KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, November 15, 2014

KELAPA - VARIETI SGG (CN16)

VARIETI KELAPA SUNGAI GULANG-GULANG merupakan sejenis varieti kelapa baru yang telah didaftarkan dalam Senarai varieti tanaman Jabatan Pertanian (National Listing). Pada masa ini terdapat 16 varieti kelapa yang telah berjaya didaftarkan iaitu daripada Varieti Malayan Tall (CN1) sehingga kepada Varieti SGG (CN16) dimana anda boleh merujuk artikel saya sebelum ini (Sila Klik Disini). Belum banyak maklumat mengenai kelapa ini di dapati tetapi ia mungkin merupakan jenis kelapa yang berpotensi untuk dikembangkan penanamnya secara komersil jika ada bekalan benih tulin yang dijamin. Saiz kelapa ini adalah besar dengan warna kulit sama seperti kelapa lain ketika masih belum matang (Sila lihat foto diatas). Pada masa ini belum ramai petani yang menanam kelapa varieti ini kerana proses pengeluaran benihnya masih pada peringkat awal penelitian. Kepada mereka yang berminat mungkin boleh berhubung dengan Jabatan Pertanian untuk mengetahui mengenai potensi kelapa varieti ini dan bagaimana untuk mendapatkan sumber benih tulinnya. Kelapa ini bukan dari jenis kelapa hibrid seperti MAWA atau MATAG bagaimana pun untuk mendapatkan benihnya kita tidak boleh ambil terus daripada pokok induk kelapa Sungai Gulang-gulang ini. Sebaiknya pokok yang dipilih mesti melalui proses SOP untuk menghasilkan benih kelapa CN16 yang tulin. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu lagi catitan teknikal mengenai varieti kelapa Sungai Gulang-Gulang yang mempunyai kod daftar CN16 untuk rujukkan anda yang mencari bahan tanaman kelapa.


Kelapa Varieti Sungai Gulang-gulang dengan nombor daftar CN16 dalam 'National Variety Listing' Jabatan Pertanian telah pun didaftarkan pada Julai 2013. Tanaman Kelapa (Cocos nucifera L.) merupakan tanaman penting di Malaysia dengan keluasan 96,500 hektar direkodkan oleh Jabatan Pertanian pada tahun 2014. Kajian penulis mendapati hampir 65% varieti kelapa yang ditanam adalah dari jenis Malayan Tall (CN1) dan sekitar 8% adalah kelapa varieti Pandan (CN6). Kelapa Matang kini telah mencecah keluasan sekitar 1,500 hektar diseluruh negara dengan kawasan utama verada di Johor, Perak dan Selangor mendominasi kelapa hibrid matag ini. Kini Kelapa Varieti Sungai Gulang-gulang (SGG) yang telah pun didaftarkan oleh Encik Ismail bin Tahir iaitu petani dari kawasan kampongnya di Lot 160, Batu 5 1/2, Kg. Sg Gulang-gulang, Tanjong Karang, Selangor mulai dikenali ramai. Pokok kelapa ini dipercayai ujud apabila berlaku mutasi atau pembiakan silang daripada jenis kelapa renek (dipercayai dari pokok induk Malayan Brown Dwarf - MBD) dengan beberapa pokok kelapa lain dipersekitarannya. Bagaimana pun ia masih tetap kategori kelapa renek dengan pokoknya yang sudah berbuah awal seperti yang penulis lawat di Stesyen Pertanian Sekendi, Sabak Bernam, Selangor dimana pokok induk di Sungai Gulang-gulang ditanam untuk penyelidikan (Sila lihat foto disebelah). Melihat saiz buah besar pada pokok berumur 3.5 tahun ini, saya rasa amat gembira untuk membuat penelitian ketika membuat penilaian teknikal pada pokok kelapa CN16 ini.


Daripada pencirian tumbuhan yang dilakukan oleh pasukan teknikal Jabatan Pertanian untuk membuat pengesyoran varieti, beberapa SOP pencirian mengikut garispanduan UPOV telah dilakukan. Antara ciri yang dikira seperti mengukur Panjang Petiol iaitu sekitar 98 cm, Lebar Petiole (8.0 cm) dan juga ukuran Panjang Rachis (330.3 cm). Ciri mengenai jumlah anak daun dikira dengan jumlahnya sebanyak 206 helai dimana ukuran panjang anak daun adalah sekitar 115.0 cm. Seterusnya adalah ukuran lebar anak daun  iaitu 4.0 cm dengan jelas warna bahagian atas lai daun adalah 'Yellow Green Group' dalam kod warna 147A. Ukuran panjang untuk central axis adalah sekitar 27 cm dengan ukuran diameter tangkai bunga pada bahagian tengah adalah 83 cm (Sila lihat foto disebelah). Sama dengan jenis kelapa renek lain seperti MGD, MRD dan MYD, pokok kelapa ini sesuai ditanam dalam banyak kawasan jenis tanah sama ada tanah liat, tanah lom, tanah berpasir mahu pun tanah gambut. Ia juga sesuai ditanam dikawasan berhampiran pantai yang ada kesan kemasinan (salinity) pada tanah asalkan mempunyai siatem saliran yang baik. Amalan pengurusan agronomi tanaman yang baik membolehkan kelapa ini menghasilkan buah yang banyak. 


Pokok kelapa Sungai Gulang-gulang (CN16) sesuai ditanam secara monokrop atau sebagai tanaman selingan atau pun sebagai tanaman 'Avenue Planting' dikawasan kampong dan perumahan. Kawasan taman bunga dan kawasan Majlis Perbandaran juga boleh menanam kelapa ini yang mudah diselenggara dan mampu memberikan hasil. Kini negara masih kekurangan buah kelapa dan masih mengimpot daripada negara jiran untuk memenuhi jumlah penggunaan kelapa sebanyak 520 juta biji setahun. Penggunaan perkapita kelapa di Malaysia adalah sebanyak 17 biji seorang setahun dengan mana sebahagian makanan tradisional menggunakan kelapa. Negara masih mengimpot sekitar 60 - 70 juta biji kelapa untuk keperluan kilang dan musim perayaan. Bekalan benih untuk penanaman kelapa hibrid berhasil tinggi masih belum memenohi program penanaman kelapa hibrid. Penanaman kelapa renek varieti Sungai Gulang-gulang ini dengan kelapa renek lain mampu menambah bilangan pokok kelapa yang semakin berkurangan saban tahun akibat penukaran kepada tanaman lain terutamanya kepada kelapa sawit. Semuga artikel ini memberikan info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!...
KELAPA RENEK... BERBUAH CEPAT...
VARIETI CN16... KELAPA BERKAT...
BUAH BESAR...SANTAN PEKAT...
BACA ARTIKEL...SUDAH TERPIKAT...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Sekendi,
Sabak Bernam, Selangor,
Malaysia.
(20 Muharam 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...