Support My Blog

Thursday, June 2, 2022

TEKNOLOGI TANAM UBI KAYU (Part 1)

TANAMAN UBI KAYU (Manihot esculenta Crantz) atau pun ia dipanggil sebagai 'cassava' atau 'tapioca' yang dipercayai berasal dari bahagian tropika Amerika merupakan sejenis tanaman umbisi yang popular sejak dahulu di Malaysia. Ubi kayu ini telah diperkenalkan ke kawasan-kawasan tropika yang lain pada kurun ke-17 oleh penjelajah Portugis. Ianya dari jenis tanaman dikotiledon dan tergolong dalam famili Euphorbiaceae. Di Malaysia tanaman ubi kayu adalah seluas 2,832 hektar dengan pengeluaran hasil sebanyak 40,714 metrik tan pada tahun 2021 (Sumber: Booklet Statistik Keluasana Tanaman Makanan, Jabatan Pertanian Malaysia, 2022).  Negeri Johor merupakan negeri paling luas menanam ubi kayu seluas 604 hektar menghasilkan 12,619 metrik tan pada tahun 2021 diikuti dengan Negeri Sarawak (754 hektar menghasilkan 8,251 mt) dan Negeri Selangor (480 hektar menghasilkan 7,395 mt). Kebanyakan penanaman ubi kayu dilakukan oleh pekebun kecil sebagai tanaman selingan atau tanaman kontan diantara tanaman kekal lain. Bagaimana pun terkini dilaporkan ada usaha sektor swasta untuk mereka cuba menanam secara besar-besaran untuk tujuan pengeluaran biodisel. Ubi kayu lazimnya ditanam untuk dijadikan sebagai makanan manusia dengan pelbagai kuliner dan juga boleh diusahakan untuk industri pengeluaran kanji. Ubi kayu juga mempunyai potensi sebagai bahan makanan ternakan, bahan mentah dalam pembuatan sirap fruktosa-glukosa kandungan tinggi iaitu sejenis pemanis dalam industri minuman dan makanan bertin dan pengganti separa tepung gandum. Kini makanan ringan seperti kerepek ubi kayu merupakan diantara produk paling popular dikalangan pengusaha makana ringan sehinggakan mampu menemburi pasaran eksport. Pada penulis blog ubi kayu rebus yang dimakan dengan sambal tumis ikan bilis merupakan diantara kuliner kegemaran semenjak dahulu dan sering memakannya dirumah juga. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai kaedah penanaman ubi kayu untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca semua.

Ramai kalangan pembaca yang mungkin tidak mengenali akan beberapa jenis atau varieti ubi kayu yang sesuai ditanam di Malaysia. Jenis-jenis ubi kayu boleh dikenali dengan ciri-ciri tertentu yang ada pada tumbuhan itu sendiri atau pada bahagian umbisinya. Umpamanya berdasarkan ciri morfologi seperti bentuk daun, saiz daun, warna tangkai daun, tinggi pokok, batang dan kulit ubi serta kandungan Asid hidrosianik. Kandungan Asid hidrosianik telah digunakan untuk tujuan mengkelaskan ubi kayu jenis manis dan jenis pahit. Menurut satu sumber yang penulis rujuk dari Gerona (1994) dimana ubi kayu jenis pahit mengandungi kandungan Asid hidrosianik diukur bermula dari 100 ppm sehingga 400 ppm berdasarkan berat ubi segar. Sementara ubi kayu jenis manis pula lazimnya akan mempunyai kandungan asid hidrosianik kurang dari 100 ppm. Kandungan Asid hidrosianik pada varieti jenis manis hanya terdapat pada bahagian kulit ubi dan pada bahagian isinya boleh dikatakan rendah. Pengkelasan varieti ubi kayu berdasarkan kandungan asid hidrosianik harus berhati-hati kerana kandungan asid hidrosianik pada varieti-varieti tertentu mungkin berbeza mengikut keadaan terdapat persekitaran ianya ditanam (Onwueme,1978 ). Bagaimana pun petani selalunya akan menanam ubi kayu yang sudah lama diusahakan disesuatu kawasan yang sudah terbukti akan penghasilannya dan pemasarannya.

Bagi ubi kayu Jenis Manis ini biasanya jenis ini akan digunakan untuk makanan dan tangkai daunya kebiasaanya dilihat berwarna merah. Diantara jenis-jenis varieti ubi kayu yang tergolong dalam jenis manis ialah Varieti Sawah, Medan, Kabu, Betawi, Pulut dan sebagainya. Pada umumnya jenis ubi kayu manis mencapai kematangan dalam jangkamasa diantara  6 -10 bulan selepas ditanam dengan penjagaan kebun yang baik. Bagaimana pun sellu dilaporkan dimana ubinya memang agak mudah rosak jika penuaian lambat dilakukan. Daripada pengalaman dan pemantauan penulis blog mendapati dimana pernah pihak Jabatan Pertanian mengesyorkan Varieti Sawah untuk ditanam oleh petani suatu ketika dahulu kerana ada potensinya. bagaimana pun kini sudah tidak ramai petani yang menanam varieti ini lagi. Varieti ini didapati memang sesuai untuk dimakan setelah direbus kerana isinya empuk  dan memberikan rasa enak berbanding dengan ubi jenis lain. Disamping itu juga ianya boleh digunakan untuk membuat kuih tradisional yang berasaskan ubi kayu. Tinggi pokok selalu diantara 1.5 - 3.5 meter dengan tempoh matang 11 - 12 bulan. Varieti ini lazimnya akan bercabang dua kali dimana ia akan mempunyai warna kulit batang tua perang keputihan (Sila lihat foto disebelah). Ia mempunyai warna pucuk muda hijau muda keperangan dan warna ganggang daun merah. Warna kulit ubi adaah adalah perang, kulit luarnya kasar dan warna isinya adalah putih. Potensi hasil adalah diantar 20 - 30 metrik tan sehektar dengan kadar kandungan kanji sekitar 72.1% dari berat kering. Varieti ini paling sesuai untuk di makan segar. Varfieti ini penulis blog dapati masih ada ditanam dan popular dibeberapa lokasi di Johor seperti di Batu Pahat dan Muar dan ada dijual juga.

Penulis blog dapati selain itu antara varieti ubi manis lain adalah dari Varieti Ubi Putih (Sila lihat foto disebelah). Varieti ini telah disyorkan untuk tujuan membuat kerepek ubi kayu yang enak. Varieti ubi putih mempunyai batang pokok yang selalunya tidak bercabang dimana ia mempunyai warna batang tua putih keperangan. Ia mempunyai warna pucuk muda juga hijau muda dengan keseluruhan daunnya adalah berwarna hijau. Selalu mempunyai bilangan cuping daun diantara 5 - 7 dimana warna gangang daun adalah hijau muda. Kulit ubi yang matang selalunya adalah licin dan sedikit kasar dimana ia akan dilihat berwarna perang muda. Agak berlainan apabila dilihat warna isinya adalah putih kekuningan dengan sesuai dijadikan kerepek ubi. Penulis blog dapati ketinggian pokok varieti ubi puti diantara 1.5 - 3.0 meter dengan jangkamasa kematangan untuk menuai sekitar 10 - 12 bulan. Kajian mendapati dipmana potensi hasil ubi putih adalah diantara 20 - 30 metrik tan sehektar. Kajian makmal mendapati ubi putih ini mengandungi kandungan kanji paling tinggi iaitu 80.8% dari berat kering. Benih ubi putih masih boleh didapatkan daripada petani yang masih aktif menanam ubi ini atau boleh bertanya kepada Jabatan Pertanian berhampiran. Artikel ini ditulis didalam 4 segmen iaitu Part 1, Part 2, Part 3 dan Part 4 yang perlu dibaca bersama. Semuga artikel ini memberi info yang berguna untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
UBI KAYU... CASSAVA ATAU TAPIOCA....
MUDAH DITANAM... SENANG DIJAGA....
DIREBUS EMPUK.. CICAH SAMBAL SAJA...
TINGGI KABOHIDERAT... ENAK RASA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(1 Zulkaedah 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...