Support My Blog

Thursday, January 25, 2018

NANAS YANKEE KG KAPAR KELANG

NANAS YANKEE (AC6) merupakan satu varieti nanas yang popular di Kg Kapar, Kelang, Selangor dan menjadi kesukaan penanam nanas di Negeri Selangor. Nanas (Ananas comosus) merupakan sejenis buah-buahan tropika tidak bermusim yang ditanam untuk pasaran tempatan di kampong ini. Nanas Yankee juga dipanggil sebagai 'Nanas Selangor Sweet' dikalangan penduduk negeri ini yang mempunyai buah bersaiz besar dan rasa yang manis. Nanas Yankee adalah dari kumpulan Nanas Queen yang mana pokoknya besar serta daun berwarna hijau dengan duri yang tajam diseluruh kiri dan kanan bahagian tepi daun. Apa yang penulis blog faham dimana nanas jenis ini kurang responsif jika menggunakan bahan hormon biasa sebaliknya memerlukan rawatan hormon khusus untuk menghasilkan bunga dan buah. Kalau setakat gunakan bahan hormon Etephon (Etherel) yang selalu digunakan untuk nanas MD2, Josapine dan beberapa varieti lain biasanya tidak berjaya untuk nanas Yankee. Nanas ini menghasilkan banyak sulur udara dibahagian keliling buah matang diantara 8 - 12 sulur setiap pokok. Sulur ini mudah dijadikan benih untuk penanam baru dan kini dijual dengan harga RM0.15 (petik sendiri) atau RM0.30 satu sulur benih jika dipetik oleh pemilik kebun. Bagaimana pun harga benih siap diikat dan disusun untuk diambil sekitar RM0.50 satu sulur. Nanas yang besar ini kurang masaalah dengan masaalah serangan seranggga perosak dan penyakit sebagaimana jenis nanas lain. Bagaimana pun buahnya mudah di serang 'Sun Burn' atau 'scorching' pada musim panas dan biasanya akan dipasang kain percha (tudung nanas) untuk mengelakkan masaalah ini. Buah yang tidak dipakaikan tudung buah akan menjadi busuk sebelum ianya sempat dituai dan ini merugikan pengusaha. Aktiviti tanaman nanas Yankee ini hanya tertumpu di Negeri Seangor dan agak susah dijumpai di negeri lain. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenas nanas Yankee yang diusahakan oleh 3 pengusaha nanas di Kg Kapar, kelang dalam siri tinjauan teknologi penulis blog kekawasan penanaman nanas.


Nanas Yankee (AC6) yang didaftarkan dalam Plant Variety Listing dengan Jabatan Pertanian pada tahun 2013 sebenarnya mempunyai potensii baik untuk dijadikan komoditi menjamin pendapatan lumayan. Nanas ini mempunyai bentuk bulat dan menirus dengan berat diantara 1.0 - 2.1 kg sebiji bergantung kepada pengurusan kebun (Sila lihat foto disebelah). Walau pun secara marfologinya ia mempunyai bentuk tirus tetapi ada beberapa petani yang dapat mengurangkan bentuk tirus dengan kaedah pembajaan yang berlainan daripada biasa. Buah nanas Yankee yang matang mempunyai warna kulit Hijau Muda dimana mata buah diantara 100 - 120 buah mata. Buah yang besar in mempunyai warna isi yang putih jernih dengan mana ia ada kandungan jus yang banyak dan manis. Bila dibelah dua dilihat lebar empulirnya diantara 1.0 - 1.5 cm dengan kadar kandungan gula atau tahap kemanisan diantara 11% - 14% Brix. Kandungan Asid Citrik pada nanas Yankee yang masak sekitar 0.6% - 0.8% iaitu satu tahap yang baik untuk dimakan segar. Bagaimana pun nanas yang baru dipetik tidak tahan lama seperti nanas lain dan ia adalah jenis 'nanas manaja' semasa dituai. Buahnya tidak boleh di campak semasa menuai atau diletakkan dalam bakul dengan bertindih kerana musah rosak. Kandungan air banyak (berjus) dengan kulit yang nipis memudahkan cecair akan keluar dalam 3-5 hari jika tidak dijaga aktiviti lepas tuai. Bagaimana pun penulis amat suka makan nanas Yankee atau Selangor Sweet ini kerana lembut, manis, berjus dan sesuai dimakan segar.


Seorang petani dan juga bekas guru iaitu En Osman antara pekebun pertama yang penulis buat tinjauan teknologi. Osman yang gembira dengan kunjungan saya juga mempunyai 2 rakan lain dalam usaha menanam nanas dengan beberapa varieti iaitu Nanas Yankee (AC6), Nanas MD2 (AC9), Nanas Josapine (AC5) dan beberapa yang lain dikebunnya. Beliau menanam sekitar 9 ekar didua lokasi dan bercadang untuk menambah keluasan kebun nanas pada 2018 seluar 5 ekar lagi. Nanas Yankee antara varieti kegemaran beliau dengan menanam setiap plot seluas 1,000 pokok (Sila lihat foto disebelah). Menurutnya proses mananam dan menghormon nanas dikebunnya penting dijadualkan bagi menentukan pengeluaran nanas berterusan setiap minggu atau setiap masa diperlukan. Dia juga menggunakan peralatan moden seperti jentera dan trailer untuk tujuan menuai, menyembur racun dan juga menghormon. Beberapa peralatan mesin seperti Pam Penyembur (HPS), Mesin Pengorek Lubang, Long Sprayer Hose dan sebagainya dalam menentukan kualiti buah menjadi terbaik. Cikgu Osman nyatakan beliau kini ada masaalah sedikit dalam sistem saliran sepanjang bulan Disember (monsoon) dimana ini menyebabkan pokok rosak dan tumbang. Perkara ini berlaku apabila ada gangguan dalam sistem saliran bersempadan dengan kebun sebelah. Buah Nanas Yankee yang dituai setiap 3-4 hari akan dihantar ke pasar dan kedai berdekatan dengan harga RM3.50 sekologram. Dakwanya pengguna ada yang membayar sebanyak RM15.00 sebiji untuk gred buah nanas yang besar dan masih segar dari penjual yang dilantik. Menurut rakannya yang selalu menjual selalunya sekitar 50 - 100 biji dijual setiap hari pada hari biasa dan meningkat pada hari Sabtu dan Ahad.  


Wak Indra merupakan seorang penanam nanas di Kg Kapar yang ke 2 di kunjungi penulis yang juga menanam nanas Yankee seluas 12 ekar di 3 lokasi berasingan (Sila lihat foto disebelah). Pernah berkerja kilang sebelum bersara dan kini menanam nanas, beliau memang seorang yang berpengalaman dengan nanas sejak dari kecil dahulu. Menurutnya pada zaman dahulu semasa beliau kecil lagi, kampung ini dipenohi dengan pokok getah dan nanas tetapi kini banyak tanaman kelapa sawit dan perumahan serta kilang-kilang SME. Apa yang istimewa mengenai nanas dari kebun Wak Indra ini adalah bentuk buahnya yang hampir seragam saiznya dan juga bentuknya. Buah dari kebun beliau mempunyai bentuk selinder tidak seperti nanas yankee biasa. Proses untuk menghormon dilakukan dengan formulasi khusus karbide yang beliau guna dan peratus kejayaan amat tinggi. Hampir 90% pokok nanas yankee dikebunnya yang telah dijalankan hormon menghasilkan buah yang hampir serentak saiznya. Perkara ini menjadi perhatian khas penulis blog kerana rawatan pembajaan dan menghormon yang dijalankan amat baik dan efektif. Beliau menjual buah nanas di pasaran tempatan dimana selalunya pemborong dan pembeli akan menelefon dahulu sebelum datang mengambil buahnya. Ia juga dijual dengan harga ladang diantara RM3.00 - RM3.50 sekilogram dengan pasaran sejauh Lembah Kelang serta Kuala Lumpur jumlah luas pembelinya. Berbisik sahaja dengan saya, beliau nyatakan pendapatan dari kebun nanasnya membanggakan sehingga beliau kini meneruskan usahanya menanam nanas Yankee ini. Seterusnya beliau kata akan meneruskan menanan nanas Yankee walau pun beberapa kali ditawarkan untuk menanam nanas MD2 kerana percaya kepada menanam nanas Yankee ini.


Kebun ke 3 yang penulis blog buat tinjauan teknologi adalah usahawan Encik Muzamel berumur 28 tahun (Orang Muda). Bapa beliau dahulu merupakan penanam nanas dan kini beliau meneruskannya dikawasan seluas 9 ekar di 2 loksai di Kg Kapar, Kelang ini (Sila lihat foto disebelah). Beliau menanam nanas Yankee dan Nanas Morris Kampong (sama seperti Morris Gajah) diatas tanah rata jenis liat. Beliau (Berbaju T-shirt hitam) amat suka menanam nanas kerana jaminan pengeluaran, harga membaik dan juga boleh dijadualkan pengeluarannya. Menanam dengan beberapa peringkat didapati kawasan kebun beliau bersih dari rumpai dan baru sahaja membuat aktiviti menghormon mengikut jadual. Beliau ada menerima bantuan daripada LPNM untuk penanaman semula sejak beberapa tahun dalam bentuk baja dan khidmat nasehat. Menurutnya nanas Yankee adalah jenis nanas paling disukainya kerana kurang bermasaalah dan mudah dijual dipasaran tempatan. Apa yang penting menurutnya adalah menjadualkan penanaman dan menghormon untuk pastikan bekalan buah berterusan. Kini beliau berazam untuk menambah luas penanaman nanas dikampongnya dan ingin menyewa tanah lain kerana kawasan tanaman sedia ada sudah penoh. Penanaman nanas di Kg Kapar, Kelang masih berterusan sehingga kini dan perlu dikekalkan untuk menampong bekalan makanan yang berkualiti dan segar di Lembah Kelang. Mereka dinasihatkan menubuhkan Kelompok Nanas bagi tujuan memudahkan semua aktiviti pengeluaran, pengedaran dan sebagainya dimasa akan datang. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca anim agro technology semua. Wasalam!!!.. 

NANAS YANKEE ... DITANAM DISANA...
KG KAPAR KELANG...ORANGNYA JAWA...
HARGA BAIK... TEMPATAN DIJUALNYA...
HASIL LUMAYAN...PENDAPATAN DIJANA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Belimbing, Kg Kapar,
Kelang, Selangor,
Malaysia.
(5 JamadilAwal 1439H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...