Support My Blog

Monday, May 13, 2019

PRODUK CILI GERONONG SARAWAK

CILI GERONONG (Capsicum chinensis) merupakan sejenis cili habanero yang sangat pedas didunia. Cili ini kini telah berjaya dikomersilkan di Malaysia khususnya di TKPM Rampangi di Bahagian Kuching, Sarawak. Penulis blog ada kesempatan untuk membuat tinjauan teknologi kelokasi ini bersama rombongan daripada Jabatan Pertanian Sarawak diketuai oleh Tn Hj Harun (Sila lihat foto diatas). Lawatan teknikal ini penulis dibawa masuk kedalam rumah struktur kalis serangga di TKPM Rampangi ini yang meibatkan 18 orang peserta. Penulis blog kesana untuk membuat satu kunjungan 3 hari kebeberapa projek di Pusat Pertanian Tarat, di Serian bagi pengeluaran benih kelapa Matag, ke Projek tanaman nanas di Kg Padang Pan di Bau, ke Projek TKPM Rampangi, Projek Jagung Bijian Kg Panchor di Simunjan, Projek TKPM KAbuloh di Miri dan beberapa projek lain. Banyak informasi mengenai industri tanaman nanas, cili, jagung bijian dan benih kelapa matag dibincangkan semasa membuat lawatan sambil meninjau teknolgi penanaman. Cili Geronong bagaimana pun penulis selalu menjumpai dijual di gerai jualan sayur kampong di Pasar Satok dengan satu longgok (sekitar 12 biji) dijual dengan harga RM3.00 bermakna sebiji adalah sekitar RM0.40 iaitu cili Geranong yang cukup masak. Memang penulis ada menulis mengenai kepedasan cili yang ada didunia untuk dijadikan bahan bacaan sebelum ini (Sila klik pautan disini) dan (Sila klik pautan ini). Cili Geronong ini merupakan sejenis cili yang sangat pedas dan kajian makmal mendapati tahap kepedasan cili ini diantara bacaan 200,000 - 350,000 Scoville Heat Unit (SHU) iaitu hampir 3-4 kali ganda daripada kepedasan Cili Besar (Sekitar 100,000 - 150,000 SHU). Mungkin tidak ramai dikalangan rakyat Malaysia yang mengenali akan cili geronong ini kerana ia sukar didapati di Semenanjung. Bagaimana pun penulis blog melawat projek TKPM Rampangi dimana mereka menanam dan memproses sendiri cili geronong disini.  Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" berkaitan info cili geronong di TKPM Rampangi ini bagi dijadikan bahan bacaan dan juga rujukkan anda semua.


Dalam penulis membuat tinjauan tanaman cili geronong di TKPM Rampangi ini ia ada ditanam didalam rumah Struktur Pelindung Hujan (SPH) yang disediakan Jabatan Pertanian. Sistem tanaman secara fertigasi apa yang dijelaskan oleh Pengurus TKPM En Zul nyatakan tanaman kali ini sudah hampir habis musim (Sila anda lihat foto disebelah). Dakwanya mudah sahaja untuk menanam Cili Geronong asalkan ada benih yang baik untuk disemai dimana pada peringkat awal penanaman agak sukar untuk dapatkan benih cili geranong sebab setiap biji hanya ada beberapa biji sahaja yang tumbuh selepas disemai. Lazimnya benih ini mempunyai kadar peratus pertumbuhan atau percambahan yang rendah kalau disemai terus pada tapak semaian atau didalam pasu. Pengusaha disini telah juga disyorkan agar benih ini dijemur kering dulu atau dicelur dengan air panas untuk pecahkan 'dormancy period'. Menanam Cili Geronong dalam polibeg secara fertigasi ini mereka menggunakan media tanah campuran atau media cocopeat sesuai dilakukan. Benih yang tumbuh dalam tapak semaian dialih kedalam beg media tanaman dibiarkan satu pokok sahaja untuk mendapatkan prestasi pertumbuhan dan hasil yang banyak disusun dengan jarak 1 m X 1.2 m. Apa yang penulis blog dilihat  lazimnya bunga cili geranong berwarna putih sama seperti bunga cili yang lain. Buah muda lazimnya adalah berwarna hijau menyamai dengan warna daunnya dimana lazimnya pokok ini mula berbunga setelah 1.5 - 2 bulan ditanam dan dijaga dengan baik. Jumlah bunga yang keluar biasanya juga bergantung kepada cara amalan agronomi dan kesuburan pokok. Walau pun pokok cili ini sukar ditanam tetapi serangan oleh perosak dan penyakit juga kurang terutama apabila ia ditanam secara fertigasi didalam SPH di TKPM ini. Penuaian dilakukan setiap hari kepada cili geronong merah yang matang. Ia kemudian dikumpulkan dan dibawa kekilang pemprosesan.


Bentuk Cili Geronong memang unik kerana ia adalah berbentuk bersegi berkerekot dan agak twisted (Sila lihat foto disebelah) berbanding dengan bentuk bulat tajam atau berbentuk selinder atau lonjong pada cili besar dan cili api. Tangkai cili ini adalah sangat panjang sekitar 2.0 - 3.5 cm panjang dan kuat. Buah muda biasanya berwarna hijau dan ia akan bertukar kepada warna hijau oren atau hijau kekuningan apabila menjadi hampir matang. Bagaimana pun Cili Geranong Tempatan yang telah matang dengan tahap kepedasan yang tinggi lazimnya akan berwarna Merah Kuat. Buah ini lazimnya berukuran 2.5 - 3.0 cm panjang dengan lebar rentas sekitar 1.5 - 2.0 cm sahaja. Bagaimana pun ia boleh dua atau tuga kali ganda lebih besar jika dibaja dengan baik dan buahnya dibuat penjarangan. Bila penulis blog potong rentas Cili Geronong mendapati ia mempunyai biji yang melekat pada tangkai empulurnya. Bagaimana pun apabila dikira jumlah bilangan biji yang ada didalamnya diantara 5 - 12 biji dengan bersaiz kecil warna putih pucat. Bentuk biji cili ini adalah bulat leper sama seperti cili lain. Memang banyak jenis cili yang ada biji sesuai untuk dijadikan bahan tanaman. Mungkin kalau anda kekedai pertanian untuk membeli benih cili geronong memang tidak ada dijual. Sebaiknya beli buah cili geronong segar dan ambil bijinya untuk ditanam.


Cili daripada SPH yang dipetik akan dibawa kekilang pemproses cili geronong kepunyaan Jabatan Pertanian yang dilengkapkan dengan peralatan memproses cili disewakan kepada Syarikat HFE Agro Resouces Sdn Bhd. Syarikat ini  yang bertanggung jawab untuk menghasilkan pelbagai produk berasaskan Cili Geronong di TKPM Rampangi ini. Cili tersebut akan disusun didalam tray setelah dibersihkan dan digredkan. Tangkai cili dibuang dahulu dan kemuidan ia dijemur melalui dua kaedah iaitu dengan dijemur dibawah sinaran matahari atau pun dimasukkan didalam drter (Sesuai ketika musim hujan berlanjutan). Dulang yang diperbuat daripada logam ini memang sesuai untuk proses pengeringan. Cili geronong yang agak kering ini akan dibawa kekilang memproses membuat produk-produk seperti SOS GERONONG PREMIUM, SOS CILI GERONONG BIASA dan juga produk SERBUK CILI GERONONG. Mungkin ada dikalangan pembaca yang tidak pernah mendengar atau mengigit akan cili geronong segar. Memang sangat pedas melekat pada bibir jika sesiapa berani makan sebiji cili geronong matang yang amat pedas ini. Begitu juga produk HYEFOQ ini sudh pastinya akan menghasilkan produk yang pedas akan tetapi telah disesuaikan dengan citarasa pelanggan dan juga peminatnya.


Cili geronong akan dikisar dan diproses untuk dijadikan beberapa produk dengan menggunakan sistem pemprosesan moden yang mengikuti spesifikasi moden dan kilang ini mendapat status HALAL. Apa yang menarik pada risalah yang diberikan kepada penulis blog adalah slogan produk iaitu "RASA KEPEDASAN LUARBIASA CILI GERONONG SARAWAK" sesuai dengan nama cili yang digunakan iaitu Cili Geronong. Dinyatakan juga caption menarik iaitu 'diperbuat daripada cili geronong yang ditananm diladang kami sendiri' iaitu didalam SPH di TKPM Rampangi. Syarikat milik bumiputra ini ada menyediakan pakej lawatan dan latihan kepada usahawan lain yang ingin mengenali lebih lanjut mengenai cili geronong dari aspek penanaman, pemprosesan dan juga menerima cili geronong berkualiti yang dihasilkan oleh petani lain menanamnya. Syarika juga ada menghantar produk cili geronong kebeberapa pasaraya dan juga ada jualan melalui talian online. Kepada mereka yang ingin mendapatkan akan produk berasas cili geronong yang unik dan pedas ini boleh menghubungi kepada pengusahanya pada alamat email hyefiqjas@gmail.com atau whatapps pada nombor 013-5436054 atau telefon/fax pada nombor 082-511339 atau berkunjung terus ke premis bertempat di Ground Floor, Lot 3542, Taman Sourabaya Indah, Jalan Bako, Kuching, Sarawak. Memang kepada yang ingin merasai kepedasan produk cili geronong kena dapatkannya dan apabila anda merasainya baru anda hebat. Semuga artikel ini memberi info terbaik kepada pembaca anim agro technology kali ini. Tahniah Cili Geronong dari TKPM Rampangi!.. Welldone!..

CILI GERONONG... AMAT PEDAS RASANYA...
DALAM SPH RAMPANGI...IA DITANAMNYA...
DIPROSES SEGAR...KUALITI PRODUKNYA...
PENULI BLOG LAWAT... ARTIKEL HASILNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 829, Executive Standard Room,
Hotel Waterfront, Kuching,
Sarawak, Malaysia.
(4 Ramadan 1440H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...