Sunday, August 29, 2010

PEMBIAKAN BENIH TUMBUHAN

Reactions: 

Pembiakan adalah satu proses di mana tiap-tiap organisma menambah dari segi bilangan individu beranak dan berkembang mengikut peredaran masa. Semua organisma yang hidup membiak untuk mempastikan keujudannya didunia tidak pupus. Dari Kaedah Pembiakan paling mudah melalui proses MITOSIS pada Amoeba sehingga kepada kaedah pembiakan organism kompleks organism akan menjalani evolusi dalam proses pembiakan. Artikel kali ini membincangkan maklumat khusus menganai pembiakan tumbuh-tumbuhan (Plant Propogation) yang saya pelajari sejak sekolah sehingga ke Universiti dan bekerja dalam bidang pertanian. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pembiakan benih tumbuhan untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.

Pada amnya tumbuhan membiak dan berkembang dengan dua cara iaitu Cara SEXUAL dan cara ASEXUAL. Cara sexual ialah pembiakan melibatkan proses pendebungaan jantan dan betina yang menghasilkan bijibenih atau spora (Pakis). Kaedah Pembiakan lain bagi tumbuhan iaitu Asexual juga dipanggil sebagai pembiakan tampang (Vegetative) seperti melalui proses keratan, belahan, cantuman, organ-organ khas dan lain-lain. Kaedah pembiakan tampang dapat menghasilkan anak pokok yang tulin menyerupai pokok induk atau di panggil “ True –to – type”.

Pembiakan melalui Biji benih
Kebanyakan tumbuhan dibiak dengan
biji benih. Benih dihasilkan melalui proses pendebungaan dari peringkat pokok matang, berbunga, bunga kembang sehingga menjadi biji dibantu oleh agen pendebungaan seperti angin, serangga, hermaprodit, air, manusia dsb. Hasil pendebungaan akan terbentuk biji benih yang akan dormant atau bercambah apabila mendapat kesesuaian persekitaran. Pokok yang mengeluarkan benih adalah seperti pokok-pokok bunga semusim, pokok saka dan juga daripada jenis renek walaupun pokok-pokok ini boleh juga dibiakan secara tampang (vegetative propogation).

Kebaikan Pembiakan Secara Biji Benih
Boleh menghasilkan baka-baka baru melalui proses hybrid
•Dapat menyediakan pokok-pokok sebagai pokok penanti untuk cantuman
•Murah dan menghasilkan lebih banyak pokok
•Anak pokok mungkin lebih cergas
(hybrid vigour) berbanding dengan induknya


Keburukan Pembiakan Secara Biji Benih
•Biji benih mungkin mempunyai masa rehat (dormancy period)
•Pokok Mengambil masa yang panjang untuk matang
•Kemungkinan menghasilkan tumbuhan yang berbeza daripada induknya
•Setengah tumbuhan hanya dapat dibiakkan pada masa-masa tertentu kerana pengeluaran buah dan biji benihnya bermusim


Cara pemilihan Biji benih
Dalam pembiakan biji benih perlu faham apakah cirri-ciri utama dalam pemilihan biji benih. Kesilapan awal dalam pemilihan benih akan merugikan petani terutama dalam penanaman pokok saka seperti buah-buahan, kelapa sawit, getah dan sebagainya kerana jangkamasa untuk menuai sangat lama. Kalau benih kelapa sawit selepas 3 tahun baru dapat tahu potensi hasil, kalau tanaman getah selepas 5-7 tahun. Biji benih dengan ciri-ciri berikut perlu dipilih:


a. Matang
Pilih benih yang matang sahaja untuk ditanam. Benih yang tidak matang akan menyebabkan pertumbuhan pokok tidak cergas diperingkat awal dan kadang-kadang pokok tidak sempat berhasil. Pemerhatian penulis di TKPM Sekijang, Segamat, Johor beberapa kali menjumpai benih timun dan petola yang tidak matang digunakan dan hasilya amat mengecewakan. Timun tumbuh baik selepas 10 hari kemudian berhenti pertumbuhan dan berbunga. Kalau petani ingin menggunakan benih sendiri pastikan diambil dari pokok induk yang benar2 matang dan tidak rosak.


b. Tulen (tidak bercampur dengan biji benih dari baka lain)
Benih yang hendak ditanam mesti dipastikan ketulenannya dari pihak-pihak yang boleh dipercayai. Jika benih tidak tulen akan merugikan petani seperti benih padi yang telah bercampur dengan benih padi burung. Varieti MR219 contohnya boleh dibeli dari pembekal yang disahkan oleh pihak berkuasa untuk ketulenannya. Benih kelapa Matag juga merupakan hybrid antara Tagnanan dan MRD/MYD yang hanya 40-50% sahaja yang tulen. Hanya ada dua (2) sahaja pembekal masa kini yang disahkan dalam pembekalan benih kelapa Matag iaitu Jabatan Pertanian dan Estet Jenderak UP Plantation di Perak.

c. Berisi, segar dan bersih dari kekotoran
Benih yang hendak ditanam perlu berisi, bersih dari kekotoran serta segar. Ini akan mempastikan petani hanya memilih benih yang berkualiti sahaja. Jika ada tanda-tanda kekotoran maka perlu di buang dahulu sperti tanah, batu, pasir yang bercampur dalam benih padi. Elakkan menggunakan benih padi yang ringan kerana pasti banyak hampa dan kurang berisi.


d. Bernas (mempunyai keupayaan untuk bercambah)
Biji benih perlu diuji tahap BERNAS dengan menjalankan beberapa ujian dahulu. Benih padi contohnya perlu mencapai tahap kebernasan melebihi 95% keatas untuk menjadikan kepadatan tanaman disawah akan dicapai yang akan menentukan bilangan anak pokok
(tiller) dan saiz rumpun. Jabatan Pertanian ada menyediakan kemudahan makmal untuk menguji tahap bernas benih tanaman di 4 pusat benih tanaman.

e. Bebas dari penyakit dan perosak
Benih tanaman mesti bebas dari sebarang penyakit atau perosak. Pemeriksaan rapi perlu dibuat pada peringkat awal untuk mempastikan tidak ada serangan atau jangkitan apabila telah ditanam. Terdapat juga agen penyakit yang dipanggil sebagai
‘seed born disease’ yang akan memberi kerosakan pada tanaman. Penyakit ini selalu berlaku jika sumber benih memang telah ada penyekit tersebut seperti virus dan bakteria.

Biji benih yang hendak digunakan mestilah diambil dari buah-buah yang matang atau masak. Biji itu dibersihkan. Biji-biji yang telah dipilih itu kemudian dikeringkan di tempat yang terbuka dan ternaung. Biji benih perlu cukup kering supaya tahan lama. Dalam keadaan biasa seperti di Malaysia biji benih tidak dapat disimpan lama dan akan kehilangan daya percambahan dengan cepat. Jika hendak disimpan lama, biji benih hendaklah disimpan di tempat bersuhu dan peratus lembapan yang rendah. Jika benih dibeli, periksa tarikh luputnya. Peratus percambahan benih menurun apabila disimpan terlalu lama.

Percambahan biji benih
Percambahan biji benih bergantung pada faktor-faktor seperti
peratus lembapan, suhu, cahaya dan oksigen. Percambahan biji benih yang tidak serentak disebabkan oleh faktor-faktor fizikal, fisiologikal dan persekitaran. Fenomena ini berlaku oleh kerana kulit biji benih (testa) tidak telap air atau biji benih mengeluarkan bahan beracun dan lain-lain faktor dalaman. Kadangkala biji benih memerlukan rawatan tertentu untuk mempercepatkan percambahan.

Rawatan percambahan biji benih
Biji benih perlu dibuat rawatan percambahan untuk mempastikan benih tersebut dapat cambah seperti dikehendakki. Di Negara-negara maju rawatan biji benih dimestikan utnuk dijalankan sebagai satu syarat. Ada benih yang mempunyai
jangkasama dormant yang lama (Tidak mahu cambah) yang lama dan perlu dirawat untuk pecahkan ‘dormancy period’ . Beberapa cara yang dijalankan untuk rawatan bijibenih adalah seperti Perlelasan, Stratifikasi, Vernalisasi dan Pemeraman. Kaedah Pelelasan (scarification) adalah satu proses dimana kulit biji benih dirawat supaya biji benih telap air. Cara-caranya biasa dilakukan ialah membuang atau mengikis testa (iaitu kulit bijibenih) dan merendam biji benih dalam asid atau air panas. Ini akan lembutkan kulit tersebut dan proses percambahan akan dipercepatkan. Tanpa rawatan ini agak lambat untuk benih bercambah kerana biasanya bibibenih jenis ini agak keras dan tebal. Kaedah kedua iaitu Stratifikasi ialah dimana proses melembutkan testa dengan meletakkan biji benih dalam timbunan pasir, tanah atau habuk papan yang basah pada suhu yang turun naik. Proses ini membantu melembutkan dan memecah lapisan kulit bijibenih dan mempercepatkan proses percambahan.

Kaedah Vernalisasi adalah satu proses menyebabkan biji-biji benih mengeluarkan hormon untuk percambahan dengan meletakkan biji benih pada suhu yang rendah. Masukkan bijibenih dalam petisejuk (ditempat beku kurang 0 darjah celcius) dalam jangkawaktu tertentu. Suhu sejuk akan menyebabkan jangkamasa dormat akan dipendekkan. Kaedah Pemeraman (fermentation) adalah satu proses merendam biji benih ke dalam air atau menyimpannya dalam beg plastik yang diikat untuk menanggalkan selaput biji benih. Benih padi perlu direndam dan bercambah sebelum ditabur kesawah padi. Proses merendam benih padi selama 1 malam membolehkan perc ambahan yang serentak apabila disemai.

Menyemai Biji benih
Ada benih tanaman yang boleh terus ditanam di lading dan ada juga benih yang perlu menjalani prroses menyemai
(Sowing). Benih yang boleh terus digunakan biasanya bersaiz agak besar, cepat tumbuh, mudah diuruskan dan mudah diperolehi. Benih yang perlu disemai biasanya bersaiz kecil, mahal, perlukan penjagaan rapi, mudah diserang musuh dan penyakit serta kuantiti yang banyak. Buat rawatan sebelum menyemai bagi mengelakkan dari serangan penyakit terutama penyakit dari jenis kulat.

Bahan-bahan kimia yang digunakan ialah seperti Thiram, Benlate atau Cuprum sulfat (kadar bancuhan 1 gm/liter air). Medium percambahan yang digunakan harus mempunyai ciri-ciri yang mampu menyokong anak-anak benih, menyimpan air secukupnya, mempunyai cukup rongga untuk pengudaraan dan penembusan akar dan bebas dari biji benih rumpai. Contoh media percambahan ialah seperti vermiculite, perlite, tanah gambut, tanah loam, habuk papan atau cocopeat reput, pasir atau campuran bahan-bahan di atas J.I.S.).

Benih perlu disemai dengan cara yang betul. Biji benih disemai mengikut saiznya. Terdapat perbezaan teknik menyemai untuk biji benih halus dan kasar. Bagi Biji benih halus sediakan campuran tanah J.I.S dan dimasukkan kedalam bekas semaian. Siram bekas ini sehingga lembab. Biji benih halus digaul dengan pasir halus dengan nisbah 1 bahagian benih : beberapa bahagian pasir halus dan kering untuk memudah dan meratakan taburan biji benih atas permukaan tanah. Selepas ditabur, tutup biji benih dengan satu lapisan tanah peroi dan disiram. Bekas menyemai boleh ditutup dengan gelas atau plastik lutsinar hingga benih bercambah. Bagi Biji benih kasar perlu di sediakan medium percambahan serta bekas semaian yang sesuai. Kemudian pilih biji benih yang bernas dengan merendamkannya di dalam air. Biji benih yang timbul akan dibuang. Semai secepat mungkin dengan menggunakan teknik yang betul. Setelah biji benih mengeluarkan 2-3 helai daun sebenar (true leaves) bolehlah diubah ke dalam beg plastik.

NAK TANAM POKOK...BIJIBENIH DI CARI...
BENIH YANG BAIK...BENIH YANG BERNAS...
KUALITI DIJAMIN...PERTUMBUHAN CERGAS...
KONGSI ILMU BIJIBENIH...KENA WARAS...


By,
M Anem
Senior Agronomist
Putrajaya
Malaysia
(Kemaskini pada 6 Mei 2013)
PBT


3 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KLIK SAYA