KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, November 30, 2014

PENUTUP BUMI - CALOPOGONIUM

KACANG PENUTUP BUMI jenis CALAPOGONIUM (Calolpogonium mucunoides Desv) merupakan sejenis tumbuhan yang digunakan sebagai penutup bumi dikawasan tanah yang baru dibuka. Tumbuhan kekacang dari keluarga Fabaceae (Dulu dipanggil Leguminoceae) mempunyai empat spesis iaitu C. caeruleum, C. mucuniodes, C. galactiodes dan C. velutinum. Tumbuhan ini adalah berasal atau natif daripada India Barat dan Amerika Selatan Tropika dan dibawa ke Asia Tenggara sekitar tahun 1900 oleh penjajah Eropah semasa membangunkan ladang-ladang pertanian. Pada masa ini kacang ini digunakan bersama kekacang jenis Centrosema spp dan Mucuna spp untuk dijadikan tanaman penutup bumi yang sangat popular di Malaysia dalam sektor perladangan. Saya memang kenal akan tumbuhan ini kerana sering melihatnya di ladang berhampiran kampong semanjak zaman sekolah tahun 1970'an dulu. Amalan penanaman tanaman penutup bumi memang dilakukan oleh estet swasta dan kerajaan sebagai satu SOP yang sering dilakukan. Kebaikan dalam menanam  tanaman penutup bumi ini adalah untuk kawalan rumpai, kawalan hakisan, memberikan sumber nutrien kapada tanah dan membantu menyuburkan tanah. Subjek ini ada diajar semasa belajar di universiti dahulu dan adalah subjek wajib yang perlu lulus. Artikel petang Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tumbuhan kekacang Calopogonium untuk dibaca dan dibuat rujukkan.


Tumbuhan Calopogonium adalah jenis menjalar dengan batang (vine) atau memanjat secara melilit (Lihat foto sebelah). Kadar pertumbuhannya adalah cepat dikawasan yang cukup air pada tanah yang subur. Dalam keadaan semulajadi, ia selalu tumbuh secara berkumpulan dengan padat setebal 30 - 50 cm dengan banyak batang berbelit dan daun lebat. Daunnya berbentuk tiga segi membujur tirus dihujung atau bujur telur dengan ada 3 daun pada satu tangkai. Daun yang berwarna hijau ini akan tumbuh subur dari peringkat awal penanaman jika mendapt air dan sumber makanan mencukupi (Sila lihat foto disebelah). Panjang tangkai sekitar 14 - 18 cm dengan permukaan yang rata. Bunga tanaman penutup bumi jenis calopogonium berwarna ungu atau biru dengan ukuran panjang tangkai bunga sekitar 20 cm dalam satu jambak. Bunga ini akan keluar apabila tanaman ini sudah cukup matang. Buahnya pula adalah dalam bentuk buah lengai (pod) yang bentuknya panjang dan membengkok serta lazimnya ia berbulu ketika muda dengan berwarna hijau kecoklatan sedikit. Bagi buah yang masak akan berwarna coklat dan setiap pod buah mengandungi antara 3 - 8 biji benih yang berwarna coklat dan biji berukuran 2 - 3 mm garispusat (Lihat foto dibawah). Biji kacang calopogonium ini sesuai dijadikan benih tanaman dan mudah untuk di proses untuk dijadikan bahan tanaman. Walau pun ia mengandungi minyak seperti jenis kekacang lain tetapi belum banyak yang menggunakannya untuk tujuan tersebut.


Tanaman calopogonium ini sesuai pada banyak jenis tanah terutama jenis tanah lembap dengan taburan hujan tahunan melebihi 1,250 mm setahun. Ia boleh tumbuh dikawasan tanah pamah sehingga kawasan tinggi sehingga 800 - 1,300 meter dari aras laut (DPL). Tanah dengan mempunyai pH 4.5 hingga 5.6 amat sesuai untuk tanaman ini dengan sistem saliran yang baik. Tumbuhan ini kurang tanah dikawasan berair dan ia akan mati jika tenggelah didalam banjir dalm jangkamasa agak lama. Tanaman ini juga tahan kepada keadaan cuaca kering dan panas tetapi jika terlalu lama pokok akan mati. Pemerhatian penulis mendapati cara batang kekacang ini adalah menjalar dengan membelit menyebabkan ia mudah menyesuaikan dengan keadaan sekitar untuk mendapatkan cahaya matahari. Batangnya mudah memanjat kebahagian yang lebih tinggi dan padat sehingga pokok yang asal tidak kelihatan lagi.  Tanaman utama seperti getah dan kelapa sawit yang muda akan dibelit keseluruhannya jika tidak diuruskan dengan baik dan ini tidak baik untuk pertumbuhan getah dan kelapa sawit. Kerja-kerja membuang tanaman penutup bumi pada tanaman utama perlu dilakukan. Pada saya amat tepat ia diberikan nama 'Penutup Bumi' kerana pokok tanaman utama pun akan ditutupnya jika tidak dibuat penyelenggaraan agronomi. Tumbuhan ini memerlukan sinaran matahari yang banyak dan tidak sesuai jika ditanam dibawah naungan. 


Kaedah menanam kekacang Calopogonium adalah dengan menggunakan biji benih. Kadar benih yang disyorkan adalah sebanyak 1 - 3 kg sehektar (Sila lihat bungkusan benih disebelah). Benih segar yang baru dituai mempunyai kadar percambahan tunggi iaiitu melebihi 75% sesuai untuk digunakan. Bagaimana pun rawatan biji benih Calopogonium perlu dibuat dengan betul sebelum ditanam. Rawatan yang perlu dilakukan adalah dengan merendam bijibenih dengan air panas pada suhu 75 Celsius selama 3 minit dikira mencukupi. Tujuan menggunakan air panas adalah untuk 'break dormancy' benih tersebut dan mendapatkan kadar pertumbuhan yang seragam. Penanaman diladang dengan menyediakan lorong atau alur untuk meletakan biji benih sedalam 2 - 4 cm dan tutup dengan tanah. Cara menanam sering dilakukan pada musim hujan untuk mempastikan benih dapat tumbuh dengan seragam. Kerja menyelenggara dan mebuang kacang penutup bumi calopogonium yang menjalar pada tanaman perlu dilakukan mengikut jadual. Tanama kacang yang berjaya membantu dalam pembangunan estet di negara kita. Semuga pembaca blog ini mendapat info berguna. Wasallam!.
CALOPOGONIUM...PENUTUP BUMI...
TANAH DIBUKA... DITANAM MESTI...
BENIH DITABUR... WAKTU DIKAJI...
DISELENGGARA... KESANNYA PASTI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(7 Safar 1436H)   

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...