Support My Blog

Thursday, February 13, 2020

PENGURUSAN RACUN RUMPAI - PENTING

PENGURUSAN RACUN RUMPAI (Weedicide Management) merupakan satu perkara penting yang mana banyak pihak kena dan mesti tahu. Mereka termasuk penggguna (petani atau pekerja ladang), Penjual, Pengedar, Pembawa, Pembeli serta pengilang. Semuanya ada peraturan dan juga hukuman jika gagal melaksanakannya dan menyebabkan kemusnahan kepada banyak jenis hidupan dan alam sekitar. Kepada mereka yang terlibat dengan aktiviti perkebunan dan juga perladangan dan bercucuk tanam di atas tanah lazimnya masaalah rumpai (weeds) memang menjadi masalah utama kepada pekebun. Cara paling mudah mengawal rumpai atau cara kendalikan rumpai adalah dengan menggunakan kimia racun rumpai (weedicide). Penulis blog telah banyak juga menulis mengenai rumpai, noxious plant, racun dan perkara berkaitan dengan kes ini didalam pelulisan sebelum ini (Sila klik disini) dan banyak lagi pautan. Anda perlu faham apakah dia dimaksudkan dengan rumpai. Rumpai (weed)  adalah tumbuhan yang tumbuh di tempat dimana ia tidak dikehendaki dikawasan tanaman kerana ia bersaing untuk ruang, nutrient, cahaya, air serta menjadi punca atau perumah kepada penyakit serta perosak tanaman. Pelbagai spesis rumput antara rumpai yang paling banyak tumbuh di ladang dan kebun sayur dan ia mesti dikawal. Walau pun banyak cara untuk membasmi rumpai dikebun tetapi ada tiga (3) cara menguruskan rumpai iatu kawalan biologi, mekanikal dan kimia. Penggunaan semburan dengan racun rumpai tergolong dalam kawalan kimia. Penulis blog akan berkongsi info dengan anda semua bagaimana cara untuk mereka yang terlibat didalam menguruskan racun rumpai bermula dengan mengenal sifat racun rumpai, jenis tindakan dan perkara penting berkaitan racun rumpai berdasarkan kepada pengalaman, pemerhatian, perbincangan dan juga bahan bacaan yang ada. Penulis blog banyak kali membuat lawatan pemantauan di kebun-kebun petani diseluruh negara dimana mendapati masaalah rumpai di negara kita merupakan perkara serius ditangani. Artikel malam ini didalam cuaca kedinginan tengah malam akibat hujan berterusan di Bandar Muadzam selama 3 hari, saya mampu menulis dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai pengurusan racun rumpai yang perlu semua faham sebagai bahan rujukkan anda semua.


Perkara paling penting adalah kita perlu tahu bahawa racun rumpai adalah bahan terkawal yang mebahaya dan perlu dikendalikan dengan baik. Telah ada beberapa artikel saya tulis mengenai apakah langkah keselamatan perlu diambil dan amalkan sebagai pengguna dan pekerja didalam perkara ini. Perlu diberitahu dimana sifat Racun Rumpai ada dua kategori iaitu Jenis Selektif (memilih) dan Tidak Selektif (tidak memilih). Jenis racun rumpai selektif hanya mematikan spesis rumpai tertentu sahaja manakala meninggalkan tanaman yang lain disekelilingnya masih didalam keadaan terkawal. Racun ini bertindak mengganggu pertumbuhan rumpai melalui “peniruan” hormon tumbuhan. Pemilihan ini mungkin disebabkan oleh translokasi, penyerapan berbeza, perbezaan fizikal (morfologi) atau fisiologi antara spesies tumbuhan. Antara contoh racun rumpai selektif adalah seperti 2,4-D dan imazapic. Racun 2,4-D bertindak khas membunuh rumpai berdaun lebar seperti melostoma (Sila lihat foto disebelah - Racun Hextar). Racun seperti ini banyak digunakan ketika pokok padi sedang tumbuh. Sementara itu Jenis racun rumpai tidak selektif bertindak terhadap semua spesies tumbuhan tertentu. Mana-mana tumbuhan yang terkena racun ini akan mati. Ia sering digunakan untuk membersihkan tapak perindustrian, tanah sisa, kereta api dan benteng keretapi. Contoh racun rumpai ini adalah seperti paraquat, glufosinate, dan glyphosate. Pembeli atau pengguna dimestikan untuk memilih jenis racun yang hendak digunakan semasa kekedai pertanian untuk membeli racun. Faktur jenis rumpai, jenis tanaman, tujuan semburan racun dan juga kos pembelian sering dijadikan asas untuk memilih jenis racun rumpai yang hendak digunakan. Walau pun akhirnya kebanyakan petani atau pengguna akan membeli berdasarkan kos akan tetapi berdasarkan pengalaman semua faktur akan diambil kira.


Pada penulis blog amat penting untuk semua mampu menilai sifat racun apa yang ingin kita gunakan. Antara perkara penting yang perlu diketahui adalah bagaimana Cara  Tindakan Racun Rumpai yang hendak dibeli. Dalam kes ini terdapat beberapa jenis racun rumpai dipasaran dimana ia  dibahagikan kepada tiga berdasarkan cara tindakan racun tersebut. Jenis tindakan racun rumpai ini sebagai Racun Sentuh, Racun Serap, Racun Pra-Cambah dan Racun ArsenikRacun Sentuh akan membunuh mana-mana bahagian yang terkena dengan racun ini sahaja manakala yang tidak terkena akan masih hidup. Bahagian akar dan mungkin batang yang terlindung akan hidup dan tumbuh semula.  Sebab itu kalau kita guna racun sentuh perlulah disembur kepada seluruh bahagian tumbuhan. Racun ini sangat berkesan pada rumpai daun lebar yang tumbuh semusim.  Kelemahan apabila tidak terkena akar adalah rumpai mampu tumbuh semula selepas mati. Kesannya cepat akan tetapi tumbuhnya rumpai pun cepat. Tindakbalas racun ini terhadap tumbuhan adalah cepat. Dalam tempoh beberapa jam sahaja selepas sembur kita dapat lihat tumbuhan mula layu. Jadi sesuailah racun ini bagi petani yang ingin melihat kesan yang cepat. Di samping itu, racun sentuh ini paling sesuai disembur semasa musim hujan.  Cara semburan secara jalur atau bulatan di bawah kanopi tumbuhan sesuai digunakan untuk racun jenis ini. Lazimnya petani boleh membuat campuran dengan racun pracambah.  Bagi kawalan yang menyeluruh terhadap rumpai saka, racun ini perlu disembur berulang-ulang dalam jangkamasa yang pendek. Tujuannya untuk mengurang dan menghabiskan simpanan makanan dalam tisu tumbuhan yang tidak terkena racun.


 Sejak lama dahulu jenis racun sentuh paling meluas digunakan adalah jenis  Racun Paraquat. Bagaimana pun penggunaan racun ini telah diharamkan di Malaysia bermula dari 1 Oktober 2020 (Penulis blog hadir majlis tersebut bersama Menteri Pertanian semasa pelancaran terhadap pengharaman racun paraquat di Putrajaya). Paraquat adalah antara racun rumpai paling popular di kebanyakan negara. Racun ini mengandungi perawis aktif dikenali sebagai ‘paraquat dichloride 25% w/w’. Di antara beberapa jenama racun jenis ini seperti Paraquat, CP Paraquat, Gramoxone PP199, Chemquat, Terquat, dan Clean-Up. Racun jenis sentuh ini membunuh rumpai daun lebar dan rumput. Untuk kesan maksimum, semburan pada tumbuhan perlu lenjun. Biasanya petani menyembur racun ini dengan kerapa bagi mendapat kawalan yang berkesan. Penanam nanas diantara yang terkesan dengan pengharaman penggunaan racun paraquat setiap kali penanaman semula nanas. Mereka ini lazimnya membunuh pokok nanas lama dengan paraquat sebelum dibersihkan semula dan ditanam dengan anak sulur benih yang baru. Racun ini sesuai dicampur dengan Diuron. Diuron bertindak sebagai racun pracambah. Campuran ini ada di pasaran dengan jenama Paracol. Keberkesanan racun paraquat ini juga adalah lebih baik jika dicampur dengan 3g Ally dalam 18 liter air. Namun begitu, ia tidak berkesan jika disembur di atas permukaan tanah kerana bahan aktif paraquan akan diikat oleh liat pada tanah.  Keburukan paraquat adalah sisanya tersimpan lama di dalam tanah.  Racun paraquat boleh meresap melalui kulit dan mesti dielakkan dari menyedut kabus semasa menyembur dan elakkan dari terkena mata dan kulit. Jika termakan ia boleh merosakkan bahagian usus, paru-paru, hati dan ginjal.


Jenis kedua iaitu Jenis Racun Serap atau juga dipanggil sebagai Racun Sistemik mempunyai cara tindakan berbeza dengan racun sentuh.  Racun serap atau racun sistemik adalah racun yang menyerap masuk dan mengganggu sistem organ tumbuhan. Sebagai contoh racun ‘monoron’ menghalang proses fotosintesis berlaku. Racun serap lain mungkin merosakkan proses pernafasan, metabolisma, karbohidrat, lemak dan juga protein dalam tumbuhan. Jika hendak dibandingkan dengan racun sentuh, racun rumpai jenis ini membunuh rumpai dengan lebih berkesan. Rumpai yang mati akibat racun ini akan mengambil masa lama untuk kembali pulih. Walaupun begitu, tindakan racun ini hanya dapat dilihat sekitar 2 hingga 3 minggu selepas semburan. Bagaimana pun ada sesetengah petani mencampurkan racun sentuh dan racun sistemik untuk mendapat kesan yang cepat. Tindakan ini bukanlah tindakan bijak. Racun sentuh akan membunuh tisu tumbuhan. Apabila tisu ini mati maka kesan serapan racun sistemik akan tergganggu. Jika petani menggunakan kadar kepekatan yang tinggi juga tidak sesuai untuk racun ini. Kepekatan yang tinggi akan menyebabkan kematian pada tisu tertentu dan ini akan menghalang pergerakan racun ke bahagian akar rumpai. Gunakan dos yang disyorkan pada label racun. Racun Garlon 250 contohnya merupakan jenis Racun Sistemik untuk daun lebar seperti kekacang, senduduk dan juga untuk membunuh pokok. Sementara itu Racun Ally adalah Racun Sistemik untuk daun lebar (Sila lihat foto disebelah). Bahan aktifnya ialah metsulfuron-methyl. Sesuai dicampur dengan round-up dan juga paraquat. Racun Glyphosate juga adalah merupakan jenis racun serap dengan kandungan perawis aktif iaitu ‘N-(Phosphonomethyl) glycine’. Antara nama dagangan racun ini seperti Roundup, Ecomax dan Touch down. Racun sistemik ini sesuai membunuh rumpai saka seperti lalang, menerong, rumput sambau dan juga rumpai daun lebar. Ia sesuai dicampur dengan 3g racun Ally untuk mendapat kesan yang lebih terutama pada daun lebar. Racun ini kurang merbahaya pada mamalia. Untuk tujuan menggunakan secara berkesan perlu menggunakan air yang bersih. Glyphosate akan hilang racunnya bila bercampur dengan lumpur.


Jenis ke 3 adalah Racun Pra-cambah merupakan jenis yang berkesan untuk tujuaan kawalan rumpai pada peringkat paling awal. Biasanya racun pracambah digunakan di awal pembukaan batas kebun atau ladang terutama selepas kerja-kerja penyediaan tanah selesai. Racun ini mampu menghalang anak benih rumpai tumbuh sebelum penanaman dibuat.  Racun Diuron adalah racun pracambah digunakan untuk kawal rumput dan rumpai daun lebar. Biasanya digunakan dengan racun lain. Kegunaan Diuron akan lebih berkesan jika digunakan bersama pelekat (surfactant). Jenis ke 4 adalah Racun Arsenik (Organic Arsenicals) dimana diantara perawis aktif racun ini adalah jenis cacodylic acid dan methanearsonic. MSMA dan DSMA adalah antara jenama yang mengandungi perawis aktif ini.  Racun jenis ini mengandungi logam arsenik yang boleh terkumpul di dalam tanah dan mencemarkan tanah. Logam arsenik boleh diserap oleh tumbuhan dan apabila dimakan oleh manusia boleh mengakibatkan sakit buah pinggang.  Oleh sebab itu racun ini sudah jarang digunakan. Bagi memudahkan kita mengenali jenis racun berikut adalah jenis bahan perawis (active ingredient) yang terdapat didalam racun tersebut.  Jenis racun rumpai bagi racun sentuh adalah Paraquat, bagi Racun serap adalah Glyphosate atau pun disebut sebagai  Glufosinate ammonium, bagi Racun pra-cambah seperti Bensulide, Metolachlor, Pendimethalin dan Atrazine.


Memang terdapat beberapa perkara penting untuk diketahui semua yang berkaitan Racun teutama racun rumpai. Ia adalah terminologi mengenai Bahan Perawis Aktif dan juga langkah keselamatan terlibat. Maksud kepada terminologi 'Perawis Aktif' dimana apabila kita membeli racun rumpai, pada label itu akan kita lihat ditulis perawis aktif (active ingredient, a.i). Fungsi perawis aktif adalah untuk bertindak mematikan rumpai. Lazimnya perawis aktif ini dibahagikan kepada tiga nama iaitu Nama Kimia, Nama Biasa dan Nama Dagangan. Pertama maksud nama kimia dimana cara penamaan ini diberikan secara sistematik oleh badan tertentu seperti International Union of Pure and Applied Chemistry (IUPAC) dan Chemical Abstracts Service (CAS). Kalau belajar sains sekolah menengah, inilah masanya untuk mengaplikasikan pengetahuan tersebut. 'Nama biasa' pula diberikan apabila nama kimia terlalu panjang dan rumit untuk petani ingat. Maka saintis berusaha menerbitkan nama biasa pula. Akhir sekali adalah 'Nama dagangan' dimana ia diberikan untuk menamakan jenama produk racun kimia yang biasa tertulis pada label produk. Hal ini agar petani tidak lupa jenama syarikat apa racun dia beli. Bagaimana pun adalah penting semua pengguna membaca apa yang ditulis pada label. Racun Round-Up yang sangat popular penggunaanya memang dilabel ditulis semua maklumat yang diperlukan didalam syarat perlesenan racun (Sila lihat foto disebelah). Didalam sistem perlabelan ini ada peraturan semua info yang dimestikan ditulis pada label.


Didalam mengendalikan penggunaan racun rumpai semua yang terlibat perlu mengikuti akan langkah-langkan keselamatan. Ini kerana kebanyakan jenis racun kimia adalah bahan yang berbahaya. Itu kita perlu ingat dan semat dalam minda semua yang terlibat didalam perkara ini dan jangan buat main dengan racun kimia. Telah banyak nyawa petani dan juga pengguna telah dilaporkan mati akibat daripada salah penggunaan racun sama ada mereka tidak tahu cara yang betul kendalikan racun atau mereka memang jahil. Kesan racun ini mempunyai beberapa peringkat sama ada untuk jangkamasa sertamerta, jangkamasa sederhana atau pun kesan dalam jangkamasa lama. Penulis blog berharap pembaca semua mengambil perhatian pada bahagian ini. Pertama sekali berkaitan Makanan dimana sebelum makan pastikan semua pengguna racun rumpai telah kita cuci bersih tangan dan tukar baju. Jika lapar sangat untuk makan atau minum mesti dipastikan makan dahulu sebelum meracun. Perkara kedua diingatkan didlam isu keselamatan mengguna racun adalah mengenai Pakaian Keselamatan Meracun. Anda sebaiknya atau mesti memakai baju lengan panjang, seluar panjang, apron, topeng gas, penutup mata, topi dan sarung tangan (Sila lihat foto disebelah). Dinasihatkan agar anda jangan ambil lewa akan hal pemakaian ini. Ramai juga dilaporkan dimana terdapat pekerja buruh mati keracunan akibat mengabaikan keselamatan pemakaian. Pastikan anda amalkan Kawasan Larangan Semburan dengan memberi amaran agar jangan masuk ke kawasan semburan selepas sembur. Hal ini kerana racun masih aktif ada lagi di sekitar itu. Biarkan selama sekurangnya 12-24 jam sebelum masuk semula ke kawasan disembur untuk keselamatan. Beberapa perkara pening atau tindakan selepas menyembur racun rumpai antaranya adalah Mandi, cuci tangan dan peralatan semburan perlu dilakukan. Sebaiknya setelah kita sembur racun rumpai maka anda perlu terus tanggalkan semua pakaian termasuk baju, seluar dan sebagainya dan basuh bersih. Perlu diasingkan baju daripada baju lain semasa membasuhnya. Seeloknya kita basuh dengan tangan dahulu bagi membuang lebihan racun. Cuci tangan sebersihnya setelah menyembur demi keselamatan. Semuga anda semua mendapat info terbaik dan berguna membaca artikel dalam blog anim agro technology ini. Wasallam!!!...
RACUN RUMPAI... SELALU DIGUNA...
RACUN SELEKTIF... KHUSUS CARANYA...
RACUN SENTUH... SISTEMIK PUN ADA...
LANGKAH KESELAMATAN... PENTINGNYA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Setiakasih 9,
Taman Setiakasih, Bandar Muadzam Shah,
Rompin, Pahang,
Malaysia.
(18 JamadilAkhir 1441H).
Bersamaan 11 Febuari 2020).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...