Support My Blog

Wednesday, November 16, 2022

DURIAN - APA FAKTA PENTING (Part 2)

TANAMAN DURIAN (Durio zibethinus Murr.) merupakan satu bidangusaha yang sangat popular di Malaysia terutama dengan penanaman varieti durian premium masa kini. Kalau dahulu penanaman durian dilakukan secara tradisional dan pengurusan yang konvensional akan tetapi kini industri ini telah jauh berkembang apabila ia di komersilkan dengan cara baru dan menggunakan pakej amalan teknologi moden. Apa pun saya yang telah menulis dalam blog ini lebih dari 550 buah artikel mengenai durian tetap percaya bahawa industri ini akan terus berkembang dimasa akan datang. Kini keluasan tanaman durian terkini pada tahun 2021 adalah seluas 78,772 hektar dengan jumlah pengeluaran hasil sebanyak 400,636 metrik tan (Sumber: Booklet Keluasan Tanaman Makanan, Jabatan Pertanian Malaysia, 2021). Beberapa varieti durian premium kini menggantikan varieti durian kampong atau varieti tradisional yang semakin kurang penanaman baru. Jabatan Pertanian telah mengenal pasti dan mengumpul koleksi klon durian semenjak tahun 1934 dan sehingga sekarang telah mendaftarkan lebih dari 250 varieti yang penulis blog pernag terlibat sama. Antara beberapa varieti durian premium yang kini sangat popular termasuk Durian Musang King (D197), Durian Duri Hitam atau Black Thorn (D200), Durian Udang Merah (D175), Durian Tekka (D160), Durian Bukit Merah (D24), Durian Hajah Asmah (D168)dan beberapa lagi. Walau pun terdapat lebih daripada 250 varieti durian yang telah didaftarkan dalam Jadual Senarai Varieti Tanaman di Jabatan Pertanian Malaysia akan tetapi hanya sebahagian sahaja varieti yang masih ditanam dan dikomersilkan. Pada penulis blog durian merupakan antara spesies buah-buahan yang sangat popular dan masih banyak ditanam di Malaysia. Secara tradisional pula lazimnya pokok durian ditanam daripada baka biji benih di kawasan dusun di kampung dimana lazimnya buah durian dari pokok anak baka biji menghasilkan buah yang tidak seragam, tidak pasti akan kualitinya dan sebahagian besar tidak mendapat pasaran yang baik. Durian merupakan salah satu daripada 11 jenis buah-buahan yang telah dikenalpasti di bawah Dasar Agro Makanan (2011-2020) yang mempunyai potensi untuk dibangunkan bagi menampung permintaan tempatan dan eksport. Kalau dahulu pasaran durian adalah untuk pasaran domestik sahaja tetapi ia kemudian di eksport terutama ke Singapura. Kini durian Malaysia sudah di eksport ke China, Jepun sehingga pernah sampai ke Eropah dan negara lain. Apa pun tetap berlaku persaingan yang hebat  dari negara Thailand yang merupakan pengeksport durian terbesar dunia. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis lagi mengenai beberapa fakta penting penanaman durian di Malaysia untuk dijadikan bahan rujukkan semua pembaca.

Teknologi menanam durian komersil kini semakin hebat dengan banyak aplikasi dan penyesesuaian dilakukan. Salah satu aspek penting adalah bagaimana Sistem Campuran dan Kombinasi beberapa varieti perlu dilakukan semasa menanam. Adalah disyorkan bahawa perlu pilih sebanyak 3 - 5 varieti benih durian untuk ditanam bagi sesuatu dusun durian komersil yang mana ini bertujuan untuk meningkatkan proses pendebungaan (cross pollination) dan kemudahan pemasaran. Bagi sesuatu kebun atau kawasan dipastikan menanam varieti durian yang telah disyorkan oleh Jabatan Pertanian. Maklumat ini boleh didapati dengan melayari website Jabatan Pertanian Malaysia atau membaca artikel dalam blog termasuk tulisan saya. Apa pun sebaiknya varieti utama bagi sesuatu dusun komersil ianya perlu ditentukan satu varieti utama yang terdiri daripada 50 - 60% daripada jumlah pokok durian yang ditanam. Dalam keadaan tertentu pula penulis blog beritahu penanam agar boleh ada dua varieti utama boleh ditanam. Selain daripada varieti utama disyorkan juga agar ada 20 - 30% varieti yang dinamakan sebagai 'varieti subsidiari' yang perlu ditanam untuk tujuan pendebungaan dan juga untuk pasaran. Varieti ini juga boleh dipilih yang terdiri dari senarai varieti durian yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia. Varieti yang biasa digunakan adalah varieti D99 kerana ianya dilaporkan dapat menghasilkan banyak debunga serta ia mempunyai hasil yang tinggi serta kualiti dan harga buah yang baik. bagaimana pun ada juga varieti durian kampong atau varieti durian tempatan yang sesuai digunakan dan banyak terdapat dan terbukti berprestasi baik di sesuatu kawasan setempat. Pemilihan varieti ini adalah bebas dan terpulang kepada kehendak pekebun. Biasanya pekebun boleh menanam 5 - 20% varieti tempatan. Penanaman varieti durian mengikut kesesuaian tempat. Penanam baru sebaiknya faham akan fakta dimana faktor iklim adalah perlu diambil kira. Durian adalah sejenis tanaman bermusim yang berasal daripada kawasan rendah tropika dimana ia asasnya memerlukan persekitaran yang panas dan lembap sama seperti yang terdapat di hutan tropika bagi membantu pertumbuhan vegetatif. Tanaman durian hidup dengan subur di kawasan-kawasan di mana suhunya di antara 27°C - 32°C serta mendapat hujan di antara 1,800 - 4,000 mm setahun. Ciri khusus seperti keadaan dalam ia mengalami musim kemarau antara 1 - 3 bulan biasanya mempengaruhi siatem peredaran udara dan angin yang baik serta mendapat cahaya matahari sepanjang tahun perlu diambilkira seblim memilih lokasi. 


Mungkin penanam durian jug aperlu memahami fakta berkaitan dengan Kelembapan Bandingan yang mana nilai diperlukan pokok durian adalah lebih kurang 80%. Dalam keadaan dimana kadar kelembapan yang tinggi maka pokok durian berupaya menghasilkan berkelakuan untuk mengeluarkan pucuk-pucuk baru sekali setiap bulan iaitu satu kelainan yang berbeza dengan pokok buah-buahan yang lain. Lebih kurang 90% dari tunas hujung baru berupaya dalam menghasilkan daun baru. Pada peringkat awal pertumbuhan vegetatif (vegetative stage) dimana anak pokok durian sangat peka kepada keadaan kemarau. Pengairan adalah sangat diperlukan untuk mengelakkan kematian. Ini adalah kerana sistem akarnya yang sangat cetek (< 30 cm) dan keadaan ini dimana akar mudah ketandusan air yang menyebabkan anak pokok akan kering dan mati. Faktor iklim seperti jumlah hujan mencukupi bagaimana pun ia sering membantu pertumbuhan vegetatif. Pokok durian memerlukan keadaan kemarau untuk menggalakkan proses pembungaan. Ketiadaan hujan juga akan menyebabkan kelembapan tanah menurun dan kadar penyerapan air oleh pokok berkurangan yang menganggu proses tumbesaran pokok. Pokok akan menjadi dorman dari segi pertumbuhan di mana daun-daun baru tidak terbentuk dimana penulis blog dapati keadaan ini mungkin mempunyai pertalian dengan kejadian kudup bunga. Walau bagaimanapun berlaku keadaan dimana apabila kudup bunga mulai pecah dan buah mula terbentuk maka keberadaan air diperlukan secukupnya bagi proses membesar. Disyorkan agarapabila mencapai peringkat matang pokok durian memerlukan satu jangkamasa musim kering di antara 1 - 3 bulan untuk ianya mempengaruhi proses pembungaan dan proses pembuahan tersebut. Masa yang kritikal bagi perkembangan buah ialah kira-kira 4 minggu selepas bunga kembang. Perkara ini juga disebabkan pada waktu tersebut dimana kadar pertumbuhan dan pembesaran buah adalah tinggi. Oleh itu air yang agak berlebihan menyebabkan pokok menghasilkan pucuk baru. Keadaan ini menyebabkan wujudnya persaingan untuk mendapatkan bahan makanan antara bahagian buah muda dengan bahagian daun baru yang boleh menyebabkan kejadian putik dan buah gugur.

Ramai kalangan penanam durian kurang faham akan keadaan jenis tanah yang paling baik untuk tanaman durian. Pengalaman penulis blog mendapati secara umumnya tanah yang subur dikawasan bercerun adalah lebih produktif daripada kawasan tanah pamah (tanah rendah dan rata). Pokok durian memerlukan tanah yang dalam, subur dan gembur kerana tanah-tanah tersebut mempunyai pengudaraan dan struktur yang baik untuk pertumbuhan akar. Keadaan tanah hendaklah jenis tanah dalam (> 100 cm) agar ia dapat memegang air dan nutrien serta ia mempunyai saliran yang baik, tidak tepu air serta kaya dengan bahan organan. Walaupun tanah-tanah jenis lom dan lom berpasir banyak terdapat di lereng-lereng bukit dan sesuai untuk tanaman durian akan tetapi ia tidak tahan dengan musim kemarau yang terlalu panjang jika tidak disediakan sistem pengairan sempurna. Penanaman durian di kawasan yang mengalami kemarau panjang isitu seperti yang berada di Utara Semenanjung Malaysia selalunya ia akan memerlukan sistem pengairan baik bertujuan bagi dapat ia menggalakkan pengeluaran hasil yang baik. Apa pun jika boleh pastikan kesesuaian tanah tanaman durian daripada jenis tanah yang berasal dari batuan igneus dan mendapan yang dalam (> 100 cm) seperti tanah siri Rengam, Batang Merbau, Bungor, Serdang, Beserah, Jerangau dan Baling atau Bukit Temiang. Seterusnya jenis tanah lom liat berpasir yang berasal dari batu sedimentari serta jeins tanah lanar laut yang mengandungi kandungan liat yang tinggi juga boleh ditanam asalkan paras air dalam tanah tidak terlalu tinggi. Selain itu bagi tanah Siri Selangor yang terdapat di banyak Pantai Barat Semenanjung Malaysia sesuai digunakan. Jenis tanah yang terbentuk dari alluvium sungai yang bersaliran salir ke sederhana salir seperti tanah dari Siri Cempaka, Lundang, Medang Tebok serta Tawar (perlu perparitan) Tok Yong, Penambang dan Kerayong.  agaimana pun jika ada jenis tanah bermasalah seperti tanah BRIS, tanah bekas lombong, tanah asid sulfat, tanah masin, tanah gambut dan tanah bertakung air jenis tanah yang tidak sesuai untuk tanaman durian. Jenis tanah bukit yang berkecerunan 0 - 12° adalah sangat sesuai untuk penanaman durian. Walau bagaimana pun selalunya durian masih boleh ditanam di kawasan yang berkecerunan 12 - 25° jika langkah-langkah pemuliharaan tanah yang mencukupi dibuat.

Tanah untuk tanaman durian sebaiknya dibuat aktiviti pengapuran bertujuan untuk mendapatkan pH yang optimum bagi tumbesaran pokok durian. Aktiviti pengapuran adalah disyorkan dengan menggunakan GML (Ground Magnesium Limestone) pada kadar 0.5 - 3.0 kg sepokok setahun untuk pokok dewasa. Bagi kawasan baru pula pengapuran hendaklah dibekalkan ketika pembajakan tanah dijalankan agar kapur dapat digaulkan ke dalam tanah (30 - 45 cm dalam) supaya lebih berkesan dalam menaikkan pH tanah. Panduan umum keperluan kapur tanah dimana jika bacaan pH5.0 - pH5.5 kadar diberikan 2.5 mt/ha, jika bacaan pH4.5 - 5.0 diberikan sebanyak 5.0 mt/ha sementara jika nilai pH kurang dari pH4.5 perlu berikan kapor sebanyak  7.5mt/ha. Apa pun Jabatan Pertanian telah sediakan fakta mengenai apa yang dikatakan sebagai 'Zon Tanaman Durian'. Zon tanaman buah-buahan (termasuk durian) yang disediakan merupakan kawasan yang paling sesuai untuk tanaman yang terpilih serta kondusif untuk dimajukan sebagai satu industri yang berdaya saing. Zon tanaman mengambil kira faktor-faktor seperti jenis tanah, teren dan iklim untuk penentuan tanaman yang sesuai. Faktor-faktor ini kemudian dianalisa dan digabungkan dengan faktor bukan biofizikal untuk memilih tanaman paling menguntungkan dan menjamin perkembangan industri tanaman tersebut secara lestari dan mesra alam. Dalam menanam durian dari sumber benih adalah sangat kritikal. Apa pun penanaman durian pada masa ini sudah pun menggunakan varieti yang dibiakkan secara vegetatif menggunakan teknik cantuman mata tunas atau cantuman baji. Bahan yang sering digunakan dalam pembiakan durian mestilah diperolehi dari sumber pokok induk yang disahkan ketulenannya setelah diperiksa oleh Jabatan Pertanian melalui Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT). Anak benih durian yang hendak ditanam ke ladang dipilih dari anak pokok yang sihat, subur, cergas, tidak berpenyakit dan dari varieti yang tulen yang telah diperiksa oleh pihak Jabatan Pertanian. Ciri-ciri tersebut dapat meninggikan kadar peratus kejayaan penanaman di ladang serta mengurangkan bilangan pokok baru yang mati. Anak benih yang dipilih mestilah menepati spesifikasi standard minimum yang ditetapkan. Anak pokok durian dalam polibeg berukuran 30 cm x 12 cm adalah mesti sihat, subur dan tulen. Kini ramai penanam durian memilih gunakan Anakbenih atau Bahan Tanaman Lanjut (Advanced Planting Material atau APM) yang merupakan benih durian cantuman yang tumbesarannya dijaga hingga ketinggian pokok melebihi 150 cm. Umur benih tanaman lanjut adalah bertujuan bagi durian dapat mengurangkan peratus kematian. Pertumbuhan pokok juga cepat dan apa yang penulis blog sering tinjau dilapangan mendapati ia juga tidak memerlukan perlindungan pada awal penanaman. Penyediaan benih tanaman lanjut bagi durian ini dibuat dengan menukar polibeg kecil kepada polibeg besar berukuran 30 cm x 45 cm sesuai untuk ia digunakan dengan cara memasukkan cukup tanah campuran baru dimasukkan semasa penukaran polibeg. Pokok benih yang telah siap diubah perlu dijaga rapi dengan cukup pembajaan dan penyiraman di bawah sedikit lindungan seperti tanaman pisang atau jaring hitam. Benih tanaman lanjut durian (APM) ini juga perlu dibuat penyesuaian atau pelasakan (hardening) sebelum diubah ke ladang. Ramai petani yang berpenglaman dalam menanam benih durian APM mendapati peratus kehidupannya adalah tinggi dan kadar tumbesarannya lebih aktif. Banyak penulisan saya yang telah dijadikan bahan rujukkan oleh pensyarah, pelajar, pengusaha serta penyekidik mengenai durian. Sudah berjuta pembaca yang membaca berdasarkan kepada analisis data yang tekah saya buat. Ada sesetengah yang menggunakan maklumat dari blog saya untuk dijadiknan buku, jurnal dan tesis sebagai bahan rujukan. Artikel ini ditulis dalam 5 segmen iaitu Part 1, Part 2, Part 3. Part 4 dan Part 5 untuk dibaca bersama.  Semuga artikel ini juga memberi info berguna kepada semua pembaca  blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
INDUSTRI DURIAN... HEBAT DI MALAYSIA...
VARIETI PREMIUM... JADI BAKA UTAMA...
KUALITI BAGUS... JADI MAHAL HARGA ...
TANAMAN KOMERSIL... MARI BACA FAKTA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Cendana off Jalan Istana,
Persimpangan Bukit Beruang, Bandar Melaka, 
Melaka,
Malaysia.
(18 RabiulAkhir 1444H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...