunas yang baik, potong dua garisan sebesar dengan yang dibuat pada pokok penanti tadi. Kemudian potong kepingan tunas daripada kayu mata tunas dan tanggalkan kulitnya beserta mata tunas.

Kopekkan kulit daripada pokok penanti tadi dan tampalkan mata tunas. Buangkan kulit pokok penanti dan tinggalkan lebih kurang 1cm. Antara 20 - 30 hari mengikut jenis-jenis pokok, buka balutan pita plastik itu. Kira2 satu minggu selepas pita plastik dipotong, bahagian atas pokok penanti dipotong kira-kira 5cm - 8cm daripada bahagian yang dicantum. Dalam masa 2 - 3 minggu selepas pokok penanti dipotong, mata tunas akan mulai membesar. Tunas-tunas yang tumbuh daripada bahagian-bahagian lain sepanjang pokok penanti hendaklah dibuang.

Kejayaan cantuman perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian:
a) Pisau cantuman mestilah tajam dan bersih
b) Pokok penanti dan mata tunas yang hendak dicantum mestilah dari keluarga yang sama.
c) Saiz mata tunas dan saiz kelaran di pokok penanti mestilah sama.
d) Proses mencantum mesti dibuat dengan cepat untuk mengelakkan kambium atau mata tunas menjadi kering
e) Pokok penanti dan mata tunas mestilah sihat dan subur.
f) Tentukan ikatan jangan terlalu kuat atau terlalu longgar
g) Kerja mencantum eloklah dibuat di waktu pagi atau petang sebelum siraman dilakukan.





3. LENTURAN (Layering)
Lenturan adalah satu proses pembiakan tampang menggunakan bahagian pokok yang masih menjadi sebahagian daripada pokok induk yang masih hidup.

Terdapat empat jenis lenturan:
a) Lenturan Pucuk (tip layerage)
b) Lenturan Busut
c) Lenturan Peparitan (berbaringan)
d) Lenturan udara (tut
)

Lenturan udara (tut)
Lenturan Udara merupakan teknik yang biasa di buat. Pembiakan cara ini sesuai digunakan untuk pokok-pokok yang susah dibiak dengan cara tampang yang lain. Biasanya dilakukan pada pokok-pokok jenis kayu keras seperti pokok kenanga, cempaka, limau dan ciku.

Cara-cara mengetut dibuat dengan menyediakan tanah campuran yang sesuai yang mempunyai sifat-sifat senang dikepal, melekat dan yang boleh menyimpan air dengan secukupnya selama masa dahan dalam proses pengakaran. Gunakan tanah campuran biasa digunakan iaitu 2 bahagian isipadu tanah peroi 1 bahagian isipadu baja organik. Campur dengan 4 bahagian isipadu habuk papan 3 bahbahagian isipadu tanah peroi 2 bahagian isipadu baja organik.



Cara memilih dahan yang sesuai untuk di tut ialah dahan dipilih daripada pokok sihat, segar dan tidak berpenyakit atau diserang serangga. Dahan mestilah dari kayu keras atau sederhana keras, sekurang-kurangnya  1cm garis pusat. Dahan yang dipilih sebaiknya seimbang percabangan, berbentuk lurus dan mendapat cukup cahaya matahari.


Cara mengetut dibuat dengan menyediakan kepalan campuran tanah sebesar telur ayam dan direnjis air sehingga lembab. Pilih dahan yang sesuai serta buangkan daun-daun dan ranting-ranting di bawah kelaran yang akan dibuat. Buatkan kelaran keliling, pertama di bawah mata tunas dan kelaran kedua dibuat sekurang-kurangnya 3cm di bawah dari kelaran pertama. Kupas kulit di antara dua kelaran dan kikiskan (kambium) hingga ke kayu. Sapukan hormon penggalak akar di kelaran atas dan Ikatkan plastik di bahagian kelaran bawah. Dekatkan tanah yang telah dikepal di bahagian dahan yang telah dikikis tadi, tentukan tanah itu padat dan melekat dengan baik. Bungkuskan kepalan tanah dengan kertas plastik dan diikat pada kedua-dua hujungnya. Selepas 2 - 3 bulan, tut ini akan mengeluarkan akar dan boleh dipotong bahagian bawah dan diubah ke dalam beg plastik. Benih yang sesuai boleh diubah apabila sesuai digunakan.


Penulisan artikel diatas berdasarkan ingatan penulis ketika belajar di Universiti dulu iaitu subjek yang agak menarik. Kini terdapat lebih 750 Usahawan Nurseri di seluroh Malaysia yang membuat perniagaan pengeluaran benih tanaman. Agak-agak berapa juta anak benih keratan, cantuman dan tut yang dikeluarkan oleh mereka dalam setahun?.....Belum ada data yang menunjukkan keperluan dan pengeluaran anak benih di Malaysia yang tepat pada masa kini. Wallahualam....

KERATAN, TUT, CANTUMAN....MEMBIAK POKOK...
BENIH DIJUAL....ADA YANG TAK ELOK...
KALAU BUAT SENDIRI....PASTI TAK DISOROK...
BELAJAR MEMBIAK BAKA....KENA SERONOK.....



Related rticles:
1. Cashflow Sayuran (Click here)
2. Cashflow Buah-buahan (Click here)
3. Cashflow Umbisi (Click here)
4. Harga Benih Sayuran (Click here)
5. Racun Rumpai (Click here)
6. Racun Kulat (Click here)
7. Racun Tikus (Click here)
8. Nurseri in Malaysia (Click here)
9. Kontrol benih dunia ? (Click here)
10. Benih Sayuran (Klik disini)
11. Benih Kelapa MATAG (Klik disini)
12. Biakbaka Tumbuhan (Klik disini)
13. Bioteknologi (Klik disini)
14. Tut Pokok (Klik disini)
15. Popular Fruit Clones in Malaysia (Klik disini)


By
M Anem
Orang Johor
23 Ramadan 1431H

Malaysia

2 comments:

  1. Hi...I am a student from UPM, studying Bio-industry. I am here would like to request your permission to copy this info into my Lampiran Laporan Buku Hijau. Of course, I will put it as a reference to protect any confidential. Hope to see your permit reply. Thank you.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KLIK SAYA