Support My Blog

Saturday, February 1, 2020

TANAM JAGUNG TEPI RUMAH

TANAM JAGUNG TEPI RUMAH (Zea mays) boleh dilakukan oleh semua orang untuk kegunaan sendiri atau untuk tujuan landskap bagi mereka yang mempunyai kawasan lapang dirumah. Kawasan perumahan sama ada bungalow, rumah Semi-D dan Teres Lot Tepi sering mempunyai kawasan tanah agak luas yang mungkin sesuai untuk ditanam dengan jagung, sayuran atau tanaman ulaman serta herba. Apa pun paling penting dimana pemilik rumah atau penyewa rumah tersebut mempunyai minat yang tinggi didalam pertanian terutama didalam menanam tanaman makanan sendiri. Kini Jabatan Pertanian Malaysia melalui Program Pertanian Bandar da bantuan khusus untuk mereka yang berminat didalam penanaman tanaman makanan khususnya sayuran dan ulaman untuk dimajukan secara individu atau pun secara brkumpulan (Kebun Komunniti). Apa yang penting dimana aktiviti penanaman dikawasan rumah mesti dijaga dengan baik agar tidak mengganggu jiran sebelah rumah dari segi kebersihan, bau-bauan (mungkin dari baja organik atau baru bahan kimia) serta bila berhasil boleh diberikan jiran untuk uji rasa. Cara ini merupakan salah satu kaedah terbaik didalam masyarakat majmuk Malaysia didalam membentuk negara yang bersatu padu dan ujud perpaduan. Tanaman jagung yang merupakan tanaman singkat masa (3 bulan sahaja) antara jenis tanaman yang sesuai ditanam dikawasan rumah dengan boleh dijadikan landskap elok jika ia disusun deng\an baik dengan jadual penanaman yang sentiasa disususn atur semula. Pokok Jagung yang tumbuh menegak daripada keluarga Poaceae tidak mengambil ruang luas seperti pokok tumbuhan lain serta mudah dijaga. Hasil tanaman jagung ini terdiri daripada tongkol jangung manis dan juga jagung mini yang sesuai untuk dijadikan sayuran. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparkan perkongsian ilmu mengenai potensi penanaman jagung manis dikawasan tepi rumah untuk dijadikan bahan rujukkan semua.


Menanam jagung selalunya dilakukan didalam kebun sama ada kecil-kecilan atau secara luas komersil berbelas ekar. Bagaimana pun anda sebenarnya boleh menanam sendiri jagung dikawasan yang sempit di tepi rumah asalkan ada minat dan ilmu pengetahuan. Bahagian tepi dan belakang rumah anda yang tidak terdedah kepada jiran sebelah rumah memang sesuai ditanam dengan jagung dan sayuran lain (Sila lihat foto disebelah). Jumlah pokok yang sesuai ditanam tidak penting asalkan ada penglibatan semua ahli keluarga daripada ibubapa dan anak-anak serta kemungkinan oleh jiran sebelah rumah juga. Kaedah penanaman jagung ditepi rumah ini boleh dilakukan DIATAS BATAS TANAH atau DIDALAM BEKAS PASU atau POLIBEG BESAR yang mudah disusun atur. Apa yang penting adalah semasa penyediaan tanah dan media tanaman sesuai dan jumlah pokok yang sesuai dengan keluasan tanah dan bilangan polibeg yang ada. Sebaiknya menanam jagung manis kerana ia cepat berbuah dan hasilnya boleh dipetik apabila matang. Penyediaan batas tanaman penting dimana sebaiknya ditanam didalam petak tanaman guna tanah campuran dibuat sendiri atau beli sahaja dikedai nurseri. Nisbahnya tanah campuran dicadangkan adalah terdiri daripada 2 bahagian tanah + 1 bahagian pasir + 1 bahagian organik. Kemudian disediakan batas tanaman atau dimasuukan didalam polibeg. Kalau menggunakan media tanaman cocopeat juga digalakkan. Beli benih jagung manis hibrid daripada kedai benih (agak mahal satu tin) tetapi jangan guna biji daripada tongkol jagung manis kering dai kebun orang lain atau tanaman sendiri kerana ia tidak sama dengan benih hibrid sebenar. Sebaiknya ditanam biji jagung secara terus dengan sebanyak 2 biji benih untuk 1 point. Caranya tekankan biji benih hingga tenggelam lebih kurang 1 inci. Siram dengan sedikit air untuk lembabkan media. 


Pada keadaan biasa lazimnya benih jagung manis yang baik akan mula bercambah selepas 3 - 5 hari lepas tanam. Apabila anak benih dah tumbuh mesti disiram dengan air bersih setiap hari. Anggaran keperluan kuantiti air sekitar 200 - 500 ml setiap point penanaman. Kemudian apabila umur pokok jagung mencapai umur 10 hari maka sesuai untuk di siram dengan air baja. Pembajaan menggunakan baja siraman atau 'Baja Foliar' ini mudah dan berkesan dilakukan. Anda boleh gunakan larutan Baja Foliar NPK Larut Air 18.18.18 + Mikro dengan kepekatan 2.0 mS. Kemudan kadar siraman baja ini dilakukan lebih kurang 250 -  500 ml satu point ikut umur pokok. Sebaiknya membaja foliar ini dilakukan dengan kekerapan dua kali seminggu hingga pokok berusia 20 hari. Amalan terbaik dimana pada hari yang tidak menyiram baja maka anda perlu siram dengan air kosong paling kurang 1 kali sehari terutama dalam polibeg (Jika tidak pokok akan layu). Bagi tujuan kawalan serangga dan kulat juga perlu dibuat bermula umur pokok 10 hari. Sebaiknya racun organik buatan sendiri (bio pesticid + cuka kayu) untuk disembur seeloknya di sembur pada awal pagi (perlu diingat pokok berada disebelah rumah jiran yang akan komplen jika ada bau-bauan racun kimia yang kurang disenangi dan untuk keselamatan semua). Kawalan perosak dengan sembuan bio-pesticide dilakukan dua kali seminggu hingga hasil boleh tuai. Kalau musim hujan dan ada tanda serangan perosak boleh dilakukan semburan bio-pesticide ini seminggu sekali. Kemudian apabila pokok jagung berumur 21 hari boleh di siram 2 kali seminggu dengan air baja subur iaitu kadar digunakan 1 liter 1 point pada kepekatan 2.0 mS. Siram air kosong pada hari yang kita tidak siram air baja dimana ia perlu diulangi sehingga pokok berumur 30 hari. Apabila pokok berusia 31 hari maka dilakukan aktiviti mrnyiram dengan baja strong @ NPK larut air 12.12.36 + mikro dua kali seminggu dengan kadar 1 - 2 liter 1 point pada kadar kepekatan 2.5 mS. Lakukan sehingga pokok jagung manis anda sudah boleh tuai iaitu didalam jangkamasa selama  63 - 70 hari lepas tanam.


Penanaman jagung manis ditepi rumah merupakan satu aktiviti yang menyeronokan kerana anda akan dapat melihat bagaimana pokok jagung membesar sehingga aktiviti menuai. Anda boleh menanam juga jagung manis didalam pasu atau dalam tong cat atau pun ditanam dalam tayar. Bergantung kepada cara penjagaan dan cuaca lazimnya memang anda boleh mendapat tongkol jagung gred A sama seperti jagung yang dijual di pasar malam yang ditanam secara komersil di kebun yang luas seperti dari Taman kekal Pengeluaran Makanan (TKPM). Kebanyakan anda hanya akan seronok dan puas bila dapat makan hasil jagung manis atau jagung mini fresh yang kita tanam sendiri. Bukan setakat segar sahaja malahan kualiti jagung yang cantik dan tiada serangan perosak serta 100% bebas racun kimia yang pastinya selamat di makan. Selepas berbuah dan dikutip jagungnya maka pokok jagung perlu tebas dan dipotong-potong untuk dibersihkan semasa ia masih hijau lagi. Batang dan daun ini boleh dikumpulkan dan dimasukkan didalam bekas plastik untuk dijadikan kompos sendiri. Jangan buang didalam tong sampah kerana jumlahnya pun tidak seberapa banyak. Kalau pokok dibiarkan kering akan menyebabkan jadi  perumah kepada perosak tanaman dan mencacatkan landskap dikawasan perumahan. Kalau sepokok dua tidak mengapa akan tetapi jika melebehi 10-15 pokok memang jiran sebelah rumah pun boleh komplen kepada pihak berkuasa tempatan. Penanaman jagung tepi rumah sebaiknya menjaga kebajikan dan kesejahteraan jiran-jiran dan juga ahli keluarga. Jika tidak anda boleh sahaja membeli tongkol jagung manis dipasar malam, pasaraya sahaja dan tidak perlu bersusah payah menanamnya sendiri dirumah. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology.  Wasallam!!!...
DITEPI RUMAH... JANGAN BIAR SAJA...
DITANAM JAGUNG... MUDAH CARANYA...
DIATAS BATAS...DALAM BEKAS PUN ADA...
MENUAI SENDIRI... AMAT SERONOKNYA...

By, 
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(30 JamadilAwal 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...