Support My Blog

Thursday, November 17, 2022

DURIAN - APA FAKTA PENTING (Part 3)

TANAMAN DURIAN
(Durio zibethinus Murr.) merupakan satu bidangusaha yang sangat popular di Malaysia terutama dengan penanaman varieti durian premium masa kini. Kalau dahulu penanaman durian dilakukan secara tradisional dan pengurusan yang konvensional akan tetapi kini industri ini telah jauh berkembang apabila ia di komersilkan dengan cara baru dan menggunakan pakej amalan teknologi moden. Apa pun saya yang telah menulis dalam blog ini lebih dari 550 buah artikel mengenai durian tetap percaya bahawa industri ini akan terus berkembang dimasa akan datang. Kini keluasan tanaman durian terkini pada tahun 2021 adalah seluas 78,772 hektar dengan jumlah pengeluaran hasil sebanyak 400,636 metrik tan (Sumber: Booklet Keluasan Tanaman Makanan, Jabatan Pertanian Malaysia, 2021). Beberapa varieti durian premium kini menggantikan varieti durian kampong atau varieti tradisional yang semakin kurang penanaman baru. Jabatan Pertanian telah mengenal pasti dan mengumpul koleksi klon durian semenjak tahun 1934 dan sehingga sekarang telah mendaftarkan lebih dari 250 varieti yang penulis blog pernag terlibat sama. Antara beberapa varieti durian premium yang kini sangat popular termasuk Durian Musang King (D197), Durian Duri Hitam atau Black Thorn (D200), Durian Udang Merah (D175), Durian Tekka (D160), Durian Bukit Merah (D24), Durian Hajah Asmah (D168)dan beberapa lagi. Walau pun terdapat lebih daripada 250 varieti durian yang telah didaftarkan dalam Jadual Senarai Varieti Tanaman di Jabatan Pertanian Malaysia akan tetapi hanya sebahagian sahaja varieti yang masih ditanam dan dikomersilkan. Pada penulis blog durian merupakan antara spesies buah-buahan yang sangat popular dan masih banyak ditanam di Malaysia. Secara tradisional pula lazimnya pokok durian ditanam daripada baka biji benih di kawasan dusun di kampung dimana lazimnya buah durian dari pokok anak baka biji menghasilkan buah yang tidak seragam, tidak pasti akan kualitinya dan sebahagian besar tidak mendapat pasaran yang baik. Durian merupakan salah satu daripada 11 jenis buah-buahan yang telah dikenalpasti di bawah Dasar Agro Makanan (2011-2020) yang mempunyai potensi untuk dibangunkan bagi menampung permintaan tempatan dan eksport. Kalau dahulu pasaran durian adalah untuk pasaran domestik sahaja tetapi ia kemudian di eksport terutama ke Singapura. Kini durian Malaysia sudah di eksport ke China, Jepun sehingga pernah sampai ke Eropah dan negara lain. Apa pun tetap berlaku persaingan yang hebat dari negara Thailand yang merupakan pengeksport durian terbesar dunia. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis lagi mengenai beberapa fakta penting penanaman durian di Malaysia untuk dijadikan bahan rujukkan semua pembaca.


Teknologi cantuman ladang merupakan satu aktiviti dimana ia dilakukan dengan menggunakan cantuman mata tunas (scion) terpilih atau varieti premium ke atas pokok penanti yang telah tersedia ditanam di ladang. Di antara kebaikan cantuman ladang ialah pokok-pokok penanti boleh ditanam terus daripada peringkat awal percambahan atau dari anak biji benih. Gangguan kejutan mengubah benih pokok tidak timbul lagi dengan kaedah ini. Sejak awal lagi sebaiknya proses dalam pertumbuhan anak pokok penanti lebih subur dan lebih mudah mandiri. Setelah pokok-pokok penanti berumur lebih empat (4) bulan atau garis pusat batang pokok penanti mencapai 0.4 - 0.8 cm maka proses cantuman sangat sesuai dilakukan pada paras ketinggian 30 cm dari paras tanah. Kaedah cantuman ladang boleh dilakukan dengan cara cantuman mata tunas atau cantuman baji sisi (selit) dengan keratan ranting muda. Setiap keratan muda mempunyai 2 - 4 mata tunas. Pokok penanti di ladang yang subur dan cergas sahaja dipilih untuk dibuat cantuman. Scion atau mata tunas klon terpilih dicantum ke atas pokok penanti. Kaedah cantuman adalah sama seperti membuat cantuman ke atas pokok penanti di dalam polibeg di tapak semaian. Apa pun pokok penanti perlukan bekalan air yang mencukupi selepas kerja cantuman ladang dilaksanakan. Cuaca yang tidak begitu kering dan hujan sekali-sekala dalam seminggu adalah sesuai untuk menentukan kejayaan yang tinggi. Kemarau yang terlalu panjang melebihi dua (2) minggu atau hujan terlalu lebat dan berpanjangan akan menurunkan peratus kejayaan cantuman. Selepas tiga (3) minggu maka balutan plastik cantuman boleh dibuka bagi cantuman mata tunas akan tetapi cantuman selit masih belum sesuai dibuka balutannya. Kejayaan cantuman dapat dinilai daripada warna dan keadaan sion yang masih hijau. Selepas seminggu dilihat dimana mata tunas mula dilihat bercambah sepanjang 1 cm dan mengeluarkan pucuk hijau. Pokok penanti bolehlah dipotong 15 cm atas paras sion supaya menggalakkan pertumbuhan lebih aktif dan cepat. Pokok penanti yang pertumbuhan sion melebihi 10 cm atau melebihi 5 helai daun dipotong menghampiri paras cantuman sion-penanti. Penting diberikan kayu sokongan yang tegak untuk pertumbuhan sion penanti. Sebarang tunas selain dari sion yang terdapat pada pokok penanti sentiasa perlu dibuang. Pengurusan pokok yang telah dicantum perlulah diteruskan dengan pembajaan, merumput, kawalan penyakit dan serangga serta penyiraman. Penyemburan baja foliar pada daun digalakkan supaya kadar pertumbuhan pokok cepat dan aktif pada peringkat awal. Lazimnya kadar peratus kejayaan dengan menggunakan teknik cantuman ladang adalah tinggi. Pertumbuhan sion didapati aktif dan cepat. Selepas enam bulan cantuman, pertumbuhan sion melebihi 50 cm tinggi untuk beberapa varieti durian premium terbaru. 

Membuka kawasan baru bagi usaha penanaman durian memerlukan satu cara perancangan yang teliti dan tepat. Kawasan ladang durian baru boleh dibersihkan dengan cara manual atau menggunakan jentera. Teknik ini adalah bergantung kepada keadaan tanah dan kecerunan kawasan. Pokok kayu dalam belukar dan semak-samun mestilah dibersihkan sehingga bersih. Apa pun pembinaan sistem perparitan dan saliran perlu dibina jika kawasan ladang itu agak rendah dan mendatar bagi tujuan mengelakkan air bertakung. Bagi kawasan yang agak berbukit-bukit dengan mempunyai cerun melebihi 12°adalah disyorkan agar teres atau platform perlulah dibina sebagai satu langkah pemuliharaan tanah (Sila lihat foto disebelah). Penanaman kekacang penutup bumi juga digalakkan untuk mengawal hakisan dimana kekacang ini juga berfungsi untuk membekalkan unsur nitrogen (N) kepada pokok-pokok durian. Kawasan ladang perlulah dibajak atau sekurang-kurangnya satu pusingan bajak piring dan ini diikuti oleh satu pusingan bajak putar kalau petnaani fikir untuk  tanam kacang penutup bumi. Sebaiknya kaedah pembajakan minimum atau tanpa pembajakan adalah digalakkan mengikut keadaan. Sistem tanaman durian ada beberpa kaedah seperti Kaedah Tanaman Sesiku atau Sistem Tanaman Segi Empat Sama. Dalam masa proses merancang penanaman durian beberapa aspek seperti bagaimanana proses pendebungaan seperti keterangan sebelum ini perlu diambil kira. Penulis pernah diminta hadir kebeberapa ladang durian yang kurang produktif di Mantin, Raub dan Tangkak disebabkan mereka menenam satu jenis varieti sahaja didalam ladangnya. Pokok durian bersifat tidak serasi sendiri yang boleh seterusnya mempengaruhi proses pendebungaan dan pembentukan buah durian. Oleh yang demikian, penanaman varieti durian secara tunggal tidak digalakkan, sebaliknya penanaman pelbagai varieti perlu dipraktikkan. Langkah ini akan dapat mempertingkatkan proses pendebungaan, persenyawaan dan seterusnya hasil dan bentuk buah yang seragam.


Sistem Penanaman benih durian boleh ditanam dengan menggunakan empat sistem iaitu sistem segiempat tepat, sistem segiempat sama, sistem segitiga sama dan cara sistem sesiku keluang. Keutamaan sistem segitiga sama ialah (pada satu jarak yang sama) dan ia dapat memberikan bilangan pokok yang lebih atau sebanyak 15% lebih jika dibandingkan dengan sistem segiempat sama. Sistem segiempat tepat dapat memberikan ruang di antara barisan untuk ditanam dengan tanaman lain (tanaman selingan) atau tanaman campuran sesuai untuk ianya diamalkan. Proses tumbesaran pokok durian lazimnya terjejas apabila kanopi pokok mula bertaut atau pokok terlindung dengan pokok lain yang lebih tinggi. Keadaan ini selalunya akan mengakibatkan permukaan tanah terlindung dan ia akan mewujudkan satu keadaan persekitaran yang lembap dan menggalakkan kejadian negatif termasuk masaalah penyakit cerana batang. Jarak tanaman yang sesuai bagi durian mengikut jenis sistem penanaman dimana bagi Sistem Tanaman Segi Tiga Sama dengan jarak tanaman 9mx9mx9m maka jumlah kepadatan tanaman sebanyak 138 pokok sehektar. Bagi Sistem tanaman empat segi sama dengan jarak tanaman 9mx9 meter dengan memberikan kepadatan 123 pokok sehektar sementara jika jaraak tanaman 10mx10m akan memberikan sebanyak 115 pokok sehektar. Sebaiknya bagi memudahkan kerja-kerja penyediaan lubang dalam barisan tanaman perlulah ianya dimulakan dengan barisan dasar dan seterusnya menentukan lubang tanaman dengan memacak kayu-kayu pancang pada jarak yang ditetapkan. Apabila kerja membaris selesai dibuat, lubang tanaman berukuran 60 cm x 60 cm x 60 cm hendaklah digali pada jarak yang ditetapkan. Seelok-eloknya lubang digali sebulan sebelum menanam dan didedahkan kepada sinar matahari. Selepas itu disyorkan agar lubang tersebut ditimbus semula dengan menggunakan tanah lapisan atas yang lebih subur dan gembur. Jika didapati tanah itu kurang subur sebaiknya di campurkan baja organik seperti tahi ayam atau tahi lembu yang telah reput pada kadar 5 - 10 kg/lubang bersama tanah lapisan atas. Masukkan kembali ke dalam lubang dimana kemudian diberikan juga sebanyak 150 g - 250 g baja fosfat seperti CIRP pada tiap-tiap lubang tanaman. Lubang tanaman yang ditimbus kembali seelok-eloknya dibiarkan untuk tempoh satu minggu sebelum aktiviti memulakan operasi penanaman anak benih. Semua anak benih yang bakal diubah ke ladang mestilah melalui proses pengelasan (hardening) dulu bagi mengelakkan kejutan atau tegasan yang serius yang memungkinkan anak benih mati atau tumbesaran pokok terbantut. Proses pelasakan boleh diperolehi dengan mendedahkan anak benih kepada sinaran matahari penuh secara berperingkat atau mengurangkan kekerapan penyiraman, umpamanya dua kali sehari kepada satu kali sehari selama seminggu. Setelah itu sebaiknya pastikan yang anak benih bolehlah diubah ke ladang. Buat lubang kecil pada tengah lubang tanaman yang telah ditimbus tadi bagi menempatkan anak benih yang hendak ditanam. Letakkan anak benih di dalam lubang tersebut. Pastikan polibeg dipotong dan dibuang terlebih dahulu. Timbus lubang tersebut dengan tanah dan padatkan tanah keliling dengan sempurna. Naikkan sedikit tanah di pangkal pokok tersebut supaya kelihatan berbusut bagi mengatasi masalah air bertakung atau tanah mendap. Siram pokok itu dengan secukupnya selepas menanam, kecuali keadaan kandungan air pada tanah adalah mencukupi untuk keperluan anak pokok. Anak pokok yang baru ditanam diikat pada kayu pancang bagi mendapatkan pokok yang tegak. Sekiranya tiada tanaman naungan, anak pokok durian perlu dilindungi dengan bahan lindungan sementara seperti bakul buluh, daun kelapa dan lain-lain bahan bagi mengurangkan kesan tegasan di ladang. Lindungan diperlukan sekurang-kurangnya untuk tempoh 6 bulan pertama penanaman di ladang. Sungkupan juga diperlukan untuk diletakkan di pangkal anak pokok supaya kelembapan tanah terkawal bagi pertumbuhannya. 
Penjagaan penanaman durian bermula semenjak awal lagi dimana sememangnya anak pokok durian memerlukan sedikit lindungan pada peringkat awal tumbesaran bagi mendapatkan pertumbuhan yang subur, cergas dan sempurna. Adalah juga disyorkan supaya kawasan ladang ditanam dengan tanaman yang boleh memberikan naungan sementara seperti pisang. Bagi tujuan tersebut sebaiknya tanaman naungan perlulah ditanam enam (6) bulan lebih awal daripada tarikh penanaman durian. Jarak tanaman bagi pisang ialah 3 m x 3 m. Tanaman Pisang merupkakan satu kombinasi terbaik terutama semasa menanam durian dikawasan baru yang terbuka. Banyak penulisan saya yang telah dijadikan bahan rujukkan oleh pensyarah, pelajar, pengusaha serta penyekidik mengenai durian. Sudah berjuta pembaca yang membaca berdasarkan kepada analisis data yang tekah saya buat. Ada sesetengah yang menggunakan maklumat dari blog saya untuk dijadiknan buku, jurnal dan tesis sebagai bahan rujukan. Artikel ini ditulis dalam 5 segmen iaitu Part 1, Part 2, Part 3. Part 4 dan Part 5 untuk dibaca bersama. Semuga artikel ini juga memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
INDUSTRI DURIAN... HEBAT DI MALAYSIA...
VARIETI PREMIUM... JADI BAKA UTAMA...
KUALITI BAGUS... MAHALNYA HARGA ...
SEMAKN KOMERSIL... MARI BACA FAKTA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Cendana off Jalan Istana,
Persimpangan Bukit Beruang, Bandar Melaka, 
Melaka,
Malaysia.
(18 RabiulAkhir 1444H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...