Support My Blog

Tuesday, March 15, 2022

POKOK DURIAN - KENALI DIA

TANAMAN DURIAN (Durio zibethinus Murr.) merupakan diantara tanaman buah-buahan yang dikomersilkan di Malaysia dimana ia merupakan buah tropika yang terluas diusahakan. Buah durian adalah d antara spesies buah-buahan yang sangat popular dan banyak ditanam di Malaysia. Penulis blog (foto diatas) telah menulis lebih daripada 500 artikel mengenai durian dalam blog ini untuk dijadikan bahan rujukkan. Foto diatas merupakan salah satu kebun durian komersil di Simpang Pertang, Negeri Sembilan dimana pokok durian Musang King yang berumur 5 tahun sudah berhasil. Petani ini mempunyai lebih 100 ekar tanaman durian Musang King dan Black Thoran didalam 7 buah kebun miliknya. Secara tradisional apa yang penulis blog ;ihat dimana pokok durian ditanam daripada baka biji benih di kawasan dusun di kampung. Bagaimana pun kin petani durian komersil akan mencantumkan pokok dikebun dengan varieti disyorkan untuk mendapatkan pokok berkualiti. Dahulu lazimnya buah durian dari pokok anak baka biji menghasilkan buah yang tidak seragam serta tidak pasti kualitinya dan sebahagian besar tidak mendapat pasaran yang baik dalam kategori 'Durian Kampong'. Penulis blog dapati dimana Jabatan Pertanian Malaysia telah mengenal pasti dan mengumpul koleksi klon durian semenjak tahun 1934 dan sehingga sekarang telah mendaftarkan lebih dari 241 varieti durian. Saya yang terlibat didalam semakan semua sisten pendaftaran ini memang ada menulis semua varieti tersebut didalam blog ini. Walau bagaimanapun memang hanya sebilangan kecil sahaja varieti durian yang disyorkan untuk ditanam secara komersil iaitu ia berdasarkan kepada ciri-ciri buah tersebut iaitu mutu buah yang tinggi, hasil yang banyak dan kesesuaian dengan agroiklim Malaysia. Durian merupakan salah satu daripada 11 jenis buah-buahan yang telah dikenalpasti di bawah Dasar Agro Makanan (2011-2020) dan didalam Dasar AgroMakanan Negara (DAM) dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang mempunyai potensi untuk dibangunkan bagi menampung permintaan tempatan dan eksport. Keluasan kawasan durian di Malaysia adalah seluas 76,972 hektar dengan menghasilkan sebanyak 400,636 metrik tan buah segar pada tahun 2021 (Sumber: Booklet Ststistik Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia, 2022). Dahulu banyak hasil durian segar dieksport ke Singapura akan tetapi kini ia sudah dieksport ke China, Jepun dan beberapa buah negara lain. Persaingan yang hebat juga dijangka akan terus dihadapi dengan negara jiran khususnya Thailand terutama untuk pasaran eksport ke China dan Singapura. Rakyat Malaysia juga sering membeli buah durian dari Thailand di pasaraya dan pasar buah-buahan. Dalam masa yang sama Malaysia juga mengimport lebih kurang 15,000 hingga 25,000 metrik tan durian dari negara jiran Thailand yang bernilai lebih RM24 juta setahun. Penggunaan dalam negara dan eksport serta pengeluaran untuk gantian import boleh dipertingkatkan lagi sekiranya durian yang dihasilkan berkualiti tinggi. Kawasan-kawasan durian sedia ada perlu dipulihkan dengan varieti durian yang disyorkan Jabatan Pertanian dan bermutu tinggi serta ditentukan pengamalan pengurusan ladang yang baik (MyGAP). Langkah ini akan dapat menentukan penghasilan yang tinggi dan berkualiti unutuk pasaran domestik dan juga pasaran eksport. Artikel yang ke 6,965 pada petang Ahad ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya berkatya tentang marfologi pokok durian untuk dijadikan bahan rujukkan semua.

Ramai kalangan pembaca blog ini  dipercayai sudah kenal akan apakah dia pokok durian. Lainlah kalau mereka ini sudah tinggal di luar negara yang tidak ada pokok durian mungkin tidak pernah melihatnya. Pokok durian merupakan pokok berkayu dengan tumbuh menegak dan menjadi pokok yang amat besar. Pokok yang berasal daripada anak biji boleh mencapai ketinggian 30 - 40 meter dan mempunyai banir setinggi 2 - 3 meter apabila tua manakala ketinggian pokok cantuman pula boleh mencapai 10 - 20 meter sahaja. Biasanya pokok durian yang masih muda mempunyai kanopi yang berbentuk seperti kon (Sila lihat foto disebelah). Bagi pokok durian yang telah matang lazimnya ia akan memunyai bentuk yang seakan berbentuk bulat dan rendang bergantung kepada vatieti dan kaedah cantasan yang dijalankan. Penanaman durian yang terlalu rapat pada penelitian penulis blog akan mengakibatkan kanopinya selalu akan berbentuk bujur. Bagaimana pun penanam durian komesil sudah menjalankan amalan cantman dewasa kepada pokok duran tua dimana ini menjanjikan hanya verieti durian terbaik yang akan mengeluarkan buah. Marfologi Daun durian lazimnya berbentuk lanceolate iaitu ia berukuran 6 - 12 cm panjang dan 2 - 4 cm lebar dimana ia akan dijadikan salah satu ciri didalam penentuan varieti durian. Biasanya pada permukaan atas daun berwarna hijau hingga hijau tua dan berkilat sementara dibahagian bawah daun pula berwarna hijau perang serta diselaputi oleh lapisan sisik kecil. Urat tengah daun jelas kelihatan pada bahagian bawah daun. Tangkai daun durian adalah pendek dan berukuran lebih kurang 1 cm. Pokok  Durian merupakan tanaman yang berakar tunjang. Ia memang mempunyai akar rerambut yang terdapat banyak di kawasan berdekatan dengan permukaan tanah. Dalam pada itu amalan pengurusan tanaman durian seperti cara pembajaan dan juga meracun rumpai yang sesuai bagi tanaman durian perlulah disesuaikan dengan kaedah terbaik mengikut pakej amalan teknologi yang disyorkan.

Komponen yang sering dibincangkan engenai marfologi pokok durian adalan BUNGA. Durian mempunyai bunga yang banyak dan berjambak dimana biasanya terdapat 30 - 60 kuntum bunga dalam satu jambak bunga. Bunga durian yang belum kembang dipanggil kudup. Kudup bunga durian mempunyai berbagaibagai bentuk (bulat - bujur) mengikut varieti dan ia merupakan di antara ciri-ciri yang boleh digunakan dalam pengenalan ciri varieti juga. Kudup bunga durian mempunyai garis pusat di antara 1.0 - 1.2 cm. Tangkai bunga durian biasanya berukuran di antara 3 - 6 cm panjang. Penulis blog dapati dimana bunga durian mempunyai epikaliks yang dilihat bercantum dan 4 - 6 kaliks yang juga bercantum pada bahagian pangkal. Bunga durian mempunyai lima kelopak yang berbentuk sudu (Sila lihat foto disebelah). Epikaliks lazimnya berwarna hijau keperangan, manakala kaliks dan kelopak bunga pula berwarna putih hingga putih kekuningan. Walau bagaimanapun terdapat juga kelopak yang berwarna kemerahan. Setiap kuntum bunga mempunyai 40 atau lebih stamen yang bercantum di bahagian pangkal untuk ianya membentuk 4 - 5 berkas. Bunga durian mempunyai benang sari yang panjang, dan kadang-kadang mempunyai bulu halus. Stigmanya berbentuk bulat dan berwarna kuning. Ovarinya pula bersaiz kecil dan mempunyai 4 - 6 lokulus yang akan membentuk pangsa buah. Bunga durian biasanya mula berkembang pada waktu petang bergantung kepada klon dan kawasan. Stigma didapati menjadi reseptif sebelum antesis berlaku dan keupayaan ini memuncak menjelang tengah malam dan selepas itu keupayaannya menurun sehingga tengahari keesokan harinya. Debunga hanya subur dan aktif pada masa bunga mula mekar sehingga menjelang tengah malam. Selepas tengah malam, kesuburan debunga mula menurun dan pada keesokan paginya, debunga tersebut tidak lagi subur dan aktif. Kelopak bunga putik buah. Selepas pendebungaan, semua bahagian bunga durian akan gugur kecuali ovari dan stil yang terus membesar dan membentuk buah sekiranya pendebungaan dan persenyawaan berlaku dengan sempurna. Sebaliknya, ovari akan gugur dalam tempoh 7 - 10 hari selepas bunga mekar jika pendebungaan dan persenyawaan tidak berlaku. Walau bagaimanapun, tidak semua putik yang terbentuk akan kekal sehingga matang. Sebahagian putik-putik buah ini masih boleh gugur walaupun saiz buah sudah mencapai sebesar 8 - 10 cm garis pusat. Putik buah yang masih kekal selepas peringkat ini akan terus membesar sehingga mencapai buah matang durian akan gugur pada keesokan harinya iaitu satu hari selepas bunga mekar. Bunga durian apabila mekar akan mengeluarkan bau yang harum. Proses pendebungaan bagi durian ialah secara pendebungaan berkacuk (cross pollination). Di samping itu penulis blog dapati dimana kebanyakan varieti durian akan mempunyai mod pendebungaan yang tidak serasi sendiri. Agen dalam proses pendebungaan utama bagi bunga durian ialah Kelawar, Lebah (Apis dorsata), Kelulut (Trigona spp) dan beberapa jenis semut. Pokok durian lazimnya mengeluarkan bilangan bunga yang banyak akan tetapi hanya sebilangan kecil sahaja (0.5%) bunganya akan membentuk buah durian kemudian.

Komponen paling penting untuk dinikmati adalah BUAH DURIAN.  Pokok 
Durian mempunyai buah yang pelbagai saiz dan mencapai ukuran sehingga 18 cm lebar dan 20 - 32 cm panjang. Kulit buah durian biasanya berwarna hijau, hijau keperangan hingga kuning keperangan. Ianya mempunyai duri yang tajam berukuran 1.25 cm panjang dan 1.8 cm lebar pada pangkal duri. Pada permukaan buah terdapat 4 - 5 garisan yang dipanggil garisan pangsa di mana ia digunakan sebagai tanda untuk membuka buah durian. Buah durian juga mempunyai bentuk bulat, bulat bujur dan bujur. Buah durian mempunyai 4 - 6 pangsa yang memuatkan ulas-ulas isi durian. Terdapat 1 - 8 ulas isi dalam satu pangsa. Isi durian berwarna putih kekuningan atau oren, dan kadang-kadang ada juga isi durian yang berwarna merah; ada yang tebal dan ada yang nipis, bergantung kepada klon dan jenis yang ditanam. Rasanya lemak, manis dan ada juga yang berasa pahit sedikit. Buah durian akan gugur sendiri apabila masak. Buah durian yang masak mempunyai bau yang kuat. Beberapa hari selepas buah gugur, kulit buah akan merekah di sepanjang garisan pangsa bermula daripada hujung buah. Kebanyakan buah durian ada biji durian berbentuk bulat bujur. Kulit biji kadangkala didapati merekah. Biji durian disaluti oleh isi. Terdapat juga durian tanpa biji yang lazimnya dipanggil kesep. Biji durian dikategorikan sebagai ‘recalcitrant’ iaitu biji benih yang bercambah pada tahap perkembangan yang tertentu. Bagaimana pun terkini banyak buah durian yang sudah tiada bijinya atau dipanggil sebagai 'kesep'. Buah durian dari varieti terpilih yang gugur daripada pokok matang yag dijaga dengan baik lazimnya banyak lemungkinan isinya kesep. Kepada mereka yang ingin menanam pokok durian boleh baca dulu artikel ini untuk lebih memahaminya. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
POKOK DURIAN.. KENALI CIRINYA...
IA POKOK MENEGAK.. TINGGINYA...
BUNGA BANYAK... BERJAMBAK DIA...
BUAH BERBAU... BERBIJI DALAMNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(10 Syaaban 1443H).
Posted from:
Room 102, Kosma Business Hotel, 
Kuantan, Pahang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...