Support My Blog

Wednesday, May 20, 2020

MR263 VARIETI PADI DITANAH SEDERHANA

VARIETI PADI MR263 SESUAI DITANAM DI TANAH SEDERHANA subur di Malaysia. Tanaman Padi (Oryza sativa) merupakan satu industri pertanian penting di Malaysia selepas industri Kelapa Sawit dan Getah dari segi keluasan dan produktiviti. Bagaimana pun tanaman padi di beberapa kawasan jelapang padi di negara kita masih memerlukan kos yang tinggi setiap tahun didalam usaha mempastikan keselamatan makanan ruji penduduk negara ini akan terus dijamin. Keluasan tanaman padi pada tahun 2018 mengikut Buku Stastistik Jabatan Pertanian Malaysia adalah seluas 689,810 hektar daripada seluas 300,446 hektar kawasan parsel padi. Daripada keluasan parsel padi 300,446 hektar seluas 210,708 hektar (70.1%) adalah didalam kawasan jelapang padi dan seluas 89,738 hektar adalah sawah padi di Luar Kawasan Jelapang. Data CCS Kebangsaan (Crop Cutting Survey) atau produktiviti tanaman padi di Malaysia adalah sebanyak 4,443 kg sehektar setahun. Malaysia mampu menghasilkan sebanyak 3,064,822 metrik tan padi pada tahun 2018 dan apabila padi ini diproses menjadi beras ia menghasilkan sebanyak 1,975,770 metrik tan beras. Terdapat beberapa varieti padi yang popular ditanam di Seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Di Semenanjung Malaysia antara varieti padi yang popular adalah seperti MR220CL2 (44.6%), MR297 (31.6%), MR219 (8.2%), MR263 (4.8%), MR 284 (4.8%). Lain-lain varieti yang popular ditanam untuk musim utama 2018 ini adalah seperti MR220, MR269, MRQ76, MR211 dan MR220CL1. Tanaman padi merupakan antara tanaman penting di negara kita yang mendapat suntikan kewangan tinggi setiap tahun sebagai insentif kepada pesawah untuk menghasilkan makanan utama di kalangan rakyat tempatan. Pelbagai bantuan seperti insentif diberikan oleh kerajaan melalui pelbagai Jabatan dan Agensi dibawah Kementerian Pertanian dan Makanan dengan pelbagai jenis insentif. Artikel subuh ini dalam "Anim Agro Technology" mengenai sebuah laporan kajian oleh MARDI mengenai varieti padi MR263 yang didakwa amat sesuai ditanam disawah dengan kesuburan sederhana bagi dijadikan bahan bacaan dan rujukkan semua. Artikel ini dirujuk dari Bulletin MARDI yang telah pun disesuaikan semula penulis blog.

Dilaporkan dimana Padi Varieti MR 219 dan MR 220 yang ditanam dengan meluas melebihi 90% kawasan pengeluaran utama dan melebihi 20 musim tanaman dimana ada berkemungkinan akan mengancam industri padi negara sekiranya berlaku wabak penyakit atau serangan perosak. Varietivarieti yang sudah lama ditanam berturutan boleh menyebabkan kerintangannya telah berkurangan terhadap penyakit karah terutama pada lima musim terakhir. Oleh itu, perlu diperkenalkan satu atau dua varieti baharu sebagai pelengkap kepada kelemahan varieti sedia ada dan juga langkah untuk mempelbagaikan varieti yang ditanam supaya dapat membantu mencegah serangan penyakit dan perosak. Varieti MR  263 telah diperkenalkan sebagai satu varieti pelengkap kepada varieti-varieti yang sedia ada. Sementara itu penulis blog mendapati Varieti MR 263 dihasilkan melalui kacukan dua baka mutan SPM 156 dengan MR 221. SPM 156 ialah baka yang dimajukan hasil daripada mutasi aruhan varieti tradisional Kurau Wangi sementara MR 221 pula ialah baka hasil daripada mutasi aruhan baka berkualiti Q 31. Kacukan antara SPM 156 dan MR 221 dilakukan pada Musim Utama 2001/2002 bertujuan meningkatkan hasil dan kerintangan terhadap benah perang. Kedua-dua varieti tradisional ini pada asalnya mempunyai pokok yang sangat tinggi dan berumur matang agak panjang, tetapi telah berjaya direnekkan melalui kaedah mutasi aruhan. Bagaimanapun, proses ini telah menghakiskan sedikit ciri-ciri kualiti yang terdapat pada varieti-varieti asal. Pemilihan tangkai dalam populasi segrasi dilakukan secara konvensional dalam sistem penanaman secara mencedung. Titisan terpilih telah dijalankan percubaan hasil awal secara bereplikasi di Stesen MARDI Seberang Perai selama tiga musim. Titisan terpilih seterusnya dimajukan ke peringkat penilaian hasil lanjutan sebagai baka Y 1549 atau MR 263 selepas dimajukan ke  peringkat multi-lokasi. Seterusnya  baka ini dimajukan untuk penilaian hasil pada Luar Musim 2006 dan dimasukkan ke dalam set Percubaan Penyesuaian Baka pada Musim Utama 2007/08 sehingga Luar Musim 2009 dan peningkatan skala di FELCRA Seberang Perak mulai Luar Musim 2009/10.

Ciri-ciri agronomi MR 263 mempunyai umur matang sekitar 97-104 hari selepas tabur, iaitu 7 hari lebih awal daripada MR 219. MR  263 mempunyai ketinggian pokok yang jauh lebih rendah daripada MR 219 iaitu 59 -71 cm berbanding dengan 71 - 84 cm bagi MR  219. Pokok MR 263 yang rendah biasanya lebih tahan rebah. Walaupun begitu, daun pengasuhnya agak panjang, tetapi tegak dan melentur sedikit jika terlalu panjang. Panjang tangkainya adalah setanding dengan MR 219. Bilangan bijinya hanya rendah sedikit daripada MR 219. Walaupun bentuk biji padi MR  263 boleh dikategorikan sebagai bujur, tetapi tidaklah sebujur MR  219 (nisbah panjang lebar 3.39 berbanding dengan 4.12 bagi MR  219). Ini adalah kerana bijinya yang lebih pendek dan lebih lebar berbanding dengan MR 219. Berat bijinya juga lebih rendah daripada MR 219. Kerintangan terhadap penyakit dan perosak utama MR 263 adalah sederhana rintang terhadap karah daun dan benah perang. Walau bagaimanapun, MR 263 adalah rentan terhadap karah tangkai penyakit merah dan hawa seludang. Ciri pengilangan dan cita rasa nasi Perolehan beras kepala MR 263 adalah 10% lebih baik daripada MR 219 disebabkan oleh berasnya yang lebih pendek dan lebih lebar. Namun demikian, beras MR 263 masih dikategorikan sebagai beras panjang kerana panjang berasnya melebihi piawai iaitu 6.21 mm panjang. Nisbah panjang dan lebar beras pula menunjukkan MR 219 lebih baik bentuknya berbanding dengan MR 263. Kandungan amilosa bagi varieti MR 263 ialah 2% lebih rendah daripada MR 219. Ini menunjukkan bahawa nasi MR 263 dan MR 219 masih dalam kategori yang sama dari segi kelembutan dan kelekitan apabila dimakan.

Beberapa penelitian hasil kajian mendapati dimana prestasi hasil daripada percubaan hasil Pengeluaran hasil varieti MR 263 telah diuji buat pertama kali pada Luar Musim 2006. Hasil yang dicatatkan oleh varieti ini ialah 6.3 t/ha mengatasi hasil MR 219 sebanyak 12.5% iaitu 5.6  t/ha. Pada Musim Utama 2006/07 berikutnya, hasil MR 263 (6.7 t/ha) kurang sedikit (0.89%) daripada MR 219 (6.8 t/ha). Oleh kerana hasil varieti MR 263 adalah antara yang terbaik, maka ia telah diuji ke peringkat Percubaan Hasil Lanjutan pada Luar Musim 2007. Dalam percubaan ini, MR 263 menunjukkan pengeluaran hasil yang sangat baik iaitu 7.1 t/ha berbanding dengan MR 219 (6.6 t/ha) dengan perbezaan sebanyak 8.3%. Percubaan Penyesuaian Baka Percubaan ini dijalankan di lima jelapang padi negara iaitu MADA, KADA, PBLS, Seberang Perai dan Seberang Perak antara Musim Utama 2007/08 dan Musim Utama 2008/09 dengan jumlah lokasi 10 hingga 11 setiap musim (Jadual 3). Purata hasil MR 263 mengatasi MR 219 di tiga kawasan jelapang iaitu di MADA, Seberang Perak dan KADA antara 2.8% hingga 9.9%. Di Seberang Perai dan PBLS, hasil MR 219 tidak dapat mengatasi hasil MR  263. Ini menyebabkan hasil purata keseluruhan MR 263 hanya 0.9% melebihi MR 219. Hasil tertinggi yang dicatat oleh MR 263 ialah 7.0 t/ha berbanding dengan 6.9 t/ha yang dicatat oleh MR 219.
Varieti MR 263 menunjukkan prestasi hasil secara keseluruhan setanding dengan MR 219. Di persekitaran tanah yang sederhana subur seperti di FELCRA Seberang Perak dan KADA, pengeluaran hasilnya sangat baik mengatasi varieti MR 219. Pokoknya yang agak rendah dan umur matangnya yang awal boleh untuk kawasan yang ada masalah padi rebah dan padi angin. Analisis kesesuaian dan kestabilan yang telah dijalankan menunjukkan varieti ini lebih sesuai ditanam di persekitaran yang kurang subur. Ini menggalakan kehadiran kepelbagaian varieti diamalkan dalam sesuatu kawasan dan ia akan mengurangkan risiko ancaman perosak dan bencana lain. Potensi hasil yang ditunjukkan oleh MR 263 adalah tinggi (7.19 t/ha) walaupun tidak dapat menandingi MR 219 (7.46 t/ha). Oleh itu varieti ini sesuai diperkenalkan sebagai varieti alternatif ataupun varieti pelengkap kepada MR 219 terutama di persekitaran sederhana. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!...
TANAMAN PADI... MR263 VARIETINYA...
97 - 104 HARI ... TEMPOH MATANGNYA...
SEBANYAK 7.19 MT/HA...POTENSINYA...
MEMBACA ARTIKEL... INFO DITERIMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist Expert,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(21 Ramadan 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...