Support My Blog

Wednesday, August 3, 2022

KELAPA SGG VS KELAPA MBD - APA BEZA? (Part 1)

APAKAH DIA KELAPA SGG DAN KELAPA MBD?
. Terdapat dua varieti kelapa yang mana penulis blog sebelum ini sering menyatakan bahawa keduanya adalah dikatakan sebagai varieti yang 'hampir sama' semenjak varieti-varieti ini mula diperkenalkan dahulu. Mungkin ramai kalangan pembaca dan petani yang pernah mengenali akan varieti Kelapa SGG atau pun Kelapa Sungai Gulang-Gulang yang didaftarkan dengan Jabatan Pertanian Malaysia dengan kod pendaftaran CN16. Ada ramai petani yang telah menanam benih SGG untuk ditanam sama ada melalui bantuan asas daripada Jabatan Pertanian atau mereka membelinya sendiri daripada pembekal swasta. Ada juga petani yang telah menjual hasil kelapa tersebut agaknya semasa artikel ini ditulis pada Julai 2022. Apa pun di Malaysia terdapat beberapa varieti kelapa renek (Dwarf coconut) yang telah disyorkan penanamannya secara komersil. Antara beberapa varieti kelapa renek yang sudah  didaftarkan termasuk varieti Kelapa Renek Merah (Malaysian Red Dwarf - MRD dengan no pendaftaran CN4), varieti Kelepa Renek Kuning (Malayan Yellow Dwarf - MYD dengan no CN5) dan Kelapa Pandan (Aromatic coconut dengan no daftar CN6). Selain itu ada varieti Kelapa Renek Tacunan, Kelepa Renek Malayan Brown Dwarf (MBD yang dalam proses pendaftaran) dan beberapa lagi. Penanaman varieti kelapa di Malaysia yang paling luas sejak dahulu adalah daripada varieti Malayan Tall (no daftar CN1) iaitu sejenis kelapa tinggi yang di laksanakan penanamnya dengan berjaya oleh petani kelapa dengan bantuan oleh Jabatan Pertanian Malaysia dibawah Program Pemulihan Semula Kawasan Kelapa (RPSKK) sejak tahun 60'an sehingga program ini ditamatkan pada awal 1980'an. Kawasan utama tanaman kelapa Malayan Tall tersebut ditumpukan ditanah pesisir pantai seperti di Bagan Datok, Perak, Kuala Selangor, Selangor dan Batu Pahat, di Johor. Kemudian sekitar awal tahun 2000 baru diperkenalkan akan kelapa hibrid Matag (CN13, CN14 dan CN15) oleh Jabatan Pertanian dengan harga benih masa itu hanya RM6.00 sepokok. Kemudian berlaku kesukaran didalam menyediakan benih hibrid Matag tulin menyebabkan harga terkini anakbenih Matag Tulin sekitar RM80 sepokok. Laporan menunjukkan kekurangan anakbenih kelapa Matag tulin menyebabkan ramai petani kelapa mencari  alternatif varieti benih lain termasuk varieti kelapa SGG, Kelapa Pandan, Kelapa MRD, MYD, Tacunan dan beberapa lagi. Sehingga artikel ini ditulis pada Julai 2022, Malaysia masih mengimport jutaan biji kelapa tua daripada Indonesia bagi memenuhi kekurangan bekalan kelapa segar di negara kita. Artikel pada subuh awal 1 Muharam 1444 Hijrah ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparkan artikel menarik mengenai perbezaan teknikal diantara Kelapa SGG dengan Kelapa MBD untuk dijadikan bahan rujukkan semua. Ini juga adalah laporan sepertinya yang dipercayai ia pertama sekali dikeluarkan didunia.


Kelapa Varieti Sungai Gulang-Gulang (SGG) dengan nombor daftar CN16 dalam 'National Variety Listing' Jabatan Pertanian telah pun didaftarkan pada Julai 2013. Tanaman Kelapa (Cocos nucifera L.) merupakan tanaman penting di Malaysia dengan keluasan 96,500 hektar telah direkodkan oleh Jabatan Pertanian pada tahun 2015. Terkini keluasan tanaman kelapa di Malaysia sekitar 84,229 hektar dengan pengeluaran sebanyak 566,595  metrik tan pada tahun 2021 (Sumber: Booklet Statistik Keluasan Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia 2021). Kajian penulis mendapati hampir 65% varieti kelapa yang ditanam adalah dari jenis Malayan Tall (CN1) dan sekitar 8% adalah kelapa varieti Pandan (CN6). Kelapa Matang kini telah mencecah keluasan sekitar 1,500 hektar diseluruh negara dengan kawasan utama verada di Johor, Perak dan Selangor mendominasi kelapa hibrid matag ini. Kini Kelapa Varieti Sungai Gulang-gulang (SGG) yang telah pun didaftarkan oleh Encik Ismail bin Tahir iaitu petani dari kawasan kampongnya di Lot 160, Batu 5 1/2, Kg. Sg Gulang-gulang, Tanjong Karang, Selangor mulai dikenali ramai. Pokok kelapa ini dipercayai ujud apabila dilaporkan oleh pakar kelapa apabila dipercayai berlaku mutasi atau pembiakan silang daripada jenis kelapa renek (dipercayai dari pokok induk Malayan Brown Dwarf - MBD) dengan beberapa pokok kelapa lain dipersekitarannya. Bagaimana pun ia masih tetap kategori kelapa renek dengan pokoknya yang sudah berbuah awal seperti yang penulis lawat di Stesyen Pertanian Sekendi, Sabak Bernam, Selangor dimana pokok induk di Sungai Gulang-gulang ditanam untuk penyelidikan (Sila lihat foto disebelah). Melihat saiz buah besar pada pokok berumur 3.5 tahun ini penulis blog rasa amat gembira untuk membuat penelitian ketika membuat penilaian teknikal pada pokok kelapa CN16 ini. Banyak keterangan mengenai kelapa ini dalam artikel tulisan saya yang boleh dirujuk dengan pautan berikut (Sila klik disini). Tulisan pada tahun 2014 ini sudah lama dijadikan rujukkan oleh banyak pihak.

Varieti KELAPA MBD atau Malayan Brown Dwarf (Cocos nucifera) adalah merupakan satu jenis atau varieti kelapa renek yang kurang dikenali ramai. Hasil kajian penulis pada tahun 2013-2014 masa itu mendapati pokok kelapa ini ada ditanam di MARDI, Bagan Datok, Perak didalam plot penyelidikkan mereka. Dilaporkan juga pokok kelapa MBD ini ada juga dilaporkan ia ditanam oleh petani di Alor Gajah, Melaka. Benih kelapa ini dipercayai dibawa masuk ke Malaysia melalui kerjasama COGENT untuk menjaga janaplasma kelapa renek diseluruh dunia sebagai langkah penting dalam industri penanaman kelapa. Kelapa MBD mungkin ada juga yang telah ditanam oleh petani atau pekebun kecil lain dalam negara tanda disedari atau diketahui mereka. Ini kerana menlihat daripada pencirian yang ada pada pokok tersebut dimana masa itu penulis ada melihat beberapa ciri persamaan marfologi dengan jenis Kelapa Sungai Gulang-Gulang (SGG) yang ditanam oleh beberapa petani dikawasan tersebut dengan Kelapa MBD secara kasar. Ada yang kalangan pakar berpendapat mungkin varieti kelapa Sungai Gulang-Gulang (CN16) ini adalah hasil mutasi pokok kelapa MBD. Menurut Ketua Stesyen MARDI Sg Sumun, Bagan Datok, Perak potensi hasil pokok dewasa berumur 8 tahun mampu menghasilkan sebanyak 8,000 - 10,000 buah sehektar setahun. Kiraan saya mendapati pokok berumur 4 tahun diplot kajian mereka mempunyai sebanyak 12 - 18 biji buah setiap satu tandan. Satu tandan kelapa akan keluar setiap bulan bermakna sepokok akan menghasilkan antara 140 - 210 biji setahun. Anda boleh kira berapa banyak buah kelapa dihasilkan jika 178 pokok kelapa ditanam sehektar. Kelapa MBD boleh ditanam daripada buah biji kelapa matang yang gugur dan telah dikhususkan untuk pengeluaran benih (Perlu ditutup dengan plastik pendebungaan atau pokok benih isolated). Ia tidak perlukan proses kacukan seperti kelapa hibrid Matag atau MAWA yang kos pengeluaran benihnya tinggi. Saya ada menulis artike mengenai kelapa MBD pada tahun 2014 juga yang boleh dirujuk (Sila klik disini). Sehingga kini bulan Julai 2022 pendaftaran kelapa varieti MBD didalam proses dan belum diluluakan (kemungkinan akan menjadi sebagai Kelapa CN18).

Hanya pada tahun 2022 (Julai 2022) barulah laporan kajian teknikal tentang kedua varieti kelapa SGG dan MBD ini baru sahaja selesai di buat penelitian. Laporan ini dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian selepas 8 tahun penulis blog 'agak kabur' sama ada ia adalah varieti kelapa yang sama atau varieti berlainan untuk didaftarkan. Ia mengambil masa agak lama kerana menunggu kedua-dua pokok kelapa tersebut yang ditanam sudah menghasilkan buah yang stabil (umur pokok kelapa mesti melebihi 5 tahun). Kemudian barulah laporan pencirian keduanya dapat dilakukan mengikut kaedah yang sesuai untuk membezakannya. Penulis blog agak lega dengan draf laporan awal yang dilakukan oleh pakar kelapa di bahagian Kawalan Kualiti Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia yang berjaya melakukan tugasan yang dimulakan zaman saya bertugas dahulu untuk melalukan penelitian terhadap kedua variti kelapa yang berpotensi untuk di komersilkan di Malaysia. Usaha berterusan perlu dilakukan agar industri penanaman kelapa di Malaysia akan terus berkembang dimasa akan datang. Apa yang penting selepas ini adalah mempastikan bekalan benih kelapa berkualiti dan dijamin tulin melalui Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) di bawah kelolaan Jabatan Pertanian Malaysia akan dilaksanakan dengan sistematik. Keberadaan benih kelapa varieti SGG dan MBD perlu terus diperluaskan dan diperbanyakan agar bekalan kelapa di Malaysia tidak kekurangan dimasa akan datang. Sila baca artikel ini dalam Part 2 untuk keterangan lebih terperinci. Artikel ini ditulis dalam dua (2) segman iaitu Part 1 dan Part 2 untuk dibaca bersama untuk Part 2 (Sila klik disini)
Artikel ini kali pertama ditulis bagi menjelaskan penerangan teknikal perbezaan kedua varieti kelapa kali pertama di Malaysia mengenai perbezaan antara varieti kelapa SGG (CN16) dengan varieti kelepa MBD (Dalam proses pendaftaran) di Malaysia untuk dirujuk. Semuga tulisan teknikal ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology. Terimakasih juga kepada rakan-rakan di Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia, Putrajaya yang berkerjasama didalam penulisan artikel ini. Wasallam!!!.. 
KELAPA SGG.... CN16 NOMBORNYA...
KELAPA MBD...RAMAI TAK KENALNYA...
DULU DIDAKWA... IA VARIETI SAMA...
ARTIKEL INI... TELAH JELASKANNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Cendana,
Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(1 Muharam 1444H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...