Support My Blog

Sunday, February 23, 2020

LIMAU PURUT - SECEBIS KISAH

LIMAU PURUT (Citrus hystrix) atau juga dipanggil sebagai "Kaffir Lime" merupakan sejenis limau mempunyai aroma hebat dari keluarga Rutaceae iaitu dari kumpulan Genus Citrus. Limau Purut dipercayai berasal dari Asia Tengara seperti Indonesia, Malaysia, Thailand dan Laos serta negara jiran yang lain. Pokok limau purut ditanam diseluroh dunia sebagai bahan tanaman herba atau tanaman hiasan dan ornamental dikawasan keliling keliling rumah. Keluasan tanaman limau purut di Malaysia yang saya buat semakan dengan Jabatan Pertanian tiada rekod rasmi kerana tanaman ini ditanam sebagai tanaman keliling rumah untuk kegunaan sendiri. Limau jenis ini dipanggil sebagai 'limau purut' kerana bentuk buahnya yang mengerutu seperti purut atau seperti kulit katak puru. Selain itu bentuk daunya juga berbeza dengan limau jenis lain kerana ia seakan mempunyai bentuk khas 'Nombor 8'. Terdapat beberapa kajian mengenai varieti limau purut oleh beberapa saintis pertanian tetapi sehingga kini belum ada varieti khusus yang didaftarkan dibawah 'Nasional Listing Jabatan Pertanian'. Saya fikir kalau ada yang ingin bertanya jawapan paling sesuai dikatakan adalah 'Varieti Lumau Purut Tempatan' sahaja. Penelitian penulis blog mendapati ada dua kemungkinan jenis limai purut iaitu Jenis Berdaun Kecil (warna hijau cerah dan nipis) dan Jenis Berdaun Besar (daun berwarna Hijau Pekat dan tebal). Maklumat dari beberapa sumber menunjukkan ramai petani di Johor, Kelantan dan Selangor yang menanam limau purut secara komersil tetapi ianya bercampur dengan pokok buah2an yang lain. Dalam kes lain kini limau purut ditanam disekeliling rumah sama ada dalam pasu atau diatas tanah untuk kegunaan sendiri. Menanam limau purut dirumah adalah sangat signifikan dilakuan. Bagaimana pun daun limau purut ada dijual dipasar, kedai runcit, pasaraya, pasartani dengan harga seikat sekitar RM1.00. Artikel kali ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai beberapa kisah akan limau purut yang dilaporkan akhbar tempatan untuk bacaan dan rujukkan anda.


Kisah pertama daripada media Harian Metro bertajuk "Manfaat limau purut" dimana ia dilaporkan sesuai untuk mencantikkan wajah. Caranya denngan memotong buah limau purut dan disental pada bahagian kulit muka dengan lembut *Sila lihat foto disebelah). Ramai kalangan kita yang ada masa dan boleh mengambil  kesempatan merehatkan kulit wajah daripada sebarang penggunaan produk kosmetik mahupun bahan kimia yang terkandung dalam set penjagaan muka. Sebenarnya wajah juga mahu merasai nikmat bebas daripada solekan. Ini terutama selepas saban hari dicalit dengan pelbagai jenis krim, serum, bedak asas dan pembayang. Jadi pilih hari yang sesuai. Pastikan anda santai di rumah tanpa gangguan tetamu, bebas daripada sebarang perancangan yang memerlukan gerak kerja yang banyak. Kemudian buat sedikit kajian untuk memudahkan pemilihan rawatan bersesuaian kulit. Untuk keselesaan, pastikan ruang bilik dalam keadaan bersih dan nyaman. Anda juga tidak perlu menghidupkan pendingin hawa untuk nikmat rehat yang sebenar. Sebagai permulaan disyorkan untuk bersihkan kulit dengan mana menggunakan air suam yang diperah dengan sedikit lemon. Urut wajah dengan lembut menggunakan hampas atau kulit lemon. Selain lemon sebenarnya anda juga boleh dapat menggantikan dengan limau purut. Mungkin ramai yang sudah tahu bahawa lemon memberi banyak manfaat kepada kulit wajah. Ia boleh membantu membersihkan, memelihara kelembapan, menanggalkan sel kulit mati, mengecilkan pori, menegangkan, mencerahkan, mengubati jerawat dan merawat kulit berminyak. Limau purut yang popular sebagai perawat kelemumur sebenarnya turut membawa manfaat besar untuk kulit wajah. Lihat saja bagaimana perubatan tradisional banyak menggunakan limau purut untuk tujuan membersihkan tubuh dan menaikkan seri wajah. Limau purut dijadikan skrub wajah dan tubuh. Ia mampu menghaluskan kulit dan merawat luka kecil akibat gigitan serangga, kudis dan jerawat. Wanita pada zaman dulu menganggap limau purut sebagai pencuci semula jadi kerana kandungan antiseptik dan antibakteria yang ada padanya. Selesai sahaja membersihkan wajah maka boleh dibilas muka dengan air sejuk dan lap kering. Pilih pupur atau skrub berikut untuk rawatan wajah selama 15 minit dan bilas. Rasai perbezaan sebelum dan selepas merawat wajah.


Sebenarnya banyak bahan rawatan boleh dibuat untuk tujuan kecantikan muka. Antaranya dengan membuat Pupur Nasi dan Skrub Muka. Bagi membuat Pupur Nasi menggunakan bahan seperti 3 sudu bubur nasi (suhu bilik) dan juga 3 sudu jus limau purut. Cara-cara membuatnya adalah dengan mencampurkan kedua-dua bahan dan gaul sekata. Kemudian ia perlu disapu nipis ke wajah dalam gerakan jam. Biarkan kering selama 15 minit. Seterusnya ditanggalkan pupur yang kering dan bilas dengan air sejuk. Didakwa dimana pupur nasi limau purut membawa manfaat besar untuk kulit wajah. Ia sesuai untuk tujuan bagi menegangkan kulit. Rawatan pada kulit muka juga sesuai menggunakan apa yang dinamalan sebagai Skrub Gula. Bahan membuat skrub gula adalah 1 sudu jus lemon,  1 sudu gula dan juga 1 camca madu. Cara-cara membuatnya adalah dengan mencampurkan semua bahan dalam mangkuk dan gaul. Kemudian ia disental pada kulit wajah perlahan-lahan sehingga meliputi sebahagian besar kulit muka. Kemudian setelah beberapa lama ia perlu dibilas dengan air suam dam kemudian diikuti air sejuk. Amalan menggunakan skrub gula didakwa mampu untuk membersihkan wajah. Walau pun amalan secara tradisional ini nampak ringkas akan tetapi ia memang berjkesan menjadikan kulit muka yang lebih tegang dan bersih.


Limau purut juga kini dijadikan makanan iaitu sejenis biskut yang dikenali sebagai 'Kueh Bangkit Limau Purut'. Ia dilakukan oleh usahawan berasal daripad Pekan, Pahang. Di bandar diraja ini terlalu banyak perkara yang boleh dite­rokai. Muzium, galeri kraf, masjid dan mencuba makanan tempatan. Pekan dikatakan mendapat namanya daripada sejenis bunga yang dipanggil Bunga Pekan yang banyak tumbuh menjalar di tebing Sungai Pahang. Usahawan ini yang tinggal di Kampung Permatang Pauh dikenali sebagai Pn Nor Ezan Mat Derus berumur 54 tahun. Ibu empat anak ini adalah usahawan kuih bangkit tradisional yang berjaya dan membanggakan wanita khasnya dengan nama Bangkit Pekan Enterprise. Kini kuih bangkit merupakan satu lagi jenama Pekan yang popular dalam kalangan penggemarnya. Ini sebenarnya perkenalan pertama penulis dengan kuih bangkit limau purut. Pertama kali merasanya dari tangan pembikin pakar yang sudah berada di bidang itu selama 15 tahun lamanya. Didakwa setelah kueh bangkit masuk ke mulut ia memang terasa asing kerana kebiasaannya merasa kuih bangkit perasa santan yang biasa. Apabila terasa elemen limau purut didakwa ia memberi satu kelainan yang unik. Beliau memberitahu asalnya dia membuat kuih bangkit biasa dan perasa lain seperti bangkit keladi dan pandan. Namun apabila melihat sambutan hebat dua perasa itu iaitu bangkit biasa dan limau purut dimana kedua-duanya menjadi keutamaan pengeluarannya kini. Kuih bangkit limau purut memang kuih tradisional Pahang yang sering dibuat oleh arwah nenek beliau dimana ia disediakan sebagai makanan biasa. Cara menghasilkan bangkit limau purut ini diujicuba beberapa kali setelah mencuba banyak kali baru dapat resipinya yang sebenar. Jumlah pati limau purut yang perlu ditambah dalam setiap adunan, begitu juga kombinasi bahan yang lain. 


Ramai yang tahu mengenai bangkit limau purut dan generasi veteran selalunya mahukan perasa bangkit limau purut sebagai pilihan utama mereka. Kalau dahulu memang kuih bangkit dimakan ketika musim raya saja tetapi sekarang tidak lagi. Ia menjadi makanan sepanjang tahun. Ejen datang mengambil stok dari saya sepanjang tahun bukan hanya dari Pahang tetapi negeri lain. Lazimnya ketika musim perayaan jumlah permintaan kuih bangkit limau purutnya berkali ganda. Waktu itu Nor Ezan perlu mengambil pekerja tambahan dan menggunakan sehingga 400 kilogram tepung berserta penggunaan ketuhar yang besar pengeluaran boleh mencapai sehingga 2,500 unit sehari. Kuih bangkit makin mendapat tempat apabila ramai yang menjadikannya sebagai juadah kenduri-kendara juga sebagai cenderahati kepada tetamu. Kini tidak begitu ramai yang mahu membuat kuih bangkit secara besar-besaran kerana proses didalam pembuatannya yang remeh. Walaupun tampak mudah akan tetapi untuk dapatkan bahannya iaitu tepung ubi, santan, gula dan telur, setiap satu perlu ketelitian yang maksimum. Lazimnya bahan santan perlu dimasak, tepung disangai, gula pula dimesin dan resipi hanya memakai kuning telur. Memang membuatnya remeh dan perlu kesabaran serta ketelitian. Beliau mengakui dimana faktur usia tenaganya tidak mudah menangani pengeluaran yang besar sepanjang masa. Dia bertuah kerana tugasnya diringankan oleh anak bongsunya bernama Saifullah Othman. Kehadiran Saifullah melancarkan tugasan persediaan kuih bangkit yang tidak mudah itu. Tenaga muda amat diperlukan. Tampak anak muda itu tangkas memainkan peranannya di dapur dan tahu setiap tugas yang perlu dilakukannya. Saifullah sendiri berasa kerja membantu ibunya sebagai kerjaya yang sudah sebati dalam dirinya kerana sudah dilakukan sejak selepas SPM. Berniaga memberikan pulangan yang stabil iaitu ia berdasarkan kerja kuat dan kerajinan sendiri. Beliau turut mempunyai produknya sendiri iaitu karipap dingin beku. Cara membuat karipap ini diajar oleh emak dan kini saya membuat semuanya sendiri. Asalnya dulu emak yang buat tetapi sekarang semuanya saya buat daripada penyediaan bahan, menguli tepung, inti, mencari pelanggan dan pelbagai perkara lain. Kini sasaran Saifullah sekitar Pekan dan dia perlu menyiapkan 1,500 unit seminggu bagi memenuhi kehendak pasarannya. Lazimnya setiap hari dari jam 2 hingga 6 petang mereka mampu mennyiapkan stok untuk dingin beku. Dilaporkan dua beranak ini sama-sama berusaha dan berniaga demi menambah rezeki pendapatan keluarga. Atas usaha keras, semuanya menghasill­kan pulangan yang membanggakan. Kuih bangkit Nor Ezan dan karipap dingin beku Saifullah sangat dikenali di Pekan.


Aroma segar sate limau purut cetus kelainan  di  Kota Bharu, Kelantan apa bila ianya mendapat sambutan baik pelanggan dan juga diviralkan. Persoalan seperti apakah keistimewaan dan rasa sate limau purut? Kedengaran pelik tetapi jangan panik kerana ia dikatakan tidak sebelum anda mencubanya. Sesudah cuba ujirasa nanti jangan hairan pula kiranya anda mampu menghabiskan lebih daripada 10 cucuk dalam keadaan santai-santai bersahaja. Sebenarnya iovasi resipi tradisional sate ayam dan daging, dengan mengadunkan air perahan limau purut serta daun hirisan limau purut ke dalam rempah perapan sate ini dicetuskan dua sahabat karib bernama En Ahmad Tamin Abdullah (34 tahun) dan En Che Azmawi (40 tahun).  Gerai Sate Limau Purut mereka yang terletak di tepi Jalan Sultan Yahya Petra berjaya menarik pelanggan yang suka akan aroma sate menyegarkan itu. Kini ramai pelanggan yang datang kali pertama mencuba sate ini akan datang kembali dan membeli dalam jumlah yang banyak dimana ia juga berikutan sate daripada aroma limau purut ini yang mana ia membuatkan si penggemar sate tidak cepat muak. Ada kalangan pelanggan yang menjamu selera tidak sedar sudah menghabiskan lebih 10 cucuk dalam satu-satu masa. Kalau sate biasa akan ada rasa manis-manis dan sate limau purut ini pun manis tetapi uniknya apabila dimakan, kita tidak akan berasa puas. Mereka sendiri teruja dengan rasa unik, sedap dan lazat yang terhasil daripada kombinasi rempah sate limau purut ini. Menceritakan bagaimana mereka dapat menghasilkan rasa sate yang enak itu dimana mereka menghabiskan lebih daripada 10 kilogram daging ayam dalam uji kaji bagi mendapatkan kemuncak keserasian dan keseimbangan rasa sate limau purut tersebut. Lazimnya cara hidangan sate limau purut bersama bawang, timun dan tomato dicicah dengan kuah kacang pedas. Dalam pada itu selalunya cara membakar sate menggunakan arang dimana ini akan menambahkan rasa enak sate berkenaan.


Kini disebut sahaja limau purut maka sudah semestinya umum terbayangkan rasa yang masam manakala bahagian daun pula sudah tentu pahit dan kelat. Ini kerana didalam sate tersebut ketiga-tiga rasa masam, pahit dan kelat ini seolah-olah hampir tidak dapat dikesan, sebaliknya anda akan berasa tidak puas untuk terus memakannya lagi dan lagi (Sila lihat foto disebelah).  Perniagaan sate limau purut tersebut sudah diusahakan secara dalam talian sejak setahun lalu dan mula membuka gerai dengan menyewa di tapak Restoran Che Ana, Jalan Sultan Yahya Petra. Sate yang diperap dengan pes limau purut berbau wangi sebelum dibakar di atas api arang. Ketika ini buat permulaan kami menjual sate ayam dengan harga 90 sen secucuk manakala sate daging lembu pula berharga RM1 secucuk. Pada Hari Raya Aidiladha yang lalu kami menerima tempahan sehingga 25,000 cucuk sate dari seluruh Kelantan. Selepas ini kami akan menambah menu itik serati dan kambing berikutan mendapat permintaan daripada pelanggan. Lazimnya jenis sate daging ayam dan daging menjadi pilihan pelanggan mengikut selera masing-masing. Didakwa dimana gulongan kanak-kanak antara pengemar sate limau purut. Dakwa mereka resipi tradisional asal diperolehi daripada ibunya ianya diolah oleh isterinya semula dengan resipi sate limau purut sehingga menjadi pes untuk perapan. Daging lembu dan ayam itu terlebih dahulu akan diperap ke dalam pes hingga rasanya meresap sebelum dibakar dan dihidangkan bersama kuah kacang yang turut sama dihasilkan sendiri. Bukan sahaja pes perapan malahan kuah kacangnya juga ada dimasukkan daun limau purut dan diadun dengan rasa yang lebih pedas,” katanya yang menerima respon positif daripada pelanggan terhadap rasa satenya itu. Seorang pelanggan ditemubual menyatakan dia pertama kali mencuba sate tersebut dan sememangnya berbeza dengan sate-sate yang dimakan pada kebiasaannya. Sate ini dimakan tidak masam sebaliknya aroma limau purut itu pula yang membangkitkan rasa segar. Tanpa disedari pelanggan ini mampu habiskan 10 cucuk seorang kerana rasanya yang tidak muak. Sate ini juga boleh dibeli dalam bentuk sejuk beku selain turut menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan dengan minimum 20 cucuk di sekitar Kota Bharu.


Penggunaan limau purut juga dilaporkan ditulis didalam resepi membuat "Ayam percik limau purut madu" yang menjadi kegemaran ramai. Makanan ini juga mudah untuk disediakan selain daripada ia enak dimakan. Bahan-bahan untuk membuatnya terdiri 2 paha ayam, 10 bawang kecil, 5 bawang putih, 2 inci halia, 1 sudu besar cili giling, 1 batang serai, 2 sudu kecil serbuk kunyit dan juga 1 sudu besar gula melaka sebagai asas. Bahan lain (Bahan untuk buat Kuah) pula terdiri daripada 1 cawan santan cair, 1 cawan krim masak (cooking cream), 15 ulas bawang merah,  2 sudu besar cili giling, 2 sudu teh serbuk kunyit, 1 sudu teh serbuk cili, 3 inci halia, 1 batang serai, 1 limau nipis, 1 sudu besar gula melaka, 1 sudu besar udang geragau, 4 lembar daun limau purut dan juga 1 sudu teh madu. Cara memasak adalah dengan mengisar bahan- bahan Asas untuk perapan ayam dimana jangkamasa perap selama 30 minit. Kemudian langkah untuk panggang atau bakar ayam tersebut. Dalam pada sama sementara menunggu ayam masak penulis blog nasihatkan agar anda beralih kepada proses membuat kuah percik. Mula-mula dikisar bawang merah, halia, masukkan air limau nipis dan serai bersama sedikit air. Masukkan ke dalam periuk atau kuali, masak bersama serbuk kunyit, udang geragau dan cili giling.  Selepas itu dimasukkan santan dan cooking cream serta daun limau purut. Setelah dimasak masukkan gula melaka dan madu (Sila anda lihat foto disebelah). Kemudian disedia untuk dinikmati bersama ayam yang telah dipanggang atau dibakar. Memakan ayam percik boleh diratah begitu sahaja atau pun anda makan dengan nasi putih panas-panas. 


Selain itu anda boleh sediakan resepi masakan Sambal Sotong Limau Purut yang memang enak sekali dimakan bersama nasi putih. Lazimnya sambal ini adalah lebih sedap dan rasa manis jika dimasak tanpa dipotong. Sambal ini disediakan dengan bahan terdiri daripada 500gm sotong saiz XXL yang dihiris bulat, 3 helai daun limau purut perlu dihiris kasar, 3 sudu makan pes cili kering, 2 sudu makan kicap pekat manis, 1sudu makan air asam jawa, 4 biji bawang merah  yang dikisar kasar, 3 ulas bawang putih juga dikisar kasar, 2.5cm halia yang dikisar kasar, 1 batang serai |dititik, 1biji bawang besar yang mesti dihiris bulat, garam dan gula secukupnya serta sedikit minyak untuk menumis. Cara memasak juga mudah dengan membersihkan sotong segar kemudian tos dan ketepikan. Panaskan minyak dalam kuali dan mula tumiskan bahan kisar bersama serai hingga wangi.  Masukkan pula pes cili kering dan daun limau purut, kacau lagi hingga pecah minyak. Seterusnya perlu masukkan sotong dan air asam jawa, kacau lagi hingga sotong layu. Akhir sekali bagi melengkapkan rasa dengan kicap, garam dan gula secukupnya. Apabila siap padamkan api dan ianya diangkat dan sedia dihidangkan. Memang sambal ini memberikan rasa lemak, pedas, manis, masam dan yang paling penting adalah aroma limau purut yang harum. Semuga artikel ini memberi info berguna mengenai pelbagai kisah limau purut untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua. Wasallam!!...
LIMAU PURUT... PELBAGAI KISAHNYA...
UNTUK RAWATAN... AMAT BERGUNA...
DUNIA KECANTIKAN... PERLUKANNYA...
DALAM MASAKAN... MENAMBAH SELERA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(29 JamadilAkhir 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...