mobile ads

KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, May 18, 2019

TEKNOLOGI TANAMAN RAMBAI

PENANAMAN POKOK RAMBAI (Baccaurea motleyana Mull) kini semakin kurang diminati oleh pemilik dusun di Malaysia. Ini kerana pokok rambai sudah dikategorikan sebagai buah nadi yang kini semakin pupus. Buah rambai adalah daripada famili Euphorbiaceae termasuklah juga kaum getah dan ubi kayu. Terdapat sebanyak 42 spesies rambai dan kerabat liarnya di seluruh dunia dan di Malaysia sahaja terdapat 31 spesies rambai. Pusat Pertanian telah menyimpan janaplasma pokok rambai ini sejak berpuloh tahun dahulu dan merekodkan sebanyak 12 spesies dan pencirian morfologi telah dilakukan. Selain rambai (Baccaurea motleyana) satu lagi spesies yang kerap dijumpai ialah tampoi putih (Baccaurea macrocarpa) yang mempunyai rasa yang manis atau masam manis. Spesies liar lain yang turut dijumpai ialah seperti Buah Jentik-jentik (Baccaurea polyneura) dan juga pokok Pupor (Baccaurea ramiflora). Hasil kajian inventori yang dijalankan didapati dimana pokok ini masih banyak dijumpai di halaman rumah dan di kebun-kebun. Negeri Sarawak mempunyai bilangan pokok yang masih banyak dan diikuti oleh Sabah, Pahang dan Kedah. Selain boleh dimakan segar biasanya kumpulan buah rambai ini mempunyai pelbagai kegunaan lain seperti dijadikan bahan masakan, perencah, digunakan sebagai bahan kosmetik mahupun untuk menghilangkan minyak ataupun gris. Kandungan antioksida yang tinggi dalam buah jentik-jentik (90%) amat bagus jika buah ini dapat dijadikan sumber buah berpotensi. Buah ini mempunyai ciri yang agak unik iaitu akan pecah sekiranya dijentik yang boleh menjadi daya tarikan terutama kepada golongan kanak-kanak untuk menikmati buah ini. Artikel subuh ini jam 3.00 pagi saya telah terbangun dari tidur dan dapat menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penanaman buah rambai sebagai satu bahan rujukkan anda semua.

Sehingga kini penulis blog dapati belum ada petani yang menanam spesies ini secara komersial walaupun mempunyai permintaan pasaran seperti buah tampoi yang banyak dijual oleh orang asli di sepanjang jalan Tapah-Cameron Highlands. Penanaman hanya dilakukan oleh sesetengah golongan petani untuk mengelakkan spesies ini daripada terus pupus di samping memperkenalkan spesies ini kepada anak cucu mereka. Pembukaan kawasan hutan yang menjadi habitat sesetengah spesies liar secara besar-besaran untuk ianya dijadikan tanaman komersial menyebabkan spesies liar rambai semakin jarang ditemui. Sebagai langkah untuk simpanan janaplasma pemuliharaan untuk mengelakkan spesies ini daripada terus pupus maka Jabatan Pertanian, FRIM dan MARDI telah mengambil langkah dengan kaedah menanam semula spesies ini. Proses menanam semula pokok-pokok spesies Baccaurea di bank gen MARDI Jelebu dan Jabatan Pertanian di Pusat Pertanian Serdang dan Huku Paka, Terengganu telah bermula semenjak tahun 1970'an dan di Mardi sejak tahun 2009 dengan permulaan sebanyak 8 spesies yang terdiri daripada 134 batang pokok telah ditanam. Kesemua pokok rambai yang disimpan ini dijaga baik dan disenaraikan didalam bulu inventori janaplasma Jabatan Pertanian yang penulis blog membukuannya pada tahun 2013. Buku inventori tanaman pada semua Stesen Pertanian ini boleh dilihat di Jabatan Pertanian Putrajaya.


Kaedah penanaman pokok rambai mudah dilakukan sama seperti menanam buah tropika yang lain. Paling penting adalah mempastikan sumber benih rampai yang manis dan pokok berhasil tinggi dan cepat berbuah. Benih pokok rambai boleh dicari di kedai nurseri swasta (lokasi tertentu) dan mungkin di Jabatan Pertanian atau MARDI (Sila lihat foto disebelah). Biasanya aktiviti mengumpulkan kaum rambai di kampung-kampung seluruh Malaysia telah berjaya mengumpul pelbagai variasi spesies. Biji benih yang dikumpul terlebih dahulu dibersihkan dengan membuang sisa-sisa isi yang melekat pada biji benih. Biji benih tersebut kemudiannya disemai di dalam medium tanah berpasir yang menghasilkan peratusan percambahan yang agak tinggi (90%). Selepas 3 - 4 minggu, daun pertama akan keluar dan apabila 3 - 4 daun sudah mula keluar anak benih akan dipindahkan ke dalam polibeg yang bersaiz 6” x 8”. Anak pokok diletakkan di rumah semaian dengan 50 - 70% cahaya. Anak pokok sudah sedia untuk ditanam di ladang apabila sudah berumur setahun dengan ketinggian 2 kaki. Sebulan sebelum dipindahkan sebaiknya lakkukan proses pengerasan batang pokok dilakukan dengan meletakkan anak pokok di bawah cahaya matahari sepenuhnya. Anak benih rambai perlu diletakkan di bawah nurseri selama sebulan sebelum ditanam. Ini bagi memastikan pokok dapat berdaptasi dengan keadaan cuaca yang agak kering jika menanam pada musim kering. Sebaiknya kawasan untuk penanaman yang telah dibersihkan ditanda dengan kayu pancang untuk setiap lubang yang akan digali bagi tujuan memastikan keseragaman pokok yang ditanam. Jika menanam pada di kawasan berbukit maka kaedah bagi penanaman mengikut kontur dilakukan mengikut kesesuaian pokok. Spesies rambai sesua ditanam di kawasan yang lebih tinggi kerana habitatnya yang boleh hidup di kawasan tinggi sehingga 1,600 m. Setiap lubang yang telah digali diletak dengan 300 g CIRP, 200 g GML dan 10 kg bahan organik iaitu tahi ayam dan dibiarkan selama sebulan sebelum pokok ditanam. Jarak penanaman yang sesuai ialah 10 m x 10 m untuk memberi ruang yang luas kerana kaum rambai mempunyai kanopi yang agak besar. Seeloknya kerja menanam dilakukan pada musim hujan kerana anak pokok kaum rambai memerlukan banyak air semasa awal tumbesaran. Kadar kematian bagi spesies rambai, pupor dan jentikjentik adalah agak rendah iaitu 25 – 30%, tetapi bagi spesies tampoi mencatat kematian yang agak tinggi iaitu 55 - 60%. Ini disebabkan pokok tampoi tumbuh di dalam hutan dan di kelilingi pokok-pokok teduhan. Kebanyakan kematian anak pokok berlaku semasa awal penanaman iaitu ketika sistem pengairan masih lagi belum sempurna.

Penjagaan tanam rambai mudah dilakukan.
Lazimnya pada peringkat awal penanaman maka aktiviti  pembajaan menggunakan baja sebatian NPK 15:15:15 (80 g/pokok) diberi setiap bulan pada tahun pertama. Pada tahun kedua pula diberi baja dengan kadar yang ditingkatkan sehingga 300 g/pokok dan pemberian baja diberi setiap 2 bulan sekali. Pemberian baja kimia diselangseli dengan bahan organik seperti tahi ayam dan tahi kambing. Apabila pokok sudah mula mengeluarkan bunga (tahun ketiga), baja sebatian NPK 12:12:17:2 (500 g/pokok) diberi setiap 2 bulan untuk proses pembuahan dan baja diberi secara taburan terus di sekeliling pokok. Aktiviti penyiraman dilakukan secara berperingkat menggunakan sistem pengairan titisan. Pada musim kemarau, pokok akan disiram dua kali sehari di waktu pagi dan petang. Aktiviti meracun rumpai dan merumput dilakukan setiap 2 bulan sekali bagi menjaga kebersihan ladang. Ada kalanya pokok diserang anai-anai yang agak teruk jika kawasan memang ada anai-anai dikawasan baru dibersihkan. Kaedah kawalan menggunakan racun anai-anai perlu dilakukan setiap bulan sehingga kawasan tersebut bebas daripada serangan. Ini bertujuan mengelak anai-anai menyerang pokok yang ditanam seterusnya memberi kesan kepada pokok dan pengeluaran hasil. Bagi kawalan penyakit dan perosak sebaiknya lakukan  semburan racun serangga dilakukan setiap bulan untuk mengelak daripada serangga perosak yang akan menjejaskan pengeluaran hasil tanaman.


Pokok rambai yang dijaga baik akan hidup dimana ia akan mula berbunga dan mengeluarkan hasil sekitar 3-4 tahun selepas ditanam mengikut spesis. Ini jika ianya ditanam menggunakan biji benih yang diemai dalm nurseri. Pokok yang ditanam dengan penjagaan cara moden ini lebih cepat ianya mengeluarkan buah berbanding dengan pokok yang ditanam di habitat asal yang mengambil masa 7 -10 tahun. Ini juga mungkin disebabkan pokok yang ditanam di ladang moden dan berbaja serta ada siraman air akanmendapat nutrien dan cahaya matahari yang mencukupi untuk berbuah. Biasanya buah rambai ini dibiak menggunakan biji benih untuk tujuan mendapat variasi buah dan mengekalkan genetik liar. Tetapi malangnya kaedah ini tidak sesuai sekiranya pokok ini ingin diusahakan secara komersial kerana menghasilkan kadar peratusan pokok jantan yang agak tinggi kira-kira 80 - 90%. Kaedah tut dan Cantuman mata tunas adalah pilihan yang lebih baik sekiranya ingin diusahakan secara komersial. Walau bagaimanapun biasanya jullah  bilangan buah yang dihasilkan pada tahun pertama musim berbuah hanya sedikit sahaja. Jangka masa berbunga spesies ini agak berlainan iaitu dimulakan dengan spesies rambai sekitar bulan September diikuti oleh spesies-spesies lain 2 bulan selepasnya dan buah dapat dituai selepas 4 - 5 bulan. Kepada mereka yang berminat untuk menanam pokok rambai berskala komersil perlu mendapatkan pasaran dan tanah sesuai selain daripada benih terpilih. Kaedah atau cara penanaman yang dipraktikkan sesuai dengan minatan petani yang berusaha untuk menanam pokok rambai terutama  spesis yang mempunyai nilai pasaran sekiranya diusahakan secara komersial. Anda boleh baca tulisan saya mengenai buah rambai dengan pautan berikut (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan beberapa lagi. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
POKOK RAMBAI... NADIR JENISNYA...
ADA MASAM... MANIS PUN ADA JUGA...
MUDAH DITANAM... SENANG DIJAGA...
LEPAS 4-5 TAHUN... BERBUAH DIA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 508, Putra Regency Hotel,
Kangar, Perlis,
Malaysia.
(13 Ramadan 1440H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...