mobile ads

KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, August 31, 2017

NANAS - KULTIVAR NANAS

NANAS (Ananas comosus) ialah sejenis tumbuhan tropika yang ditanam dibeberapa negara termasuk Malaysia. Nenas dipercayai merupakan tumbuhan yang natif atau berasal dari Brazil, Bolivia dan Paraguay dan dibawa masuk kenegara kita oleh penjajah kolonial dahulu. Tumbuhan ini berada dalam kumpulan bromeliad (Famili Bromeliaceae) dimana tumbuhan ini yang rendah saka kadang kala diketegorikan sebagai herba (herbaceous perennial plant) yang perlukan cahaya matahari banyak. Dari segi bentuk pokok lazimnya ia mempunyai sebanyak 30 atau lebih daun yang panjang, tajam mengelilingi batang yang tebal. Pada bahagian daun nenas sering ada duri tajam yang kecil dan ada yang tiada duri bergantung kepada spesisnya. Buah nanas tergolong dalam buah bukan 'klimakterik' iaitu hanya masak di pokok dan apabila dipetik ianya tidak akan berlaku lagi proses pemasakan lain. Buah Nanas dikenali sebagai 'Pineapple' dalam bahasa Inggeris kerana bentuknya yang seperti pokok kon pain (Pine tree). Dalam pada itu ada yang katakan buan nanas adalah 'anana' yang memberi makna sebagai "buah yang sangat baik". Malaysia dahulu adalah salah sebuah negara pengeluar dan pengeksport nenas yang unggul didunia. Bagaimana pun pada tahun 2016 seluas 15,561 hektar tanaman nanas dimajukan dengan jumlah hasil sebanyak 490,175 metrik tan yang bernilai sekitar RM151 juta (Sumber: Laporan Statistik Tanaman Nanas, LPNM, 1017). Pembangunan industri nenas adalah komoditi yang dikendalikan oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM). Artikel malam Ahad ini say amenulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa kultivar nanas untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.


Tanaman nanas merupakan satu industri yang mampu menjana pendapatan petani dan ia juga menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kerana ia sesuai untuk pasaran domestik dan eksport. Sejarah juga menunjukkan Malaysia merupakan negara yang penting dalam eksport keseluruh dunia nenas terutama nanas kaleng semenjak tahun 1900 lagi. Terdapat lebih daripada 45 varieti atau jenis nanas yang ada di seluruh dunia dan sebahagian besar adalah untuk tujuan penghasilan buahnya. Selain itu terdapat tanaman nenas untuk kegunaan hiasan (ornamental pineapple), nanas untuk pemprosesan dan juga untuk makan segar. Kini varieti hibrid nanas adalah yang popular ditanam termasuk nanas MD2 yang mendapat pasaran dunia dan permintaan domesti dalam negara kita. Varieti atau kultivar yang telah didaftarkan di malaysia dengan Jabatan Pertanian ada 9 iaitu daripada Ac1 sehingga AC9 (Anda boleh baca dengan link - Sila klik disini). Bagaimana pun di Stesyen Pertanian LPNM Alor Bukit, Pontian dan Muzeum Nenas di Pontian terdapat lebih daripada 40 varieti nenas yang ditanam sebagai janaplasma. Benih nanas dibiakkan melalui 3 sumber iaitu daripada bahagian Sulur Tanah (Ground suckers), Bahagian Sulur Udara (Aerial suckers) dan bahagian Jambul (crown). Pemilihan bahan tanaman yang baik perlu memathui piawaian disediakan SIRIM untuk mempastikan ketulinan varieti, kesuburan, bebas penyakit dan kualiti benih dipatuhi. Hanya benih tanaman nanas berkualiti yang melepasi Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) sesuai untuk ditanam.


Terdapat banyak Varieti atau Kultivar nenas diseluruh dunia yang ditanam mengikut keutamaan negara pengeluar. Umumnya kultivar nanas yang ditanam di Malaysia terdiri daripa 3 kumpulan yang besar iaitu Jenis nanas CAYENE, nanas SPANISH dan nanas QUEEN. Keluasan penanaman nanas di negara terus naik daripada seluas 14,833 hektar (2005) kepada 15,311 (2007) , 15,792 hektar (2009) dan seluas 17,601 (2010) seperti apa yang dilaporkan dalam Laporan Agromakanan Kementerian Pertanian 2011. Sebanyak 416,070 metrik tan nanas dihasilkan pada tahun 2010 yang bernilai RM 644.908 juta dengan purata pengeluaran nanas negara sekitar 25.1 metrik tan sehektar. Negeri Johor adalah merupakan pengeluar utana nanas di Malaysia dengan kawasan seluas 9,830 hektar (57% dari keluasan di Malaysia) dan menghasilkan sebanyak 163,830 metrik tan pada tahun 2010. Industri nanas telah lama di usahakan di Johor terutama ditanam di atas tanah gambut untuk di kaleng (ditinkan) atau pun untuk jualan nanas segar.

Nanas mempunyai 3 Kumpulan utama iaitu:

(1)  Kumpulan CAYENE 

Nanas daru kumpulan ini mempunyai saiz buah yang besar, mata buah yang rata, isinya berwarna kuning pucat dengan kandungan gula dan asid yang tinggi. Nanas jenis ini juga ada menunjukkan pertumbuhan tampang (vegetative growth) yang cepat dengan tepi daunnya halus dan berduri iaitu pada dibahagian hujung sahaja. Nanas jenis ini popular ditanam di banyak lokasi seluruh dunia untuk dikalengkan (ditinkan) dan mempuyai bentuk buah yang 'TIRUS'. SPenulis dapati memang mudah untuk kenal nanas ini iaitu seperti Nanas Sarawak (Sila lihat foto disebelah) dan Smooth Cayene daripada saiznya dan bentuknya. Antara k Kelebihan jenis ini dikatakan rintang terhadap penyakit reput teras dan juga penyakit buah hantu. Dalam pada itu jenis Nanas Sarawak (walau pun di Negeri Sarawak nanas ini dipanggil sebagai nanas 'Paun') kini dilaporkan banyak ditanam di Johor, Kelantan dan Terengganu dan didaftarkan dengan AC2. Ketinggian pokok sekitar 120 cm dengan bilangan daun sekitar 60 - 80 helai semasa pokok tersebut berbunga. Daunya berwarna hijau gelap dengan pigmentasi merah ungu di sepanjang bahagian tengah daun dan ianya berduri tajam di bahagian hujung. Kalau terkena durinya boleh luka dan gatal. Nanas ini mempunyai buah paling besar dengan 2 - 4 kg sebiji bergantung kepada jenis tanah dan kesuburan pokok. Buah nanas Sarawak berbentuk tirus dengan warna kulit hijau gelap. Pemerhatian penulis blog mendapati ramai petani sudah mengesahkan nanas ini kurang resposnsif terhadap hormon pil ANA untuk berbunga dan seterusnya berbuah kerana jenis ini dipengaruhi suhu dan fotokala (Photo period) untuk berbuah. Kajian saintis menunjukan jenis ini perlukan suhu 20 Celsius dengan sinaran siang yang pendek yang tiada di Malaysia untuk aruhan berbunga. Jenis nanas ini sentiasa dalam keadaan tampang (Vegetative) sahaja di Malaysia dan sukar untuk di aturkan penghasilan buah nanas Sarawak yang seragam dan komersil.  Antara ciri nanas Sarawak yang cukup masak dan baru dipetik terasa 'LIDAS' walau pun penulis dapati pada keseluruhannya mempunyai aroma yang unik.


(2)  Kumpulan SPANISH

Nanas Spanish adalah popular ditanam di Malaysia untuk tujuan pengeluaran bagi nanas kaleng (untuk proses atau di tinkan). Antara varieti yang memang terkenal ialah varieti Masmerah dan Gandul (AC3) yang juga banyak ditanam di Malaysia (Sila lihat foto disebelah). Kedua-dua kultivar ini telah ditanam dahulu dinehgeri Johor untuk dihantar ke kilang memproses nenas. Pokok ini mempunyai 35 - 70 helai daun dengan ketinggian pokok 100 cm. Daun jenis ini mempunyai duri dibahagian hujung dan yang istimewa ialah kerana ia mempunyai banyak 'Tunas Slip' antara 2-12 tunas yang terbit pada pangkal buah. Jambulnya (Crown) nanas ini juga besar dan kadang-kadang terjadi berbilang dan juga menjadi pipih bentuknya. Saiz buah jenis ini sederhana besar sekitar 1.3 kg sebiji yang berbentuk silinder, mata agak dalam dan warna buah hijau bertukar ke ungu gelap atau jingga kemerahan apabila masak. Isinya berwarna kuning keemasan dan berserabut. Buah ini tahan lasak dan tidak mudah lebam walaupun pengendalian lepas tuai yang kasar. Dalam pada itu penulis blog dapati dimana buah kumpulan Spanish seperti nanas Gandul mempunyai empulur yang kecil dengan ukuran diameter sekitar 1.8 - 2.2 cm serta mengandungi kadar gula agak rendah (sekitar 10 -12 darjah Brix sahaja) dan kandungan Asid Citrik sebanyak 0.3 -0.6% sahaja. Nanas jenis ini kurang diserang penyakit yang lazim menyerang tanaman nanas dan mudah bertindakbalas dengan Aruhan Pembungaan. Lazimnya pil ANA atau pun Etephon akan dibubuh pada pokok yang telah sedia untuk digalakan pembungaan (Sekitar 8 bulan). Pokok nanas ini boleh diprogramkan bila masa menanam dan bila masa untuk menuai dengan kiraan yang betul dan jadual penanaman yang boleh di programkan. 


(3)  Kumpulan QUEEN

Kultivar Queen merupakan antara jenis nanas yang paling popular ditanam di Malaysia. Nanas Moris ini merupakan nanas yang paling luas ditanam untuk kegunaan segar dan juga dimasak untuk dibuat paceri nanas dan sebagainya. Nama lain dalam kumpulan ini seperti nanas Tailung 2 di Taiwan dan nanas Common Rough, nanas Ripley Queen yang ditanam di Australia. Nanas Moris rasanya manis (Gula antara 13-18 darjah brix) dan bentuk buahnya yang tirus. Nanas ini tidak sesuai untuk dikaleng kerana saiznya kecil dengan tekstur isinya rapuh dan warna kuning keemasan yang menarik bila cukup masak. Pokoknya paling kecil berbanding dengan jenis lain dengan warna daun hijau kebiruan serta ungu dibahagian tengahnya dan mempunyai duri. Buah yang kecil berwarna hijau gelap dan tidak mempunyai slip tetapi mampu menghasilkan sulur (suckers) yang banyak. Kultivar ini mampu menghasilkan buah 1 bulan lebih awal daripada kumpulan Cayene dan Spanish. Nanas Moris (Nama asal 'Mauritius') merupakan nanas yang ditanam untuk makan segar dengan jangkamasa menuai singkat sekitar 9-10 bulan sahaja. Nanas jenis ini sangat responsif atau bertindakbalas dengan baik terhadap proses pengaruhan pembungaan menggunakan pil ANA atau bahan hormon yang lain. Aktiviti penanaman nenas ini lazim menggunakan bahan tanaman daripada sulur batang yang banyak diperolehi selepas menuai buah dan mencantas daunnya. Penulis menjumpai sejenis nanas Moris tanpa anthocyanin yang jelas (hujau daunnya) di Sarawak dimana ia adalah varieti baru diperkenalkan (Sila anda lihat foto disebelah). Varian nanas jenis ini seperti nanas Moris Sungai Balang (16 - 18 Darjah Brix), nanas Moris Slipping (Jenis ini pelik sikit kerana ada slip) dan juga nanas Moris Besar (Buahnya besar sekitar 1.5 - 1.8 kg sebiji). Semuga tulisan artikel ini memberi info berguna berkaitan 3 kumpulan utama nanas kepada pembaca blog anim agro technology semua. Wasallam!!!
TANAMAN NANAS... DIDALAM NEGARA...
NANAS CAYENE... SARAWAK JENISNYA...
NANAS SPANISH... GANDUL DAH NYATA...
NANAS QUEEN... MORIS PALING LAMA...

By,
M Anem,
Seniod Agronomist,
Bandar Baru UDA,
Johor Bahru,
Johor, Malaysia.
(28 Zulkaedah 1438H)
Selamat Hari Merdeka ke 60...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...