Support My Blog

Friday, June 3, 2022

TEKNOLOGI TANAM UBI KAYU (Part 2)

TANAMAN UBI KAYU
(Manihot esculenta Crantz) atau pun ia dipanggil sebagai 'cassava' atau 'tapioca' yang dipercayai berasal dari bahagian tropika Amerika merupakan sejenis tanaman umbisi yang popular sejak dahulu di Malaysia. Ubi kayu ini telah diperkenalkan ke kawasan-kawasan tropika yang lain pada kurun ke-17 oleh penjelajah Portugis. Ianya dari jenis tanaman dikotiledon dan tergolong dalam famili Euphorbiaceae. Di Malaysia tanaman ubi kayu adalah seluas 2,832 hektar dengan pengeluaran hasil sebanyak 40,714 metrik tan pada tahun 2021 (Sumber: Booklet Statistik Keluasana tanaman makanan, Jabatan Pertanian Malaysia, 2022). Negeri Johor merupakan negeri paling luas menanam ubi kayu seluas 604 hektar menghasilkan 12,619 metrik tan pada tahun 2021 diikuti dengan Negeri Sarawak (754 hektar menghasilkan 8,251 mt) dan Negeri Selangor (480 hektar menghasilkan 7,395 mt). Kebanyakan penanaman ubi kayu dilakukan oleh pekebun kecil sebagai tanaman selingan atau tanaman kontan diantara tanaman kekal lain. Bagaimana pun terkini dilaporkan ada usaha sektor swasta untuk mereka cuba menanam secara besar-besaran untuk tujuan pengeluaran biodisel. Ubi kayu lazimnya ditanam untuk dijadikan sebagai makanan manusia dengan pelbagai kuliner dan juga boleh diusahakan untuk industri pengeluaran kanji. Ubi kayu juga mempunyai potensi sebagai bahan makanan ternakan, bahan mentah dalam pembuatan sirap fruktosa-glukosa kandungan tinggi iaitu sejenis pemanis dalam industri minuman dan makanan bertin dan pengganti separa tepung gandum. Kini makanan ringan seperti kerepek ubi kayu merupakan diantara produk paling popular dikalangan pengusaha makana ringan sehinggakan mampu menemburi pasaran eksport. Pada penulis blog ubi kayu rebus yang dimakan dengan sambal tumis ikan bilis merupakan diantara kuliner kegemaran semenjak dahulu dan sering memakannya dirumah juga. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai kaedah penanaman ubi kayu untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca semua.

Beberapa jenis ubi pahit terus ditanam di Malaysia kerana lazimnya jenis 
ini ditanam untuk pengeluaran kanji dan juga untuk dijadikan makanan ternakan. Varieti jenis pahit pada kebiasaanya mempunyai tangkai daun berwarna kuning atau hijau. Diantara varietivarieti jenis pahit ialah Black Twig, Perintis, MM 92 dan lain-lain. Penulis blog dapati dimana pada kebiasaanya jenis pahit mencapai kematangan sekitar 12 - 18 bulan selepas ditanam. Namun begitu Varieti MM92 boleh mula dituai ketika umurnya mencapai 6 bulan. Varieti jenis pahit tidak mudah rosak jika penuaian lambat dilakukan. Hanya kandungan serat mungkin tinggi. Varieti-varieti yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian untuk ditanam oleh petani ialah MM92 dimana antara ciri varieti ini adalah ia mempunyai tabiat bercabang sekali sahaja. Biasanya varieti ini mempunyai warna batang tua iaitu perang muda dengan bekas tangkai daun berwarna kemerahan. Jika dilihat pada bahagian pucuk muda ia berwarna hijau muda keperangan dengan ketinggian pokok diantara 1.5 - 3.0 meter dari paras tanah. Bentuk cuping daun adalah lebar dan obovate dengan ada 7 bilangan cuping daunnya. Dilihat dari warna daunnya adalah hijau akan tetapi varieti ini mempunyai warna gangang daun yang hampir semuanya merah. Jika diperiksa kulit pada ubi selalunya ia licin sehingga sedikit kasar dimana kulitnya berwarna perang muda dengan isinya berwarna krim (creamy white). Tanaman ubi kayu ini mempunyai jangkamasa kematangan bagi varieti MM92 adalah selama 6 - 12 bulan dimana potensi hasilnya adalah tinggi diantara 30 - 40 metrik tan sehektar. Dimakmal kajian mendapati kadar kandungan kanji adalah sebanyak 80.1% daripada berat kering. Kebanyakan varieti ini adalah ditanam untuk diproses bagi menghasilkan kanji.

Jenis ubi pahit yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian dikenali sebagai Varieti Perintis (ini varieti lama juga). Antara ciri ubi ini dimana selalunya ia akan boleh bercabang sekali sahaja. Batang ubi yang matang dilihat mempunyai warna putih kekelabuan dan uniknya mempunyai warna pucuk muda keunguan (Sila lihat foto disebelah). Mempunyai daun yang berbentuk cuping kecil panjang, obovate dengan bilangannya diantara 5 - 7 cuping. Apabila diteliti semua daunnya adalah berwarna hijau dengan warna ganggang daun selalunya berwarna hijau kemerahan. Penuaian ubi Perintis ini boleh dilakukan selepas 10 - 12 bulan ditanam. Potensi hasilnya dilaporkan diantara 30 - 40 metrik tan sehektar dengan sesuai untuk dijadikan produk kanji setelah melalui proses dikilang. Dilaporkan dimana varieti ubi ini mempunyai kulit ubi yang kasar dengan warna perang muda dan warna isinya adalah putih kekuningan. Kajian makmal mendapati kadar kandungan kanjinya adalah sebanyak 78.4% daripada berat kering. Dari sisi lain varieti ini dilaporkan semakin kurang ditanam oleh pekebun kecil kerana harga jualan adalah agak rendah berbanding dengan harga yang ditawarkan kepada jenis ubi manis. 

Keadaan suhu yang optima untuk tujuan penanaman ubi kayu ialah antara 25 - 29 Celcius dengan altitiud penanaman ialah dari 30N- 30S (kawasan tropika) dimana ianya juga tidak tahan terhadap keadaan bersalji dan mesti terhindar dari keadaan bersalji selama 300 hari. Pertumbuhan ubi kayu akan terbantut sekiranya keadaan  suhu kurang dari 10 Celcius dan hasil ubi segar akan berkurangan apabila keadaan suhu melebihi 29 Celcius. Ianya tidak sesuai ditanam di kawasan yang berada pada paras ketinggian melebihi 1,000m dari paras laut. Jika ketinggian melebihi tahap ini kesannya adalah kadar pertumbuhan pokok akan menjadi lambat dan hasil ubi segar akan berkurangan. Taburan hujan yang serata dengan kadar 100 -150 cm setahun adalah sesuai untuk pertumbuhan ubi kayu. Penulis blog dapati dimana walau bagaimana pun untuk kawasan yang menerima hujan melebihi 250 cm setahun ianya masih boleh ditanami dengan ubi kayu dengan syarat iaitu sistem peparitan hendaklah dalam keadaan baik. Bagi kawasan yang menerima hujan tahunan kurang dari 50 cm pula pastikan ada sumber air mencukupi di kawasan berkenaan. Walau pun ubi kayu selalunya tahan keadaan kemarau, namun peringkat awal pertumbuhan keratan semasa penanaman ia memang amat memerlukan air. 
Penyediaan tanah hendaklah dibuat supaya jadual penanaman dapat dilakukan pada musim hujan. Tapak tanaman hendaklah dibajak dan putar. Pastikan agar penanaman ubi kayu sebaiknya ditanam di atas batas terutamanya tanah mineral (Sila lihat foto disebelah). Adal juga kalangan petani yang menanam tanpa batas untuk tanah yang gembur seperti tanah gambut yang telah terurai. Bagaimana pun yang penting di tanah gambut adalah pastikan paras air tanahnya hendaklah dikawal 30 - 60 cm daripada permukaan tanah. Penanaman tanpa batas untuk  jenis tanah mineral dapat dilakukan namun kerja-kerja penuaian sukar dilakukan sebelum berjaya memghasilkan umbisi. Ada kalangan petani yang mana walau pun sebelum penanaman tanah telah dibajak akan tetapi apabila berlaku hujan lebat yang kerap dan panas kesannya dimana tanah menjadi padat. Disamping itu ubi mudah reput sekira tempoh kematangan ubi berlaku pada musim hujan. Penggunaan struktur batas-batas berukuran 60 cm lebar dan 20cm tinggi membolehkan proses pembesaran ubi yang cepat serta memudahkan kerja-kerja seperti memunggut hasil serta kerja pengawalan rumpai dan sebagainya. Artikel ini ditulis didalam 4 segmen iaitu Part 1, Part 2, Part 3 dan Part 4 yang perlu dibaca bersama. Semuga artikel ini memberi info baru berguna untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
UBI KAYU... CASSAVA ATAU TAPIOCA....
MUDAH DITANAM... SENANG DIJAGA....
DIREBUS EMPUK.. CICAH SAMBAL SAJA...
TINGGI KABOHIDERAT... ENAK RASA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(1 Zulkaedah 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...