mobile ads

KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, January 22, 2018

SAYUR KAMPUNG - SATU CORETAN

SAYUR KAMPONG merupakan satu terminologi yang kini digunakan di Malaysia khusus untuk menjelaskan beberapa jenis sayur sama ada ia hanya bahan sayuran atau resepi masakan untuk orang-orang dikawasan kampong. Penulis blog yang berasal dari kampong di Muar, Johor memang suka makan sayur kampong kerana lazimnya bahan ini memang mudah didapati dikawasan kampong atau selalunya ada ditanam dikeliling rumah sahaja. Sebut sahaja sayur kampong pada saya sebenarnya sejarah sayur kampong telah melalui proses adaptasi yang lama dimana sehingga ia kini resepi 'sayur kampong' telah dikomersilkan di beberapa restoran atau hotel dikawasan urban sebagai menu yang amat disukai oleh ramai peminat atau pelanggan. Terdapat jenis sayur kampong yang amat mudah untuk didapati dan disediakan dan ada juga jenis yang agak rumit sedikit. Selain daripada rasanya yang enak selalunya sayur kampong juga lazimnya adalah jenis yang selamat dimakan kerana kebanyakannya adalah dari jenis sayuran organik. Ini kerana penggunaan bahan kimia amat kurang digunakan terutama untuk tanaman sayuran kampong jenis ulaman. Bagaimana pun untuk mempastikan sebaiknya ia dipersijilkan dengan MyOrganik untuk meningkatkan lagi kualitinya. Artikel petang ini sempena cuti hari Wesak, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sayur kampong berdasarkan pemerhatian, pembacaan dan juga pengalaman penulis sendiri untuk bacaan anda. Lawatan penulis ke Pasar Satok, Kuching, Sarawak dan juga banyak Pasar Tamu di Sabah mendapati banyak sayur kampong yang ada dijual kepada pengguna disana.



Dalam mengenal sayur kampong saya akan bahagikan kepada dua keadaan iaitu Bahan Sayur Kampong dan juga Resepi atau pun  Menu Sayur Kampong. Apa yang dikatakan dengan bahan sayur kampong adalah bahan asas atau bahan mentah hasil tanaman atau tumbuhan yang digelar sebagai 'sayur kampong'. Bahan-bahan ini lazimnya terdapat dikawasan keliling kampong sama ada dipersekitaran kebun, tali air, dalam pasu dan kawasan lapang sama ada ditanam atau tumbuh sendiri. Diantaranya adalah seperti Pucuk Paku, Midin, Pucuk Daun Ubi, Pucuk Daun Keledek, Daun Turi, Pucuk Daun Labu, Pucuk Cekur Manis, Pucuk Daun Meranti, Jantung Pisang, Betik Muda, Terung Pipit, Umbut Kelapa, Rebung Buloh, Nangka Muda, Jering, Petai, Kerdas, Bunga Kantan, Kacang Botor, Kacang Panjang, Kangkong Air, Daun Pegaga, Daun Pucuk Gajus, Batang Keladi, Sulur Keladi, Daun Keladi (Untuk dibuat pais) serta pelbagai jenis ulam-ulaman dan banyak lagi yang saya tidak dapat senaraikan. Dari segi ternakair pula, ia termasuk ikan kering bulu ayam, ayam kampong, ikan sepat, ikan pekasam, ikan air tawar kering, ikan haruan, ilkan tilapia dan sebagainya. Termasuk dalam kumpulan sayur kampong juga seperti tempe, tahu, fucuk, tahu kering, cili padi, cili kering dan sebagainya. Bahan ulaman juga banyak jenisnya dikelaskan sebagai produk sayur kampong yang mudah didapati atau diari disekeliling kampong, belukar atau dalam hutan. Sayur Sulur Keladi Pedas merupakan contoh sayur kampong yang bahan mentahnya daripada sulur dan dimasak dengan cili pedas dan sesuai dimakan dengn nasi putih (Sila lihat foto disebelah). Sulur keladi sesuai dimasak dengan pelbagai menu masakan lain mengikut kesukaan.


Bahan-bahan berasal dari kampong ini akan dimasak atau dimakan segar sebagai ulam yang boleh dikategorikan sebagai sayur kampong. Cara memasak sayur kampong amat mudah disediakan tetapi memerlukan teknik dan ilmu pengetahuan yang betul. Bahan-bahan yang ingin dijadikan ramuan untuk masakan sayur kampong juga perlu disediakan yang diperolehi dari kawasan kampong yang bebes sisabaki racun. Pada masa dahulu sebelum ada dapor gas, orang kampong masak menggunakan kayu api untuk memasak nasi dan juga masak sayur kampong. Kayu getah merupakan antara bahan bakar yang sering digunakan untuk memasak dan air yang digunakan adalah lazimnya air hujan daripada tempayan. Diantara menu masakan sayur kampong yang dapat saya sebutkan adalah Pecel Daun Ubi, Pecel Ikan Keli, Tumis Daun Ubi, Tumis Daun Keledek, Rebus Daun Ubi dengan sambal, Nangka muda masak lemak, Labu Masak Lemak, Labu Air Bening, Daun Ubi Masak Lemak, Nenas Masak dengan Ikan Kering, Paku Pakis Bening, Goreng Pucuk Midin, Rebung Buluh Masak Lemak Cili Api, Betik Muda Rebus, Tumis Betik Muda, Daun Turi masak lemak, Rebus Jantung Pisang dengan sambal, Kerabu Pegaga, Kerabu Kacang Botor, Pucuk labu masak lemak, Masak asam pedas batang keladi, Tumis Sulur Keladi, Pais ikan daun keladi, telur itek masak cili api dan berbagai jenis ulam-ulaman. Pada saya tiak cukup mukasurat artikel ini untuk menyenaraikan resepi masakkan sayur kampong atau laukpauk kampong. Sebagai contoh nasi lemak ayam kampong yang terkenal di Ipoh dijadikan ikon kepada makanan berasaskan kepada jenama 'kampong'. Setiap hidangan nasi lemak (dimakan dari pagi sehingga lewat malam direstoren ini) ada sepotong ayam kampong sebagai penarik utama pelanggan.


Sayur Kampong sesuai dimakan dengan nasi lazimnya pada waktu tengahari atau kadang-kadang pada masa makan malam. Hidangan sayur kampong untuk kenduri majlis perkahwinan bagi mereka yang bertugas menyediakan makanan kenduri (perewang) di kampong saya di Muar adalah Sayur Nangka Muda Masak Lemak yang dimakan dengan nasi dan ikan kering bulu ayam. Penanggah (atau Perewang) lazimnya akan makan nasi dahulu disebelah pagi sebelum memulakan tugas didalam aktiviti memasak, menghidang, basuh pinggan, menyediakan tempat duduk tetamu dan lain-lain tugas perewang. Sayur kampong yang juga dihidangkan untuk majlis ini adalah seperti Sambal Mee Goreng dan juga kuih mueh serta minuman kopi. Kini bahan untuk sayur kampong boleh didapati dikawasan rumah atau beli sahaja di Pasar Tani atau Pasar Malam. Harga sayur kampong juga agak murah dan mudah didapati walau pun kini banyak restoren yang mampu menjual sayur kampong dengan harga agak tinggi bergantung kepada status restoren. Banyak tulisan didalam internet yang menjelaskan cara menyediakan masakan sayur kampong. Kita kini boleh belajar bagaimana untuk menyediakan menu sayur kampong dengan mudah. Bekalan nangka muda adalah mudah diperolehi dikawasan kampong dan sesuai dijadikan bahan untuk masakan ini. Resepi sayuran kampong yang juga dikaitkan dengan ulam-ulaman memang sering dihidangkan dengan makanan sayur kampong. Kepada anda yang meminati makan kampong kini mudah untuk menyediakannya sendiri atau pergi ke restoren atau hotel yang ada menjual resepi tersbut. Semuga tulisan ini memberikan info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasllam !!!...
SAYUR KAMPONG... BAHAN TEMPATAN...
MUDAH DISEDIA... ADA GUNA SANTAN...
BAHAN MENTAH... KELILING KAWASAN...
WAKTU TENGAHARI....SEDAP DIMAKAN....

By,
M Anem
Senior Agronomist,
No 66, Jalan P11/D26,
Putrajaya,
WP Persekutuan
Malaysia.
(13 Rejab 1434H)
Kemaskini pada 22 Januari 2018)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...