Support My Blog

Tuesday, January 30, 2018

NANAS MD2 TANAH TINGGI - WOW!!.. MANISNYA!

WOW!! MANISNYA!!!... Itulah yang kami boleh katakan apabila mengujirasa buah nanas MD2 tanah tinggi dari Projek Nanas Premium Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri, Sembilan. Alat Brixmeter yang digunakan menunjukkan dengan jelas bahawa buah MD2 yang dipetik pada indeks 0 atau sekitar 130-135 hari selepas dihormon diladang ini menunjukkan angka 20.0 darjah Brix (Sila lihat foto diatas) pada satu sampel. Sampeldari bahagian atas buah ini juga menunjukkan bacaan pada 14.5 Brix dibahagian atas buahnya sementara dibahagian tengah buah tersebut memberikan bacaan 18.3 Brix. Ujirasa ini dijalankan di Pusat Rawatan Eksport Naza World, Serdang, Selangor yang mana pusat ini merupakan milik Jabatan Pertanian Malaysia yang kini disewa oleh pihak syarikat tersebut. Pengurus syarikat En Razak yang bersama penulis blog menyatakan buah dari projek di Seri Menanti ini memberikan buah nanas berkualiti dengan bentuk buah, berat buah dan kualiti buah yang menepati kehendak pasaran domestik dan eksport. Syarikatnya bersedia membeli dan mengedarkan buah MD2 dengan jumlah yang banyak. Bagaimana pun menurut seorang petugas  En Baek yang menjaga ladang disini nyatakan mereka menghormon sebanyak 2,500 - 3,000 pokok seminggu bertujuan menjadualkan penuaian buah agar dapat dipasarkan untuk domestik dahulu. Buah nanas MD2  dari ladang ini mendapat bekalan benih daripada sumber sulur yang diaturkan oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) melalui projek nanas premium pada tahun 2016 dan 2017. Kedudukan tanah yang tinggi sekitar 80 - 100 meter dari aras laut bercerun dikelilingi oleh hutan dan perkampongan ini menjanjikan sinaran matahari yang banyak dan amalan agronomi yang baik. Artikel malam Sabtu ini saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai kualiti buah nanas MD2 yang dihasilkan dari satu projek nanas dikawasan tanah tinggi untuk dijadikan bahan rujukkan dan bacaan anda.


Lazimnya sejak dahulu pokok nanas ditanam dikawasan tanah gambut. Kawasan tanah gambut di Johor seperti di Daerah Pontian, Batu Pahat, Kluang dan Muar diantara daerah yang banyak ditanam dengan buah nanas sejak berpuloh tahun dahulu. Negeri Johor menanam 8,934 hektar dengan pengeluaran nanas sebanyak dan menghasilkan sekitar 273,950 metrik tan bernilai RM350.2 juta atau 68% buah nanas di Malaysia pada tahun 2016 dengan pelbagai varieti nanas seperti Nanas Moris, Nanas Josapine, Nanas MD2, Nanas Gandul, Nanas Sarawak dan beberapa lagi (Sumber: Laporan Statistik Industri Nanas 2016, LPNM). Negeri Sembilan pula menanam seluas 137 hektar nanas pada 2016 dengan hasil sebanyak 5,107 metrik tan bernilai sekitar RM7.914 juta. Daerah Kuala Pilah paling luas tanaman nanas dengan jumlah keluasan 85.9 hektar diikuti Daerah Jelebu (65.2 ha), Daerah Tampin (34.4 ha), Daerah Rembau (19.9 ha) dan dua daerah lain iaitu PD/Seremban (9.8 ha). Projek nanas MD2 di Seri Menanti ini berada dikawasan berbukit disekelilingi oleh kampong dan ladang sawit. Terdapat ternakan kambing, tanaman durian dan pokok jati dikawasn kebun seluas 10  hektar ini. Penulis yang membuat tinjauan teknologi kelokasi bersama KSU Kementerian Pertanian dan pemilik ladang iaitu YM Dato Seri Hasudin mendapati nanas disini subur (Sila lihat foto disebelah). Kawasan ini dijaga dengan baik sehingga tiada masaalah serangan Bacteria Heart Rot yang serius berlaku.


Nanas yang matang dipetik pada indeks 'o' iaitu sekitar 130 - 135 hari selepas dihormon. Nanas ini penulis timbang dimana ia mencapai berat 3.2 kg sebiji (Buah dalam foto disebelah kiri) dan seberat 1.5 kg sebiji (Buah dalam foto disebelah kanan). Buah yang berkualiti ini mempunyai warna kulit yang sedikit kuning dibahagian bawah dan hijau diatasnya. Jambulnya yang sederhana besar membolehkan nanas ini boleh mencecah sehingga maksima lebih 25 hari selepas dituai untuk dipasarkan dengan penjagaan yang baik. Buah yang bersaiz besar mendapat permintaan baik dikalangan pengguna domestik yang mempunyai keluarga besar, pihak restoren dan hotel. Buah yang sesuai untuk pasaran eksport sekitar 1.4 - 1.6 kg  sebiji untuk dimasukkan didalam kotak. Tinjauan penulis mendapati harga ladang nanas MD2 segar sekitar RM3.00 - RM3.50 sekilogram tetapi tinjauan hatga runcit pula sekitar RM5.00 satu kilogram. Jika berat buah seberat 3.2 kg disebelah ia boleh dijual sekitar RM15.00 sebiji bermakna memang satu harga yang diterima oleh pengguna. Jika hendak dibandingkan dengan harga nanas MD2 import jenama Dole di Jason Supermarket di Bangsar, KL dijual dengan harga RM11.00 sekilogram (tiada jambul) dengan purata berat 1.3 kg sahaja sebagai perbandingan.


Pada penulis blog nanas MD2 tempatan sudah menjadi fenomena kepada penanam dan pengguna. Apabila nanas ini ditanam dengan benih tanaman sulur (JANGAN GUNA BENIH MD2 KULTUR TISU) ia menjanjikan kualiti dijamin dari segi varietinya. Bagaimana pun benih MD2 kultur tisu boleh menyebabkan masa depan industri nanas akan terjejas. Syarikat NAZA yang menanam sendiri nanas MD2 di Raub, Perak dan Perlis kini terlibat dalam aktiviti pemasaran dan pengedaran nanas MD2 untuk pasaran domestik. Syarikat ini juga antara 4 syarikat yang mempunyai keupayaan untuk mengeksport ke negara China nanas MD2. Selain daripada syarikat ini 3 syarikat lain yang telah diluluskan oleh pihak China untuk mengeksport nanas MD2 adalah Top Fruit, KPF dan juga Rompine. Syarikat NAZA hanya gunakan benih sulur yang tulin diladangnya untuk dijual sendiri dan membeli daripada pengusaha nanas MD2 lain yang menepati ciri-ciri amalan agronomi dan juga mempunyai persijilan MyGAP. Menurut pengurus pemasaran NAZA mereka memerlukan nanas MD2 yang berkualiti untuk pasaran domestik dari pengusaha yang berdaftar dengan LPNM dan mempunyai rekod baik dari segi kualiti buah. Pusat rawatan dan pengumpulan buah di PRE Serdang ini mampu dijadikan satu pusat pengedaran buah nanas dan buah-buahan lain dimasa akan datang (Sila lihat foto disebelah). Pusat ini mempunyai kemudahan bilik sejuk beku, bilik rawatan buah nanas vapormate, ruangan untuk pemprosesan buah, pejabat dan pelbagai kemudahan lain. Semuga industri nanas negara akan membaik dimasa akan datang dengan pelbagai suntikan dan sokongan daripada pihak kerajaan dan komitment yang baik dari semua pemain dalam industri ini. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology semua. Wasallam!!!..


NANAS MD2... POPULAR NAMANYA...
TANAH TINGGI.... IA ELOK KUALITINYA...
BUAHNYA MANIS ...20 BRIX MANISNYA...
BERMINAT?....ANDA DAPATKAN SEGERA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Rawatan Eksport Serdang,
Selangor, Malaysia.
(26 Januari 2018).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...