KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, November 24, 2014

GEL UNTUK TANAMAN

Apakah dia GEL UNTUK TANAMAN?. Itu merupakan satu produk yang mana dipasaran dijual dengan nama WRC atau Water Retaining Crystal dalam bentuk serbuk (powder). Dalam sektor pertanian khususnya sektor tanaman perkara ini amat kurang dibincangkan di Malaysia sebagai satu teknologi masa hadapan yang boleh dimajukan. Sebenarnya apakah dia Gel Tumbuhan?. Ia merupakan sejenis Polimer (Polymer) yang mampu menyimpan air dan nutrien makanan tumbuhan yang diletakkan pada bahagian akar pokok. Air dan mineral ini akan diserap oleh akar tumbuhan dan telah pun dicipta lebih daripada 35 tahun dahulu oleh pakar-pakar sains pertanian. Dibeberapa negara tertentu gel tanaman sering digunakan sebagai bahan penting penanaman tumbuhan seperti rumput dan pokok-pokok dikawasan padang pasir. Jabatan Perhutanan di negara tersebut menggunakan gel untuk mengekalkan pertumbuhan pokok dikawasan padang pasir yang panas dan kurang air. Semasa membuat lawatan kerja di Mesir saya berpeluang melihat bagaimana bahan gel ini digunakan untuk menanam pokok disepanjang jalan ke Semenanjung Sinai dan juga padang pasir jalan ke Iskandariah. Teknologi ini juga yang mana ia membolehkan tumbuhan hidup dikawasan padang pasir dengan baik dengan pengamalan teknologi yang sesuai. Bagaimanakah kita di Malaysia yang mempunyai hujan yang banyak sepanjang tahun dalam iklim tropika dapat menafaatkan teknologi penggunaan gel tanaman dalam sektor pengeluaran makanan asas?. Artikel pagi Ahad ini saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai penggunaan gel tanaman atau bahan 'water retaining crystal' sekadar memberikan info berguna kepada kamajuan pertanian di Malaysia.



Apakah sebenarnya kegunaan 'Plant Gel' dalam pertanian?. Sebenarnya ia amat berguna sebagai bahan tambahan kepada tanah atau bahan pengganti tanah untuk menyimpan air, udara serta nutrien makanan bagi tumbuhan. Fungsi ini membolehkan bahan tersebut dapat disimpan lebih lama untuk diambil oleh pokok berbanding dengan keadaan sebelum dibubuh gel. Foto diatas saya tunjukkan lakaran rajah hasil kajian bagaimana gel ini berfungsi untuk kegunaan tumbuhan dalam pasu. Foto kiri menunjukkan tanah yang dicampur dengan gel mempunyai kadar pertumbuhan lebih baik berbanding dengan tumbuhan disebelah kanan tanpa rawatan gel. Ia melambatkan proses kehilangan air dan mineral dar dalam tanah untuk diserap oleh akar tumbuhan. Gel ini boleh digunakan bersama dengan media tanah atau hanya gel sahaja diletakkan dalam bekas khas. Mudah sahaja untuk mencampurkan serbuk gel dengan tanah sebelum aktiviti menanam, menyiram serta amalan agronomi yang lain. Jika pokok dalam pasu sudah membesar pun kita boleh buat lubang pada tanah dalam pasu dan masukkan serbukl gel didalamnya sebelum meniram air. Setelah disiram, gel akan mengembang dalam lubang dan memberikan sumber nutrien, udara dan air kepada tumbuhan dan pokok akan segar semula. Jika menggunakan gel sahaja, kita boleh gunakan bekas yang jernih dengan gel yang berwarna-warni atau bekas yang tidak jernih. 

Pada penelitian penulis, penggunaan bahan serbuk gel oleh petani di Malaysia masih ditahap asas sahaja dimana hanya beberapa orang sahaja yang ada mengamalkannya. Gel ini memang ada digunakan oleh beberapa usahawan nurseri bunga, usahawan tanaman makanan bernilai tinggi dan pelbagai petani yang telah tahu akan kebaikannya. Dalam temubual saya dengan usahawan En Khalil Mahpul 60, di Kong Kong, Masai, Johor yang kini berjaya menanam Pisang Berangan, Pisang Tanduk dan beberapa jenis tanaman lagi, beliau menggunakan gel tumbuhan sewaktu mulakan menanam pada awal tahun 2014. Penggunaan bahan gel ini telah membolehkan tanamannya tumbuh dengan baik walau pun mengharungi bencana El-Nino daripada bulan Mac - Ogos 2014. Beliau membeli 10 kg serbuk gel untuk keluasan 10 ekar pisang daripada pembekal tempatan dan dibancuh dengan air sebelum digaul dalam lubang penanaman pisang. Bagaimana pun sebahagian pokok pisang yang ditanam kemudian beliau hanya masukan serbuk gel dalam lubang penanaman sebelum disiram dan ditimbus (Sila lihat foto disebelah). Tanpa bantuan gel tumbuhan ini katanya banyak pokok pisang akan mati kerana cuaca panas berpanjangan dan pokok kekurangan air seperti beberapa petani lain yang menanam pisang pada masa yang sama bersebelahan. 


Berapa ramai sebenarnya dikalangan kita yang 'berani' dalam teknologi menggunakan gel tumbuhan seperti ini untuk menanam pokok?. Keupayaan gel tumbuhan untuk menyimpan air dan nutrien amat signifikan digunakan oleh beberapa petani yang tidak mempunyai cukup modal untuk memasang sistem pengairan bagi tanaman terpilih. Bagi usahawan yang mempunyai risiko tanah kering seperti menanam dikawasan Tanah Bris, Tanah Bekas Lombong dan juga kawasan pesisir pantai boleh menggunakan gel bersama bahan baja organik untuk menyuburkan tanah. Pokok yang telah besar dan sering terjejas kekurangan air kita boleh bubuh gel dipangkal pokok (Sila rujuk foto disebelah) bagi mendapatkan manafaatnya. Kita boleh juga masukkan gel pada media tanah dalam pasu yang mana pokok telah agak besar. Buatkan lubang pada tanah dalam pasu dan masukkan sedikit gel dan disiram air dan baja. Ia akan membolehkan gel mengembang dan kita boleh balik kampong dengan senang hati untuk selama beberapa hari tanpa perlu meniram air pada pasu kita. Wasallam!. 
MENANAM PISANG... GEL DIGUNA...
HARGA MAHAL... SEDIKIT SAHAJA...
MENYIMPAN AIR...NUTRIEN JUGA...
POKOK SUBUR... SENYUM SAHAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Tanaman Pisang,
Pusat Pertanian Kong Kong,
Masai, Johor Bahru,
Johor, Malaysia.
(12 Zulkaedah 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...